Powered By Blogger

Sunday, 15 June 2014

Kitab Hikam : "QADAR ALLAH MENGANDUNGI BANYAK HIKMAH"


من ظن انفکاک لطفه عن قدره , فزلک لقصور نظره                  


“Barangsiapa yang menyangka lemah-lembutnya Allah lekang dari qadar, maka itu adalah kerana pendek penglihatan (akal dan hati) nya.”

Apabila Allah Taala mendatangkan sesuatu cubaan kepada manusia,maka manusia perlu menerimanya dan memikirkan hikmah yang terkandung di dalamnya. Manusia perlu melihat bahawa setiap cubaan yang ditakdirkan oleh Allah mengandungi hikmah-hikmah yang baik disebaliknya.Hal ini demikian kerana tidak semua perkara yang kita inginkan adalah yang terbaik untuk diri itu dan begitulah sebaliknya. Sesungguhnya,Allah S.W.T lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

            Sebenarnya,terdapat banyak hikmah yang tedapat disebalik sesuatu cubaan yang Allah datangkan kepada hambanyaNya. Antaranya ialah dapat membuatkan seseorang itu lebih mendekatkan diri kepada penciptaNya. Hal ini demikian kerana sesuatu cubaan yang  menimpa itu pastinya bertentangan dengan kehendak manusia itu sendiri. Sesungguhnya,tidak ada insan yang menginginkan sakit,miskin,rugi dan sebagainya lagi. Tetapi,jika  hal yang demikian itu menimpa manusia,maka sudah tentu tidak sejalan dengan nafsu manusia. Nafsu menjadi tidak senang duduk dan ingin menjauh dari cubaan itu. Apabila nafsu sudah demikian,terbuka pintu bagi seseorang itu untuk masuk ke gedung rahmat Allah Taala serta masuk ke istana tempat manusia-manusia baik yang berhubungan denganNya.

            Selain itu, hikmah di sebalik sesuatu cubaan juga dapat membatalkan sifat-sifat mazmumah yang dapat menjatuhkan manusia ke lembah dosa dan kehinaan. Contohnya,jika seseorang itu sihat,dia berhasrat untuk pergi ke tempat yang tidak baik seperti disko misalnya. Tiba-tiba dia jatuh sakit sebelum sempat dia melangkahkan kaki ke sana sekaligus terpaksa membatalkan hasratnya itu. Hal ini menjadikan dia terlepas dari dosa pergi ke tempat yang tidak bertamadun tersebut. 

            Seterusnya, hikmah yang terdapat disebalik sesuatu cubaan dari Allah ialah memupuk sifat sabar dalam diri.Sabar adalah perkataan yang mudah untuk diungkapkan tetapi agak sukar untuk diamalkan. Tujuan Allah S.W.T mendatangkan cubaan kepada hambaNya adalah untuk menguji tahap keimanan seseorang hamba itu. Setiap insan haruslah bersabar dan redha menerima apabila di uji dengan sesuatu cubaan. Hal ini demikian kerana Allah yang mendatangkan cubaan itu,maka Allah jua lah yang akan membantu kita melalui cubaan itu.Sesungguhnya Allah Maha Mendengar apa yang kita doakan dan Allah menyukai hambaNya yang mengadu kepadaNya.Ingatlah bahawa Allah S.W.T tidak menguji seseorang hamba itu diluar kesanggupannya.


            Akhir sekali, hikmah didatangkan cubaan ialah untuk menggugurkan dosa seseorang hamba itu..Sebagai manusia biasa,seseorang itu pastinya tidak lari dari melakukan dosa sama ada disedari atau pun tidak.Oleh itu,apabila diuji dengan sesuatu cubaan,berlapang dadalah dan terimalah dengan hati yang terbuka bahawa sebenarnya Allah S.W.T sedang menghapuskan dosa sesorang itu dan sekaligus dapat menghampirkan dirinya kepada syurga Allah S.W.T.