Powered By Blogger

Wednesday, 9 April 2014

" Kepimpinan Dalam Islam "

Definisi Kepimpinan

Dalam Islam, aspek kepimpinan diberi perhatian penting sehingga Rasulullah S.A.W menganjurkan agar dilantik seorang pemimpin walaupun dalam kumpulan yang kecil sebagaiman sabda baginda yang bermaksud : ‘ Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah dilantik seorang daripadanya sebgai ketua’. 
            Terdapat pelbagai definisi kepimpinan. Antaranya ialah usaha untuk mempengaruhi individu atau sekumpulan individu untuk melakukan sesuatu tugas bagi mencapai matlamat yang dikongsi bersama. Selain itu, kepimpinan juga ualah tingkahlaku individu apabila dia sedang mengarah aktiviti kumpulan ke arah mencapai matlamat yang dikongsi bersama. 

            Kepimpinan turut dikaitkan dengan seni menyusun hubungan antara individu dengan beberapa kumpulan yang mengarah mereka kepada sesuatu matlamat yang dirancangkan. Terdapat pelbagai istilah yang dikaitkan dengan kepimpinan dalam Islam seperti ‘khalifah, ‘imamah, qiyadah, za’mah, ri’ayah, ri’asah dan siyadah. Semua istilah ini menunjukkan wujudnya hierarki dalam kepimpinan Islam. 

            Kepimpinan sering kali dikaitkan dengan seni membimbing, mendidik, memujuk, mempengaruhi, mengajak, menuntun, dan sebagainya lagi. Justeru itu, umat Islam diseru supaya sentiasa penuh sedar tentang keperluan dan kepentingan kepimpinan kerana kepimpinan yang cemerlang akan melahirkan masyarakat yang gemilang. 



Cabaran Membentuk Pemimpin & Kepimpinan

Kepimpinan dari perspektif Islam bukanlah semata-mata merujuk kepada pemimpin tertinggi terutama  pemimpin negara seperti yang tebayang dalam pemikiran kebanyakan orang bila membincangkan soal kepimpinan.

            Cabaran untuk membentuk kemahiran kepimpinan dalam setiap individu muslim adalah cabaran utama yang perlu difahami. Mengikut hadis S.A.W, semua individu Muslim dianggap sebagai pemimpin dan bertanggungjawab kepada mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya.

            Sabda Rasulullah S.A.W yang membawa maksud, “ Tiap-tiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaannya. Seorang ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertanggungjawab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, bertanggungjawab kepada majikannya, setiap kamu adalah pemimpin, dan bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya. 

            Pemimpin berfungsi sebagai penggerak sosial dan mengakui pemimpin mempunyai implikasi besar kepada corak dan pola perlakuan pengikut. 


Cabaran Melaksanakan Tanggungjawab Kepimpinan

Kepimpinan mengikut perspektif Islam bukanlah satu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu direbut-rebut kerana ia sebenarnya lebih bersifat amanah. Amanah menunaikan tanggungjawab bukan sahaja terhenti kepada menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada pengikut, tetapi yang lebih penting ialah menyempurnakan amanah kepada Allah.

            Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Siyasah al-Shar’iyyah menekankan bahawa kriteria penting dalam melantik pemimpin ialah memastikan mereka mempunyai dua sifat penting iaitu keupayaan mentadbir dan mengurus serta amanah. 

            Peimpin yang menjaga amanah kepimpinannya akan memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi dan seterusnya mendorong dia mengambil berat apa yang benar-benar berlaku kepada pengikut. Sayidina Umar al-Khattab digambarkan sering memeriksa kehidupan rakyatnya ada kalanya di waktu malam untuk mendapatkan informasi yang benar dan direct tanpa bergantung pada pegawainya semata-mata. Dengan informasi berkenaa, beliau cepat bertindak menyelesaikan masalah yang dihadapi. 



Lima Tanggungjawab Utama Kepimpinan Dalam Islam

            Menegakkan kebenaran Islam. Kebenaran Islam perlu ditegakkan meskipun ia boleh menggugat kepimpinan atau menimbulkan kepayahan. 

            Memelihara karamatul insan. Kemuliaan manusia bergantung pada kemurnian akhlak yang diterjemahkan di dalam kehidupannya. Oleh it, pemimpin perlu memastika para pengikut bukan sahaja dibentuk dalam konteks sosio-ekonomi, tetapi juga memenuhi tabii kemanusiaan yang asal. 

            Memakmurkan bumi. Memakmurkan bumi Allah dalam ertikata membangunkan ekonomi negara, membangunkan sahsiah penduduknya dan menjaga keharmonian dan kesejahteraan adalah tanggungjawab utama pemimpin. Segala urusan berkaitan pembangunan negara hendaklah dipertimbangkan dari segi kemaslahatan umum. Pengagihan kekayaan negara hendaklah dilakukan secara adil dengan memberi hak kepada yang berhak menerimanya dan membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat untuk membina kehidupan di dunia dan tidak melupakan kebaikan di akhirat. 

            Menjalankan urusan amar makruf dan nahi munkar. Adalah menjadi tanggungjawab utama pemimpin mengarahkan dan melaksanakan perkara-perkara yang baik dan mencegah kemungkaran untuk memastikan pengikut sentiasa berada dalam kesentosaan dan memperoleh nikmat dalam kehidupan. Lubang-lubang kemungkaran perlu ditutup untuk mengelakkan merebaknya wabak keruntuhan akhlak dan masalah sosial. 

            Islah (memperbaiki) masyarakat melalui gunatenaga yang patut. Menjadi tanggungjawab pemimpin membuat organisasi bidang-bidang kehidupan para pengikut, terutama dengan menurunkan kuasa kepada yang layak. Penyusunan jabatan-jabatan, bahagian-bahagian, unit-unit dan sebagainya di dalam struktur organisasi kepimpinan mesti dipandu supaya melakukan uslah dengan segala kemampuan yang ada. 

  

Cabaran Melaksanakan Hak Pemimpin dan Hak Pengikut

Kualiti kepimpinan memang diutamakan oleh Islam. Walau bagaimanapun, kualiti berkenaan tidaklah semata-mata terletak kepada pemimpin semata-mata,  ia juga terletak kepada pengikut. Pengikut yang berkualiti akan melahirkan pemimpin yang berkualiti. 

            Pemimpin juga berhak mendapat nasihat dan teguran yang baik dari pengikut untuk membaiki prestasi kepimpinan. Dalam hal ini, pemimpin mesti bersifat terbuka, sanggup menerima kritikan dan mengubah praktik negatif yang merosakkan kesejahteraan rakyat. 

            Oleh sebab tugas memimpin merupakan satu amanah yang berat, Islam turut menggariskan hak yang wajar diterima oleh pemimpin dari pengikutnya. Terdapat sekurang-kurangnya tiga hak yang wajar dinikmati oleh pemimpin iaitu medapat kepatuhan dan taat setia, mendapat kerjasama dan memperoleh teguran dan nasihat. 

            
           
Ciri-ciri Kepimpinan Dalam Islam

Manhaj Islam dalam pemilihan pemimpin terbit daripada beberapa ciri-ciri asasi.

            Ciri yang utama ialah kekuatan dan amanah. Tidak harus mengikut manhaj Islam seorang pemimpin tidak kuat dari segi fizikalnya dan tidak amanah. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Qasas ayat 26 berkaitan kisah Nabi Musa A.S yang menolong memberikan minuman kepada binatang-binatang ternak dua orang wanita yang bapa mereka terlalu uzur untuk menggembala. 

Maka salah seorang wanita tersebut berkata :
“Wahai bapa, ambillah dia (Musa) menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang bapa ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” 

Difahamkan dari ayat ini, jika untuk menjadi pekerja pun memerlukan kekuatan dan amanah, apatah lagi untuk menjadi pemimpin. Kekuatan dalam kepimpinan perang misalnya ialah kecekalan hati, kemahiran merangka strategi dan pengalaman taktikal. Kekuatan dalam peradilan pula merujuk kepada pengetahuan tentang aspek perundangan, cara penghakiman dijalankan dan berlaku adil serta keberanian untuk mengambil keputusan yang sukar dan kekuasaan melaksanakan hukuman ke atas orang yang ‘kuat’ atas permintaan orang yang lemah. 

            Sementara amanah pula merujuk kepada perbuatan tidak melampau dalam urusan yang dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin, sentiasa tunduk kepada syariatnya, dan jangan sesekali menjual ayat-ayat Allah. 
            Antara amanah yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin adalah amanah dalam berurusan dengan orang ramai, amanah dalam muamalat dan mengurus harta benda dan aset, amanah nasihat-menasihati antara pemimpin dan orang yang dipimpin dan amanah dalam menjaga kehormatan orang ramai. Dalam konteks ini, amanah yang paling utama adalah memberi kepimpinan kepada yang berhak menerimanya. 

Ciri seterusnya, ialah bertaqwa. Menurut al-Qurtubi, orang yang bertaqwa ialah orang yang beriman dan taat, yang sentiasa takut dengan amal solehnya dan ketulusan ketaatannya daripada azab Allah S.W.T. Dari sudut yang lain pula, taqwa adalah asas kepada kelebihan antara manusia di sisi Allah S.W.T. 

Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud, “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu”.

Pemimpin dalam manhaj Islam jika memiliki ciri taqwa maka ia sentiasa di bawah lindungan Allah S.W.T yang akan membawa taufik dan diperkenankan segala amalannya.

Selain itu, keadilan juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri kepimpinan dalam Islam. Keadilan yang dituntut kepada pemimpin ialah keadilan yang menyeluruh merangkumi semua makhluk ciptaan Allah S.W.T. Keadilan adalah hak setiap insan, tanpa mengira agama, keturunan, bangsa, bahasa dan sebagainya. 

Allah S.W.T juga mengarahkan supaya pemerintah dan yang diperintah iltizam dengan keadilan, meskipun terhadap orang yang paling rapat dengan diri kita. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Nisa’ ayat 135 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi ( yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu”. 

Qudwah hasanah atau ikutan yang baik turut merupakan ciri kepimpinan dalam Islam. Seseorang pemimpin perlu memiliki ciri ini kerana orang yang di bawah kekuasaannya sentiasa mengikut kegiatan yang dilakukannya. Rasulullah S.A.W adalah qudwah hasanah yang memiliki kepimpinan diri dan keluarga, kepimpinan masyarakat dan negara. 

Di samping itu, syura juga merupakan salah satu daripada ciri kepimpinan Islam. Bentuk syura dan kepimpinannya adalah fleksibel bergantung pada kedudukan manusia, suasana dan persekitarannya. 

Bagi kepimpinan yang baik, prinsip syura dapat melatih mereka untuk menanggung bebanan. Jika terdapat kesalahan atau kecacatan, maka melalui syura ia dapat diperbetulkan. Mungkin terdapat kerugian dalam sesuatu yang dilaksanakan pada peringkat awalnya, namun pada akhirnya perkara itu boleh mendatangkan kebaikan dan keuntungan melalui syura. 

Syura juga dapat mencetuskan sikap ikhlas dalam bekerja, meningkatkan roh dan semangat bekerja dan membantu menambahkan ketaatan ( al-wala’ ) dan menghubungkan pekerja sesama mereka dengan ikatan kasih sayang. 

Syura merupakan suatu bentuk proses pelembutan hati kepada pemimpin, suatu ujian kepada akal manusia, suatu jalan mencapai sesuatu yang hak dan benar. Apabila prinsip syura dilaksanakan, ini bermakna pemimpin telah melaksanakan tuntutan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-Syura ayat 38 yang bermaksud, Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka”. 

Kelembutan dan kerahmatan turut menjadi ciri dalam kepimpinan Islam. Hal ini demikian kerana manusia sentiasa mengharapkan kerahmatan, keceriaan wajah, kelembutan yang akan meredakan kejahilan, kelaemahan dan kekurangan mereka. Justeru, dapat dilihat dalam sejarah kepimpinan pentadbiran pada zaman awal Islam, pemimpin lebih banyak memberi daripada menerim, lebih banyak berjaga dari berehat dan bertungkus-lumus untuk kerehatan rakyat. 

Firman Allah Taala dalam surah Ali Imran ayat 158 yang bermaksud, “ Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah ( kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu”. 


Kepimpinan Dan Pengurusan Islam Zaman Nabi Muhammad S.A.W
Sebagai pemimpin yang dipilih oleh Allah, pastinya baginda dirancang sedemikian rupa untuk menjadikan baginda pemimpin mithali. 

            Kehidupan baginda yang yatim, hidup dalam suasana kehidupan yang sederhana menjadi batu asas penting dalam proses pemupukan sifat kepimpinan baginda. Dengan kehendak dan pemeliharaan Allah, baginda dapat membataskan diri dari perkara yang merosakkan dan tidak berfaedah. Baginda akhirnya menjadi manusia yang paling dipercayai yang digelar ‘al-amin’ oleh seluruh masyarakat pada zaman baginda. 

            Sifat asasi yang wajib bagi para Nabi dan Rasul terserlah dengan cukup nyata dalam diri Rasulullah S.A.W. Sifat-sifat tersebut ialah siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Sifat-sifat ini merupakan tonggak asasi keperibadian dan kepimpinan baginda. 


Agenda & Pendekatan

            Memberikan penekanan kepada pembangunan sumber manusia yang dibentuk dan diolah berdasarkan pendekatan keislaman yang mencakup persoalan rohani, intelektual dan jasmani secara seimbang dan sepadu. Proses ini penting untuk melahirkan pemimpin yang kompeten. 

            Membentuk matlamat jangka panjang dan jangka pendek dengan membuat rangka kerja yang sesuai, praktikal dengan mengambil kira cabaran, peluang dan keutamaan. Budaya kerja yang tidak berperancangan sepatutunya tiada dalam kamus pekerja gerakan Islam. 

            Menyuburkan budaya ‘amal jamaie’ dalam usaha memyebarluaskan Islam. Dengan itu, kerja yang banyak menjadi sedikit dan kerja yang berat akan menjadi ringan. Penghayatan semangat amal jamaie ini akan membolehkan setiap potensi dan bakat yang ada dapat dimanfaatkan. 

            Usaha untuk melahirkan pemimpin yang beribawa perlu diusahakan. Kepimpinan sebenarnya boleh dipelajari dan boleh dipelajari. Oleh itu, usaha berterusan perlu dilakukan. Mudah-mudahan gerakan Islam tidak akan ketandusan pemimpin berwibawa.

            Terbuka dan kreatif merupakan sifat yang perlu ada pada seseorang pemimpin. Apa yang dimaksudkan dengan terbuka dan kreatif ialah dalam erti kata yang positif yang tentunya tidak bercanggah dengan nilai dan prinsip Islam, sesuai dengan cabaran dan tuntutan semasa. Oleh itu, seseorang pemimpin perlu menjadi seorang yang menekuni ilmu dalam pelbagai bidang, penyaring yang baik terhadap apa yang datang dari luar serta peramal yang berfakta terhadap realiti dan masa depan. 

                                                   
Kepimpinan & Pengurusan Islam Zaman Khulafa’ Al-Rasyidin

Khulafa’ al- Rasyidin bererti khalifah-khalifah yang benar. Mereka merupakan waris kepimpinan Rasulullah selepas kewafatan baginda. Perlantikan ereka dibuat secara syura iaitu perbincangan para sahabat atau pilihan khalifah sebelumnya. 
            Khulafa’ al- Rasyidin terdiri daripada empat sahabat :
i)                    Sayidina Abu Bakar (632-634)
ii)                  Sayidina Umar Al-Khattab (634-644)
iii)                Sayidina Uthman Affan (644-656)
iv)                Sayidina Ali Abi Talib (656-661)  


Objektif Kepimpinan Islam Ditegakkan

Objektif yang berbentuk umum dapat disimpulkan untuk menggerakkan jemaah ke arah memenuhi ruang lingkup perjuangan anbiya’. Dilihat secara keseluruhannya, sifat-sifat perjuangan para anbiya’ ialah ke arah mencetuskan revolusi pemikiran dan pandangan hidup manusia kepada tuntutan Islam, pelaksanaan undang-undang Islam dan juga penyebaran dakwah Islamiah. 

            Manakala objektif kepimpinan Islam secara khusus pula terbahagi kepada dua. Pertama, tertumpu di dalam masyarakat Islam yang disimpulkan dalam pelaksanaan undang-undang Islam ke atas rakyat. Caranya ialah dengan menegakkan keadilan dalam kalangan mereka, melaksanakan persamaan dan menegakkan syariat Islam ke atas seluruh bidang kehidupan masyarakat. 

            Objektif khusus yang kedua dalam kepimpinan Islam ialah menyebarkan dakwah Islamiah kepada masyarakat lain kepada agama Allah S.W.T. Ini memerlukan jihad pada jalan Allah S.W.T secara kalimah (lisan) dan kekuatan jika kalimah Allah atau seruan ke jalan Allah S.W.T itu disekat dari sampai kepada masyarakat lain. 



Jenis-Jenis Kepimpinan

Secara umumnya terdapat beberapa jenis kepimpinan dalam konteks perbincangan aspek kepimpinan moden. Contohnya, Hashim al-Talib dalam bukunya yang bertajuk ‘Panduan Latihan Bagi Petugas Islam’ telah menyatakan bahawa terdapat empat jenis kepimpinan. 

            Pertama kepimpinan autokrat. Kepimpinan jenis ini kurang mempercayai ahli kumpulan sebaliknya mempercayai hanya ganjaran kebendaan yang boleh memberikan dorongan kepada pengikut. Melalui kepimpinan jenis ini, perintah yang dikeluarkan mesti dilaksanakan tanpa sebarang persoalan dan bantahan. 

            Kedua, kepimpinan Benevolent Autokrat. Antara ciri-ciri kepimpinan jenis ini ialah memberikan pengawasan kepada pengikutnya, memberikan tanggapan kepada pengikut bahawa beliau seorang yang demokratik, dan sentiasa membuat keputusan sendiri. 

            Ketiga, kepimpinan demokrat. Ciri-ciri kepimpinan jenis ini ialah membuat keputusan bersama-sama dengan ahli kumpulan, menerangkan kepada ahli kumpulan mengenai sebab-sebab tertentu yang terpaksa dibuat sendiri. Ciri lain ialah memberikan dan menerima pujian serta kritikan secara objektif seterusnya melakukan penambahbaikan.

            Keempat, kepimpinan Laissez Faire. Antara ciri kepimpinan jenis ini ialah kurang mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan sendiri, tidak menentukan matlamat untuk kumpulan serta kurang berlaku komunikasi  dan interaksi antara ahli kumpulan. 



Kesan Kepimpinan Pengurusan Islam

Akidah

Di bawah sistem kepimpinan Islam, pemimpin dan masyarakat akan giat untuk menyebarkan dakwah Islamiah terhadap ummah. Usaha-usaha ini termasuklah mengajak manusia kepada menganuti agama Islam, menghayati niala-nilai dan melaksanakan hukuman Allah. 

            Konsep dakwah yang berteraskan kepimpinan Islam ini merangkumi dua gerakan. Pertama ialah memperkenalkan Islam kepada orang yang bukan Islam dan seterusnya menyeru mereka menganutinya. Gerakan kedua ialah bertujuan untuk mengembalikan orang Islam kepada melaksanakan dan menghayati Islam dalam kehidupan mereka. 

            Dalam pada itu, dengan wujudnya pemerintahan kepimpinan Islam akan terlaksanalah syariat atau hukum-hukum Allah S.W.T yang diwajibkan ke atas pemerintah dan masyarakat untuk ditegakkan. 


Politik

Kepimpinan Islam merupakan suatu pemerintahan yang menjalankan segala perintah Allah S.W.T dan mencegah segala larangan-Nya. Dengan adanya tanggungjawab ini, akan mendorong rakyat untuk taat setia kepada pucuk pimpinan. 

            Di samping itu, pemerintahan yang berterakan keislaman akan mewujudkan majlis syura supaya setiap masalah yang dihadapi dapat diselesaikan sesuai dengan tuntutan syarak. Syura hanya akan terlaksana sekiranya penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan itu tidak ada dalam al-Quran dan Sunah. Individu juga akan nerasa puas hati kerana berpeluang memberikan pendapat dan merasakan tanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat dalam pelbagai bidang masalah. 

            Sistem kepimpinan ini juga akan menyebabkan pemimpin sentiasa mengawasi gerak kerja pegawai di bawahnya supaya mereka tidak bertindak sewenang-wenangnya dan mengambil kesempatan menggunakan segala peluang untuk kepentingan mereka. Hal ini untuk membolehlan pengendalian urusan orang ramai berjalan dengan baik dan hak mereka dilindungi. 

            Lebih penting dari itu, pemimpin di bawah sistem kepimpinan Islam juga sentiasa menyemarakkan semangat jihad kepada tentera Islam. 


Sosial

Sistem kepimpinan Islam bakal mengajak manusia ke arah persaudaraan yang erat, padu dan melarang sebarang perpecahan dalam masyarakat. Ini bererti pemimpin bersungguh-sungguh mengajak rakyat bersatu padu di bawah satu akidah bagi orang-orang Islam dan bagi golongan bukan Islam hendaklah bersatu di bawah satu negara. 

            Bagi melahirkan msyarakat yang padu, maka sistem pendidikan Islam diperkenalkan kepada rakyat yang menekankan kerohanian dan kemahiran. Islam tidak sesekali memisahkan di antara dua aspek tersebut kerana ia saling berkaitrapat di antara kepentingan dunia dan akhirat. Islam memandang didikan agama ini penting bagi perhubungan di antara manusia dengan Allah dari segi ibadat, akhlak, muamalat dan sebagainya serta membina hubungan antara manusia. 


Ekonomi

Di bawah sistem pemerintahan Islam, akan wujudlah sistem ekonomi Islam yang teratur. Segala harta benda negara akan disimpan oleh Baitulmal seperti zakat,jizyah,rampasan perang, hasil pajakan tanah dan lain-lain lagi menurut pertimbangan pemerintah dengan jalan syura. Kepimpinan ini akan meletakkan bahawa harta adalah kepunyaan Allah S.W.T untuk kepentingan bersama.

            Dalam pada itu, kepimpinan ini akan berusaha untuk menghapuskan riba, penipuan, rasuah, monopoli, perampasan dan sebagainya lagi. 



           

RUJUKAN

Mohd Asri Abdullah & Mohd Nor Mamat. 2010. Islam & Pengurusan : Menangani Arus Globalisasi. Selangor : Univision Press Sdn.Bhd.

Razaleigh Muhamat. 2010. Kepimpinan Dan Pengurusan Islam : Sejarah, Teori Dan Pelaksanaan. Selangor : Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan,UKM.

Ahmad Redzuawan, Ideris Endot, Anuar Puteh. 2008. Kepimpinan Dan Pengurusan Islam. Selangor : Pusat Kembangan Pendidikan, UKM.