Powered By Blogger

Thursday, 9 January 2014

" FITRAH BERAGAMA MANUSIA & HUBUNGANNYA DENGAN PEMILIHAN ISLAM SEBAGAI AGAMA YANG BENAR "


PENDAHULUAN

Allah S.W.T telah mensyariatkan kepada manusia apa yang diketahuiNya sesuatu yang bersesuaian dengan fitrah mereka. Oleh kerana fitrah manusia berhajat kepada al-din, maka Islamlah yang selaras dengan fitrah mereka lantaran kedua-duanya adalah ciptaan Allah. Sebagaimana yang diketahui, Islam merupakan cara hidup paling baik dan sempurna dalam mengatur seluruh bidang kehidupan manusia.

Dalam konteks Islam, pedoman rabbanilah yang menjadi petunjuk agar manusia terpandu dalam memahami makna penciptaan dan memahami Penciptanya. Akhlak mulia adalah tata cara hidup dan kehidupan manusia yang diatur oleh Allah S.W.T. Dan akhlak yang diatur oleh Allah S.W.T pasti sangat sesuai dengan fitrah manusia iaitu untuk kebaikan, kemuliaan, kesejahteraaan, keselamatan dan kedamaian manusia. Dan semua tata cara hidup dan kehidupan itu ada dalam al-Quran.

Apabila peraturan Islam dihayati serta dilaksanakan di dalam realiti kehidupan, secara langsung ia akan membentuk seseorang itu menjadi insan muttaqin. Perkara ini tidak dapat dihasilkan dengan amalan-amalan lahiriah sahaja, seseorang itu  perlu juga merubah diri dari dalam.

Tiada satu aspek pun yang berkait dengan kehidupan umat manusia terlepas dari perhatian syariat Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung. Oleh sebab itu, nas-nas dalam al-Quran mengandungi keterangan yang membina akidah dan hukum-hukumnya, hubungan manusia dengan Allah dan panduan beribadat kepada-Nya, hubungan manusia sesama manusi serta kaedah-kaedah pergaulan sesama makhluk, dan panduan hidup bermasyarakat berupa adab, muamalat, susunan hubungan individu, kumpulan dan seterusnya asas-asas aturan sebuah kehidupan yang lurus.

Tasawwur hidup berteraskan akidah yang berkembang dalam jalur syariah, akan dipantulkan melalui akhlak yang jernih dan bakal memberi petunjuk kepada manusia untuk mengetahui batas benar dan salah, hak dan batil, adil dan zalim, maaruf dan mungkar. Tindakan dan amalan manusia berkait rapat dengan sejauh mana benarnya tasawwur itu di dalam diri mereka.



 FITRAH BERAGAMA MANUSIA

Apa yang dimaksudkan dengan fitrah ialah sesuatu yang serasi dengan diri atau sesuatu yang sesuai dengan cita rasa insani. Misalnya, jika seseorang itu pergi ke pasar, naluri yang fitrah akan memilih dan membeli ikan yang baik dan segar. Jiwa yang fitrah juga akan membeli sayur-sayuran yang hijau dan segar. Sekiranya seseorang itu memilih untuk membeli ikan yang busuk dan sayur yang sudah kuning atau layu, perbuatan itu adalah berlawanan dengan fitrah.

Sesungguhnya, fitrah itu wujud sejak manusia itu dilahirkan. Manusia dilahirkan dengan suatu kecenderungan semula jadi untuk mempercayai dan menyembah  Allah. Beragama adalah fitrah semula jadi yang telah sedia ada yang telah diletakkan oleh Maha Pencipta pada setiap insan. Naluri ini tetap ada dalam diri setiap manusia. Sekiranya manusia itu bersih jiwanya sejak awal kelahirannya maka ia dapat mengenali Allah dalam kelurusan dan kesempurnaannya. Kekotoran unsur kebumiannya dan kekotoran unsur nafsunya serta faktor alam sekeliling juga kebudayaannya menyebabkan manusia telah melupakan fitrah beragama dan tuntutannya.

Walaupun betapa tebal kelalaian dan kealpaan manusia itu, namun dalam detik tertentu manusia itu dengan sendirinya menyedari hakikat tersebut. Dalam detik inilah fitrah yang selama ini terpendam jauh dalam dasar laut kelupaan telah muncul berteriak dan melaung untuk kembali kepada Allah Maha Penciptanya, untuk memohon pertolongan dari kesusahan. Bahkan orang yang sengaja menafikan fitrah semulajadi ini akan kembali mengakuinya ketika maut telah mencengkam ke atas jiwanya. 

Walaupun fitrah asli tersebut layu, ia tidak terus mati meskipun terpendam jauh, ia tidak terus hilang. Bila ia ditimpa kesusahan dan kesempitan hidup, waktu itu tiada manusia yang dapat menolongnya, tiada orang yang dapat membantunya, maka tersingkaplah selaput kegekapan yang menyelubunginya, terserlahlah fitrah dalam diri itu, tercetuslah suara dari sanubari, merayu dan memohon keapada Rabbnya. 

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Rum ayat 33 yang membawa maksud, “ Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya…”

Fitrah keagamaan itu berkembang di dalam diri seseorang sama ada secara semula jadi atau dengan bimbingan dan didikan. Dalam hal ini, peranan Nabi ialah menghidupkan potensi fitrah keagamaan itu supaya berkembang mengikut bimbingan dan pandangan ajaran tauhid yang meletakkan keimanan kepada Allah S.W.T itu sebagai asas kepada pembentukan sistem kepercayaan dan sistem kehidupan yang menyeluruh.

Keperluan fitrah ini boleh diisi sepenuhnya jika rasa taat dan patuh wujud dalam jiwa setiap manusia. Allah telah mengurniakan kepada manusia petunjuk, pedoman, batasan-batasan, prinsip, amaran, ibrah, khabar gembira, peringatan dan lain-lain supaya ia dapat dipatuhi dan ditaati oleh manusia seisi alam. Apabila mereka patuh dan taat atas pedoman dan perintah-Nya, manfaatnya pasti kembali kepada manusia itu sendiri. 

Kejadian manusia juga telah dianugerahkan oleh Allah untuk memiliki banyak kelebihan di mana ia berlaku dalam keadaan fitrah dan terhubung rapat dengan sunnatullah. Manusia akan hidup, sihat, sakit, muda, tua dan akhirnya mati. Itulah sunnatullah atau ketentuan di mana setiap mereka tidak boleh mengelak daripada melaluinya. Menjadi fitrah juga apabila manusia diletakkan di bawah kawalan dan ketentuan-Nya. 

Antara kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia ialah akal. Allah mengurniakan akal kepada manusia supaya dapat membezakan baik dan buruk. Akal manusia juga dapat dipergunakan untuk berfikir atau memikirkan tentang kehebatan dan kebesaran alam ciptaan Allah S.W.T. 

Daripada berfikir membolehkan manusia tahu tentang sesuatu. Daripada tahu tentang sesuatu, ia membantu manusia memiliki ilmu pengetahuan. Ilmu menjadi penyuluh hidup, manjadi obor dan cahaya mengatasi kejahilan dan akhirnya menyebabkan manusia bersifat kreatif. Seterusnya berusaha menghasilkan sesuatu bagi mengekal dan menyuburkan dirinya supaya sentiasa berada dalam keadaan fitrah. 

Sungguhpun demikian, akal manusia memerlukan nur dari al-Quran dan sunnah. Tanpa bimbingan dari keduanya, manusia akan hilang punca dan mereka akan tersesat dari jalan kebenaran dan secara mudah akan mengabdikan diri kepada yang selain dari Allah. Akal yang seumpama inilah yang dimiliki oleh golongan yang tidak beriman sepeti penganut fahaman atheis, sekular, nasionalis, demokrasi, sosialis dan sebagainya lagi. Mereka seolah-olah berfikir bahawa untuk hidup di muka bumi tidak perlu kepada panduan Ilahi, bahkan cukup memadai dengan menggunakan akal mereka semata-mata. Hasil yang demikian tidaklah menghairankan jika mereka melaungkan semboyan “Tuhan telah mati”. 

Di samping akal, manusia juga dikurniakan oleh Allah S.W.T qalbu. Hujjatul Islam, Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menggambarkan qalbu manusia sebagai medan perebutan di antara roh suci dan nafsu jahat atau pun kita katakan qalbu manusia menjadi perebutan di antara malaikat dan syaitan. Kedua-duanya sentiasa berebut-rebut untuk menguasai qalbu manusia. Tetapi dalam banyak hal, syaitanlah yang selalunya menang kerana ia turut dibantu oleh nafsu yang sememangnya terdapat di dalam diri manusia sendiri. Syaitan dan nafsu siang malam sering bekerjasama untuk menguasai qalbu manusia, ditambah pula di zaman akhir-akhir ini pelbagai unsur luaran turut sama mempengaruhi qalbu manusia. 

Qalbu manusia yang tidak dikawal oleh syariat Allah S.W.T akan lebih cenderung bersifat tamak, rakus, hasad dengki dan bersifat dengan sifat-sifat kebinatangan. Untuk memelihara qalbu agar tidak mempunyai sifat-sifat mazmumah, beberapa aspek sepeti pembersihan jiwa, pendidikan Islam, akhlak dan tatasusila adalah amat penting untuk ditekankan. Itulah jalan terbaik untuk membentuk generasi manusia yang lurus pengabdiannya kepada Allah S.W.T. 

Wujudnya pelbagai malapetaka, bencana alam, peperangan yang tiada kesudahan di sana sini, krisis moral dan politik dan ribuan lagi kerosakan adalah disebabkan oleh perbuatan manusia sendiri yang tidak mahu tunduk dan patuh kepada hukum-hakam Allah S.W.T. Akibat tiadanya kepatuhan kepada agama Allah menyebabkan sebahagian manusia menzalimi manusia lain. Hikmahnya sebahagian bala dan malapetaka yang ditimpakan kepada manusia adalah semoga dengan penderitaan dan kepayahan yang dialami itu menyebabkan mereka bertaubat dan kembali kepada Allah. 

Untuk mengubati penyakit-penyakit masyarakat jahiliah, Rasulullah S.A.W melihat kepada masalah yang asasi, membebaskan hati manusia dari pengabdian kepada segala sesuatu yang selain Allah, dan berusaha mengubati itu dengan tauhid. Apabila masalah hati manusia dengan Allah dapat diselesaikan, pelbagai masalah yang lain yang kelihatan menggunung besarnya akan nanti kelihatan seperti batu-batu kerikil yang kecil.  

Sebenarnya dalam fitrah manusia terdapat ruang  yang tidak terpenuhi dengan ilmu pengetahuan dan juga falsafah, ia hanya terpenuhi dengan iman kepada Allah. Fitrah manusia itu akan dinaungi rasa keterasingan, lapar dan dahaga sehinggalah ia menemui Allah, beriman kepadaNya. Di sanalah ia memperolehi kerehatan setelah kepenatan, hilang dari dahaga, aman dari rasa takut. Di sanalah ia merasai hidayah selepas kebingungan dan merasa mantap setelah sebelumnya tidak menetu, tenang dan damai setelah keluh-kesah, menemui keluarga selepas jauh bermusafir kembara di rantau benua. 

 Fitrah ini walaupun dimiliki oleh golongan musyrikin di zaman jahiliyah, mereka mengingkarinya dengan penuh sombong lagi takbur dan bersifat keras kepala. Kadang-kadang terhimpun di atas fitrah ini mendapan-mendapan syubhat atau debu-debu syahwat. Kadang-kadang ia menyimpang jauh dan dicemari dengan ikutan kepada nenek moyang terdahulu, atau mentaati secara membuta tuli kepada pemimpin dan para pembesar. 

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 61 yang bermaksud, Dan kalau kamu bertanya kepada mereka ( golongan musyrikin) itu siapakah yang menciptakan langit dan bumi, menjalankan matahari dan bulan, nescaya mereka akan menjawab: Allah!”

Di Barat, timbul pelbagai aliran fahaman yang bertujuan untuk mencari makna diri dan kehidupan. Mereka telah menolak agama dan nilai-nilai kemanusiaan sebenar yang mampu membawa mereka ke arah fitrah insani. Aliran fahaman seperti rasionalisme, materialisme, humanisme dan sebagainya telah berkembang dalam kerangka akal dan pancaindera semata-mata. Mereka menolak faktor kepercayaan tanpa asas fakta, akal dan akhirnya aliran-aliran seperti ini menjerumuskan mereka kepada usaha terus mencari makna diri, makna hidup dan makna kemajuan  dan perubahan tanpa panduan yang hakikat. 

Manusia tidak berupaya untuk meneruskan kehidupan dalam ertikata sebenar tanpa adanya akidah. Ini adalah kerana aqidah merupakan fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia. Seorang cendekiawan Barat pernah mengungkapakan “bila ditanya kenapa saya beriman dengan Allah, saya tidak mampu menjawab soalan tersebut melainkan dengan jawapan serupa yang saya jawab bila ditanya kenapa saya tidur, makan dan minum. Makan minum, tidur merupakan keperluan wujudnya jasad, begitu juga iman merupakan keperluan wujudnya roh.


    PEMBAHAGIAN AGAMA

Terdapat pelbagai agama dalam masyarakat manusia disepanjang zaman. Bermula daripada masyarakat primitif sehinggalah masyarakat termoden di dunia hari ini. Agama yang dianuti di dunia ini terbahagi kepada dua iaitu agama samawi dan agama budaya atau ciptaan. 

 Agama Samawi atau agama Langit ialah segala agama yang bersumberkan daripada wahyu Ilahi, melalui perantaraan atau perutusan para rasul yang dikurniakan kitab. Agama Samawi ialah Islam, Yahudi dan Nasrani. Walaupun agama Samawi semuanya bersumberkan wahyu dan dari Allah, namun disebabkan penyelewengan dan pengubahsuaian yang telah dilakukan oleh penganut agama Yahudi terhadap kitab Taurat dan penganut agama Nasrani terhadap kitab Injil, maka agama Islam sahaja yang diterima oleh Allah selepas perutusan Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu agama Islam merupakan pelengkap kepada agama Samawi yang lain yang lain dan agama Islam sahaja yang diterima oleh Allah dan mesti diikuti hingga kiamat. 

Al-Quran merupakan pelengkap suhuf-suhuf dan kitab-kitab yang telah diturunkan kepada nabi-nabi sebelumnya.  Sebahagian kandungan kitab-kitab tersebut terkandung dalam al-Quran dan sebahagian lagi telah dihapuskan kerana bahagian tersebut telah disempurnakan dengan ajaran Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Maidah ayat 3 yang membawa maksud “…Pada hari ini telah Ku sempurnakan agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Ku redai Islam menjadi agamamu. Maka barang siapa terpaksa melakukan dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” 

Manakala agama ciptaan ialah agama yang dicipta oleh manusia dan tidak mempunyai kitab. Agama ciptaan itu ada banyak dan semuanya tidak diterima oleh Allah S.W.T. Antara agama ciptaan ialah Hindu, Sikh, Buddha, Kung Fu Tze dan lain-lain lagi. Sesiapa yang membawa dan mengikuti agama ciptaan itu adalah kufur dan mereka akan ditempatkan ke dalam neraka.

Hanya Islam yang diredai oleh Allah S.W.T. Selepas diturunkan al-Quran, maka semua ajaran sebelumnya telah ditamatkan penggunaannya, hanya Islam satu-satunya panduan hidup manusia. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 19 yang membawa maksud “ Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah S.W.T hanyalah Islam.


    PEMILIHAN ISLAM SEBAGAI AGAMA YANG BENAR

   Pengertian Islam

Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu salam, salima dan aslama. Salam bermakna selamat, sejahtera, harmoni serta aman damai manakala salima bermakna tulen. Aslama pula bermakna patuh dan menyerah diri kepada Allah S.W.T semata-mata. Jadi Muslim bermaksud menyerah diri dan patuh kepada perintah Allah S.W.T serta melaksanakan perintah Allah S.W.T dan meninggalkan larangan-Nya. Muslim tidak terhad kepada manusia. 

Islam boleh didefinisikan sebagai suatu pegangan hidup secara sederhana yang memerlukan seseorang itu taat, patuh dan tunduk menyerah diri kepada perintah suruhan dan larangan Allah S.W.T sepenuhnya melibatkan hubungan dengan Allah S.W.T, sesama manusia dan alam, dalam urusan dunia dan akhirat. 

Islam adalah agama yang sangat terbuka, sesuai dan relevan untuk siapa sahaja dan di mana sahaja. Islam adalah agama damai, mengajarkan kedamaian dan menciptakan perdamaian. Islam adalah agama selamat, mengajarkan keselamatan dan menciptakan keselamatan. Ucapan salam membuktikan bahawa Islam mengajar kedamaian. Ucapan tersebut mendoakan supaya semua manusia mencapai kesejahteraan.

Allah S.W.T menjadikan Islam sebagai agama yang lengkap dan sempurna mencakupi semua bidang dalam kehidupan manusia. Undang-undang asas diturunkan melalui wahyunya berupa kitab suci al-Quran yang sesuai untuk dilaksanakan sepanjang zaman. Kemudian manusia diberi kelebihan akal dan fikiran untuk mengurus dan mentadbir. Sebab itu Allah memberi kuasa kepada manusia untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini. 

Islam adalah dasar hidup yang lengkap untuk seluruh manusia merangkumi bidang kerohanian, kebendaan, individu, masyarakat, keagamaan, keduniaan, teori dan juga praktikal. Kesemua urusan hidup manusia wajiblah berlandaskan kepada ajaran Islam yang syumul menurut apa yang telah ditentukan oleh Allah sama ada berupa aqidah, ibadat, akhlak, pergaulan, persaudaraan dan lain-lain lagi.

Firman Allah Taala dalam surah Ar-Rum ayat 30 yang bererti, “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah. Tetapkanlah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Ketika seseorang mengungkapkan kalimah syahadah, bererti pada saat itu dia telah mengakui bahawa satu-satunya hukum yang harus dipatuhi adalah hukum Allah, yang berdaulat atas dirinya hanyalah Allah. Allah sahajalah yang harus dipatuhi, dan hanya perkara-perkara benar ( haq ) menurut Allah dan RasulNya sahajalah yang diyakini benar.  

Seseorang itu dikatakan sebagai muslim apabila menerima iman sebagai suatu metodologi untuk meyakini faktor-faktor ghaib, yang mana ia memberi jalan keyakinan dan ketenangan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Hal ini adalah logikal kerana tidak semua perkara yang Allah jadikan perlu diketahui oleh manusia dengan kaedah saintifik. Allah memiliki kekuasaan dan kelebihan ke atas manusia dan makhluk. Asas keimanan menerusi jendela al-Quranlah yang meyakini bahawa kita dicpta bukan mencipta. 

Islam tidak sekadar mengatur dan mengurus tetapi juga memenuhi tuntutan fitrah kejadian manusia. Hal ini demikian kerana setiap manusia mempunyai sifat-sifat tertentu dan berkembang dengan pengaruh masyarakat serta lingkungan persekitaran yang tidak sama. Manusia atas sifatnya sebagai makhluk yang berakal dan dinamik memperlihatkan cara hidup yang belainan. Namun begitu, ia tidak menghilangkan ciri-ciri fitrah dan nilai-nilai manusiawinya walau di mana sahaja mereka berada.



Keistimewaan Islam Berbanding Agama Lain

1.      Agama Dari Allah

Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 19 yang membawa maksud “Sesungguhnya cara hidup yang sebenarnya di sisi Allah adalah cara hidup Islam”

Agama Islam diberikan pengiktirafan oleh Allah S.W.T sedangkan agama-agama lain diberikan nama oleh pengikutnya berdasarkan nama tempat diasaskan atau tokoh pengasas agama tersebut. Contohnya, Judaism merujuk kepada bangsa Judah atau Yahudi, Hinduisme merujuk kepada nama sungai Indus, Budhisme merujuk kepada nama pengasasnya iaitu Sidharat Gautama Budha. 

Islam ialah syariat yang memberi kesan dan pelaksanaan hukumnya penting kepada seseorang insan. Syariah atau undang-undang Islam pada hakikatnya adalah sebahagian daripada undang-undang ciptaan Allah S.W.T untuk seluruh alam ini. Ia dicipta untuk mengatur kehidupan umat manusia selaras dengan perkembangan dan perjalanan alam serta fitrah manusia sendiri. 

Sebarang bentuk peraturan atau perundangan yang dibawa atau dibuat selain daripada Islam tidak dapat menjamin kebahagiaan dan tidak dapat mencapai matlamat yang hakiki. Antara lain, perundangan yang dibuat selain daripada Islam tidak dapat membawa keadilan sepenuhnya kepada manusia. Apabila kita teliti dan nilai  dari sudut material yang telah menyeliputi diri orang yang berfahaman sekular, di mana mereka sebenarnya hidup dalam keadaan cemas dan tidak tenteram. Kebendaan yang mereka harap-harapkan daripadanya untuk mendapat kebahagiaan yang hakiki sebenarnya tidak tercapai. 

Sesiapa yang mencari agama selain Islam akan ditolak dan mendapatkan kerugian. Firman Allah S.W.T yang beemaksud, “ sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima agama tersebut, dan di akhirat ia termasuk orang-orang yang rugi.” 

Kewajipan menunaikan solat, mengeluarkan zakat,berpuasa, mengerjakan haji bagi yang mampu, amalan bersedekah adalah jalan-jalan amal yang membantu menyubur dan mengekalkan manusia dalam fitrah. Begitu juga ilmu tentang Rukun Iman yang membolehkan manusia insaf tentang faktor-faktor ghaib yang mentadbir dan menguruskan alam ini, di mana ia akan mengukuhkan lagi fitrah insaniah. Segala bentuk bimbingan, pimpinan, nasihat dan kaunseling yang diberikan oleh Islam terangkum dengan padu dalam pelbagai bidang seperti ibadah, iktikad, kebudayaan, ekonomi, pengurusan, pemerintahan dan sebagainya. Semua lapangan ini mempunyai hubungan yang rapat dengan kehidupan manusia dan setiap individu.

 Islam tidak sekadar mengatur dan mengurus tetapi juga memenuhi tuntutan fitrah kejadian manusia. Hal ini demikian kerana setiap manusia mempunyai sifat-sifat tertentu dan berkembang dengan pengaruh masyarakat serta lingkungan persekitaran yang tidak sama. Manusia atas sifatnya sebagai makhluk yang berakal dan dinamik memperlihatkan cara hidup yang berlainan. Namun begitu, ia tidak menghilangkan ciri-ciri fitrah dan nilai-nilai manusiawinya walau di mana sahaja mereka berada.

Al-Quran telah meletakkan prinsip-prinsip kehidupan secara umum yang perinciannya dijelaskan sendiri oleh Nabi S.A.W. Dan al-Quran berfungsi sebagai petunjuk dalam memberi jawapan kepada manusia tentang makna diri, makna kehidupan, makna kemajuan dan perubahan, malah tentang kematian dan hari akhirat. Paling utama, ia memberi kepada manusia pedoman untuk memahami perkara ghaib dan dikaitkan dengan yang nyata. Manakala al-Sunnah pula pelengkap kepada al-Quran. 

Dilihat kepada awal penubuhan kerajaan Islam Madinah di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W, Madinah merupakan suatu daerah yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama. Di sana terdapat penganut Yahudi dan Nasrani selain Islam. Tetapi mengapa syariat Islam boleh dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan dari kaum Yahudi dan Nasrani. Ini menunjukkan bahawa Islam boleh dilaksanakan di mana sahaja dan apa keadaan sekalipun. Hanya jiwa yang bersifat munafik dan mempunyai pelbagai kepentingan diri sahaja cuba untuk menggagalkan usaha untuk melaksanakan syariat Islam dengan pelbagai alasan yang terlalu rapuh. 

Islam tidak memaksa sesiapa pun memeluk agamanya, itu adalah pilihan sendiri. Segala amalan dan perbuatan dalam Islam akan dinilai sebagai amal kebajikan dan berharga apabila ia dilakukan dengan ikhlas sahaja. Dalam pengagihan sumber kekayaan, sememangnya tidak boleh diagihkan sama rata seperti fahaman komunisme kerana realitinya ada golongan kaya, miskin, sederhana dan lainnya. Untuk itulah dalam Islam disyariatkan zakat harta, zakat fitrah, derma, wakaf, sedekah dan lainnya. 

Allah S.W.T menjadikan manusia berpasang-pasang. Daripadanya timbul keinginan untuk bekeluarga. Melaluinya, akan lahirlah zuriat dan keturunan. Akhirnya, wujudlah generasi dan masyarakat yang bakal membina negara dan juga tamadun ke arah yang cemerlang. Itulah kehidupan yang fitrah di mana hawa nafsu disalurkan dengan cara yang betul dan diredhai Allah. 

Islam meyakini satu bentuk politik semesta, iaitu sistem politik keagamaan untuk seluruh dunia yang berpaksi kepada landasan yang diwahyukan Allah kepada Nabi. Struktur dan gerak kerja Negara Islam bersandarkan kepada analisis dan keteraturan landasan wahyu tersebut dalam satu lembaga hukum bernama syariah. Justeru itu, sistem pemerintahan negara Islam tidak boleh disamakan dengan sistem teokrasi Barat yang menyaksikan paderi boleh membuat modifikasi, mengubah dan menukar ganti hukum-hakam. 

Pembentukan negara bangsa yang berasaskan nasionalisme adalah produk asing bagi politik muslim. Dalam tasawur seorang muslim, seluruh dunia adalah tempat tinggalnya kerana alam ini berada di bawah kedaulatan Tuhan. Gagasan nasional ( kebangsaan ) menimbulkan pandangan materialisme terhadap kehidupan, mencetuskan rasa perkauman dan kesempadanan daerah yang menghambat semangat untuk memanusiakan umat sejagat. 

Doktrin-doktrin dan ajaran agama lain, contohnya Kristian, Buddhisme dan Hinduisme tidak memberikan perhatian kepada soal politik berbanding dengan Islam. Dalam doktrin Kristian misalnya, ungkapan “ Give to Caesar what is Caesar’s and to God what is God’s’ ( Berilah hak pemerintah kepada pemerintah dan hak Tuhan kepada Tuhan ) membuktikan tanpa ragu hakikat tersebut. Dasar sekularisme juga mengasingkan agama dari politik dan pemerintahan. Dari sinilah timbulnya kata-kata hikmat jahiliah “ jangan campurkan Islam dengan politik’. 

Kita hendaklah mengetahui bahawa mereka yang menyeleweng dari syariat Allah S.W.T, menolak hukum dan syariat seperti hudud dan menghalang sebarang usaha untuk mendaulatkan syariat Allah, mereka itulah yang sewajarnya diberi gelaran pelampau dan ekstrimis. Begitu juga orang yang menganut fahaman nasionalisme, sosialisme, demokrasi, rasionalisme, komunisme, sekularisme, liberalisme dan sebagainya adalah golongan yang melampau dan keterlaluan serta terkeluar dari batas-batas Islam. 

 Islam tidak menghalang Muslim membina hubungan baik dengan bukan muslim. Islam juga sangat bertolak ansur kepada penganut agama lain. Orang bukan Islam hidup aman di negara-negara Islam bahkan Rasulullah S.A.W mewajibkan pemimpin Islam untuk memberikan perlindungan kepada orang bukan Muslim yang tinggal di Negara Islam. 


2.      Islam Agama Universal

Dalam membentuk sistem yang universal, Islam tidak mengiktiraf hubungan puak, bangsa, warna kulit, dan lain-lain lagi. Islam menganggap unsur-unsur ini sebagai membatasi dan menyempitkan konsep universal. Universal yang dibawa oleh Islam adalah untuk kebaikan manusia seluruhnya. Islam mahu menghubungkan seluruh manusia dengan suatu fikrah atau akidah yang semua mereka menganutinya dengan penuh percaya dan redha. Atas sifat ini, maka semua perintah adalah untuk seluruh manusia tanpa dibeza-bezakan. 

Islam agama Universal. Nabi Muhammad S.A.W diutuskan oleh Allah S.W.T kepada seluruh alam. “ Semua rasul yang diutus sebelumku hanya berlaku untuk umat atau bangsanya sahaja, tapi aku diutus untuk semua umat manusia. “ Nabi-nabi lain diutus khas kepada satu kaum tertentu untuk jangka masa  yang tertentu juga sedangkan Nabi Muhammad S.A.W tidak kepada mana-mana bangsa. Selain itu, muslim dalam kalangan bukan Arab lebih ramai berbanding bangsa Arab sungguhpun Islam mula berkembang di Tanah Arab. Sebahagian orang Arab juga bukan beragama Islam. Ada antara mereka beragama Kristian dan langsung tidak mempunyai agama.
  

3.      Islam Agama Yang Mudah

Islam adalah agama yang mudah difahami kerana kepercayaan kepada Allah S.W.T disertai hujah dan bukti yang sahih. Oleh yang demikian, mentaati perintah Allah S.W.T adalah wajib dan menuruti segala larangan-Nya tanpa mempertikaikannya. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Allah S.W.T mengetahui yang terbaik untuk hamba-Nya. Oleh itu, Allah S.W.T memerintahkan manusia melakukan perkara yang baik dan melarang perkara yang buruk. Setiap perintah dan larangan Allah S.W.T mempunyai hikmah yang kadangkala manusia tidak melihat hikmah tersebut kerana keterbatasan akal dan fikiran manusia. ” 

Allah S.W.T menetapkan undang-undang dalam Islam bertujuan untuk memudahkan manusia menjalani kehidupan di dunia. Perumpamaan pemasangan lampu isyarat sebagai undang-undang jalan raya, mungkin sebahagian pengguna merasa lampu isyarat menyusahkan, tetapi jika lampu isyarat dipadamkan maka kesesakan lalu lintas dan langgar lari berlaku secara berleluasa. Hakikatnya kewujudan undang-undang jalan raya telah memudahkan pengguna jalan raya dan menjamin keselamatan pengguna.  Firman Allah S.W.T yang bermaksud “ Allah tidak membebani seseorang  melainkan sesuai dengan kesanggupannya..’

Antara bukti Islam mudah dalam pengamalan ialah al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun untuk mudah difahami dan diamalkan dan pengharapan arak secara berperingkat supaya manusia mudah meninggalkan arak. Kadangkala suatu perkara yang baru akan terasa susah pada permulaannya kerana tidak terbiasa. Apabila perkara itu dilatih dan diamalkan secara berulang-ulang, lama-kelamaan ia akan menjadi mudah.

Contoh kemudahan yang diberikan oleh Allah ialah boleh meninggalkan puasa apabila keuzuran, solat sambil duduk atau berbaring apabila mempunyai keuzuran, makanan haram boleh dimakan apabila berada dalam keadaan darurat dan sebagainya lagi. 


 4.      Islam Tidak Menghalang Komodenan Selagi Tidak     Bercanggah Dengan Syariat

Manusia tidak dapat mengelak daripada cabaran kemajuan dan perubahan yang berlaku hampir saban waktu. Lebih mencabar ialah menghadapi perubahan dan kemajuan yang bukan berasaskan kerangka fitrah seperti yang diajukan oleh Islam. Pengaruh daripada kedua-dua cabaran tersebut tidak hanya datang daripada Islam, tetapi juga di luar agama.

Tradisi ilmu sains dan teknologi yang berkembang di Barat kini sudah lama terpisah dengan kepentingan nilai-nilai norma manusia. Misalnya, setiap ciptaan yang dibuat bukan hanya untuk kepentingan sesama manusia tetapi juga ke arah kemusnahan mereka sendiri. Apabila ilmu itu digunakan tanpa pertimbangan nilai dan etika, ia menyebabkan berlakunya salah guna dan akhirnya kesan buruk akan ditanggung oleh manusia itu sendiri.

Disebabkan itulah, Islam melihat perkembangan ilmu alat hanya sebagai cara dan bukannya matlamat. Cara dan matlamat harus seiring untuk menghasilkan natijah yang baik. Oleh itu, setiap pencipta alat tidak hanya perlu untuk menumpukan kapada kecanggihan perkakasan atau aspek komersial sahaja, tetapi nilai guna program dan perisiannya yang harus selari dalam proses pembangunan insan. Islam tidak menolak kepentingan perkakasan seperti komputer, televisyen, internet, laman web dan sebagainya kerana Islam melihatnya sebagai suatu alat yang membawa sesuatu matlamat. 

Masyarakat di Barat hari ini walaupun maju dalam teknologi dan sains, tetapi pada masa yang sama mereka sedang kehilangan pertimbangan keinsanan dan semakin jauh dari kehidupan yang fitrah. Agama bukan lagi menjadi ukuran dalam hidup bahkan ditinggal jauh ke belakang. Selain daripada itu,  moral juga tidak lagi menjadi pertimbangan tetapi statusnya diukur atas keperluan bersama. 

Islam tidak pernah mengekang kebebasan manusia untuk berkembang dan maju ke hadapan. Cuma di dalam setiap kebebasan dan tindak tanduk ada batasannya. Islam menghormati sepenuhnya hak asasi manusia sama ada lelaki atau wanita serta yang Islam atau pun bukan Islam. Kesemuanya berkongsi fitrah iaitu kehendak, naluri atau sifat yang sama iaitu kepercayaan kepada kewujudan Tuhan. 


    KESIMPULAN

Sesungguhnya Islam satu-satunya system hidup yang mampu bertahan dan berada dalam mana-mana keadaan dan zaman. Islam adalah agama fitrah yang mudah difahami dan apabila kefahaman serta pengamalan Islam dicemari oleh akal fikiran manusia maka fitrah tersebut telah hilangg sehingga Islam kelihatan susah.

Islam perlu difahami sebaiknya sebagai agama rohaniah yang memberi kekuatan dalaman terhadap manusia dan juga sebagai manifestasi zahiriah dalam bentuk amal dan pekerti. Membangun fitrah diri bererti sekali gus membangunkan persekitaran diri, di mana fokus pembangunan dalam Islam ialah rijal atau insan. Dan perlu disedari bahawa pembangunan diri atas asas yang yang fitrah bakal membangunkan persekitarannya secara fitrah juga.

Oleh itu perlu disedari bahawa punca kelemahan umat Islam adalah disebabkan sikap lalai dan jahil terhadap agama mereka. Usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat lelah perlu dibuat untuk menyedarkan kembali umat yang telah terlalai oleh pukauan dan mimpi-mimpi jahiliah yang menyerang selama ini. Keimanan yang benar perlu ditanam ke dalam jiwa umat ini agar lahir peribadi muslim yang berjiwa Islam dan sanggup berkorban demi kemuliaan Islam.

Dinamika Islam tidak semestinya dikorbankan prinsip-prinsipnya yang fundamental, tetapi harus mampu mengimbangi perubahan di Barat ke arah cara hidup yang lebih fitrah. Kekosongan jiwa, pencarian makna diri dan makna hidup yang sedang ditanggung menuntut hikmah yang tinggi bagaimana kehebatan al-Quran dan keunggulan peribadi Nabi Muhammad S.A.W menjadi pedoman terbaik membimbing mereka ke arah jalan yang diredhai Allah.

Sesungguhnya segala yang ada pada manusia adalah milik Allah yang dipinjamkanNya buat sementara. Oleh itu sewajarnyalah manusia itu bertindak mengurus kehidupan dirinya menurut aturan yang telah diamanahkan kepadanya. Kehidupan manusia pula mempunyai arah, matlamat serta tujuan tertentu selaras dengan kebijaksanaan Penciptanya iaitu mencari redha Allah dan keelokan hubungan denganNya.


   RUJUKAN

Abdul Basit Hj. Abdul Rahman. 2009. Islam Agama Sempurna. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn.Bhd.

Abd.Latif Muda & Rosmawati Ali. t.th. Pengantar Ilmu Tauhid. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Akhmal Mohd Zain. 2004. Asas Pengetahuan Agama Islam. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publishers.

Al-Haqir Hamizan Hussin. 1996. Islam Dalam Arus Jahiliyah. Johor Bharu : Perniagaan Jahabersa

Amat Juhari Moain & Ann Wan Seng. 2011. Islam Bukan Pada Nama. Kuala Lumpur : Must Read Sdn Bhd.

Che Zuina Ismail. 2006. Pengantar Asas-Asas Islam. Kuala Lumpur : Ampang Press Sdn.Bhd.

Faisal Abdurrahman.2012. Islam Untuk Semua. Kuala Lumpur : Must Read Sdn.Bhd

Fathi Ridhuan. 1982. Islam Wa Al-Muslimun. Kaherah : Darul Al-Syuruk.

Mawardi Labey El-Sulthani. 2002. Islam Agama Kedamaian. Jakarta : Al-Mawardi Prima..

Ramli Awang. 1997. Tasawwur Rabbani Menurut Al-Quran dan Al-Sunnah. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publishers.

Ramli Awang. 2012. Islam : Pemikiran Kenegaraan & Pemerintahan. Johor Bahru : UTM Press.

Sidek Baba. 2011. Fitrahkah Kita Sebagai Hamba Ciptaan Ilahi?. Selangor : Grup Buku Karangkraf Sdn.Bhd

Yasien Mohamed. 1996. Fitrah : The Islamic Concept of Human Nature. London : Deluxe Printers.


No comments:

Post a Comment