Powered By Blogger

Tuesday, 7 July 2015

KENABIAN DAN KERASULAN MENURUT ULAMA’ KALAM


        PENDAHULUAN
                 
 Dalam akidah Islam, Nabi dan Rasul adalah manusia yang istimewa kerana mereka dipilh dan dilantik oleh Allah dan diberikan wahyu kepada mereka. Wahyu yang diterima daripada Allah mengandungi aspek akidah, akhlak dan syariah untuk manusia terima, fahami dan ikuti dalam hidup mereka di dunia ini.
     
 Satu sumber yang mengira jumlah perkataan Nabi dan Rasul dalam al- Quran menyatakan bahawa perkataan Nabi disebut sebanyak 75 kali iaitu 54 dalam bentuk mufrad, ‘nabi’ dan 21 dalam bentuk jamak, ‘anbiya’. Manakala perkataan Rasul pula disebut sebanyak 332 kali dalam al- Quran, iaitu 236 dalam bentuk mufrad,’rasul’ dan 96 kali dalam bentuk jamak, ‘rusul’.

            Beriman kepada kenabian dan kerasulan merupakan satu daripada rukun iman. Hadis Nabi Muhammad S.A.W yang membawa maksud: “ Iman itu ialah percaya kepada Allah, Malaikat- Nya, Kitab- Nya, Rasul- Nya, hari akhirat dan percaya kepada Qada’ dan Qadar”.

            Ulama Islam menjelaskan bahawa beriman kepada Nabi dan Rasul merupakan laluan utama untuk manusia mengetahui dan beriman dengan rukun- rukun iman yang lain. Beriman kepada Nabi dan Rasul dapat memberikan makrifah sebenar tentang perkara- perkara yang berkaitan dengan akidah Islam yang wajib difahami dan diimani oleh setiap orang Islam.

            Setelah Allah mengutuskan Nabi dan Rasul, manusia tidak dapat lagi berhujah bahawa mereka sesat kerana tidak diutuskan Nabi dan Rasul. Hal ini demikian kerana Nabi dan Rasul ditugaskan sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amran kepada manusia. Berita baik ialah kebaikan di dunia dan akhirat kepada manusia yang mentaati perintah Allah manakala berita buruk ialah penderitaan dan seksaan di dunia dan akhirat kepada manusia yang tidak melaksanakan suruhan Allah Taala.
           

                PENGERTIAN NABI DAN RASUL

Perkataan Nabi dan Rasul berasal daripada perkataan Arab. Bagi perkataan Nabi , terdapat dua kata terbitan atau dikenali juga sebagai masdar. Pertama, perkataan nabi berasal dari kata terbitan ‘al- naba’ yang bermaksud perkhabaran atau pemberitahuan. Maka, ‘al nabi’ bererti pemberita atau pemberitahu.

Kedua, perkataan nabi berasal daripada kata terbitan  ‘al- nabwah’atau ‘al- nabawah’  yang membawa maksud kedudukan atau tempat tinggi atau mulia. Maka, al- nabi adalah seorang yang berkedudukan tinggi dan mulia.Merujuk kepada dua kata terbitan berkenaan, perkataan  al- nabi’ mempunyai lima pengertian. Pertama, satu kawasan tanah tinggi. Kedua, satu tanda daripada tanda- tanda di alam yang dijadikan panduan. Ketiga, satu tempat yang tinggi kedudukannya. Keempat, satu jalan dan yang kelima ialah seorang pengkhabar.

            Seorang Nabi juga mempunyai hubungan secara langsung dengan ‘al- nubuwwah’ dan ‘al-tanabbu’ . ‘Al- tanabbu’ membawa erti perkhabaran perkara yang belum berlaku dan yang akan berlaku berpandukan tanda- tanda atau berita- berita tertentu. Manakala, perkataan al- nubuwwah bermaksud taklif Allah kepada seseorang yang dipilih-Nya untuk menyampaikan risalah- Nya kepada manusia.

            Perkataan nabi dari sudut istilah juga memberi pengertian pemberitahuan Allah kepada mereka yang dipilih dalam kalangan manusia untuk mengangkatnya ke tempat atau darjat yang lebih tinggi dengan memberi wahyu kepadanya.

Manakala perkataan ‘rasul’ adalah mufrad dan jamaknya ialah ‘rusul’. Rasul bermaksud seseorang yang diutuskan yang mengikuti permakluman daripada yang mengutuskannya. Rasul adalah manusia yang dipilih dan dilantik oleh Allah dan manusia yang menjadi umat kepada Rasul itu adalah sasaran di mana Rasul itu diutuskan. 

Selain itu, takrif rasul dari sudut berasal dari perkataan ‘al- risalah’ yang bermaksud penjelasan kepada sesuatu perkara yang mana Rasul adalah sumber kepada berita- berita daripada Allah. Rasul dari sudut istilah ialah seorang lelaki dari Bani Adam yang diwahyukan oleh Allah kepadanya dengan satu perintah. Sekiranya perintah itu dikehendaki menyampaikan kepada manusia, ia adalah Nabi dan Rasul.

 
   PENGUTUSAN NABI DAN RASUL

Berkaitan dengan pengutusan Nabi dan Rasul menurut pendapat Muktazilah, hukumnya adalah wajib. Justeru itu, mereka berpendapat bahawa pengutusan rasul itu wajib bagi Allah. Mereka berpendapat demikian dengan membawa beberapa dalil dah hujah.

            Pertama, Allah itu wajib bersifat lemah lembut. Ini bererti Allah tidak zalim dan sentiasa berlaku adil. Pengutusan rasul menunjukkan keadilan Allah dan lemah lembut Allah bersesuaian dengan konsep baik dan lebih baik yang wajib dijaga oleh Allah untuk kebaikan hamba-Nya. Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya dan wajib membalas kebaikan yang dilakukan oleh hamba-Nya sesuai dengan janji Allah. Lemah lembut Allah terhadap makhluk ini terdapat juga dalam konsep al- Manzilah bayn al- Manzilatain yang mana menurut pendapat mereka, Allah tidak akan menzalimi orang yang melakukan dosa besar iaitu mereka tidak kafir dan mereka tidak mukmin tetapi berada di antara dua kedudukan ini. 

            Oleh itu, mereka berpendapat Allah wajib membalas kebaikan yang dilakukan dan wajib membalas kejahatan dengan kadar yang telah dilakukan oleh hamba- Nya. Selain itu, meeka turut berpendapat bahawa mustahil Allah bersifat keras dan zalim bahkan ianya bertentangan dengan konsep keadilan mereka. Oleh yang demikian, Allah wajib bersifat adil dengan mengutuskan rasul untuk membimbing manusia ke jalan yang diredhainya.

            Kedua, Allah wajib melakukan al- Salah wa al- Aalah. Ini menunjukkan kepada keadilan Allah terhadap hamba- Nya. Sesungguhnya, Allah suci dari sebarang kezaliman dan Allah melakukan sesuatu itu adalah untuk kebaikan hamba- Nya. Oleh itu, Allah memberikan sepenuh kebebasan kepada hamba- Nya untuk melakukan segala perbuatan sehingga membawa kepada menafikan qada’ dan qadar dan dari aspek lain mereka mengikat kebebasan itu dengan kebebasan Allah dan qudrat Allah di bawah konsep keadilan. 

            Di samping itu, mereka berpendapat Allah tidak berkuasa untuk melakukan terhadap hamba- Nya apa yang menyalahi aslah hambanya. Allah juga tidak berkuasa menambahkan azab hamba- Nya walaupun sebesar zarah terhadap dosa yang tidak dilakukan oleh hamba- Nya. Oleh yang demikan, wajib bagi Allah mengutus rasul untuk kemaslahatan manusia agar manusia melakukan sesuatu yang baik dan terbaik.


HIKMAH PENGUTUSAN RASUL 

Al- Asya’irah
 
Aliran al-Asya’irah mengakui manusia memerlukan rasul kerana asul membawa apa yang diperlukan oleh manusia untuk pembentukan taklif, nilai, peraturan atau suruhan dan larangan dalam risalah mereka.Sebagai contoh, perkara sam’iyyat tidak dapat diketahui oleh akal, maka ia adalah wajib diketahui melalui penjelasan rasul bukan melalui akal. 

            Golongan ini berpegang dengan dalil sebagaimana firman Allah dalam surah Isra’ ayat 15 yang membawa makud: “sesiapa yang beroleh petunjuk ( menurut panduan al- Quran ),maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya itu hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan emikul dosa perbuatan orang lain ( bahkan dosa usahanya juga ).Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutusakan seorang rasul ( untuk menerangkan yang benar dan yang salah ).

            Golongan al- Asya’irah menyatakan bahawa rasul membawa kepada manusia tentang perkara yang tidak sampai oleh pemikiran akal dan ia adalah perkara asas dalam akidah seperti syurga dan neraka, dosa dan pahala dan lain- lain lagi. Justeru, itu golongan ini sepakat bahawa penilaian baik dan buruk yang diperolehi oleh akal adalah melalui syarak, ataupun melalui wahyu yang disampaikan oleh rasul kepada manusia.

            Berkaitan persoalan taklif, golongan ini berpegang bahawa taklif itu hanya diperolehi melalui rasil, bukan melalui akal. Dari situ jelas menunjukkan bahawa sekiranya rasul tidak diutuskan, manusia akan bersendirian dengan akal yang tidak mempunyai apa- apa taklif. Justeru itu, orang yang berakal semata- mati tidak wajib mengerjakan sesuatu kecuali melalui wahyu dari Allah menerusi rasul- Nya.

            Selain itu, orang berakal juga tidak wajib meninggalkan sesuatu perintah kecuali dengan wahyu dari Allah melalui rasul- Nya. Ekoran hal tersebut, golongan Al- Asya’irah berpendapat : “Tidak sah Isam mereka yang tidak sampai seruan rasul”. Oleh itu, hanya rasul yang menjadi asas taklif manusia, menyampaikan suruhan dan larangan dan menyampaikan taklif.

          Mereka juga berpendapat bahawa perutusan rasul adalah salah satu bentuk taufiq umum daripada Allah kepada manusia di mana taufiq umum itu meliputi kewujudan dalil- dalil, perutusan rasul serta memudahkan jalan supaya tiad lagi hujah manusia terhadap Allah selepas diutuskan rasul.
          
  Walaupun perutusan rasul itu penting kepada manusia, namun mereka berpendapat Allah tidak wajib mengutuskan rasul dan perutusan rasul adalah perkara harus dan bukan mustahil. Harus, wajib dan mustahil di sini ialah dari ukuran keputusan akal terhadap perbuatan Allah.


       Al- Maturidiah
 
Menurut golongan ini, sememangnya manusia memerlukan rasul. Walaupun manusia ditaklifkan berasaskan akal dan akal merupakan sebab taklif, namun taklif hanya berlaku melalui syarak. Maka, untuk merealisasikan syarak, Allah mengutuskan rasul di samping akal yang sedia ada pada diri setiap manusia.
          
  Golongan ini juga berpendapat perutusan rasul itu adalah harus dan bukan wajib bagi Allah untuk membimbing manusia serta akal kea rah kebenaran dan membendung kezaliman.Manusia itu memerlukan rasul berasaskan tiga faktor.   

            Pertama, dalam kalangan manusia sememangnya ada perselisihan dalam menentukan kebenaran. Justeru itu, perlu ada orang yang mulia, terhormat dan terpilih untuk menyelesaikan perselisihan tersebut dari berlaku perpecahan dan kemusnahan.

            Kedua, dalam kalangan ulama dan manusia itu tidak sama tahap pemikiran dan ilmu merek khususnya dalam menentukan urusan dunia dan agama. Maka, Allah mengutuskan rasul untuk menentukan perkara tersebut.

            Ketiga, akal manusia diakui tidak mampu menilai perkara baik kecil atau besar kerana akal itu sentiasa dipengaruhi oleh angan- angan, kedukaan serta nafsu. Justeru itu, manusia memerlukan rasul untuk membawa mereka ke arah jalan yang benar.

            Sekiranya akal seseorang itu mampu mengatasi atau mengambil tempat peranan para rasul dan rasul tidak diperlukan, nescaya harus juga bagi Allah mengutuskan rasul sebagai rahmat dan untuk melebihkan lagi nikmat- Nya terhadap manusia. Justeru itu, perutusan rasul itu bersifat ihsan dan pertolongan dari Allah untuk menyelesaikan masalah manusia. 

    Muktazilah
 
Puak Muktazilah membicarakan berkaitan kepentingan Rasul diutuskan kepada manusia adalah di bawah prinsip keadilan Allah yang mana merupakan salah satu dari prinsip mereka yang lima. Allah tidak membuat keburukan, tidak mengkendakinya atau tidak memilihnya. Sebaliknya, Allah menciptakan hamba- Nya untuk faedah mereka, bukan untuk kemudaratan mereka. Itulah pegangan Muktazilah mengenai keadilan Allah.

            Golongan ini berpendapat bahawa Allah mengutuskan Rasul sebagai pembawa kebaikan daripada Allah kepada manusia kerana perutusan rasul itu merupakan salah satu perbuatan Allah. Justeru itu, menurut pegangan mereka, perutusan rasul itu adalah wajib hukumnya bagi Allah. 

            Selain itu, mereka turut menyatakan bahawa perutusn rasul diterima oleh akal dan akal sememangnya memerlukan rasul. Mereka berhujah bahawa perbuatan itu tidak dapat diberikan penilaian baik atau buruk kecuali rasul yang memberi penilaiannya. Akal dan rasul, dua bentuk yang berbeza tetapi menuju kea rah kemaslahatan dan membendung kerosakan.

            Golongan Muktazilah memberi peranan akal lebih bebas dan luas dari golongan Maturidiah. Malahan ada sesetengah dari mereka bebas menggunakan akal sepeti mentafsir al- Quran dan hadis. Namun begitu, golongan ini masih mengakui manusia memerlukan rasul untuk mengetahui hikmat segala perbuatan yang disuruh atau ditegah oleh Allah.

            Muktazilah juga berpegang bahawa akal manusia sudah mencukupi untuk mentaklifkan manusia mmengenai penilaian baik atau buruk. Dalam kes tertentu disebabkan tidak semua perbuatan manusia dapat difahami oleh akal tentang baik atau buruknya, maka manusia memerlukan rasul untuk memberitahu akal mengenai perkara tersebut.



PANDANGAN ULAMA KALAM MENGENAI KENABIAN DAN KERASULAN

 Bagi ulama ilmu kalam, beriman dengan akidah Islam khususnya kepada Rasul dan Nabi adalah merupakan salah rukun Iman dan wajib beriman dengannya. Maka, setiap orang yang beriman wajib meyakini bahawa Allah telah mengutus beberapa Pesuruh-Nya dari golongan manusia sendiri untuk melaksanakan tugas menyampaikan ajaran kepada umatnya apa yang diperintahkan kepada mereka untuk menyampaikannya, dan menjelaskan hukum-hukum berkenaan dengan perbuatan manusia sama ada yang dituntut atau yang ditegah. 

 Manusia wajib beriman dengan para Rasul dan Nabi dan wajib mempercayai dan membenarakn mereka yang menjalankan tugas berdasarkan perintah Allah dan wajib bagi manusia mengikuti apa sahaja yang diperintahkan oleh mereka dan apa yang ditegah oleh mereka wajib di ditinggalkan. Begitu juga, manusia wajib ber’itikad bahawa para Rasul dan Nabi yang diutuskan Allah kepadanya dari kitab suci yang mengandungi perintah dan pengajaran yang harus disampaikan dan mengandungi hukum-hukum dan kisah-kisah. Manusia juga wajib beriman dengan kitab suci yang diturunkan kepada para Nabi dan Rasul itu adalah benar iaitu sesuatu yang tidak dapat  diselami oleh akal dan diluar kemampuan manusia menciptanya. Ia merupakan mukjizat kepada para Rasul yang menjadi bukti kerasulan dan kebenaran dakwahnya.

            Menurut buku aqidah Islam siri Imam al-Ghazali yang disaring oleh Yusoff Zaki Yacob berkenaan dengan kenabian dan kerasulan berdasarkan pandangan ilmu kalam ialah mengakui bahawa Allah telah mengutuskan seorang Nabi yang ummi dari suku Quraisy bernama Muhammad s.a.w kepada seluruh manusia dan jin.

Di samping itu, mengakui bahawa syaritat yang dibawa oleh Nabi ialah dari Allah dan Allah telah meninggikan darjat Nabi Muhammad dari para Nabi lain dan menjadikannya penghulu bagi umat manusia. Kesempurnaan iman tidak akan tercapai bagi setiap muslim dengan hanya mengucap dua kalimah syahadah sekiranya tidak disertai dengan keimanan kepada para Nabi dan apa yang disampaikan oleh Nabi baik perkara yang berkaitan urusan dunia mahupun urusan akhirat.

            Selain itu, menurut al-Ghazali, manusia perlu beriman kepada Nabi dan rasul kerana iman seseorang itu tidak diterima kecuali ia percaya kepada perkara-perkara selepas mati sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Sebagai contohnya, pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir iaitu dua malaikat yang akan bertanya kepada seseorang yang telah mati di dalam kuburnya tentang kepercayaannya terhadap Allah dan Rasulullah s.a.w. Kedua-duanya akan mengemukakan pertanyaan siapakah Tuhanmu? Apakah agamamu? Dan siapakah nabi mu? Kedua-dua merupakan penduga kubur dan pertanyaan mereka merupakan dugaan pertama yang akan dihadapi seseorang selepas matinya. Oleh itu, sebagai manusia dan umat, kita hendaklah sentiasa mengingati dan berselawat kepasa Nabi dan Rasul. Hal ini kerena, Nabi memberi syafaar yang besar kepada semasa di dalam kubur dan di hari akhirat.

            Menurut al-Ghazali lagi, manusia wajib memepercayai terhadap syafaat para anbia, kemudia para mu’min mengikut darjat kelebihan masing-masing di sisi Allah. Orang mukmin wajib mempercayai kelebihan para sahabat Rasulullah sa.w. Selain uitu, manusia wajib mempercayai kelebihan para sahabat s.a.w. ialah Abu Bakar mengikut kemudian Usman dan Ali.
           
            Di samping itu, Taib Tahir Abdul Muin dalam bukunya Ilmu Kalam menjelaskan tentang keimanan kepada Nabi dan Rasulullah adalah wajib serta wajib mempercayai bahawa mereka manusia  yang dipilih untuk menjadi utusan Allah untuk menyampaikan hukum-hukum, undang-undang, atau peraturan kepada manusia dalam satu tempoh dan masa yang tertentu. Oleh kerana  Nabi dan Rasul itu utusan Allah, sudah tentulah mereka mempunyai sifat-sifat yang tertentu dan istimewa antara yang terpenting ialah sifat siddiq, amanah, tabligh, dan fathanah. Para Nabi dan Rasul juga terpelihara dari sifat-sifat yang tercela yang mencacatkan peribadi dan maruah mereka seperti tiada para Nabi dan Rasul yang cacat tubuh badan.

Seterusnya, para Nabi dan Rasul mempunyai keistimewaan dari segi mempunyai mukjizat. Menurut ulama ilmu kalam itu lagi, Rasul mempunyai 313 orang menurut riwayat salah satu Hadis, ada pun yang wajib dipercayai ialah 25 orang Rasul  sahaja dan ada lima di antara mereka yang dipanggil Ulul ‘azmi.
           
 Seorang ulama ilmu kalam yang terkenal iaitu Ali al-Sobuni menerangkan tentang perbezaan anatara Kenabian dan Raja. Kenabian adalah merupakan hadiah daripada Allah, dan dikhaskan tugas tersebut daripada Yang Maha berkuasa, diutuskan kepada siapa sahaja dari ciptaan-Nya. 

Pertama ialah kenabidan tidak dapat diwarisi kepada anak. Nabi bukanlah diwarisi berdasarkan jlana pewarisan bapa kepada anak. Tetapi ia dipilih oleh Allah sendiri, bahkan pemilihannya dilakukan secara tulen dan bijaksana.

 Kedua, kenabian tidak diberi kepada orang kafir selama-lamanya, dan tidak diberi kepada orang lain kecuali orang yang beriman, berbeza dengan pemilihan Sultan dan Raja yang diberi kepada sesiapa sahaja termasuk bukan orang beriman.

Ketiga, Nabi hanya dipilih dari kalangan kaum lelaki, tetapi pemilihan Raja atau Sultan boleh dipilih sama ada perempuan ataupun lelaki.
Keempat, medan kenabian sangat luas, mempunyai matlamat dan tujuan yang jelas,tujuan asas yang jelas iaitu menyampaikan dakwah, mengajak manusia beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat dan kesannya kepada kehidupan di dunia yang fana in. Selain itu Nabi bertanggungjawab memerintah dan mentadbir negara supaya berjalan dengan lancar. Manakala Raja tidak diwajibkan untuk menyampaikan dakwah kepada rakyat.

Ahmad menyatakan bahawa wajib pada semua Rasul empat perkara iaitu siddiq, amanah, tabligh, fatanah dan mustahil pada semua Rasul lawan kepada yang wajib iaitu dusta, khianat, menyembunyi dan bodoh. Dan harus pada hak segala Nabi dan Rasul itu segala sifat manusia yang tiada mengurangkan ketinggian martabat mereka seperti makan, minum,sakit.
             
Menurut Ahmad lagi, para Nabi dan Rasul tidak bersifat dengan sifat ketuhanan dan sifat Malaikat dan mereka juga tidak bersifat dengan sifat- sifat manusia yang buruk dan keji dan sifat yang mencacatkan hikmah pengutusan Nabi dan Rasul berkenaan kepada manusia. 

            Wajib beriman dengan segala atau semua Rasul dan Nabi atas jalan Ijmal iaitu mengiktikadkan bahawa ada bagi Allah itu beberapa banyak Rusul dan Anbia, dan pendapat yang sahih dalam kalangan ulama Islam menyatakan bilangan  Nabi dan Rasul tidak terbatas atau terhitung walaupun ada yang menyatakan bilangan Nabi seramai seratus ribu, dan dua puluh empat ribu dan bilangan Rasul daripada kalangan Nabi itu seramai 313 orang orang.

            Dan dua puluh lima Rasul yang disebutkan nama mereka itu dalam al- Quran wajib beriman dengan mereka itu satu persatu iaitu Adam, Idris, Nuh, Hud, Salih, Ibrahim, Lut, Ishaq, Ismail, Yaaqub, Yusuf, Ayyub, Shu’ayb, Yahya, Isa, Muhammad. Wajib beriman bahawa Allah mengutuskan Anbia dan para Rasul dengan beberapa mukjizat tanda kebenaran mereka itu. 

Kenabian tidak dapat diusahakan oleh seseorang dengan usahanya walaupun dengan membanyakkan kebajikan dan ibadah kerana kenabian itu semata- mata kurniaan Allah kepada manusia yang dikehendaki Allah untuk dipilih menjadi Nabi- nabi. Dan wajib iktikad bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah afdal daripada semua makhluk dan yang afdal selepas baginda adalah Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Nuh dan lima Nabi itu digelarkan Ulu al- ‘azmi, dan selepas mereka itu segala Rasul yang lain dan kemudian semua Nabi yang bukan Rasul.
        
    Seterusnya,kenabian dan kerasulan berkait rapat dengan ahli sunnah wal jamaah yang mana pengikut nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad s.a.w. merupakan ahli sunnah wal jamaah. Mereka meupakan golongan yang berpegang pada sunnah dan golongan yang berlawan dengan golongan muktazilah yang bersifat minority dan tidak berpegang kuat kepada sunnah. Al-Asy’ari juga merupakan seorang ahli golongan mazhab muktazilah, namun setelah mendapati aliran tersebut sedikit menyeleweng, beliau telah keluar dari mazhab tersebut dan membentuk teologi baru yang berpegang kuat pada hadis Rasulullah s.a.w. Kemudain al-Asy’ari bersama dengan ahli sunnah wal jamaah, atas pengaruh al-Ghazali, ajaran al-Asy’ari yang serupa inlah yang meluas dalam kalangan Islam ahli Sunnah wal jamaah.


      KESIMPULAN

Kesimpulannya, kenabian dan kerasulan diambil perhatian dari setiap aliran mazhab, aliran pemikiran dalam Islam kerana ia merupakan salah satu aspek keimanan setiap manusia yang bergelar muslim. Kesemua aliran pemikiran ini menerima pengutusan Nabi dan Rasul ini sebagai perkara yang penting dan perkara yang menjadi keperluan kepada umat manusia.
            
 Nabi dan Rasul diutuskan untuk member panduan hidup kepada manusia tentang perintah dan larangan Allah sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Nabi dan Rasul diutuskan juga untuk memimpin manusia.
            
 Sebagaimana dalam buku Risalah Tauhid, para Rasul meletakkan umat manusia batas-batas larangan menurut yang diperintahkan oleh Allah sehingga memudahkan manusia itu kembali kepada fitrah yang baik. Rasul juga mensyariatkan kepada manusia supaya membentuk diri dengan sifat-sifat utama seperti benar, amanah, menyempurnakan janji.
             
Secara keseluruhannya, pendirian ulama ilmu kalam berkenaan kerasulan dan kenabian ialah mempercayai dan meyakini pengutusan Rasul kepada umat manusia adalah merupakan salah satu rukun iman yang wajib ber’iktikad dengannya. Oleh itu, setiap orang yang beriman wajib meyakini bahawa Allah mengutus beberapa orang Rasul dari golongan manusia sendiri untuk menyampaikan perintah dan larangan Allah.


   RUJUKAN

Al-Quran
Harun Nasution, 1972. Teologi Islam. Jakarta. Yayasan penerbit Universitas Indonesia.
Ibrahim Abu Bakar. 2010. Usuluddin Dalam Karya Arab dan Melayu Klasik. Selangor: Jabatan Usuluddin Dan Falsafah UKM.

Mohd Nasir Omar, Ibrahim Abu Bakar. 2011. Akidah Dan Akhlak Islam. Selangor: Pusat Penerbitan Dan Percetakan UKM.

Muhsin Qiraati. 2007. Ushuluddin. Jakarta: Penerbit Cahaya.

Muhammad ‘Abduh. 1972. Risalah Tauhid. Jakarta. Penerbit Bulan Bintang.
Muhammad Ali al-Sobuni. 1998. Al-Nubuwah al-Anbiya.Kaherah. Dar al-Sobuni.
Osman Bin Jantan. 1983. Pedoman Ilmu Tauhid. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.       
      
Rosmawati Ali. t. th. Pengantar Ilmu Akidah. Selangor: Pustaka Salam Sdn. Bhd. 

Yusoff Zaky Yacob. 1979. Siri al-Imam al-Ghazali 2, Aqidah Islam. Kelantan. Syarikat Dian Sdn. Bhd.
Taib Thahir Abdul Mu’in. 1966. Ilmu Kalam. Jakarta. Penerbit Widjaya.
Shaykh Naasir al-‘Aql, 1999. General Precepts of Ahlus-Sunnah wal-Jamaa’ah. United Kingdom. British Library Cataloguing in Publishing Data.

1 comment: