Powered By Blogger

Thursday, 22 May 2014

HOW TO PREVENT THE TRAGEDY AT FUTURE MUSIC FESTIVAL ASIA FROM RECURRING TO ENSURE THE HEALTHY GROWTH OF THE ENTERTAIMENT INDUSTRY


Idea
            I think the main idea to prevent the tragedy death due to drug abuse at the Future Music Festival Asia (FMFA) concert from recurring is the important cooperation between the organizer and other authorities such as Police Units, National Anti-Drug Agency (AADK), and other authorities related.

            First, it should be started from the organizer itself. So, the point here is the organizer must avoid the use of drug, alcohol and any bad element such as give free condom to crowd at the concert. The organizer must organize the concert properly by following all the terms and conditions. The concert must held formally without existing drug, alcohol and other bad elements.

            Next, in addressing this problems, the organizer must cooperate with Police Units. The organizer need to obtain a police permit from the district police headquarters concerned. It is up to the police unit in question to assess the security measures needed and decide how many people they want to deploy to guard the safety of the event. Organizer should make police deployment especially if the size of event is big and if the duration is long. In addition, this cooperation is very important because the organizer need to have the canine units present to sniff out the drugs and do the random drug test at the concert. Indirectly, the cooperation of the organized with police agency give opportunity to police use the event to try catch the drug pushers, and not wait until something bad happens. Police should use the information from undercover or intelligence, this is what many drug enforcement authorities do overseas.

            The other unit organizer that should involved to prevent the tragedy from recurring  is National Anti-Drugs Agency (AADK). They should design posters and banners to remind people about the danger of drugs. It is importance because majority of the crowd at the concert from teenagers. As we know, sometimes teenagers do not think twice and do anything to release their tension or to reduce their stress. If necessary, AADK can get volunteers to walk around in T-shirt with anti-drug messages.

On the other hand, as we know, the concert also attended by foreigners. So, organizer must cooperate with the authorities at the borders to make sure no drug brought from their country. It means the authorities must enforce the law more strictly.

Rationale for the idea

1.      To ensure zero drug, alcohol and any bad element in the concert.

2.      To ensure the concert will make our country known in the world.

3.      To make sure the concert will give benefit to the crowd.
 

Monday, 12 May 2014

" QADA' DAN QADAR "

PENDAHULUAN

Qada’ dan qadar merupakan salah satu daripada rukun iman yang mana wajib ke atas setiap Muslim percaya dan beriman dengannya.

Kewajipan beriman dengan qada’ dan qadar disebut dalam al-Quran dan juga Hadis. Firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran ayat 26 :
  
26. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang memuliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Jabir bin Abdullah melaporkan, Nabi Muhammad S.A.W berkata,

“Tidak beriman seseorang itu sehingga dia beriman kepada qadar baik dan jahat dan sehingga dia tahu dengan yakin apa yang ditakdirkan kepadanya tidak sesekali menyimpang daripadanya dan apa-apa yang ditakdirkan menyimpang daripadanya tidak sesekali mengenainya,”

Konsep beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah mewarnai setiap ujian, musibah, takdir, tawakal, doa, ajal kematian dan seumpamanya dalam setiap kehidupan makhluk yang menghuni bumi Allah S.W.T ini.

Percaya kepada takdir adalah sebahagian dari kepercayaan atau akidah yang wajib ditanamkan dalam hati setiap orang Muslim. Kita hendaklah yakin di dalam hati bahawa semua pekerjaan manusia dan lain-lain makhluk, sama ada yang lepas, yang sedang dan yang akan dikerjakan, semuanya sudah ditentukan oleh Allah ke atas dirinya.

        
KONSEP BERIMAN KEPADA QADA’ DAN QADAR

Dari segi bahasa, Qada’ bererti keputusan atau ketetapan, Firman Allah dalam surah al-Isra ayat 4 :

4. dan Kami menyatakan kepada Bani Israil Dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan Sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh Dengan melampau.

Manakala Qadar pula bererti ketentuan atau ukuran. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Furqan ayat 2.

 Gandingan antara Qada’ dan Qadar Allah membawa maksud suatu ketetapan Ilahi yang dilaksanakan Allah S.W.T terhadap makhluknya sejak azali. Dalam erti kata lain, segala apa yang berlaku kepada makhluk-Nya sama ada baik mahupun buruk, untung atau rugi dan sebagainya adalah tertakluk pada Qada’ dan Qadar daripada Allah S.W.T belaka. 

 Beriman kepada qada’ dan qadar itu dibina atas kepercayaan kepada sifat-sifat Allah dalam Asma ul-Husna. Antaranya adalah ilmu, kudrat dan iradat.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 29 :


  
29. Dia lah (Allah) Yang menjadikan untuk kamu Segala Yang ada di bumi, kemudian ia menuju Dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit Dengan sempurna; dan ia Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Beriman kepada qadar mengandungi dua perkara. Pertama, beriman bahawa Allah mengetahui apa sahaja amalan hambaNya dan mengetahui dengan ilmu yang qadim yang menjadi sifatNya. Dia mengetahui segala keadaan hambaNya merangkumi taat dan derhaka, rezeki dan ajal, kemudian ditulis pada Luh Mahfuz apa ynag berlaku sehingga Hari Kiamat. Apa yang ditakdirkan kepada seseorang tidak boleh dielak lagi. Apa yang ditakdirkan tidak berlaku kepadanya, tidak akan berlaku sama sekali. Firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 22 :
  
22. tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) Yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga Yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di Dalam Kitab (pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Kedua, beriman kepada kehendak Allah dan percaya kepada apa yang dikehendaki dan yang tidak dikehendakinya. Sesungguhnya apa yang ada di langit dan di bumi sama ada yang bergerak atau diam semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Ia tidak berlaku jika tidak dengan kehendaknya dan sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa kepada segala yang ada dan yang tiada. Manusia itu sendiri yang melakukan perbuatan, beramal dengan kuasa yang ada pada mereka dengan kehendak mereka. Allah mencipta mereka dan menciptakan kuasa dan kehendak yang ada pada mereka.           


  BAIK DAN BURUK BERKENAAN QADA’ DAN QADAR

Sebutan baik dan jahat pada qada’ dan qadar itu disandarkan pada perbuatan manusia menurut usaha dan ikhtiar mereka. Semua yang dinisbah kepada Allah adalah baik kerana mustahil bagi Allah bersifat kekurangan sepertu jahat dan zalim. Apa yang dimaksudkan jahat tidak sesekali termasuk dalam sifat Allah. Segala yang dicipta oleh-Nya termasuk perbuatan jahat yang dipilih dan diikhtiar oleh hamba itu mengandungi hikmah dan tujuan baik yang banyak. 

            Contohnya, Allah menciptakan sakit kepada hamba yang mukmin, dimasukkan ke dalam penjara kerana kerjanya untuk Islam. Ia bertujuan untuk memberi pahala yang lebih, menghilangkan dosa dan membersihkan Islam daripada orang munafik. Allah mencipta kufur kepada Iblis dan orang yang sepertinya supaya menjadi hujah mereka layak menjadi ahli neraka. Ia menjadi cabaran yang meningkatkan kelebihan kepada golongan Islam. 

            Apabila ada ayat al-Quran atau hadis yang menyebut perbuatan jahat kepada Allah, ia bermaksud semua yang berlaku itu adalah dalam pengetahuan Allah tetapi dengan pilihan dan kehendak manusia sendiri. Firman Allah Taala dalam surah al-Falak ayat 1-2 :

1. Katakanlah (Wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan Yang menciptakan sekalian makhluk,
2. "Dari bencana makhluk-makhluk Yang ia ciptakan;

Sekiranya manusia mencipta perbuatan dengan kehendaknya dan bukan dengan kehendak Allah, nescaya Allah tidak ada kuasa dalam perbuatan manusia. Mustahil ia berlaku kerana Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak. Kita tidak perlu menimbang dan memikirkan apakah perbuatan itu diredhai ataupun tidak. 


       PANDANGAN ALIRAN JABARIAH, QADARIYAH DAN MU’TAZILAH

  Aliran Jabariah :

Jabbariah diambil dari kata majbur yang ertinya manusia itu tidak bebas, terpaksa menurut rencana Tuhan atau dari kata jabbara yang ertinya memaksa. 

Aliran Jabariah yang dipelopori oleh Jahm bin Safwan. Golongan ini mengatakan bahawa manusia terpaksa dalam segala tindakan atau perbuatan. Digelar golongan ini Jahmiyyah dinisbahkan kepada pelopornya.

Jabariah adalah golongan yang menolak adanya usaha dan ikhtiar yang ada pada manusia. Semua perbuatan baik dan jahat daripada Allah. Manusia terpaksa akur dengan qada’ dan qadarnya seperti bulu yang terbang ditiup angin. 

            Mereka mengatakan bahawa manusia sebagai makhluk Allah adalah seratus peratus di bawah kuasa Allah hingga dia sendiri tidak bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya kerana Allah yang melakukan segala gerak-gerinya. 

Mereka menggunakan dalil surah Az-Zumar : 62.
     

62. Allah Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang mentadbirkan serta Menguasai segala-galanya.
           
Fatwa Jabariah jadi lebih terpesong apabila mereka berpendapat bahawa perbuatan manusia baik yang soleh atau maksiat semuanya dilakukan dengan kuasa dari Allah. Maka, orang yang mencuri, berzina dan sebagainya tidak boleh dipersalahkan kerana perbuatan itu didalangi sepenuhnya oleh Allah.

            Aliran ini berpendirian bahawa semua kejadian itu telah ditentukan oleh Tuhan sejak azali, nasib baik dan buruk datangnya dari Tuhan. Manusia tidak mempunyai kekuasaan sama sekali atas dirinya. Semua gerak geri perbuatannya adalah merupakan paksaan ghaib yang ia tidak dapat menghindarinya, maka ia terpaksa menjalankan apa yang telah ditentukan tanpa dapat berikhtiar mengubahnya. 
           
            Menurut mereka, Tuhan adalah pencipta segala kejadian dan perbuatan, dan Tuhan itu tidak ada yang menyamainya dalam segala hal. Jadi manusia tidak mempunyai kekuasaan apa-apa kerana segala gerak-gerinya diciptakan oleh Allah. Jika manusia dapat menciptakan perbuatannya, maka ia bebas berbuat apa yang dikehendakinya. Ini namanya menyamai Tuhan, padahal mustahil.
           
Bahayanya pemikiran ini ialah manusia tidak mahu mengakui adanya ikhtiar atau kemampuan bagi manusia itu sendiri. Kurniaan Tuhan berupa akal juga tidak diakuinya padahal akal itulah dapat membezakan perkara baik dan buruk berdasarkan bimbingan wahyu. Dalam segala-galanya manusia harus bertawakkal sahaja tanpa berikhtiar. Berserah diri kepada Tuhan dan kepada qada’ dan qadar Tuhan adalah takdir juga. Sampai ada yang berkata bahawa mencuri itu juga diredhai Tuhan kerana hal itu adalah takdir Tuhan juga. 

            Manusia tidak ubah seperti benda-benda mati belaka. Manusia dalam keadaan terpaksa, tidak bebas, tidak mempunyai kekuasaan sesuatu pun atas tingkah laku perbuatannya. Perbuatan manusia, baik yang refleksi atau yang lainnya adalah ciptaan Allah dan manusia tidak mempunyai pilihan lain. Dengan demikian aliran ini telah menurunkan darjat manusia ke tingkat yang lebih rendah daripada tumbuh-tumbuhan. Alasan mereka ialah apabila manusia dapat berbuat atas inisiatifnya sendiri, tentulah ia menjadi sekutu bagi Allah. 
           
           

     Aliran Qadariah :

Pelopornya ialah Ma’bad bin Al-Juhainy. Beliau yang mengemukakan isu ‘kebebasan membuat pilihan tanpa campur tangan Tuhan dalam perbuatan manusia’. Para sahabat pada zaman itu seperti Anas bin Malik, Abdullah Ibnu Umar, Jabir Ibnu Abdullah, Abu Hurairah dan Ibnu Abbas mengecam tindakan mereka dengan menyuruh umat Islam menjauhkan diri daripada mereka, jangan memberi salam, jangan menziarahi mereka jika sakit dan jangan menyembahyangkan jenazah mereka. 

            Aliran ini menentang aliran Jabariah. Firqah Qadariyyah ialah golongan yang beriktikad bahawa segala perbuatan manusia digerak dan didorong oleh manusia sendiri hingga dirumuskan bahawa kudrat Allah tidak ada bersangkut paut langsung dengan apa yang dilakukan oleh manusia. Manusia bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang dilakukan oleh mereka sendiri kerana mereka menggunakan sepenuhnya kudrat yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Oleh sebab itu, siapa yang berbuat maksiat akan dihukum dengan azab dan yang beramal soleh akan diberi ganjaran baik di akhirat kelak. 

            Maka dengan ini bermakna Tuhan hanya menciptakan manusia, sementara manusia mempunyai kemahuan dan perbuatannya sendiri. Oleh itu, manusia berhak memperoleh pahala jika berbuat dan mendapat seksa bila berbuat dosa. Ini adalah kerana manusia mempunyai kekuasaan sendiri di dalam menciptakan perbuatannya, yang terpisah dari kudrat dan iradat Tuhan. 

            Bagi aliran ini, manusia perlu bebas untuk memilih dan menentukan nasibnya sendiri dengan memilih sesuatu perbuatan yang baik atau buruk. Andaikata Allah telah menentukan nasib terlebih dahulu, ini namanya Tuhan tidak adil atau zalim terhadap manusia.
  
Mereka menggunakan dalil surah ar-Rad ayat 11:

                                
11. bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, Yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) Dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun Yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun Yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya.

 Firman Allah ini menurut mereka selaras dengan pegangan mereka bahawa manusia bertanggungjawab atas nasib mereka sendiri dan Allah tidak ada kena mengena dengan perbuatan manusia. Sebaliknya ulama Ahl Sunnah berkata ayat tersebut hendaklah dipadankan dengan sebuah ayat lain yang seakan-akan susunannya tetapi menjelaskan maksud sebenar ayat 11 surah ar-Rad. Ayat yang dimaksudkan ialah ayat 52 surah al-Anfal.

52. (Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang Yang terdahulu dari mereka. mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka Dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.

           Tentulah salah dan mustahil bahawa Allah tidak boleh berbuat apa-apa kecuali membiarkan manusia sendiri berusaha mengubah keadaan atau nasib dirinya sendiri. Jika konsep mereka itu benar tentulah Allah bersifat lemah kerana seolah-olah ada syarat yang menguasai kudrat dan iradat-Nya.
           

    Aliran Mu’tazilah

Boleh dikatakan pada prinsipnya aliran Mu’tazilah sama sahaja dengan aliran Qadariyah, cuma Mu’tazilah berfikir secara lebih lanjut dan lebih terperinci lagi. 

            Mu’tazilah berpendapat bahawa ada dua perbuatan manusia. Pertama, perbuatan refleksi, ini bukan diadakan manusia. Kedua, perbuatan bebas di mana manusia bebas melakukan pilihan antara mengerjakan atau tidak mengerjakan. Perbuatan seperti ini lebih tepat dikatakan diciptakan oleh manusia daripada dikatakan diciptakan oleh Tuhan. Mereka beralasan bahawa kalau semua perbuatan manusia itu diciptakan oleh Allah sebagaimana yang dikatakan oleh aliran Jabariah, maka apa perlunya perintah kepada manusia? Selain itu, pahala dan seksa tidak akan ada ertinya lagi, sebab manusia tidak berbuat baik atau buruk berdasarkan kehendaknya sendiri. 

Dalil al-zilzalah: 7-8,  


7. maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
8. dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Ayat tersebut menunjukkan bahawa manusia bertanggungjawab atas segala perbuatannya. Manusia dapat berbuat baik dan buruk atas kehendaknya sendiri. 

Golongan Muktazilah menafikan ada qadar Allah. Mereka berpendirian serta menyatakan bahawa Allah itu tidak menciptakan segala perbuatan manusia. Oleh itu manusia itu sendiri yang  menciptakan segala perbuatannya, sama ada baik atau buruk, kebajikan atau maksiat. Muktazilah mengatakan setiap yang baik dan buruk itu datangnya daripada manusia sepenuhnya. Iaitu qadar baik dan qadar buruk bukannya daripada Allah. 

Menurut  mereka lagi, manusia bebas bertindak tanpa didorong oleh sebarang kuasa. Oleh itu, mereka akan diberi pahala dan diseksa di atas perbuatan mereka. Hal itu kerana Allah itu Maha Adil dan menepati janjiNya. Dalam konteks tersebut, manusia dikira bertanggungjawab sepenuhnya di atas segala perbuatan yang ia lakukan. 

Mu’tazilah berpendapat bahawa Allah tidak tidak mengkehendaki kejahatan, kemaksiatan, keburukan serta kekufuran. Maka jika terjadi hal-hal sedemikian itu bukanlah kehendak Allah tetapi hanya menurut kehendak manusia sahaja kerana Allah menghendaki kebaikan, keimanan dan ketaatan. 

Menurut pendapat Mu’tazilah, tidak ada Qada’ dan Qadar bagi semua perbuatan hamba yang berupa ikhtiari kerana ia berlaku dengan Qadar hamba dan kemahuan mereka yang bebas. (nisbah bagi pendapat Asy’ari)

            Adapan dengan nisbah bagi pendapat al-Maturidi, mereka memungkiri untuk mengatakan ada Qada’ dalam perbuatan hamba yang ikhtiari. Namun mereka mengakui adanya Qadar kerana mazhab mereka mengatakan bahawasanya ia terjadi dengan Qudrat dan Iradat hamba bukan bagi Allah dengan nisbah kepadanya. 
           


      HUJAH UNTUK MENOLAK PENDAPAT QADARIAH, JABARIAH DAN MU’TAZILAH

Allah mengurniakan kepada manusia akal pemikiran dan kemampuan menerima tanggungjawab. Mereka mempunyai kehendak sendiri dan kemampuan berikhtiar. Mereka yang tidak mempunyai akal dan sifat menerima malah tidak melaksanakan tanggungjawab itu adalah manusia yang tidak bertanggungjawab.

            Ilmu Allah meliputi segala-galanya, sama ada perkara yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Allah juga bersifat dengan berkuasa dan berkehendak yang mengatasi segala-galanya. Dia memberi kebebasan kepada hamba-Nya dengan kehendak dan kuasa-Nya. Manusia dapat memilih apa yang dikehendakinya dan diketahui oleh Allah. 

            Manusia tidak dapat memberi kesan dengan usaha dan ikhtiar mereka sendiri kecuali dengan qada’ dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah. Bukan semua usaha dan ikhtiar manusia mesti berlaku, tetapi apabila berlaku maka perkara itu berlaku dengan qada’ dan qadar Allah jua. Itulah yang dipilih dengan akal dan usaha ikhtiarnya. Dengan adanya usaha dan ikhtiar, manusia dipertanggungjawabkan dengan dosa, pahala, syurga dan neraka.

            Manusia berada dalam dua keadaan. Pertama, di bawah takluk ilmu, qudrah dan iradat Allah yang mereka tiada pilihan sedikit pun. Dalam bahagian ini, tiada tanggungjawab. Kedua, di bawah takluk ilmu, qudrah dan iradah Allah, tetapi mereka diberi kemampuan memilih dengan akal, berikhtiar dan berusaha. Perkara yang dilakukan itu di antaranya diredhai oleh Allah dan ada yang tidak diredhai oleh Allah. Allah tidak menghalangnya kerana diberi amaran dan peringatan dengan sejelas-jelasnya. 



       PANDANGAN AHL SUNNAH WAL JAMAAH

Qadar  menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah bahawa Allah Taala yang memberikan manusia daya dan kuasa. Selain itu, Allah juga memberikan kepada manusia akal untuk berfikir dan membuat pertimbangan antara yang baik dan buruk. Untuk itu, manusia dikenakan taklif atau tanggungjawab syarak berdasarkan akal yang waras tersebut. Justeru, menurut mereka, manusia di balas mengikut perbuatan mereka. 

Mereka membahagikan perbuatan manusia kepada dua, iaitu perbuatan yang timbul dengan sendirinya dan perbuatan yang timbul dengan kehendak. Khusus tentang perbuatan kedua, manusia merasa sanggup mengerjakannya. Ini menjadi bukti bahawa manusia mempunyai kekuasaan yang dapat dipergunakannya. Kekuasaan ini didahului oleh kehendak (kemahuan/iradat). Dan dengan kekuasaan itu manusia mendapatkan perbuatan. Mendapatkan perbuatan ini disebut Kasb (usaha). Ertinya apabila seseorang hendak melakukan sesuatu perbuatan, maka pada saat itu juga Tuhan menciptakan kekuasaan manusia untuk mewujudkan perbuatan tersebut. Dengan kekuasaan inilah manusia mendapatkan perbuatannya.

            Oleh sebab manusia tidak tahu dan tidak diberitahu apakah ketentuan atau qada’ dan qadar Allah ke atas dirinya, maka setiap mukmin hendaklah berusaha dan berikhtiar untuk memenuhi keperluan hidupnya atau mencapai sesuatu yang dihajatinya. Bila usahanya berhasil, itulah tandanya bahawa usahanya diperkenankan oleh Allah dan doanya dikabulkan. Maka apa jua hasil dari usahanya itu adalah pertemuan di antara ikhtiarnya dengan qadar Allah. Dengan kata lain, manusia tidak boleh berdiam diri sambil menunggu sahaja apa yang telah ditentukan oleh Allah ke atas dirinya. 

Menurut pegangan ulama Ahli Sunnah, takdir Allah terbahagi kepada empat jenis. Pertama, takdir dalam ilmu Allah. Hal ini tidak berubah sama sekali..Kedua, takdir yang ditulis di Luh Mahfuz. Jenis ini boleh berubah jika Allah menghendakinya. Ketiga, takdir mengenai apa yang berlaku di dalam rahim ibu. Hal ini sesuai dengan apa yang tercatat di Luh Mahfuz. Keempat, takdir Allah dalam kenyataan ; ertinya apa jua yang berlaku adalah selaras dengan takdir yang telah ditetapkan. 

Para ulama Ahl Sunnah merumuskan bahawa golongan yang menolak konsep qada’ dan qadar sebagai rukun iman yang keenam bukan sahaja terkeluar dari Islam, bahkan telah dipengaruhi oleh fahaman asing yang bertujuan merosakkan tiang sendi akidah Islam hingga terjadi kekeliruan, perpecahan dan kelemahan.


   Asya’ari

Menurut Imam al-Asy’ari qada’ ialah penentuan atau penetapan yang telah sedia dibuat oleh Allah s.w.t bagi segala-galanya. Qadar pula pelaksanaan iaitu segala-gala yang sudah ditentukan oleh Allah s.w.t. pada azali itu pasti akan berlaku atau akan jadi dengan tepat dan tidak boleh tidak akan berlaku. 

Menurut Asya’ari, manusia tidak mempunyai kekuasaan mutlak atas segala amal perbuatannya, kerana secara langsung amal perbuatannya itu diciptakan Allah secara langsung sebagaimana kekuasaan manusia itu sendiri diciptakan oleh Allah. Amal perbuatan manusia berhubungan dengan qudrat dan iradat Allah yang menciptakannya, sedangkan kekuasaan manusia bersamaan dengan daya usahanya berjalan sesuai dengan iradat Allah. Kekuasaan manusia tidak mempengaruhi apa-apa, tetapi hanya sekadar bersamaan waktunya dengan perbuatan yang diciptakan oleh Allah ketika itu.

            Maka semua amal perbuatan manusia itu pada hakikatnya kembali kepada Allah jua kerana Allahlah yang menciptakannya. Manusia tidak mempunyai kekuasaan yang menentukan, tetapi Allahlah yang mempunyai kekuasaan yang menentukan. 

Mengenai apakah yang terjadi kepada orang yang lahir dan tinggal di negara bukan Islam, Asy’ari berpendapat sesiapa yang tidak pernah mendengar mengenai ajaran Islam mungkin akan dikecualikan daripada seksaan.Hal ini demikian kerana manusia tidak dihukum sehingga sampai seruan kepada mereka daripada utusan yang benar.

 Firman Allah Taala dalam surah al-Israa’ ayat 15 :

15. sesiapa Yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka Sesungguhnya faedah petunjuk Yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang sesat maka Sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. dan seseorang Yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan Yang benar dan Yang salah).


   Al-Maturidi

Menurut pendapat Imam al-Maturidi  mengenai qada’ dan qadar hampir sama dengan al-Asy’ari. Secara ringkasnya, Imam al-Maturidi berpendapat qadar ialah Allah sudah sedia sejak azali menentukan segala-galanya dan qada’ ialah pelaksanaan atau kelulusan segala apa yang ditentukan oleh Allah S.W.T. di azali itu. 

Imam Maturidi berpendapat bahawa manusia mempunyai perbuatan yang timbul kerana kehendak kerana manusia merasa sanggup untuk mengerjakannya. Ini tandanya bahawa manusia mempunyai kemampuan atau kesanggupan yang dapat dipergunakannya. Kekuasaan ini didahului dengan kehendak atau iradah.
Dari sini dapatlah  kita fahami bahawa di dalam perkara qada’ dan qadar, Imam al-Maturidi dan al-Asy’ari berselisih pendapat iaitu dengan memberi maksud qada’ kepada qadar dan sebaliknya. Perselisihan antara mereka berlaku disebabkan dari maksud asal qadha’  dan qadar erti asalnya takdir, dan ini pula ertinya tahdid atau maksudnya menentukan. 


     KEPENTINGAN BERIMAN DENGAN QADHA’ DAN QADAR

Terdapat banyak dalil al-Quran dan Hadis yang menegaskan tentang kepentingan dan kewajipan ke atas setiap mukmin untuk beriman dan meyakini bahawa Allahlah yang menjadikan peraturan dan ketetapan bagi alam ini sedangkan segala yang berlaku adalah mengikut qada’ dan qadar Allah yang ditentukan oleh-Nya.

Firman Allah Taala dalam surah Yasin ayat 37 :
Dan suatu tanda kekuasaan Allah yang besar bagi mereka adalah malam, Kami tinggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta-merta mereka berada dalam kegelapan, dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Antara kepentingan beriman dengan qada’ dan qadar ialah melatih diri untuk bersyukur dan bersabar. Orang-orang yang beriman kepada Qada dan Qadar apabila mendapat kejayaan akan bersyukur dan jika mendapat musibah akan diterima dengan penuh kesabaran. 
            Selain itu, beriman kepada qada’ dan qadar juga dapat menjauhkan diri daripada sifat sombong dan putus asa terhadap rahmat Allah SWT. Orang yang tidak beriman kepada Qada’ dan Qadar menganggap kejayaan adalah hasil usaha sendiri. Apabila dia gagal, dia mudah berputus asa dan menyalahkan kegagalan tersebut adalah ketetapan Allah SWT.
Kepentingan beriman dengan qada’ dan qadar yang seterusnya ialah dapat meningkatkan keinginan untuk mencapai kejayaan. Pada hakikatnya manusia tidak mengetahui nasib pada masa akan datang sama ada dia akan berjaya ataupun gagal.
            Seterusnya, beriman kepada qada’ dan qadar dapat menenteramkan jiwa manusia.
Orang yang beriman dengan Qada dan Qadar sentiasa merasakan ketenangan. Mereka reda dengan setiap ketentuan Allah SWT.



      KESIMPULAN

Konsep kepercayaan kepada qada’ dan qadar yang difahami secara tepat mengikut kehendak al-Quran dan al-Sunnah tidak akan menimbulkan banyak pertikaian dan perdebatan yang mensabitkan adanya kesan negatif kepada laku perbuatan manusia. Keyakinan kepada rukun iman keenam ini boleh menyalurkan daya tahan dan daya dorong kepada umat Islam untuk bertungkus lumus bekerja dalam hidup dan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Konsep qada’ dan qadar dalam Islam yang meletakkan bahawa Allah mengetahui tentang hal-hal makhluknya sebelum ia diciptakan, setiap yang akan berlaku dan dilakukan oleh mereka, termasuklah iman, taat, kufur, maksiat, bahagia dan celaka.

Walau bagaimanapun, pengetahuan Allah itu tidaklah sampai ke tahap  pemaksaan ke atas perilaku perbuatan manusia dan ketidakadilan Allah. Hakikatnya, prinsip qada’ dan qadar boleh mendorong dan memacu ke arah pembangunan duniawi dan rohani secara seimbang kerana pembangunan, kemajuan, peningkatan dan pemodenan adalah jalan atau kaedah untuk memberi kebaikan kepada umat Islam
.
 Semua ini juga selari dengan ciri dan kriteria unggul Islam sebagai penyelesai masalah manusia melalui prinsip-prinsip rabbani, tetap, elastik, komprehensif, seimbang, positif dan realistik.




       RUJUKAN

Abdul Hadi Awang. 2008. Beriman Kepada Qadak dan Qadar. Selangor ; PTS Islamika.

Ab. Latif Muda. Rosmawati Bt Ali @ Mat Zin. 2007. Perbahasan Akidah Islam. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd.

Engku Ahmad Zaki. 2012. Akidah :Pemahaman & Perpecahan Umat Sepanjang Zaman. Kuala Lumpur : Must Read Sdn. Bhd.

Faisal Abdurrahman. 2012.  Pasca Syahadah. Kuala Lumpur : Must Read Sdn. Bhd.

Faudzinaim Badaruddin, Idris Zakaria. 2010. Samudera Pemikiran Usuluddin. Selangor : Fakulti Pengajian Islam.

Md.Taha Suhaimi. 1979. Qadha’ dan Qadar. Singapura : Penerbitan Solo Enterprise.

Mustaffa Suhaimi. 2007. Iktikad Ahli Sunah Waljamaah. Kuala Lumpur : Progressive Publishing House SDN.BHD.

Osman Bin Jantan. 2009. Pedoman Ilmu Tauhid (Lengkap). Singapore : Pustaka Nasional PTE LTD.

Umar Hasyim. 1999. Siapa Ahlus Sunah Wal-Jemaah. Selangor : Galeri Watikah SDN.BHD.

Umar Sulaiman Abdullah al-Athqar. 2005. al-Qadha wal Qadar, Jordan : Dar al-Nafa’is.