Powered By Blogger

Wednesday, 23 March 2016

ULUM AL-QURAN & BIDANG KAJIANNYA


PENGERTIAN ULUM AL-QURAN


Bahasa :
Gabungan perkataan antara ulum & al-Quran.

 Ulum : lafaz jamak daripada "ilm" yang bermaksud kefahaman yang menepati fakta yang sebenar.

Al Quran : Kalam Allah yang mukjiz, yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W, ditulis dalam mashaf, disampaikan secara mutawatir dan membacanya adalah ibadah. 

Oleh itu, ulum al-Quran ialah ilmu-ilmu yang berkait dengan al-Quran.

Istilah :

Ilmu-ilmu yang embicarakan tentang al-Quran sama ada aspek penurunan, bacaan, sejarah pengumpulan, penyusunan, penulisan, penafsiran, i'jaz,nasikh manksukh, sebab nuzul, makki madani & sebagainya.



SEJARAH PERKEMBANGAN ULUM AL-QURAN

Tahap Sebelum Ditulis Dalam Bentuk Buku 

Zaman Rasulullah S.A.W, Saidina Abu Bakar & Saidina Umar.
Ulum al-Quran pada tahap tersebut belum ditulis dalam bentuk buku kerana keadaan tidak terdesak untuk berbuat demikian :

1. Rasulullah S.A.W & para sahabat adalah orang yang paling arif tentang al-Quran dari pelbagai aspek.
2.Para sahabat adalah arab tulen yang faham ayat2 al-Quran 
3. Kekurangan bahan @ peralatan untuk menulis
4. Ramai dikalangan para sahabat tidak pandai menulis
5. Larangan Rasulullah S.A.W untuk menulis selain daripada al-Quran kerana bimbang bercampur aduk dengan al-Quran.

Oleh itu, ulum al-Quran pada zaman tersebut disampaikan secara lisan & dihafal oleh para sahabat.


Tahap Persediaaan Penulisan Dalam Bentuk Buku

- Zaman Khalifah Uthman bin Affan.

- Berlaku percampuran antara orang2 Arab & bangsa lain yang menganut agama Islam.

- Keadaan tersebut dibimbangi akan terhakis kearaban orang arab dan bahasanya

- Pada masa yang sama, timbul perselisihan dalam membaca al-Quran dalam kalangan para sahabat.

-Dalam situasi itulah, Saidina Uthman memerintahkan penulisan al-Quran dalam satu mashaf rasmi.

-Tindakan Saidina Uthman merupakan asas kepada ilmu rasm al-Quran atau dikenali sebagai Resam Uthmani.


-Pada zaman Saidina Ali pula, beliau telah memerintahkan Abu Aswad al Duali mencipta beberpa kaedah tatabahasa Arab untuk memelihara bahasa Arab.

-Tindakan Saidina Ali ini merupakan asas kepada ilmu i'rab al-Quran 

-Seterusnya, para sahabat & tabiin telah meletakkan asas dalam bidang ulum al-Quran seperti ilmu tafsir, ilmu asbab nuzul, ilmu nasikh & manksuh, ilmu gharib al-Quran dan sebagainya

-Tokoh2 ulum al-Quran pada zaman tersebut seperti khalifah ar-Rasyidin, Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud, Mujahid, Ikrimah, Hasan al-Basri & lain2.



Tahap Penulisan Dalam Bentuk Buku ( Pembukuan ) 

-Pada kurun ke-2 Hijrah, telah muncul pelbagai kitab Ulum al-Quran. Bidang kajian pertama Ulum al-Quran ialah ilmu tafsir yang dianggap sebagai induk kepada ilmu al-Quran yang lain.
 Tokoh penulis tafsir pada masa tersebut ialah Syu'bah al-Hajjaj, Sufian Uyainah, Waki' al-Jarrah . Penafsiran mereka adalah berdasarkan periwayatan daripada Rasulullah S.A.W, sahabat & Tabiin.

-Mulai abad ke-3 Hijrah, muncul pula ilmu2 lain yang berkaitan dengan al-Quran seperti ilmu sebab nuzul dan ilmu nasikh mansukh.
Antara ahli ulum al-Quran yang terkenal pada masa itu ialah Ibnu Jarir At-Tabari.

-Senarai Kitab :

Abad ke-3 H :
Asbab Nuzul - Ali Al-Madini ( Guru kepada Imam Bukhari)
 Al Nasikh Wa Al Mansukh - Abu Ubaid al-Qasim

Abad ke-4 H :
Ilmu Gharib al-Quran - Abu Bakar as-Sajistani

Abad ke-5 H :
Al-Burhan fi Ulum Quran -Ali b. Ibrahim al-Khaufi

Abad ke-6H :
Mubham al-Quran - Abu Qasim al-Suhaili

Abad ke-7H :
Majaz al-Quran - Ibnu Abd as-Salam

Abad ke 8 H :
Ilmu Balaghah al-Quran - Ibnu Qayyim

Abad ke-9H :
Mawaqi' al Ulum min mawaqi' an-Nujum -Jalaluddin al-Bulqin

Abad ke-10h :
Al-Itqan fi Ulum Quran -Jalaluddin al-Suyuti

Abad ke 11, 12 & 13H :
Penulisan ulum al-Quran malap. Hal ini demikian kerana Ulama' lebih memberi penumpuan kepada penyebaran ilmya yang sedia ada.

Abad ke-14H :
Penulisan ulum al-Quran bangkit semula dengan kitab2 yang lebih lengkap dan tersusun.
Mahasin al-Takwil - Jamaluddin al -Qasimi
Al-Tibyan fi Ulum al-Quran - Tahir al -Jazairi


BIDANG KAJIAN / SKOP PERBAHASA ULUM AL-QURAN

1. Ilmu Tafsir & Ta'wil al -Quran
-Dikesan pada abad ke-2H
-Mengumpulkan koleksi periwayatan tafsir yang diriwayatkan daripada para sahabat
-Tokoh :
Sufian Uyainah, Waki' al-Jarrah & Syu'bah al-Hajjaj

2. Ilmu I'rab al-Quran
-Saidina Alidikatakan pelopor kepada ilmu ini kerana beliau telah memerintahkan Abu Aswad ad-Duali mencipta kaedah Nahu (tatabahasa Arab)
-Tokoh : Ali b. Ibrahim al-Khaufi

3. Ilmu Qiraat al-Quran
-berkaitan dengan cara bacaan al-Quran
Tokoh : Abu Ubaid al-Qasim b. Salam

4. Ilmu Nasikh Mansukh 
-berkaitan dengan ayat2 menasakhkan (menghapuskan/memadamkan) ayat2 yang lain sama ada dari segi bacaannya, hukumnya atau kedua2nya sekali.
-Tokoh : Abu Ubaid al-Qasim b. Salam

5. Ilmu Sebab Nuzul
-berkaitan sebab2 atau peristiwa2 penurunan ayat.
-Tokoh : Ali al-Madini ( Guru Imam Shafie)

6. Ilmu Makki & Madani
-membicarakan tentang ayat2 atau surah2 yang dinisbahkan kepada Makkah & Madinah
-Tokoh : Muhammad b. Ayub ad-Dirris

7. Ilmu Fadhail
-membicarakan tentang kelebihan & kehebatan al-Quran
-Tokoh :  Abu Ubaid al-Qasim b. Salam

8. Ilmu Gharib al-Quran
-membincangkan tentang perkataan2 yang sukar terdapat dalam ayat2 al-Quran
-Tokoh : Abu Bakar al-Sajistani

9. Ilmu Amthal al-Quran
- membincangkan tentang perumpamaan2 yang terdapat dalam al-Quran
Tokoh : Al-Mawardi

10. Ilmu Majaz al-Quran
-membincagkan tentang ayat2 al-Quran yang mengandungi simbolik bahasa Arab

11. Ilmu Ayat Muhkamat & Mutasyabihat
-membincangkan hukum yang jelas & kesamara-Tokoh : Ibnu Taimiyah

12. Ilmu Jadal Al-Quran
-membincangkan tentang hujah2 atau dalil2 dalam gaya bahasa arab untuk menetapkan sesuatu
-Tokoh : Najmuddin at-Thufi

13. Ilmu Aqsam al-Quran
-membincagkan tentang jenis2 sumpah yang terdapat dalam ayat2 al-Quran
Tokoh ; Ibnu Qayyim



FAEDAH MEMPELAJARI ULUM AL-QURAN

  • Dapat menguasai pelbagai bidang ilmu yang terdapat dalam al-Quran
  • Dapat mengetahui sejarah perkembangan al-Quran semenjak ia diturunkan sehingga sekarang
  • Dapat membantu pengkaji atau pentafsir untuk memahami kandungan al-Quran
  • Dapat mengetahui metod ahli tafsir dalam mentafsir ayat2 al-Quran
  • Dapat menambah keyakinan bahawa al-Quran adalah kalam Allah.

* nota ini adalah nota pengajianku semasa zaman pra-U tingkatan 6 2011. 
Kuliah Bersama Ustaz Mohd Saiyyidi b. Zakaria.
SMKA Naim Lilbanat

Saturday, 5 March 2016

" WASATIYYAH MENURUT PERSPEKTIF AL-SUNNAH "




 WASATIYYAH MENURUT AL-SUNNAH

1)    Larangan Rasulullah S.A.W Mengenai Sikap Melampau Dalam Beribadah.

وَعَن أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ :جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم يسْأَلُونَ عن عِبادَةِ النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُم تَقالُوها ، فقالوا: أَيْنَ نَحْنُ مِن النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم وَقَد غُفِرَلَهُ ماَ تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَماَ تأخر؟ قال أَحَدُهُم: أَمَّا أَنا فإنِّي أصلي الليلَ أبداً, وقالَ آخَرُ: أنا أصُومُ الدَّهْرَ ولا أُفْطِرٌ, وقال آخر: أَعْتَزِلُ النساءَ فلا أَتَزَوَّجُ أَبَداً, فَجاءَ رسول الله صلى الله عليه وسلم إلَيْهِمْ فقال: أَنْتُمْ الذينَ قُلْتُمْ كَذا وَكَذَا؟ أَما والله إِني لأَخْشاكُم الله، وَأَتْقَاكُم لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وأفطِرُ، وأصَلي وَأَرْقُدُ, وَأَتَزَوَّجُ النِّساءَ، فَمَن رَغِبَ عَن سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنّي.                          
(HR Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Nikah, Bab Anjuran Untuk Menikah, No 5063, Sahih)

  Maksudnya: “Tiga orang lelaki telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW bertanyakan tentang ibadah Baginda SAW. Apabila mereka diberitahu (tentang ibadah baginda), mereka merasakan seolah-olah ia sedikit. Lantas mereka berkata, di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan kedudukan Nabi SAW yang  telah diampunkan Allah dosa-dosa yang lalu dan akan datang? Salah seorang dari mereka berkata: “Saya solat sepanjang malam.” Lelaki kedua berkata: “Saya berpuasa sepanjang hari (setiap hari).” Lelaki ketiga pula berkata: “Saya akan menjauhkan diri dari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.” Kemudian, Rasulullah SAW datang berjumpa mereka seraya bertanya: “Kaliankah yang berkata begini dan begini? Demi Allah! Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut dan paling bertakwa kepada Allah, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersembahyang (malam) dan tidur serta aku berkahwin. Sesiapa sahaja yang berpaling dari sunnahku, orang itu tidak termasuk daripadaku.”

 Dalam hadis di atas, beberapa orang sahabat ingin melakukan ibadat solat malam tanpa tidur, berpuasa tanpa henti dan mengawal syahwat tanpa berkahwin. Namun mereka ditegah oleh Rasulullah S.A.W dengan ancaman bahawa sesiapa yang berpaling daripada sunah baginda, dia bukan dari kalangan baginda S.A.W. Inilah manhaj wasatiyyah yang menunjukkan bahawa Islam ialah agama kesederhanaan dan seimbang. 

            Keseimbangan yang ditekankan oleh Rasulullah S.A.W di sini merupakan perwatakan fitrah manusia yang seharusnya dilaksanakan untuk kesejahteraan manusia itu sendiri dari segi rohani dan jasmani. Jasmani manusia tidak mungkin mengamalkan sesuatu yang mungkin membawa kepada sejenis penyeksaan yang tidak tertahan secara tabiinya seperti yang terdapat dalam amalan sesetengah kepercayaan manusia yang hanya mementingkan kehendak jasmani tanpa memberikan kepuasan kepada kerohanian juga merupakan amalan melampau yang hanya membawa kepada kerosakan pada aspek moral dan akhlak.
           
Tindakan berlebih-lebihan dalam ibadat sehingga di luar kemampuan dan keseimbangan telah diklasifikasikan oleh Nabi S.A.W sebagai bukan dari sunnahnya. Tenaga dan keupayaan manusia terbatas kerana manusia bukannya robot yang pergerakannya boleh diprogramkan mengikut kemahuan pengendalinya. Dalam konteks ini, Nabi Muhammad S.A.W adalah insan paling sempurna dan bertakwa. Ketakwaan baginda mengatasi ketakwaan insan lain, namun baginda tetap menunaikan hak nalurinya untuk berlaku adil kepada diri sendiri. 

            Hal ini menunjukkan bahawa sekiranya kita tidak mahu berbuka apabila berpuasa, tidak tidur apabila solat malam dan tidak mahu berkahwin adalah satu kezaliman terhadap diri sendiri. Hal ini demikian kerana sebagai manusia kita dibekalkan dengan nafsu yang mana ia sama sekali tidak ada pada para Malaikat. Oleh itu, kita tidak boleh mahu menjadi seperti Malaikat yang tidak tidur, tidak makan, tidak berkahwin dan sebagainya.

            Dalam menghuraikan tentang Fikah Berimbang iaitu tawazun, Dr. Yusuf al-Qaradawi membawa hadis ini. Perilaku berkenaan walaupun termasuk dalam anjuran supaya tekun beribadat, namun dianggap ekstrem dan tidak sesuai dengan tabiat kemanusiaan. Begitu juga dalam membincangkan tentang Fikah Keutamaan iaitu al-awlawiyyat, beliau mencadangkan agar membantu rakyat Bosnia yang terlibat dalam kancah peperangan adalah lebih utama berbanding dengan menunaikan haji berulang kali yang diamalkan oleh sebahagian umat Islam kerana hanya memberi impak kepada individu, tidak kepada ummah secara keseluruhan. 

            Dalam hal ini, kita dapat lihat bahawa sekiranya urusan agama juga ditegah oleh Rasulullah S.A.W daripada berlebihan, maka apatah lagi dalam urusan keduniaan yang berlebihan turut sama ditegah kerana ia merosakkan hidup dan bertentangan dengan sifat wasatiyyah dalam Islam.
  

2)    Pertengahan Antara Hak Allah, Hak Diri Dan Hak-Hak Makhluk

حدثني محمد بن بشار, حدثنا جعفر بن عون, حدثنا أبو العميس, عن عون ابن أبي جحيفة, عن أبيه : قال : آخى رسول الله صلى الله عليه وسلم بين سلمان وأبي الدرداء, فزار سلمان أبا الدرداء, فرأى أم الدرداء متبذلة, فقال لها : ما شأنك؟ قالت : إن أخاك ابا الدرداء   ليس له حاجة في الدنيا, فجاء أبو الدرداء, فصنع له طعاما, فقال : كل, فإني صائم, قال : ما أنا بآكل حتى تأكل, قال : فأكل, فلما كان الليل, ذهب أبو الدرداء يقوم, فقال : نم, فنام, ثم ذهب يقوم, فقال له : نم, فلما كان آخر الليل, قال سلمان : قم الآن,قال فصليا, فقال له سلمان : إن لربك عليك حقا, ولأهلك عليك حقا, فأعط كل ذي حق حقه, فأتيا النبي صلى الله عليه وسلم, فذكرا ذلك له, فقال النبي صلى الله عليه وسلم : صدق سلمان.
(HR Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Adab, Bab Membuat Makanan Dan Memaksakan Diri Untuk Tamu, No 6139, Sahih.)

Daripada Abi Juhaifah katanya : Nabi S.A.W mempersaudarakan antara Salman dan antara Abi ad-Darda’. Tatkala Salman berkunjung ke rumah Abu Darda’, maka dilihatnya Ummu Darda’ (isteri Abu Darda’) memakai pakaian yang tidak rapi, lantas Salman bertanya, ‘Mengapa kamu tidak berhias? Ummu Darda’ menjawab, Bahawasanya saudaramu Abu Darda’ tidak memerhatikan kepentingan duniawi lagi. Maka tatkala datang Abu ad-Darda’, dilampirkan kepadanya makanan, maka katanya : Makanlah! Kerana aku puasa. Salman menjawab : Aku tidak akan makan hingga engkau makan. Maka Abu Darda’ pun makan. Di malam harinya, Abu Darda’ bangun untuk mengerjakan solat malam, lalu Salman berkata kepadanya : Tidurlah!. Maka ia tidur. Kemudian di akhir malam Salman berkata, ‘Bangunlah! Kita solat bersama-sama. Salman berkata pula kepadanya : Sesungguhnya  bagi Tuhanmu ada  hak, bagi dirimu ada hak, dan bagi keluargamu juga ada hak, maka penuhilah semuanya. Kemudian Nabi S.A.W datang, maka menyebut keduanya akan demikian itu baginya, maka baginda memutuskan bahawa Salman benar. 
              
            Menurut Kitab Bahru Al-Madzi, dimaksudkan dengan melampau-lampau beramal ialah sangat kuat beramal sehingga tidak diketahui siang dan malam, atau tidak mempedulikan kefarduan yang lain daripada perkara yang diamalkan itu sahaja. Contohnya, seorang yang berpuasa sunat siang dan malamnya dengan tidak berbuka atau puasa sepanjang tahun dan bulan dengan tiada berselang hari puasanya, atau solat sepanjang hari dengan tidur dan makan yang tidak menentu, atau zikrullah siang dan malam dengan membiarkan anak isteri dengan tidak tentu makan minum dan kehidupannya, maka yang demikian itu contoh bagi melampau dalam beramal. 

            Walaupun syarak menggalakkan seseorang itu agar kuat mempersiapkan bekal akhirat dengan amal ibadat dan memperbanyakkan persediaan itu, tetapi tidak pula disuruhnya demikian itu. Rasulullah S.A.W. menentang tabiat melampau dalam menunaikan ibadat puasa, solat, berzikir dan membaca al-Quran sehingga melakukan kezaliman ke atas hak diri, hak keluarga dan hak masyarakat. Baginda juga berpendapat bahawa keadilan itu ialah memberi kepada setiap yang mempunyai hak akan haknya, tanpa lebih dan tanpa kurang.  

            Hak Allah yang harus ditunaikan oleh seseorang hamba ialah menyembah Allah. Sesiapa yang memalingkan sesuatu ibadah walaupun sedikit untuk selain Allah, maka orang tersebut telah membatalkan tauhidnya. Menepati hakikat sebagai hamba, maka sudah pastilah manusia mesti tunduk patuh dan menurut segala perintah Pencipta. Sesungguhnya manusia diberikan kewajipan utama pada hari pertama mereka diberi hak untuk tinggal di atas muka bumi ini. 

            Manusia adalah makhluk paling istimewa dan sempurna jika dibandingkan dengan makhluk ciptaan-Nya yang lain. Justeru itu, manusia mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tertentu yang perlu dilaksanakan dalam memenuhi matlamat penciptaan mereka. Allah mengutus Rasul adalah untuk menyampaikan seruan agar manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah.  

            Di samping hak kepada Allah, manusia juga mempunyai hak kepada diri dan juga hak kepada makhluk lain. Antara contoh hak terhadap diri ialah seperti makan, minum, tidur, berehat. Manakala hak kepada makhluk ialah seperti memberi nafkah kepada keluarga, membawa masyarakat Islam ke arah kehidupan yang berlandaskan Islam. Justeru, seseorang itu perlulah seimbang dalam menunaikan semua hak-hak tersebut.         


3)    Sederhana Dalam Solat

عن أبي مسعود أن رجلا قال : والله يا رسول الله إني لأتأخر عن صلاة الغداة من اجل فلان مما يطيل بنا, فما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم في موعظة أشد غضبا منه يومئذ ثم قال : إن منكم منفرين فأيكم ما صلى بالناس فليتجوز فإن فيهم الضعيف والكبير وذا الحاجة.
(HR Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Azan, Bab Imam Meringankan Solat Saat Berdiri Dan Menyempurnakan Ruku’ Serta Sujud, No 702, Sahih)

Dari Abu Mas’ud bahawa seorang lelaki berkata, “ Demi Allah, wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak mengikuti solat subuh kerana si fulan memanjangkan solat atas kami.” Maka, aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W menyampaikan nasihat dengan kemarahan yang lebih hebat daripada hari itu. Kemudian beliau bersabda, “Sesungguhnya di antara kalian ada yang membuat orang menjauh. Maka barangsiapa di antara kalian solat mengimani manusia hendaklah ia meringankan (solatnya) kerana di antara mereka ada yang lemah, orang tua dan ada yang memiliki kepentingan.”

            Merujuk kepada hal ini, Imam memainkan peranan penting dalam memimpin ibadat solat dengan baik dan sempurna. Hal ini demikian kerana sepanjang solat fardu berjemaah, makmum mestilah mengikuti semua perbuatan imam hingga selesai solat. Makmum dilarang sama sekali memutuskan solat tanpa sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak. Oleh itu, Imam perlu menggunakan kebijaksanaan dalam mengatur perjalanan solat demi mendapatkan keredaan Allah dan dalam masa yang sama dapat menarik jemaah untuk mengiramahkan rumah Allah.

            Dalam memimpin solat berjemaah ini, Imam mesti melaksanakannya dengan terbaik iaitu memenuhi rukun dan syarat dan pada masa yang sama tidak membebankan jemaah. Pendek kata, ia dilaksanakan dengan mudah dan ringan. Sesungguhnya syarak menolak pelaksanaan ibadah yang sukar dan membuatkan manusia menjauhi daripada hadir berjemaah.

            Rasulullah S.A.W menunjukkan contoh bersederhana dalam solat. Hal ini dapat dibuktikan dengan sebuah hadis sahih yang bermaksud “Dari Jabir bin Samurah, beliau berkata : “Aku pernah melaksanakan solat bersama Rasulullah S.A.W. Baginda solat sedang-sedang sahaja iaitu tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek”. 
 
            Justeru itu, Imam hendaklah memilih surah yang bersesuaian untuk dibaca ketika memimpin jemaah. Adalah menjadi sunnah untuk Imam memanjangkan bacaan pada rakaat pertama berbanding rakaat kedua. Hal ini demikian kerana semasa rakaat pertama, jemaah lebih cergas di samping memberi kesempatan kepada jemaah yang lewat untuk sempat rakaat pertama bersama Imam. Meringankan solat bukan bererti melaksanakannya dalam keadaan tergesa-gesa. Solat hendaklah sentiasa ditunaikan dalam keadaan tenang dan khusyuk. 

            Dalam mengendalikan solat berjemaah, Imam hendaklah mengambil kira maslahat dan kepentingan para jemaah. Tegahan untuk Imam memanjangkan bacaan adalah untuk mengelakkan jemaah lari dari solat berjemaah. Hal ini demikian kerana mungkin dalam kalangan jemaah ada orang yang lemah, ada orang yang sudah tua dan ada juga orang yang mempunyai kepentingan dan perlu bergegas untuk pergi ke sesuatu tempat. Contohnya, apabila Imam mendengar tangisan bayi, mengetahui bahawa cuaca mendung  ketika menunaikan solat, hendaklah Imam tidak memanjangkan bacaan dalam solat. 

            Masalah memberat dan memanjangkan bacaan ini adalah berlainan situasinya jika solat secara sendirian. Hal ini demikian kerana apabila seseorang itu solat sunat sendirian, dia boleh membaca sepanjang mana pun surah mengikut kemampuannya.


4)    Sederhana Dalam Makan
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ياكل المسلم في معى واحد, والكافر يأكل في سبعة أمعاء.
(HR Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Makanan, Bab Orang Mukmin Makan Satu Usus, No 5396, Sahih)

Dari Abu Hurairah R.A, dia berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, “ Orang Muslim makan dalam satu usus dan orang kafir makan dalam tujuh usus.”
           
            Dalam Fathul Bari, ada pendapat yang mengatakan bahawa hadis ini memberi motivasi kepada orang mukmin agar makan sedikit setelah dia mengetahui bahawa makan banyak merupakan sifat orang kafir. Antara sifat orang mukmin adalah makan sedikit kerana sibuk beribadah dan mengetahui bahawa tujuan makan adalah menghilangkan lapar, menegakkan tulang punggung dan membantu pelaksanaan ibadah sebagaimana disebutkan dalam syariat. Orang mukmin takut jika makanan yang lebih dari seharusnya akan dihisab oleh Allah. Kesimpulannya, termasuk urusan orang mukmin adalah bersungguh-sungguh bersikap zuhud dan merasa cukup dengan yang sedikit. 

            Maksud mukmin dalam hadis ini adalah sempurna keimanannya kerana fikiran orang yang telah bagus keislamannya akan disibukkan oleh keadaan sesudah mati serta kehidupan selepasnya. Selain itu, orang mukmin menyebut nama Allah ketika makan dan minum sehingga syaitan tidak ikut makan, maka cukup dengan makanan yang sedikit. Di samping itu, orang mukmin juga sedikit keinginannya untuk makan, maka makanannya menjadi berkat sehingga dia merasa kenyang dengan yang sedikit. 

            Ibnu At-Tin berkata, “Dikatakan ada tiga tingkatan manusia dalam hal makan iaitu kelompok yang makan makanan yang diperlukan dan yang tidak diperlukan dan ini perbuatan orang-orang bodoh. Kelompok yang makan ketika lapar sekadar apa yang dapat menghilangkan rasa lapar saja. Kelompok yang memperlapar dirinya dengan maksud untuk menahan syahwatnya, dan jika mereka makan mereka akan makan apa yang dapat meluruskan tulang belakang. 

            Makan dan minum adalah sebahagian dari elemen yang diperlukan oleh jasad dan roh. Makan dan minum adalah hak perut yang perlu ditunaikan. Sekiranya kita sengaja mengabaikan hak yang dijadikan oleh Allah itu, kita dikira berdosa. Walau bagaimanapun, Allah melarang kita makan secara berlebihan kerana tabiat ini mendatangkan kesan yang memudaratkan diri kita. 

            Jika makan secara berlebihan tidak boleh, demikian juga halnya dengan berdiet secara berlebihan. Hal ini demikian kerana makanan merupakan hak tubuh yang mesti ditunaikan oleh setiap insan. Adalah tidak boleh menyeksa diri dengan mengikat perut semata-mata kerana takut berat badan naik. Sebaliknya, seseorang yang ingin berdiet perlu mengikuti diet yang seimbang sebagaimana yang disarankan oleh kementerian kesihatan.

            Sebagai seorang Muslim, kita mestilah sentiasa bersikap sederhana dalam pemakanan. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa perut adalah sumber penyakit kerana semua yang dimakan oleh manusia terkumpul di dalamnya. Oleh itu, kita tidak boleh berlebihan dalam makan kerana ia mempunyai banyak keburukan. Antaranya ialah dapat merosakkan tubuh dan mendatangkan penyakit, menyebabkan seseorang itu malas dan berat melakukan ibadah, otak menjadi lemah, seseorang itu menjadi banyak tidur, di samping hati menjadi keras.

             Pengkaji mengambil contoh semasa bulan Ramadhan, kita mestilah tidak bersikap melampau terutamanya ketika waktu berbuka puasa. Memanglah sudah hampir seharian kita menahan lapar dan dahaga iaitu selepas terbit fajar dan sehingga terbenam matahari, namun kita tidak boleh menggunakan alasan itu makan secara melampau. Kita fikirlah saudara seislam di negara lain yang sedang berhadapan dengan peperangan. Usahkan dapat makan secukupnya, malah ramai yang mati kebuluran. Justeru, kita hendaklah sentiasa muhasabah diri kita.
             

5)    Sederhana Dalam Berpakaian.

حدّثنا إسماعيل قال : حدثني مالك, عن نافع وعبد الله بن دينار وزيد بن أسلم يخبرونه : عن ابن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : لا ينظر الله إلى من جر ثوبه خيلاء.
(HR Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Pakaian, Bab Firman Allah “Katakanlah, Siapakah Yang Mengharamkan Perhiasan Dari Allah Yang Telah Dikeluarkan-Nya Untuk Hamba-hamba-Nya, No 5385, Sahih)

Dari Malik, dari Nafi’ dan Abdullah bin Dinar serta Zaid bin Aslam, mereka mengkhabarkan kepadanya dari Ibnu Umar R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda, “ Allah tidak akan melihat kepada orang yang menyeret pakaiannya kerana sombong.” 

            Ar-Raghib berkata, perkataan “ khuyalaa” bererti takabbur atau sombong. Sifat ini timbul kerana adanya keutamaan yang dilihat seseorang dari dirinya. 

            Al Muwaffiq Abdul Latif Al Baghdadi berkata, “Hadis ini mengumpulkan keutamaan mengurus dan mengatur diri, termasuk mengatur maslahat jiwa dan jasmani baik di dunia mahupun di akhirat. Berlebihan dalam sesuatu akan membawa kesan negatif bagi jasad serta membahayakan kehidupan yang mengakibatkan kebinasaan. Ia mendatangkan mudarat bagi jiwa jika mengikuti jasad pada sebahagian besar keadaan. Adapun sikap angkuh membahayakan jiwa kerana mendatangkan sifat ujub dan membahayakan akhirat kerana mendatangkan dosa, serta membahayakan dunia kerana menimbulkan kemarahan manusia. 

            Sesungguhnya, Allah Taala melarang keras manusia dari bersikap sombong. Hal ini demikian kerana hanya Allah yang berhak untuk sombong. Dalam hal ini, kita boleh mengambil kisah keangkuhan Iblis semasa diminta sujud kepada Nabi Adam. Justeru, kita perlu menjauhi sikap sombong dan sentiasa mengamalkan sikap tawaduk dalam kehidupan.

            Dalam perkara ini, perkara pertama yang kita perlu sedari ialah  fungsi pakaian adalah untuk menutup aurat. Seperti mana yang diketahui aurat lelaki adalah di antara pusat dan lutut manakala aurat perempuan adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Justeru, Islam menganjurkan penganutnya agar berpakaian sederhana dengan tujuan untuk tawaduk. Anjuran ini menunjukkan hal yang baik yang perlu ditampilkan oleh seorang Muslim sehingga tidak tampil bermewahan dan melampaui batas. 

            Tidak salah berfesyen selagi tidak bertentangan dengan syariat. Contohnya, tudung mestilah menutupi dada. Jadi tidak salah untuk seseorang wanita untuk memakai apa jua jenis tudung ada di pasaran selagi tudung itu menutupi dada serta tidak nipis. Demikian juga mengenai bentuk atau model pakaian yang mana ia bergantung pada budaya setempat. Contohnya masyarakat Melayu terkenal dengan baju kurung dan baju Melayu. Dalam hal ini, tidak menjadi kesalahan untuk seseorang itu menggayakan apa jua model atau bentuk pakaian itu selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

            Namun apa yang pengkaji perhatikan, masih ada salah faham dalam masyarakat kita tentang konsep menutup aurat yang sempurna. Apalah ertinya jika pakai tudung tetapi tidak menutupi dada dan nipis. Apalah maknanya jika pakai tudung tetapi berpakaian ketat sehingga menampakkan susuk badan. Hal yang mesti diketahui ialah memakai tudung itu tidak wajib, yang wajib adalah menutup aurat. Semoga masyarakat kita sedar akan hal ini sekaligus dapat mengubahnya.


6)    Sederhana Dalam Berbicara.
  حدثنا قتيبة بن سعيد, حدثنا أبو الأحوص, عن أبي حصين, عن أبي صالح, عن أبى هريرة رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم  : من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يؤذ جاره,   ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه, ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمتت.
(HR Bukhari, Riwayat Bukhari, Kitab Adab, Bab Barangsiapa Beriman Kepada Allah dan Hari Akhirat maka Jangan Menyakiti Tetangganya, No 6018, Sahih) 

Daripada Abu Hurairah R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda : “ Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka janganlah menyakiti tetangganya, dan barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia mengatakan yang baik atau diam”. 

            Kata liyashmut  boleh dibaca dengan lisyashmit. Ini termasuk jawami’ al kalim’ iaitu kata-kata yang ringkas dan penuh makna kerana perkataan dapat digolongkan kepada yang baik atau buruk, atau kembali kepada salah satunya. Termasuk kebaikan adalah semua perkataan yang diperlukan, baik fardu mahupun sunah. Maka diizinkan mengucapkannya dengan pelbagai perbezaan jenisnya. Adapun selain itu yang termasuk keburukan atau kembali kepada keburukan, maka ketika seseorang hendak terjerumus ke dalamnya dia diperintahkan untuk diam. 

            Bercakap berlebihan tanpa keperluan sebenarnya merupakan sebab kemusnahan dan memelihara lidah merupakan suatu jalan menuju kejayaan. Berkata-kata tentang sesuatu yang tidak bermanfaat adalah antara sebab  kepada penghapusan amalan dan pengharaman untuk memasuki syurga. Justeru itu, seseorang Muslim itu semestinya berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata. Jika beliau melihat bahawa percakapannya itu adalah satu kebaikan dan akan mendatangkan pahala, maka hendaklah beliau bercakap mengenainya. Jika sebaliknya, maka jalan yang paling selamat adalah mendiamkan diri. Ini adalah disebabkan beliau akan dihisab atas setiap kalimah yang diucapkannya sama ada ia akan dikurniakan dengan ganjaran atau dihukum. 

            Namun demikian, wajib untuk berkata-kata apabila timbul keperluan terhadapnya khususnya untuk menjelaskan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Manakala meninggalkan tanggungjawab ini pula dianggap sebagai dosa dan maksiat kerana perbuatan mendiamkan diri dari perkara-perkara hak diumpamakan dengan syaitan yang pekak. 

                Sesungguhnya, segala yang kita ucapkan pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Oleh itu, beruntunglah orang yang sentiasa memelihara lisannya untuk tidak berkata kecuali yang benar dan baik sahaja. Menghindari ucapan yang sia-sia adalah tanda keimanan kepada Allah. Orang yang banyak berbicara bila tidak diiringi dengan ilmu agama yang baik, mudah untuk terjerumus ke dalam kesalahan. Antara keburukan yang muncul daripada lisan ialah dusta, buruk sangka, mengumpat, mengadu domba, sumpah palsu, fitnah, berbohong dan banyak lagi.  Sesungguhnya kata-kata itu lebih tajam daripada pedang walaupun lidah tidak bertulang. 

            Islam mengajar umatnya supaya tidak bercakap perkara-perkara yang boleh menyakiti orang lain. Ketika marah sedang menguasai diri, sebaiknya seseorang itu diam dari berkata-kata. Hal ini demikian kerana ketika marah, emosi lebih menguasai daripada akal. Hal ini mungkin menyebabkan seseorang itu akan mengeluarkan kata-kata yang mungkin dapat mengguris perasaan insan lain dan seterusnya mungkin akan membawa kepada perpecahan, permusuhan dan sebagainya. Apabila perasaan marah redha, orang itu mungkin akan menyesal dengan apa yang telah diucapkannya saat dia sedang marah. Oleh itu, sebaiknya seseorang itu diam apabila sedang marah dan menunggu sehinggalah perasaan marah itu reda dan hilang. 

            Sama ada kita sedar atau tidak, melalui lisan juga seseorang itu boleh mencapai darjat yang tertinggi dan mendapat karunia yang agung di sisi Allah. Namun begitu, dengan lisan juga seseorang itu boleh jatuh tersungkur ke dalam kehinaan. Oleh itu, gunakanlah lisan dengan sebaik-baiknya agar selalu diredhai oleh Allah Taala.





7)    Sederhana Dan Istiqamah Dalam Beramal.


حدثنا محهد بن المثنى حدثنا يحيى, عن هشام , قال : أخبرني أبي, عن عائشة رضي الله عنها, أن النبي صلى الله عليه وسلم دخل عليها وعندها امرأة, قال : من هذه ؟. قالت : فلانة, تذكر من صلاتها. قال : مه, عليكم بما تطيقون, فوالله لا يمل الله حتى تملوا. وكان احب الدين إليه ما داوم عليه صاحبه.
(HR Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Iman, Bab Amalan Dalam Agama Yang Paling Dicintai oleh Allah S.W.T ialah Yang Dilakukan Secara Berterusan. No 43, Sahih) 

Daripada ‘Aisyah R.A mengatakan bahawa Nabi S.A.W masuk ke tempatnya dan di sisinya ada seorang wanita (daripada Bani Asad), lalu Nabi S.A.W bertanya : “Siapakah wanita ini”? Aisyah menjelaskan dia ialah wanita yang tidak tidur malam kerana bersolat. Maka Nabi S.A.W bersabda, “Hentikan (perbuatanmu itu), hendaklah kamu lakukan (amalan) menurut kemampuanmu. Demi Allah, Allah tidak akan merasa bosan sehingga kamu sendiri yang bosan. Dan amalan agama yang paling disukai-Nya ialah apa yang dilakukan oleh pelakunya secara berterusan”. 

            Dalam Fathul Bari, Imam Bukhari ingin menjelaskan bahawa amal dapat disebut sebagai iman kerana maksud dari kata ad-Din ialah agama dalam hadis tersebut adalah amal sebab maksud ad-din yang sebenarnya adalah Islam, sedangkan Islam yang hakiki adalah sama pengertiannya dengan iman. Di sini Imam Bukhari ingin menekankan bahawa usaha untuk meningkatkan keislaman secara berlebihan adalah tidak dianjurkan. 

            Kerjakanlah amal yang dapat kamu lakukan secara berterusan merupakan perintah agar melakukan ibadah sesuai dengan kemampuan dan mengandungi larangan untuk membebani seseorang dengan melakukan ibadah yang berada di luar kemampuannya. Latar belakang keluarnya hadis ini bersifat khusus dalam masalah solat, akan tetapi lafaznya bersifat umum.

            Maksud perkataan malal iaitu bosan merupakan satu bentuk kiasan kerana sifat ini adalah mustahil terdapat pada Allah S.W.T. Al-Harawi berkata, “ Maksudnya adalah Allah tidak akan menghentikan karunia-Nya kepadamu kecuali jika kalian merasa bosan untuk memintanya atau tidak menginginkannya. Manakala menurut Abu Bakar Al Arabi pula, makan kecintaan dari Allah adalah kehendak Allah untuk memberikan pahala. Dengan demikian, amal atau perbuatan yang paling banyak mendapat pahala adalah yang dilakukan secara berterusan. 

            Imam Nawawi berkata, “Amal yang sedikit tapi dilakukan secara berterusan menunjukkan ketaatan seseorang kepada Allah S.W.T iaitu dengan mengingati-Nya, melakukan koreksi diri, ikhlas dan menerima apa yang ditakdirkan Allah kepadanya yang mana berbeza halnya dengan amalan yang banyak tetapi memberatkan. Amal yang sedikit tetapi dilakukan secara berterusan itu akan bertambah sedangkan amal yang banyak tapi memberatkan akan terhenti atau terputus di tengah jalan. 

            Ibnu Jauzi berkata, Allah mencintai amal yang dilakukan secara berterusan kerana dua perkara. Pertama, orang yang meninggalkan amal yang telah dilakukannya adalah seperti orang yang berputar kembali setelah sampai ke tempat tujuan. Orang seperti ini adalah orang yang tercela. Oleh sebab itu Allah memberikan ancaman kepada orang yang hafal al-Quran kemudian melupakannya dan ancaman itu tidak ditujukan kepadanya sebelum ia menghafal al-Quran. Kedua, melakukan kebaikan secara berterusan adalah menunjukkan pengabdian seseorang. Maka orang yang selalu mengkaji ilmu selama beberapa jam saja tetapi dilakukan setiap hari, tidaklah sama nilainya dengan orang yang melakukannya dalam satu hari penuh tapi setelah itu berhenti dan tidak meneruskannya. 

            Hadis ini juga menunjukkan bahawa Nabi S.A.W sangat mengambil berat kepentingan umatnya dengan menjelaskan konsep wasatiyyah dalam ibadat yang mampu dilakukan oleh umatnya tanpa dibebankan dengan bebanan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan merosakkan ibadat yang lain agar mereka dapat beribadat dengan tenang dan penuh penghayatan. 

            Istiqamah itu umpama menyusun batu-bata satu persatu secara berterusan hingga pada akhirnya berdirilah sebuah bangunan yang teguh. Inilah amalan yang disukai oleh Allah, iaitu melakukan kebaikan dan ibadah tanpa henti walaupun sedikit. Berterusan dalam beramal bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini demikian kerana ia memerlukan pengorbanan, kekuatan mujahadah, kesabaran dan ketundukan. Oleh yang demikian, istiqamah ini tidak akan berlaku pada orang yang berlebihan dalam amalan. Beramal secara sederhana dapat memastikan sesuatu amalan dapat dilakukan dengan istiqamah.

            Amal yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik dari amal yang banyak tetapi tidak konsisten. Hal ini demikian kerana berterusan walaupun sedikit adalah tanda keikhlasan. Manakala orang yang melakukan ibadah tidak berterusan iaitu mengikut kesesuaian waktu dan keadaan adalah merupakan tanda keikhlasan yang belum sempurna. Hal ini demikian pendekatan diri  kepada pencipta hanya dilakukan di saat kesusahan. Namun, setelah kesusahan itu hilang, dia pun meninggalkan amal ibadah yang dilakukannya sebelum ini.

                Istiqamah amat mudah untuk diungkap namun sukar untuk dilakukan. Ia merupakan suatu nikmat dari Allah kepada hamba-Nya yang terpilih kerana tidak semua orang mampu untuk istiqamah. Istiqamah ini merangkumi amalan hati, amalan lisan serta perbuatan. Contohnya, istiqamah dalam iman, dalam solat serta menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan. Bagi memperkukuhkan istiqamah dalam hati, seseorang itu mestilah mempertahankan kesucian iman, menjaga kesucian hati daripada sifat-sifat syirik, riyak, takbur dan sombong. Hal ini demikian kerana sifat-sifat ini adalah penghalang kepada istiqamah. Sebaliknya seseorang itu perlu sentiasa menyuburkan hati dengan sifat ikhlas, jujur dan sentiasa redha kepada-Nya. 

            Istiqamah lisan pula ialah menjaga tutur kata supaya sentiasa bercakap benar dan jujur serta mengelakkan diri dari perkataan yang boleh menyakiti hati orang lain. Manakala Istiqamah perbuatan merangkumi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik dan diredhai oleh Allah Taala. Hal ini meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian. 

            Dalam Islam, semua amal ibadat yang wajib perlu dilaksanakan secara keseluruhan. Manakala ibadat yang sunat terpulang kepada kemampuan, tidak perlu memaksa diri. Ibadat perlu dilaksanakan mengikut keutamaan, iaitu yang wajib didahulukan berbanding yang sunat. Aplikasikan kaedah fiqh keutamaan yang diajar dalam Islam. 



8)    Ambil Yang Mudah, Tinggal Yang Sukar.

حدثنا عبد السلام بن مطهر, قال : حدثنا عمر بن علي, عن معن بن محمد الغفاري, عن سعيد بن أبي سعيد المقبري, عن أبي هريرة, عن النبي صلى الله عليه وسلم, قال : إن الدين يسر, ولن يشاد الدين أحد إلا غلبه, فسددوا, وقاربوا, وأبشروا, واستعينوا بالغدوة والروحهه, وشيء من الدلجة.
(HR Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Iman, Bab Agama Itu Mudah, No 39, Sahih) 

Daripada Abu Hurairah R.A, beliau mengatakan bahawa Nabi S.A.W bersabda : “Sesungguhnya agama itu mudah, dan tiada siapa yang memberat-beratkan dirinya dalam beragama melainkan ia sendiri akan mengalah (apabila merasa berat dan susah). Maka perbetulkanlah (melakukan amalan dengan sempurna, tidak terlebih mahupun terkurang), hampirilah (tahap kesempurnaan itu sekiranya tidak mampu), bergembiralah (dengan pahala di atas amalan yang sempurna atau hampir sempurna itu) dan mintalah pertolongan (Allah S.W.T agar konsisten dalam beribadah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian daripada malam.
           
            Menurut Ibnu Hajar dalam Fathul Bari, agama Islam adalah agama yang memiliki kemudahan kerana berbeza dengan agama-agama yang lain di mana Allah telah menghilangkan kesulitan-kesulitan seperti yang dibebankan kepada umat-umat terdahulu. Seseorang yang terlalu tenggelam dalam amalan-amalan agama dan tidak memperlihatkan aspek kemudahan dalam agama, maka ia tidak akan mampu melakukannya dengan sempurna.

          Pernyataan ini tidak bermaksud untuk menghalang seseorang dalam menyempurnakan ibadahnya kerana hal itu termasuk perbuatan yang terpuji, tetapi yang dimaksudkan ialah untuk mencegah sikap mengasingkan diri yang dapat menyebabkan rasa bosan atau berlebihan dalam melaksanakan ibadah sunat, sehingga ibadah wajib ditinggalkan. Contohnya, seseorang itu tidak melaksanakan yang fardu pada waktunya kerana tidak tidur sepanjang malam untuk melakukan solat sunat, tetapi kemudian ia merasa mengantuk ketika akhir malam tiba, sehingga ia tertidur dan tidak dapat melaksanakan solat subuh secara berjemaah bahkan tidak melaksanakannya sampai matahari terbit. 

            Hadis ini merupakan anjuran untuk melaksanakan rukhsah iaitu keringanan yang diberikan dalam agama kerana melaksanakan Azimah iaitu hukum asal pada waktu yang dibolehkan melakukan rukhsah adalah perbuatan yang memberatkan. Contohnya, orang yang tidak melaksanakan tayamum pada saat tidak mampu menggunakan air, maka akan membahayakan dirinya. Pahala akan diberikan atas amal yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Jadi, khabar gembira ini adalah bagi orang-orang yang tidak mampu mengerjakannya dengan sempurna. Ketidakmampuan seseorang dalam melaksanakan perintah dengan tidak adanya unsur kesengajaan, maka tidak akan mengurangi pahalanya. 

             Para ulama seperti al-Mawardi, Imam Haramain, al-Ghazali, al-Isfahani dan ramai lagi menolak sikap melampau, keras atau terlampau longgar dalam kehidupan beragama mahupun kehidupan seharian. Ada golongan yang menolak adanya konsep wasatiyyah terdiri daripada mereka yang mentafsirkan nas-nas secara literal  atau mereka yang beranggapan bahawa menggunakan wastiyyah bererti mengambil jalan mudah dalam kehidupan beragama. Kumpulan ini seolah-olah lupa bahawa wasatiyyah itu mengambil kira aspek kemudahan dalam Islam. Rasulullah S.A.W sendiri seperti diungkap oleh isterinya Aisyah R.A, lebih suka memilih yang mudah daripada yang sukar, asalkan tidak berdosa.
           
            Para sahabat dan ulama Salaf lebih suka menggunakan kemudahan yang meringankan. Dalam masa yang sama mereka menyempitkan ruang fardu, wajib dan haram kecuali ada dalil yang benar-benar kukuh. Oleh sebab itu ruang kemaafan iaitu tidak wajib dan tidak haram lebih banyak dalam Islam. Bagi mereka yang berkelayakan, mereka digalakkan berijtihad untuk bersedia menerima pandangan yang berbeza dalam hukum furu’. Namun, dalam masa yang sama bagi perkara dasar, Islam cukup bersikap tegas. 

            Apabila melakukan amalan secara berlebihan, seseorang itu akan merasa berat dengan amalan itu sehingga dia cepat merasa bosan dan seterusnya meninggalkan amalan tersebut dan juga amalan-amalan yang lain. Seseorang yang meninggalkan kemudahan yang diberikan oleh agama atau rukhsah dan tetap menjalankan kemestian agama iaitu azimah, maka dia akan mengalami kesulitan apabila mengamalkan cara beragama yang sedemikian. Dalam beragama, tidak boleh terlalu memberat-beratkan namun tidak boleh juga terlalu meringan-ringankan. Oleh itu, ambillah di tengah-tengah antara keduanya iaitu memanfaatkan rukhsah dan tidak mengabaikan azimah.

            Kewajipan-kewajipan agama mengandungi pelbagai kemudahan dan keringanan. Contohnya kewajipan solat ialah dengan berdiri. Namun, apabila tidak dapat berdiri kerana sakit atau sebab lain maka boleh melaksanakannya dalam keadaan duduk, baring. Demikian juga kita dibolehkan berhibur, ketawa dan berjenaka terutama pada majlis perkahwinan dan seumpamanya. Rasulullah S.A.W.  menolak amalan rigid dan terlalu serius di tempat-tempat yang memerlukan kerehatan, berhibur, ketawa dan gurauan.

           
9)    Melaksanakan Perintah Dan Menjauhi Larangan.
 
عن أبي هريره عن اانبي صلى الله عليه وسلم قال : دعوني ما تركتكم, إنما أهلك من كان قبلكم سؤالهم واختلافهم على أنبيائهم, فإذا نهيتكم عن شيء فاجتنبوه, وإذا أمرتكم بأمر فأتوا منه ما استطعتم.
(HR Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Berpegang Teguh Dengan Al-Quran Dan Al-Sunah, Bab Meneladani Sunah Rasulullah S.A.W, No 7288, Sahih)

Dari Abu Hurairah, dari Nabi S.A.W, beliau bersabda, “Biarkanlah aku atas apa yang aku tinggalkan kepadamu. Sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka. Apabila aku melarang kalian dari sesuatu maka jauhilah, dan jika aku memerintahkan kalian terhadap sesuatu maka lakukanlah sebatas kemampuan kalian. 

            Dalam hadis ini terdapat isyarat untuk menyibukkan diri dengan perkara penting iaitu melakukan perintah dan menjauhi larangan. Berkaitan dengan pengamalan maka gunakanlah kemampuan dalam melaksanakannya baik mengerjakan atau pun meninggalkannya. 

            Ayat “Apa yang telah aku cegah kamu dari melakukannya maka hendaklah kamu jauhinya”, membawa makna larangan sama ada disebabkan keharamannya atau kemakruhannya. Antara contoh perbuatan yang haram termasuklah zina, minum arak, memakan riba, mencuri, membunuh jiwa tanpa hak, membuka aurat, mengumpat dan seumpamanya. Sesiapa yang melakukan perbuatan yang diharamkan maka ia akan dihukum dengan hukuman yang telah ditentukan oleh syarak. Manakala contoh larangan makruh ialah makan bawang putih atau bawang besar secara mentah-mentah bagi orang yang ingin solat berjemaah. Larangan ini tidak diharamkan ke atas orang mukalaf untuk melakukannya dan tidak dihukum atas perbuatannya itu. 

            Namun, apabila berada dalam keadaan darurat, perkara yang diharamkan tadi boleh dilakukan. Di sini kita dapati syariat Allah S.W.T yang Maha Bijaksana memberi keringanan kepada hambanya. Contohnya diharuskan memakan bangkai bagi sesiapa yang tidak mempunyai makanan dan tidak berupaya memperoleh makanan selain dari bangkai itu. Namun begitu, ia tidak boleh memenuhi perutnya dengan daging bangkai itu sebaliknya hanya memakannya setakat yang boleh menyelamatkan dirinya dari terus kebuluran yang boleh mengancam nyawanya. 

            Syariat Allah adalah untuk memisahkan manusia dari segala keburukan demi kemaslahatan hidup mereka di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu kita dapati bahawa berkemungkinan syariat lebih bersikap memberati perkara-perkara larangan. Pada zaman ini, telah tersebar pelbagai macam rupa pertentangan di dalam kehidupan manusia. Contohnya, mereka yang amat ghairah melakukan ketaatan dan yang wajib dan berkemungkinan pula mereka begitu keras dan berlebihan dalam melakukan mandub dan mustahab tetapi di dalam masa yang sama kita dapati mereka ini meringankan perkara-perkara yang dilarang. 

            Amar bererti tuntutan mengerjakan sesuatu sedangkan nahi pula bermaksud tuntutan menjauhi sesuatu itu. Dalam hadis tersebut, kita diperintahkan untuk hanya melakukan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W. Larangan tersebut adalah agar kita tidak terjebak dengan apa yang telah menimpa umat-umat terdahulu yang hancur dan  binasa gara-gara terlalu banyak bertanya kepada Nabi-nabi mereka tentang sesuatu yang tidak ada faedahnya dan sering berselisih dan membantah Nabi-nabi mereka. 


10)  Seimbang Antara Dunia Dan Akhirat.

عن سالم بن أبي الجعد عن جابر رضي الله عنه قال : بينما نحن نصلي النبى صلى الله عليه وسلم, أقبلت من الشام عير تحمل طعاما, فالتفتوا إليها حتى ما بقي مع النبى صلى الله عليه وسلم إلا اثنا عشر رجلا, فنزلت (وإذا رأوا تجارة او لهوا انفضوا إليها وتركوك قائما)
(HR Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Jual Beli, Bab Firman Allah Taala “ Apabila Mereka Melihat Perniagaan Atau Permainan Mereka Pergi Kepadanya”, No 2064, Sahih)

Dari Salim  bin Abu Al Ja’d, dari Jabir R.A, ia berkata : Suatu kafilah datang, sementara kami solat Jumaat bersama Nabi S.A.W . Lalu orang-orang berpaling kecuali 12 orang laki-laki. Maka turunlah ayat, “Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka pergi kepadanya dan meninggalkanmu dalam keadaan berdiri.” 

            Qatadah berkata, “ Mereka itu biasa melakukan jual beli serta berdagang. Akan tetapi apabila turun kepada mereka salah satu hak Allah, nescaya mereka tidak dilalaikan oleh perniagaan mahupun jual beli dari berzikir iaitu mengingati Allah hingga mereka menunaikan hak tersebut kepada Allah. 
        
            Dalam Fathul Baari, penyebutan ayat di tempat ini adalah celaan secara tekstualnya sedangkan penyebutannya di tempat tersebut merupakan pengkhususan waktunya, iaitu saat tidak mengerjakan solat atau mendengar khutbah. 
  
            Dalam hal ini, kita mestilah menyeimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Semasa bersolat, hendaklah kita solat. Apabila selesai solat, maka kita boleh melakukan urusan dunia.



RUJUKAN

Al Albani, Muhammad Nashiruddin. 1998. Shahih Sunan Abu Daud. Terj. Tajuddin Arief, Abdul Syukur, Ahmad Rifa’i. Jil 1 Jakarta : Pustaka Azzam. 

Al Asqalani, Ibnu Hajar. 2002. Fathul Baari. Terj. Gazirah Abdi Ummah. Jil 1. Jakarta : Pustaka Azzam. 

Al Asqalani, Ibnu Hajar. 2008. Fathul Baari. Terj. Azzam, Amiruddin, Lc, Abu Rania, Titi Tartilah. Jil 4,5,12 Jakarta : Pustaka Azzam.

Al Asqalani, Ibnu Hajar. 2009. Fathul Baari. Terj. Amiruddin, Jil 25, 26, 28, 29 Jakarta : Pustaka Azzam. 

 Al Asqalani, Ibnu Hajar. 2008. Fathul Baari. Terj. Amiruddin, Jil 25, 26, 28, 29 Jakarta : Pustaka Azzam.

Al-Marbawi, Muhammad Idris. 2009. Baru Al-Madzi. Juz 16. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publications.

Al Nisaiburi, Abu Husein Muslim. 1994. Terjemah Sahih Muslim. Terj. Adib Bisri Musthofa. Jil 2. Kuala Lumpur : Victory Agencie. 

Al-Zabidi, 2010. Terjemahan Mukhtasar Sahih Al-Bukhari. Terj. Zulhilmi, Mohd Fadhil, Mohd Norzi, Sukri. Jil 1. Selangor : Institut Kajian Hadis Selangor  (INHAD).

Ibnu Jauzi. 2000. Sahih Bukhari. (Az-Zahabi, Mustafa). Jil 3 & 4. Kaherah : Darul Hadis.

Ismail Ibrahim. 2012. Wasatiyyah Dari Perspektif Islam. Dlm. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, Paimah Atoma, Hariza Mohd Yusof. Islam dan Wasatiyyah. Nilai : Penerbit USIM.

Majlis Tertinggi Urusan Keislaman Mesir. 2014. Sunah Rasulullah Dari Kupasan   Hadis. Selangor : Pustaka Al-Ehsan.

Mohammad Kamil Abdul Majid. 2012. Wasatiyyah Islam : Antara Liberalisme & Konservatisme Di Malaysia. Selangor : Pekan Ilmu Publication Sdn.Bhd. 

Mohd Shahid Talib. 2012. Wasatiah : Indahnya Hidup Bersederhana. Selangor : Pts Islamika Sdn. Bhd.

Nawawi. 2003. Al Waafi :Syarah 40 Hadis. Terj. Al-Bugho, Mustafa, Muhyiddin Dib Mistu. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publishers.


Roslan, Ahmad Wifaq, Ahmad Husni, 2012. Wasatiyyah Dalam Ibadah. Dlm. T.pnyt.       Manhaj Fiqah Wasathiyy. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.