Powered By Blogger

Sunday, 7 July 2013

PENDEKATAN DAKWAH KEPADA MAHASISWA DALAM BAB AURAT

Perkataan mahasiswa berasal dari kosa kata 'maha' dan 'siswa'. ‘Maha' bererti agung, besar dan hebat. Manakala, siswa adalah golongan pelajar cerdik pandai yang lahir daripada universiti. Mahasiswa merupakan aset yang begitu penting kepada sesebuah negara. Hal ini demikian kerana mereka inilah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Jika hendak melihat negara pada masa hadapan, lihatlah anak muda pada hari ini.
            Namun begitu, mahasiswa pada hari ini banyak terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh daripada rakan sebaya, pengaruh persekitaran dan sebagainya lagi. Seringkali terpapar di kaca televisyen dan di dada akhbar mengenai penglibatan mahasiswa dalam kegiatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar mahasiswa.
          Antara isu yang agak popular dalam kalangan mahasiswa sekarang ialah isu pendedahan aurat. Dalam dunia yang moden ini, perkembangan fesyen begitu menular dalam kalangan mahasiswa khususnya mahasiswa perempuan. Mereka berlumba- lumba untuk menggayakan fesyen terkini walaupun fesyen itu tidak bertepatan dengan syariat Islam. Terdapat fesyen hari ini yang ketat, jarang, menonjolkan susuk tubuh badan untuk tatapan umum.
         Justeru, pendekatan dakwah diperlukan bagi mengatasi masalah ini dari terus menjadi lebih parah. Langkah- langkah tertentu perlu diambil supaya mahasiswa pada hari ini berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Pendakwah perlulah mendekati mahasiswa dengan cara yang betul dan mengikut keadaan dan kesesuaian mahasiswa tersebut.
 Perkataan ‘aurat’ berasal daripada perkataan Arab, ‘aurah’ yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai sebahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan. 
           Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :
Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan ( terhadap wanita ) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
            Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap perempuan muslim dan akan dikena balasan dosa bagi yang mengingkari dan ganjaran pahala bagi yang mengerjakannya. Namun masih ramai orang yang tidak menutup aurat dengan sempurna sepertimana yang dituntut oleh Islam. Menurut ulama  mazhab syafi’I, al-Syirazi mengatakan bahawa wanita merdeka seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan. Manakala, menurut Imam Nawawi aurat itu sehinggga pergelangan tangan.
Islam telah menggariskan batasan aurat kepada lelaki dan perempuan. Aurat asas bagi lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut. Manakala aurat perempuan pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Aurat wanita sangat dekat dengan aurat ketika solat. Aurat wanita ketika solat adalah menutup seluruh badab kecuali muka dan tapak tangan.
            Selain itu, aurat ketika wanita bersendirian adalah aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat adalah di antara pusat dan lutut. Manakala aurat wanita ketika bersama mahram juga antara pusat hingga lutut, namun begitu wanita dituntut agar menutup bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri.
Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Sementara aurat wanita sesama muslimah ialah dari paras perut hingga ke paras lutut. Selain itu, aurat wanita  dengan wanita kafir menurut jumhur ulama ialah’ seseorang wanita Muslimah dilarang membuka auratnya dihadapan wanita-wanita kafir.
       Dakwah haruslah direalisasikan oleh setiap orang yang mengucap kalimah lailaha illa Allah mengikut kemampuan mereka. Namun dakwah itu perlulah disampaikan mengikut syarat-syarat dan kaedah-kaedah tertentu di samping seorang pendakwah itu perlu mempunyai ciri-ciri yang tertentu atau dengan kata lain, pendakwah hendaklah mengetahui selok belok dalam menyampaikan dakwah kepada mahasiswa.
        Dalam skop dakwah zaman kontemporari ini, pendakwah haruslah menjadikan Rasulullah s.aw sebagai contoh tauladan dalam melakukan dakwah. Selain menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber dakwah, pendakwah haruslah mempunyai sikap yang disenangi, akhlak yang terpuji, penggunaan bahasa yang lembut dan tersusun dalam tutur katanya.
         Para da’i tidak boleh tergesa- gesa dalam berdakwah. Hal ini pastinya memerlukan kesabaran kerana untuk menikmati buahnya terkadang harus menunggu masa yang agak lama. Dalam berdakwah tidak boleh serta- merta ingin memperoleh hasil dan segera memetik buah dari dakwahnya kerana ini adalah penyakit dalam dakwah.
Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang membawa maksud :“kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.


            Di samping itu, umat Islam adalah sebagai pendokong amanah dan ejen yang meneruskan risalah Islam dengan dakwah sama ada sebagai umat kepada umat-umat yang lain ataupun berseorangan di suatu tempat berdasarkan kemampuan diri pendakwah tersebut. Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:
بَلِّغُوْا عَنِّى وَلَوْ اَيَةً
“Sampaikanlah apa yang ( kamu terima ) daripadaku walaupun sepotong ayat”
             Dakwah dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Pertama, dakwah dengan berhikmah. Al-hikmah ialah maqalah ( perkataan atau pendapat ) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat, atau ianya adalah khitab iaitu ucapan, perkataan atau perbicaraan yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.
Di samping itu dalam konsep al-hikmah juga terkandung ilmu pengetahuan yang tinggi dalam menyampaikan dakwah serta dibataskan dengan fikiran berlandaskan kebenaran. Selain itu, isi kandungan dakwah hendaklah betul dan sahih, tindakan pendakwah hendaklah dengan hikmah supaya mad’u dapat menilai dan melihat natijah di akhirnya. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125 yang membawa maksud :   Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah [845] dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
    Dakwah dilakukan dengan  cara dakwah bil hikmah iaitu pendakwah hendaklah memilih waktu yang sesuai untuk berbicara dan waktu untuk berdiam diri  untuk mendekati sasaran dakwah bagi menyampaikan isi dakwah mereka. Hal ini penting supaya apa yang hendak disampaikan kepada mahasiswa itu diterima dengan baik tanpa dipengaruhi oleh sebarang emosi dan persepsi. Pendakwah perlu melihat keadaan mahasiswa ketika hendak menyampaikan dakwah kerana sekiranya dakwah disampaikan ketika dalam keadaan sasaran dakwah sedang dibelenggu masalah, dakwah yang disampaikan tidak akan berkesan. Contohnya pendakwah memberitahu mahasiswa supaya menutup kaki kerana ianya adalah aurat wanita, sedangkan sasaran dakwah ketika itu sedang tertekan dengan masalahnya, maka ia tidak akan memberi kesan yang baik bahkan akan memudaratkan lagi dakwah tersebut.
            Selain itu,  dakwah juga boleh dilakukan dengan mauizah al-hasanah iaitu dengan menggunakan tutur kata yang baik, perkataan yang berfaedah dan nasihat yang berguna. Pendakwah boleh menggunakan isi kandungan yang sesuai seperti cerita, contoh-contoh kes lain, kata-kata hikmah pujangga juga termasuklah ayat-ayat al-Quran al-Karim dan Hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Pendakwah hendaklah menggunakan bahasa yang berlapik, kiasan yang baik dan boleh diterima, serta menggunakan nada suara yang lemah-lembut ketika menyampaikan dakwah kepada mahasiswa berkenaan aurat untuk menjaga hati dan perasaan orang yang dinasihati itu. Dengan mempamerkan metod mauizah hasanah dalam mendekati mahasiswa untuk menyampaikan dakwah,ia akan dapat memberi kesedaran dalaman kepada mahasiswa itu  sendiri dan akan melakukan perubahan dengan sendiri tanpa paksaan.
         Sikap lemah- lembut penting dalam pendekatan dakwah kerana ia merupakan asas dalam bermuamalat. Seseorang da’i tidak dapat mengambil hati mad’unya kecuali apabila dia bergaul dengan penuh kelembutan sehingga menjadi mudah untuk menguasai mad’unya itu. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 159 yang membawa maksud : “Maka dengan sebab rahmat ( yang melimpah- limpah ) dari Allah ( kepadamu wahai Muhammad ), Engkau telah bersikap lemah- lembut kepada mereka ( sahabat- sahabat dan pengikutmu ), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu….”
    Bersikap lemah- lembut dalam dakwah bukan bererti tidak mempunyai pendirian, tidak juga bermaksud menolong ke arah keburukan. Akan tetapi, lemah- lembut adalah satu cara untuk menyampaikan kebenaran dan mendidik orang lain agar tunduk kepada kebenaran. Lemah- lembut dalam berdakwah mempunyai banyak kebaikan termasuklah dapat menyedarkan orang- orang yang terjerumus dalam perbuatan dosa dan maksiat.
        Pendekatan dakwah kepada mahasiswa tentang aurat juga dapat dilakukan dengan menggunakan metod, dakwah bil lisan. Pendakwah boleh menyampaikan pesanan, teguran dan nasihat kepada mahasiswa dengan pelbagai cara. Nasihat dari segi bahasa bermaksud lepas ( khulus ). Nasihat juga bermakna mengarahkan melakukan kebaikan kepada orang yang dinasihati. Nasihat merupakan alat maklum balas yang benar, jujur dan amat diperlukan dalam masyarakat Islam. Malahan perutusan anbia dilakukan atas misi penasihat. Nasihat merupakan manifestasi perasaan peka seorang muslim terhadap muslim yang lain. Nasihat ialah komunikasi dua hala. Oleh itu, orang yang dinasihati mestilah menerimanya dengan hati dan fikiran yang terbuka, senyum dan muka yang berseri dan penyataan kesyukuran yang jelas serta diikuti dengan kesungguhan untuk mula memperbaiki diri.
        Nasihat yang baik membawa contoh yang menarik serta mengingatkan sasaran dakwah dengan al-Quran dan menyanggah tentangan mereka dengan baik. Mereka juga tidak diberi paksaan untuk menjalankan segala apa yang telah disampaikan kepada mereka. Nasihat yang baik ini bermaksud pendakwah menggunakan perkataan yang baik dan boleh diterima oleh mad’u, tutur kata yang tersusun, penggunaan gaya bahasa yang mudah difahami, lemah lembut dan mesra.
Sebagai contoh, sebagai seorang rakan, pendakwah boleh menegur rakan mahasiswanya yang lain ketika melakukan aktiviti seharian bersama. Pendakwah juga boleh memberi nasihat ketika sedang berbual dan berehat dengan rakannnya. Dengan cara ini, mahasiswa tersebut akan mungkin sedar dan akan cuba untuk melakukan perubahan sedikit demi sedikit.
      Seterusnya, mahasiswa juga dapat didekati dengan menggunakan kaedah dakwah bil hal. Sebagai pendakwah wanita, pemakaian kita sendiri merupakan cara yang paling mudah untuk kita berdakwah kepada sasaran dakwah. Melalui pemakaian yang menutup aurat, kemas dan bersih akan menyebabkan mahasiswa tertarik dengan cara kita berpakaian.
Walaupun pendakwah tidak mengajak dan menyeru kepada mahasiswa supaya menutup aurat, tetapi cukup dengan memakai pakaian yang menutup aurat dan mempamerkan akhlak yang baik, sekurang-kurangnya pendakwah menghidupkan suasana solehah yang baik dan diredhai Allah. Apabila suasana yang baik ini dihidupkan secara berterusan, mahasiswa atau sasaran dakwah akan mengikuti jejak langkah ini dan memberi kesedaran kepada mereka untuk menutup aurat dengan sempurna. 
        Seseorang pendakwah itu mestilah mempunyai akhlak yang mulia dan peribadi yang dihormati. Keadaan yang demikian diperlukan demi memberi keyakinan kepada orang lain bahawa orang yang diminta pertolongan ialah seorang yang berwibawa. Oleh itu, penasihat mestilah menampilkan diri sebagai teladan dan boleh memberi keyakinan kepada orang lain. Jika penasihat sendiri tidak memenuhi syarat sedemikian, maka orang lain akan mempunyai tanggapan yang salah terhadapnya. 
       Pendekatan lain yang dapat dilakukan ialah dengan mengadakan kempen tutup aurat secara besar-besaran. Kempen ini mestilah dianjurkan oleh persatuan mahasiswa sendiri supaya kemen tersebut akan memberi kesan kepada mahasiswa itu sendiri. Kempen ini hendaklah dilakukan secara berkala seperti sekali sebulan supaya budaya ingat-mengingati itu menjadi satu budaya yang tidak janggal dalam kalangan mahasiswa.
Kempen menutup aurat boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Contohnya mengadakan sesi perbincangan dan bual bicara antara mahasiswa tentang aurat, mengedarkan poster dan risalah tentang aurat dan mempamerkan kain rentang tentang aurat. Keadaan ini menjadikan mahasiswa itu  akan merasakan menutup aurat itu bukan sahaja satu kewajipan, tetapi ia merupakan maruah yang wajib dijaga dan ditutup dengan baik.


 Pendekatan dakwah kepada mahasiswa juga boleh dilakukan melalui media massa. Pendakwah hendaklah kreatif dalam menyampaikan dakwah kepada mahasiswa. Hal ini demikian kerana mereka merupakan remaja yang sentiasa inginkan kelainan dan yang terkini. Pendakwah boleh mencipta pelbagai jenis poster, poskad yang mengandungi kata-kata dakwah berkenaan aurat, kepentingan menutup aurat, ganjaran bagi orang yang menutup aurat.
            Di samping itu, pendakwah juga boleh membuat filem mengenai balasan orang yang tidak menutup aurat. Cerita dalam filem itu itu mungkin secara tidak langsungakan menyuntik keinsafan dalam kalangan penonton untuk berubah supaya menutup aurat denan sempurna. Apabila pelbagai medium dakwah yang digunakan, dakwah dapat diterima dengan jelas dan menarik minat sasaran dakwah iaitu mahasiswa untuk mengikuti sekaligus mencontohinya.
            Seperti yang kita sedia maklum bahawa mahasiswa merupakan golongan intelektual yang merupakan pelapis negara yang bakal menerajui kepimpinan sekaligus diharapkan dapat membangunkan dan memajukan negara ini pada masa hadapan.
Orang yang menuntut ilmu ialah orang yang mulia. Maka, mahasiswa perlu menjaga  status sebagai seorang yang matlamat keberadaannya di sini dengan qasad yang suci iaitu untuk menyiapkan diri sebagai seorang yang berilmu.
 Setiap mahasiswa  yang menuntut ilmu perlu peka dengan adab dan akhlak yang mesti dipatuhi untuk menuntut ilmu. Adab dan akhlak ini wajib dipatuhi oleh setiap mahasiswa agar ilmu yang ditimba mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.



 RUJUKAN :
Fathi Yakan. 1985. Abjadiyyat al-Tasawwur al-haraki al-Duat. Beirut: Muassasah al-Risalah.

Husni Adham Jarrar. 1984. Al-Dakwah ila al-Islam :  Mafahim fi Minhaj wa Wajibat.

M. Natsir. 1980. Fiqhud-da’wah. Singapura: Pustaka Nasional.

Mustafa Ar-Rafie. 2004. Dakwah dan Keunggulan Para Daie. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd.
Siti Zalikhah Md. Nor. 2008. Kaunseling Menurut Perspektif Islam. Dawama Sdn. Bhd;     Selangor
Sulaiman Ibrahim, Ahmad Asnawi Hj. Hassan, Berhanuddin Abdullah, Fariza. 2001. Metodologi Dakwah.Pusat Pengajian  Jarak Jauh, UKM. Bangi.


No comments:

Post a Comment