PENDAHULUAN
Jenayah ialah larangan-larangan syarak yang dilarang oleh Allah
dengan hukuman hudud dan ta’zir. Sekiranya jenayah itu menyentuh kepentingan
masyarakat, ia disebut sebagai jenayah awam manakala jika menyentuh kepentingan
individu, ia disebut sebagai jenayah terhadap individu atau kesalahan
persendirian.
Hudud mahupun ta’zir bukanlah nama sebenar bagi jenayah-jenayah
yang tertentu. Ia sebaliknya nama jenis hukuman atau keseksaan yang akan
dikenakan terhadap pesalah dalam kes-kes jenayah berkenaan.
Tujuan mengambil hukum-hukum dan undang-undang Islam ialah untuk
mendirikan sebuah masyarakat Islam yang hidup berasaskan keluhuran, kemuliaan,
kebersihan, keamanan dan ketenangan. Sesuatu undang-undang tidak dipandang
berguna jika kewujudannya tidak membantu mengurangkan jenayah dalam masyarakat.
Wujudnya seperti tiada. Kadang-kadang, undang-undang seolah-olah menjadi baja
pula kepada para penjenayah. Jenayah bertambah sama naik dengan bertambahnya
undang-undang baru. Akhirnya, jenayah sama subur dan acap kali pindaan
undang-undang.
Dengan imbangan keadilan, keberkatan, pembalasan yang setimpal,
keampunan dosa, dan kuasa cegahan inilah yang menjadikan undang-undang syariah
lebih ampuh dalam memerangi jenayah. Perlu diingatkan bahawa undang-undang
semata-mata tidak akan berupaya membanteras jenayah sepenuhnya.
Oleh sebab itu, Islam datang dengan membawa bersama program-program
tarbiyah bertujuan menanamkan ketaqwaan dalam kalangan manusia. Taqwa inilah
perisai yang pertama bagi menyekat perbuatan-perbuatan jahat dan undang-undang
adalah sekatan-sekatan tambahan kalau-kalau sekatan ketaqwaan masih boleh
dilepasi oleh sebahagian anggota masyarakat. Taqwa ibarat sayap kanan dan
undang-undang syariah adalah sayap kiri yang menjadi pelengkap.
Sesungguhnya sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat Islam
ketika melaksanakan hudud, mereka hidup aman damai dengan harta benda,
kehormatan dan peraturannya sehinggakan pesalah itu sendiri yang mahukan hudud
ditegakkan kerana mahu mensucikan diri dan menghapuskan dosanya.
HUDUD
Pengertian Hudud
Hudud berasal dari perkataan arab yang
“mufrad” atau asalnya “had” bermaksud sekatan atau sempadan atau tegahan.
Hudud
menurut istilah umum ialah hukuman tertentu terhadap perbuatan jahat, iaitu
suatu bentuk hukuman keseksaan yang mana bentuk dan kadarnya telah ditentukan
oleh Allah S.W.T dan syarak dan ia mestilah dilaksanakan untuk menjaga hak
Allah S.W.T dan kepentingan masyarakat awam. Disebut
juga hukuman sebagai hudud, kerana keadaannya yang dilarang daripada melakukan
kesalahan yang menyebabkan akan menerima padah tersebut. Hudud Allah S.W.T
ialah hukum yang dihadkan dan ditentukan-Nya.
Menurut jumhur para fuqaha, kesalahan-kesalahan hudud ini ada
tujuh, iaitu berzina, mencuri, menuduh zina atau qazaf, minum arak, menyamun,
memberontak dan murtad. Sementara hukuman-hukumannya ialah rejam sampai mati
dalam sesetengah kes perzinaan, bunuh atau potong tangan atau potong kaki atau
sula, mengikut kes dalam jenayah perompakan, potong tangan dalam kes-kes
mencuri dan sebat dalam sesetengah kes perzinaan dan dalam kes-kes qazaf dan
minum arak.
Ini bererti bahawa jenayah hudud itu ialah kesalahan awam iaitu
menyentuh kepentingan masyarakat umum secara langsung. Sesuai dengan kedudukannya sebagai jenayah berat, syariat Islam menentukan
prosedur yang lebih ketat ke atas jenayah-jenayah hudud. Ini bagi mengelakkan
hukuman dijatuhkan ke atas orang yang tidak bersalah.
Jenis
Kesalahan Hudud Dan Hukumannya
(1) Mencuri
Mencuri mengikut pengertian istilah ialah
mengambil barang orang lain secara sembunyi atau tanpa keizinan pemilik.
Firman
Allah Taala dalam surah al-Ma’idah ayat 38 yang bermaksud, “ Orang yang mencuri lelaki atau perempuan,
potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan
dan sebagai siksaan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
Antara syarat
sabit mencuri dan potong tangan ialah :
1. Barangan bernilai ¼ dinar atau lebih
2. Barangan bernilai 3 Dirham atau lebih
3. Barangan itu disimpan pada tempat yang sesuai.
Jumhur
ulama’ seperti Imam Syafie dan Imam Malik berpendapat hukuman terhadap pencuri
secara terperinci dapat dibahagikan kepada lima bahagian :
1. Pencuri yang mencuri kali pertama dikenakan had potong tangan kanan
hingga pergelengan tangan
2. Mencuri kali kedua dipotong kaki kiri hingga buku lali
3. Mencuri kali ketiga dipotong tangan kiri hingga pergelangan tangan
4. Mencuri kali keempat dipotong kaki kanan hingga buku lali
5. Mencuri kali kelima dan seterusnya dikenakan ta’zir atau dipenjarakan
sehingga bertaubat.
(2) Rompak Dan Samun
Rompak atau samun ialah tindakan mengganggu laluan awam dengan
tujuan untuk menkut-nakutkan manusia atau merampas serta mengambil harta orang
dengan paksaan dan kekerasan.
Firman Allah Taala dalam surah al-Ma’idah ayat 33 yang bermaksud, “Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang
yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah
mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan
bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). yang demikian
itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka didunia, dan di akhirat mereka
beroleh siksaan yang besar”.
Imam Shafi’e menafsirkan ayat di atas yang bermaksud :
“Dalam sesuatu rompakan dan sebagainya, jika didapati
perompak-perompak hanya sekadar merampas harta benda dengan cara
menakut-nakutkan mangsanya, maka mereka hendaklah dihukum dengan memotongkan
tangan kanan dan kaki kirinya. Kalau dalam rompakan itu mereka membunuh
mangsanya tetapi tidak mengambil sebarang harta, maka mereka hendaklah dibunuh
balas. Jika disamping merompak itu, harta diambil, mangsanya dibunuh, maka
mereka hendaklah disalib selama-lamanya tiga hari dan dibunuh. Jika mereka
hanya menganggu ketenteraman umum dan mengancam orang tanpa mengambil sebarang
harta maka mereka hendaklah dibuang daerah.”
Menurut al-Qurtubi
di dalam tafsirnya bahawa pihak pemerintah boleh membuat pilihan di dalam
menghukum perompak dan sebagainya, sama ada hendak menjatuhkan hukuman bunuh
atau salib atau dipotong tangan dan kaki secara berselang atau membuang daerah,
mengikut seperti mana dalam ayat tadi.
(3) Berzina
Zina ialah persetubuhan haram antara lelaki
dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan yang sah.
Firman Allah
dalam surah al-Nisa yat 25 yang membawa maksud, “Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, Maka deralah
tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan
kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu
beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah ( pelaksanaan ) hukuman
mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”
Ulama sepakat
mengatakan bahawa ayat yang tersebut di atas adalah khusus untuk penzina yang
belum berkahwin“غير محصن”. Mereka itu hendaklah disebat dengan seratus kali
sebatan. Manakala penzina yang telah berkahwin “محصن” maka mereka hendaklah
dihukum rejam.
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khatab R.H. katanya “Sesungguhnya
Allah S.W.T. telah mengutuskan Muhammad S.A.W. dengan hak. Diturunkan kepadanya
al-Quran. Di antara ayat yang diturunkan kepadanya ialah ayat rejam. Kami telah
membacanya, memahaminya dan menyedarinya. Rasulullah S.A.W. telah merejam
penzina. Kami juga telah merejam penzina selepasnya. Aku khuatir kalau-kalau
ada di zaman kebelakangan nanti, orang-orang yang meragui dan menghujjahkan
hukuman rejam itu tidak terdapat di dalam al-Quran. Dari itu mereka akan
tersesat kerana meninggalkan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah dan
Rasulnya. Rejam adalah sebenarnya hukuman ke atas penzina yang berkahwin sama
ada lelaki atau perempuan, sekiranya ada bukti nyata atau perempuan tersebut
mengandung ataupun pengakuan.
Al-Imam al-Shafi’e menegaskan
bahawa hukuman ke atas penzina yang berkahwin adalah rejam. Ulama juga
sepakat mengatakan bahawa penzina yang berkahwin hendaklah dihukum rejam.
Rasulullah S.A.W. telah menjatuhkan hukuman rejam ke atas penzina sehingga mati
sedangkan hukuman bunuh itu hanya wajar dihukum ke atas pembunuh sahaja. ( Haron Din 1993: 10 ).
Zina boleh disabitkan dengan tiga cara
iaitu :
1.
Disaksikan oleh 4 orang lelaki yang cukup
syaratnya
2.
Pengakuan
penzina yang cukup syaratnya
3.
Qarinah
( Bukti )
(4) Menuduh Zina ( Qazaf )
Qazaf bermaksud menuduh seseorang melakukan zina tanpa pembuktian
yang jelas dan lengkap.
Qazaf juga merangkumi
kata-kata yang menafikan keturunan. Contohnya, seseorang berkata, “ kamu bukan
anak si fulan”. Kata-kata tersebut bermaksud ibunya telah melakukan zina.
Firman Allah Taala dalam surah al-Nur ayat 4 yang membawa maksud,
“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik[1029] ( berbuat zina
) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, Maka deralah mereka ( yang
menuduh itu ) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian
mereka buat selama-lamanya. Dan mereka Itulah orang-orang yang fasik.”
Perbuatan
menuduh orang berzina memberi kesan yang besar kepada kehidupan seseorang yang
dituduh. Perbuatan itu akan menimbulkan permusuhan, memporak perandakan rumah
tangga dan masyarakat. Manakala, anak-anak yang lahir dari seseorang yang
dituduh zina akan menjadi mangsa serta kebahagiaan rumahtanga akan runtuh dan
hancur. Oleh yang demikian, ulama bersetuju mengatakan bahawa orang yang menuduh
zina ke atas perempuan-perempuan yang bersih hendaklah dihukum sebat dengan
lapan puluh kali sebatan.
(5) Minum Arak
Minum arak ialah meminum segala minuma yang memabukkan dan
menyebabkan hilang kewarasan akal, baik sedikit ataupun banyak, sama ada
memabukkan atau tidak.
Firman Allah Taala dalam surah al- Ma’idah ayat 90 yang membawa
maksud “Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) khamar,
berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk
perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat
keberuntungan.
Jenayah meminum arak atau minuman yang memabukkan mempunyai satu
jenis sahaja hukumannya iaitu disebat sebanyak 40 sebatan.
Sabit Had Minum Arak :
1.
Pengakuan
peminumnya sendiri
2.
2
orang saksi lelaki dan perempuan yang cukup syarat
3.
Bahan
yang memabukkan itu dalam bentuk minuman
4.
Mengambil
minuman yang memabukkan itu melalui mulut dan sekurang-kurangnya sampai ke
halkum
5.
Dilakukan
secara sukarela
(6) Murtad
Murtad ialah tindakan seseorang yang keluar daripada agama Islam
sama ada melalui I’tikad, kata-kata atau perbuatan.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 217 yang membawa
maksud “Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu Dia mati
dalam kekafiran, Maka mereka Itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di
akhirat, dan mereka Itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Menurut pendapat jumhur ulama’, sesiapa yang didapati murtad sama
ada lelaki atau perempuan dengan salah satu cara tersebut, ia mestilah ditahan
oleh qadi atau hakim atau pemerintah selama tiga hari tiga malam untuk memberi
peluang kepadanya supaya bertaubat. Sekiranya telah tamat tempoh tersebut dan
dia tetap enggan kembali kepada Islam dan enggan bertaubat, ia mestilah dihukum
bunuh.
7) Memberontak
Memberontak ialah suatu tindakan menuntut sesuatu yang tidak
seharusnya dituntut dengan cara kekerasan dan kezaliman, iaitu menentang
pemerintahan dengan kekuatan senjata melalui cara yang tidak diharuskan oleh
syarak. Jenayah memberontak adalah satu bentuk hukuman sahaja, iaitu
dijatuhkan hukuman mati atau diperangi.
Demi kebaikan bersama dan keamanan, walaupun memberontak merupakan
suatu jenyah, namun terlebih dahulu sebelum bertindak dan mengambil tindakan
tegas terhadap pemberontak, pemerintah mestilah meneliti dan mengkaji sebab dan
faktor lahirnya pemberontakan tersebut.
Kewajipan Melaksanakan Hukum Hudud
Hudud sebagaimana pengertiannya ialah suatu
seksaan yang telah ditetapkan Allah yang wajib dilaksanakan kerana menunaikan
hak Allah.
Al-Syeikh
Mahmud Syaltut dalam konteks mengulas persoalan perlaksanaan hukum hudud,
beliau menegaskan:
“Hukum-hukum
Qat’I yang tersebut dalam al-Quran ( seperti hukuman hudud ) wajib dilaksanakan
sepenuhnya. Orang-orang Islam yang menghukum dengan hukuman-hukuman lain dari
itu akan menjadi murtad sekiranya mereka berkeyakinan hukum itu adalah lebih baik
dan lebih sesuai dari hukum Allah.”
Beliau
menerangkan bahawa: “ Tidak bersalahan ulama dalam menentukan bahawa orang yang
disuruh Allah untuk menghukum dengan hukuman sebatan itu adalah pemerintah dan
sesiapa yang ditugaskan oleh pemerintah untuk melaksanakan hukuman itu. Ada
juga qaul yang mengatakan bahawa perintah tersebut adalah ditujukan kepada
orang-orang Islam semuanya. Hal ini kerana melaksanakan upacara-upacara
keagamaan adalah kewajipan umum yang mesti bertanggungjawab ke atas semuanya.
Adapun pemerintah adalah mewakili orang ramai dalam melaksanakan hukuman
apabila tiba masanya.
Hikmah Pensyariatan Hudud
Terdapat lima kepentingan asas masyarakat yang sangat diambil berat
oleh Islam dikenali sebagai “lima kepentingan asas” ( al-Doruuriyyat
al-Khams ) iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Hikmah
penetapan hukuman hudud adalah untuk menjaga kesihatan pada had khams,
memelihara kehormatan manusia pada had qazaf, menjaga harta pada had pencurian.
Perbuatan-perbuatan di atas sangat berkaitan dengan akal sihat dan watak asal
manusia. Oleh kerana itu, dalam ajaran agama terdahulu pun semua bentuk
kejahatan di atas adalah dilarang, harta tidak boleh dicuri, kehormatan tidak
boleh dinodai dan sebagainya. Jika demikian adanya, maka semakin jelaslah
faedah dan manfaat hudud tersebut sangat besar, maka ia dijadikan Allah sebagai
hak-Nya, kerana Allah tidak pernah berkeinginan buruk dan zalim terhadap
hamba-Nya dan selamanya ia akan memberikan yang terbaik untuk manusia.
Bagi menjaga kemurnian agama, jenayah murtad diperuntukkan. Qisas
dan Diyat bagi menjaga kepentingan nyawa dan tubuh badan, hukuman terhadap
pencuri bagi menjaga keselamatan harta benda, pengharaman minum arak bagi
menjaga kesejahteraan akal dan hukuman terhadap jenayah zina bertujuan untuk
menjaga kesucian nasab keturunan dan kesejahteraan berkeluarga.
Antara hikmah disyariatkan hukum hudud adalah untuk membanteras
atau mencegah tindakan kejahatan yang ada di tengah-tengah masyarakat,
memelihara diri manusia dari kebinasaan, menjaga kehormatan dan harga dirinya,
menjaga kemurnian keturunan serta menghindarkan harta dari pemanfaatan yang
tidak tepat dan kerosakan.
Selain itu, hikmah pensyariatan hudud adalah untuk
melindungi seluruh hamba Allah dari hal-hal yang menyebabkan bahaya atau
mudarat bagi mereka seperti ternodanya tempat tidur suami isteri dan rosaknya
dan hilangnya garis keturunan. Maka untuk menghindarkan itu semua terjadi,
disyariatkanlah hudud agar menjadi pelindung yang ampuh bagi manusia dari
segala musibah, seperti kerosakan moral, penyakit jiwa dan lain sebagainya yang
pada akhirnya menjerumuskan manusia ke dalam jurang jahanam.
Agama Islam sebenarnya begitu menitikberatkan keadilan di mana
hudud tidak boleh ditegakkan melainkan telah jelas sabit seseorang itu melakukan
kesalahan. Ini dilakukan dengan mengetatkan proses untuk mensabitkan kesalahan
itu. Kemudian, dia berhak menolak hudud sekiranya berjaya menimbulkan syubhah.
Hudud boleh dijatuhkan dengan wujudnya bukti-bukti yang nyata sehingga dapat
mencapai kesan yang praktikal dalam menegah jenayah dan menangani kegiatannya.
Hikmah lain pelaksanaan hukum Hudud ialah untuk mencegah manusia
daripada mendekati kesalahan-kesalahan tersebut, memelihara masyarakat daripada
kefasadan, dan menyucikan daripada dosa dan noda. Hukum hudud mengandungi
kemaslahatan, pembasmian di samping tidak melampaui kadar yang sepatutunya
ditanggung oleh penjenayah.
Kekerasan hukuman pada hakikatnya adalah rahmat kepada orang
yang ragu-ragu untuk melakukan jenayah
kerana kekerasan hukuman tersebut akan menimbulkan ketakutan dalam kalangan
mereka yang cuba melakukannya. Maka, keadaan itu juga akan mengubah pendirian
orang yang teragak-agak untuk melakukan jenayah itu. Oleh yang demikian, ia
keras pada sudut yang sempit tetapi mampu membawa rahmat yang meluas dan
menyeluruh kepada masyarakat.
Pelaksanaannya
juga adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan masyarakat umum, ketenteraman
dan supaya dapat memberi pengajaran kepada penjenayah dan faedah kepada
masyarakat umum.
Kalau diperhatikan, kategori hukuman bagi jenyah-jenayah yang
ditentukan secara terperinci oleh syariat Islam termasuk kategori jenayah
berat. Sebagai jenayah berat yang menggugat
kestabilan hidup manusia, hukuman yang dikenakan ke atasnya juga perlu berat.
Kalau tidak, mana mungkin ia mampu mencapai objektif pemulihan dan sebagainya.
TA’ZIR
Pengertian Ta’zir
Dalam bahasa Arab, Ta’zir bererti pencegahan, penghalang,
pertolongan dan pengasuhan. Dengan kata lain, ia bererti melakukan sesuatu
tindakan dengan tujuan mengajar dan mendidik. Ia
dinamakan ta’zir disebabkan wujudnya hukuman tersebut akan menghalang orang-orang
yang melakukan kesalahan atau mengulanginya pada masa akan datang.
Ta’zir menurut pengertian syara’ ialah sejenis hukuman yang tidak
ditetapkan kadarnya atau bentuknya yang dilaksanakan bagi menunaikan hak Allah
S.W.T dan hak manusia terhadap kesalahan-kesalahan yang selain hukuman hudud,
qisas, diyat dan kifarat. Berasaskan huraian tersebut, jenayah Ta’zir boleh disebut sebagai
perbuatan jahat sama ada menyentuh kepentingan masyarakat secara langsung atau
kepentingan individu dan yang akan dihukum dengan hukuman yang tidak bersifat
Qisas, Diyat mahupun Hudud.
Kriteria Ta’zir ialah setiap mereka yang menceroboh kemungkaran
atau menyakiti orang lain tanpa hak sama ada dengan perkataan, perbuatan atau
dengan isyarat. Kadangkala ta’zir merupakan sebagai hak Allah S.W.T atau
sebagai hak manusia, atau hak yang berkongsi di antara kedua-duanya dan salah
satu daripada kedua-duanya melebihi ke atas yang lain.
Ta’zir adalah usaha mendidik atau mengarahkan yang ditentukan oleh
hakim sebagai pencegah bagi yang melakukan perbuatan haram agar tidak melakukannya
lagi, Setiap orang yang melakukan perbuatan haram yang tidak menimbulkan had
atau qisas atau kafarat, maka hakim berhak untuk memberikan hukuman ta’zir
kepadanya sesuai dengan kemaslahatan yang dipandangnya. Dan maslahat tersebut
juga dapat mencegah si pelaku untuk tidak lagi melakukan perbuatan haram juga
dapat mencegah si pelaku untuk tidak lagi melakukan perbuatan haram tersebut.
Contoh ta’zir adalah pemukulan, cambukan , penahanan dan celaan.
Penetapan Hukum Ta’zir
Hukuman yang berkaitan dengan ta’zir tidak
terdapat di dalam al-Quran dan Hadis, di mana ia terserah kepada budi bicara
dan kepakaran hakim dan pemerintah untuk menetapkan sesuatu kesalahan itu
dengan hukuman demi kepentingan penjenayah, masyarakat dan negara.
Menurut undang-undang jenayah syar’iyah, hakim boleh menjatuhkan
dan mengenakan hukuman ta’zir ke atas kanak-kanak, kerana hukuman ta’zir adalah
bertujuan untuk memberi pengajaran kepada penjenayah-penjenayah itu.
Syariat Islam memberikan garis-garis dasar tentangnya malah tentang
kesalahan itu sendiri, dan kemudian menyerahkan kepada pemerintah untuk
menentukan sendiri dengan secara terperinci dari semasa ke semasa. Tidak ada
apa-apa ikatan yang dikenakan terhadap badan-badan pemerintah dalam membuat
keputusan berkenaan kecuali prinsip-prinsip umum tadi serta kepentingan
masyarakat sendiri.
Dalam hal
tersebut juga, hukuman ta’zir itu berubah mengikut corak hidup masyarakat,
individu dan keadaan. Selain itu, hukuman ta’zir juga tidak terhad, sama ada
dengan denda, penjara, rampas harta, atau buang negeri. Lantaran itu, ia
meliputi ruang yang luas seperti berkhalwat, pecah amanah, rasuah, mengedar
dadah, menagih dadah dan sebagainya lagi.
Jika ta’zir
merupakan hak yang tulen bagi manusia atau hak manusia lebih banyak di dalamnya
seperti maki hamun, menzalimi dan memukul orang tanpa hak, dan memalsukan dan
memberi kesaksian palsu dan sebagainya daripada perkara-perkara yang terhenti
di atas dakwaan seseorang, maka ia tidak gugur dengan taubat. Ini sebagaimana
tidak gugur hukuman ( hak ) dengan qadi sahaja yang memberi kemaafan terhadap
penjenayah.
Bilakan Dibolehkan Penahanan ?
Adalah sabit bahawa Umar bin al-Khattab telah mengadakan penjara
semasa pemerintahannya, diikuti oleh Uthman bin Affan dan Ali bin Abu Talib.
1.
Ditahan
penjenayah kerana mangsanya tidak ada, supaya orang yang akan menjalani hukuman
qisas tidak terlepas daripada hukuman.
2.
Ditahan
hamba yang lari selama setahun sebagai menjaga kehilangan harta dengan harapan
dapat diketahui tuannya.
3.
Ditahan
orang yang enggan menunaikan haknya sebagai paksaan ke atasnya supaya ia
ditunaikan.
4.
Ditahan
mereka yang diragui kedudukannya dalam sama ada kepayahan ataupun kesenangan
untuk mengetahui keadaannya. Sekiranya ternyata keadaannya, maka dia dihukum
dengan apa yang selayaknya sama ada susah atau senang.
5.
Ditahan
penjenayah sebagai hukuman ta’zir atau mencegah daripada berbuat maksiat kepada
Allah S.W.T
6.
Ditahan
mereka yang terhalang daripada menjalankan tanggungjawab wajib yang tidak boleh
diganti oleh orang lain. Contohnya, orang yang baru memeluk Islam menjadi suami
kepada dua orang perempuan bersaudara, suami kepada 10 orang wanita, ataupun
seorang wanita bersama anak perempuannya, dan dia tidak dapat menentukan salah
seorang daripada mereka berdua sebagai isteri pilihannya.
7.
Orang
yang membuat pengakuan mengenai sesuatu yang tidak diketahui, sama ada benda
ataupun dalam tanggungan, dan ia tidak dapat menentukannya. Dia ditahan
sehingga dapat ditentukan dakwaannya, seperti dia berkata, “ Benda itu ialah
pakaian ini atau haiwan ini dan sebagainya, atau sesuatu yang saya perakukan
itu ialah dinar (wang) dalam tanggungan saya.”
8.
Ditahan
orang yang enggan menunaikah hak Allah S.W.T yang tidak boleh diganti seperti
puasa.
Hukuman Bunuh ( Ta’zir
Secara Siyasah )
Ijma’ ulama’ mewajibkan hukum bunuh orang Muslim yang mencaci Nabi
Muhammad S.A.W berdasarkan firman Allah
dalam Surah al-Ahzab ayat 57 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya orang yang
menyakiti Allah S.W.T dan Rasul-Nya, Allah S.W.T akan melaknatinya di dunia dan
di akhirat, dan Allah S.W.T menyediakan baginya seksa yang menghinakan.”
Mereka juga mengatakan bahawa pemerintah boleh menghukum pencuri
dengan hukuman bunuh berasaskan siyasah sekiranya pencuri itu berulang kali
melakukan jenayah itu. Pemerintah juga boleh mengenakan hukuman bunuh ke atas
orang yang kerap kali menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas, kelam kabut
dalam bandar, kerana aktivitinya melakukan kerosakan di muka bumi. Demikianlah
juga hukumnya ke atas orang yang tidak dapat dibendung kejahatannya kecuali
dengan membunuhnya, dan ia dibunuh berasaskan siyasah. Begitu juga dikenakan
hukum bunuh ke atas tukang sihir, penganut zindiq yang menjalankan kegiatan
menyeru orang kepada perkara-perkara zindiq apabila dapat ditangkap, biarpun
kemudiannya dia bertaubat.
Para fuqaha’ sepakat bahawa kafir harbi yang jadi pengintip harus
dibunuh.
Kesimpulannya, hukum bunuh berdasarkan siyasah harus dikenakan ke
atas orang yang selalu melakukan jenyah, penagih arak, orang yang menyeru
kepada kerosakan, penjenayah-penjenayah terhadap keamanan negara dan
sebagainya.
Hukuman Ta’zir
Dengan Harta
Tidak harus dikenakan hukuman ta’zir ke atas pesalah dengan
mengambil hartanya kerana ia mengandungi unsur pemberian kuasa mengambil harta
manusia secara paksa, lalu digunakan untuknya. Hukuman ta’zir yang berupa
dendaan adalah diharuskan pada beberapa tempat tertentu. Contohnya, terdapat
dalam sunnah Rasulullah S.A.W, baginda menyuruh memecahkan bekas-bekas arak dan
memberatkan hukuman denda terhadap pencuri barangan yang tidak dikenakan
hukuman potong tangan.
Syarat-Syarat Wajib
Ta’zir
Satu sahaja syarat bagi membolehkan hukuman ta’zir dikenakan ke
atas seseorang yang melakukan jenayah yang tidak ditentukan kadar hukumannya
oleh syarak iaitu berakal.
Oleh itu, dikenakan hukuman ta’zir bagi setiap penjenayah yang
berakal, sama ada lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir, baligh atau
kanak-kanak yang berakal kerana mereka yang dewasa adalah layak menerima
hukuman, sementara kanak-kanak yang berakal dikenakan ta’zir sebagai
pengajaran, bukan sebagai hukuman.
Kaedah yang membolehkan hukuman ta’zir dikenakan ialah setiap orang
yang melakukan kemungkaran atau menyakiti orang lain tanpa hak dengan
perkataan, perbuatan atau isyarat, sama ada orang yang menjadi mangsanya itu
Muslim atau kafir.
Kadar Ta’zir
Hukuman ta’zir dikenakan mengikut ijtihad hakim dengan mengambil
kira kadar jenayah yang dilakukan dan martabat kedudukan penjenayah.
Sekurang-kurangnya sebatan ta’zir ialah tiga kali. Ia boleh dikurangkan menurut
keadaan individu. Ta’zir tidak boleh melebihi hukuman hudud. Oleh itu, maksimum
sebatan ta’zir mesti dikurangkan satu sebatan daripada minimum hukuman hadd.
Sifat-Sifat Ta’zir
Menurut ulama’ Shafie, hukuman ta’zir tidak merupakan sesuatu yang
wajib. Oleh itu, harus bagi pemerintah mengabaikannya apabila ia tidak
berkaitan dengan hak individu manusia. Hal ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W
yang bermaksud,” berilah kemaafan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh
orang yang mempunyai kedudukan, kecuali kesalahan hudud”.
Menurutnya lagi, hukuman ta’zir yang merupakan sebagai hak manusia
boleh diberi pengampunan, boleh didamaikan dan dilepaskan. Ia juga boleh
diwarisi seperti qisas dan lain-lain hak manusia. Ia tidak boleh dijalankan
serentak, kerana hak-hak manusia tidak tertunai dengan pelaksanaan secara
serentak. Ia juga boleh dikenakan ikat jamin, kerana tujuan jaminan adalah
untuk menguatkan perjanjian, dan ta’zir adalah hak manusia.
Ta’zir dijalankan dengan pukulannya yang lebih kuat, kerana ia
boleh diringankan dari segi bilangan sebatan. Sebaliknya ia tidak diringankan
dari segi sifat atau cara penyebatan supaya tercapai tujuan daripada hukuman
iaitu pencegahan. Kemudian kekuatannya diikuti oleh had zina, had minum arak
dan had qadhaf.
Cara-Cara Pembuktian
Jenayah Ta’zir
Menurut Ulama Hanafi, jenayah ta’zir boleh dibuktikan dengan
pembuktian biasa mengenai semua hak manusia seprti pengakuan, penyaksian,
keengganan bersumpah dan pengetahuan qadi. Ia juga boleh dibuktikan kepada qadi
dan tidak harus bagi qadi menjatuhkan hukuman dengan berpandukan pengetahuan
peribadi semata-mata pada zaman sekarang. Ini adalah untuk mengelak daripada
tohmahan dan mencegah salah guna kuasa para hakim yang tidak amanah masa kini.
1.0
PAMPASAN KEMATIAN PENJENAYAH YANG DITA’ZIR ATAU DIHADD
Ulama’Hanafi, Maliki dan Hanbali berpendapat apabila pemerintah
melaksanakan hukuman ta’zir atau had ke atas seseorang, lalu ia mati akibatnya,
maka tidak ada pampasan di atas kematian itu kerana ta’zir adalah hukuman yang
disyariatkan bagi menghalang dan mencegah. Justeru itu, tidak diberi pampasan
orang yang binasa kerananya seperti mana had. Lagipun, pemerintah disuruh
menjalankan had dan ta’zir dan pelaksanaan suruhan tidak tertakluk kepada
syarat keselamatan.
Manakala
menurut mazhab Shafie, tidak diwajibkan ke atas pemerintah membayar pampasan
atas kematian penjenayah yang menjalani hukuman hudud kerana kematiannya adalah
dengan hak. Sama ada ia menjalani hukuman sebat, potong tangan, pelaksanaan
hukuman semasa cuaca panas dan sejuk yang bersangatan atau tidak, dan sama ada
semasa dia mengidap penyakit yang ada harapan akan sembuh ataupun tidak. Namun,
jika orang yang menjalani hukuman itu ialah seorang wanita yang sedang hamil
dan bayi di dalam kandungannya mati, maka pampasannya adalah wajib, kerana bayi
itu adalah terjamin. Jaminannya tidak akan gugur dengan sebab jenayah orang
lain.
Pemerintah
wajib membayar pampasan atas kematian orang yang menjalani hukuman ta’zir. Walaupun
ta’zir dijalankan mengikut ijtihad pemerintah, apabila ia menyebabkan
kebinasaan, ia diberi pampasan seperti suami yang memukul isteri. Ini
disebabkan ta’zir dilaksanakan dengan syarat orang yang menjalani hukuman
terselamat, kerana maksud ta’zir ialah untuk menjadi pengajaran, bukannya
kebinasaan. Jika kebinasaan berlaku dengan sebab pukulan yang boleh mematikan
pada kebiasaannya, maka wajib dikenakan hukuman qisas, kecuali orang yang
memukul itu adalah asal usul ( bapa tau datuk) orang yang dipukul. Jika
kematian berlaku dengan sebab pukulan yang pada kebiasaannya tidak mematikan,
maka diwajibkan diyat pembunuhan serupa sengaja ke atas aqilah (waris asabah)
pihak orang yang memukul.
PERBEZAAN HUDUD & TA’ZIR
Antara perbezaan antara jenayah hudud dan ta’zir ialah jenayah
hudud ditentukan sendiri oleh syarak terhadap pesalah. Bukan tugas hakim untuk
menentukan hukumannya berdasarkan keadaan pesalah atau keadaan jenayah. Manakala
hukuman ta’zir tidak ditentukan oleh syariat secara terperinci tetapi hanya
memberikan gambaran kasar. Atas dasar itu, pihak berkuasa sama ada badan
perundangan atau badan pengadilan diberi kuasa oleh syariat untuk menentukan
sendiri hukuman mengikut keadaan dan sebagainya.
Namun perlu diperhatikan bahawa pemberian kuasa pemutus kepada Qadi
dalam ta’zir adalah terikat dengan garis panduan yang ditetapkan, paling
penting ialah memilih apa yang dilihatnya sesuai daripada hukuman yang
disyariatkan dalam ta’zir bagi keadaan-keadaan yang ada dan mengambil kira
daripada pelaku maksiat. Tambahan pula, hakim itu sendiri seorang muslim yang
sampai peringkat adil dan wara’.
Selain itu, pendakwaan jenayah hudud perlu dilakukan oleh pihak kerajaan
sendiri. Sekarang ini ia dikenali sebagai pendakwa raya. Mangsa kesalahan tidak
boleh campur tangan dalam urusan pendakwaan kecuali terdapat apa-apa hak sivil
seperti ganti rugi dan sebagainya. Ketika itu, barulah mangsa berkenaan boleh
membuat pendakwaan dengan syarat tidak melibatkan pendakwaan jenayah itu
sendiri. Dalam jenayah Ta’zir, pendakwaan perlu dilakukan oleh pihak mangsa
sendiri dan pihak kerajaan. Pendakwa raya tidak mempunyai kuasa untuk
melakukannya kecuali selepas dimulakan oleh pihak mangsa.
Dalam kes ta’zir, negara diberi kuasa untuk mengampunkan pesalah
daripada dikenakan hukuman dengan syarat bahawa pengampunan tersebut tidak
memberi kesan terhadap hak individu yang ada kaitan dengan kes tersebut. Di samping
itu, individu yang terjejas hak dan kepentingannya juga diberi hak untuk melakukan
kemaafan sekiranya jenayah berkenaan menyentuh haknya semata-mata.Manakala dalam kes hudud, tidak ada jalan yang membolehkan
sesuatu jenayah itu boleh dimaafkan sama ada oleh pihak yang secara langsung
menanggung beban hasil daripada perbuatan jahat berkenaan mahupun pemerintah
dan negara sendiri.
Perbezaan seterusnya antara hudud dan ta’zir ialah hukuman ta’zir
adalah bertujuan untuk mengajar mengikut jenis kefasadan, dan kadang-kadang
kesalahan itu tidak dikategorikan sebagai maksiat dalam kebanyakan hal. Sama
seperti mengajar kanak-kanak, biantang, dan orang-orang gila demi kebaikan
mereka, tanpa mensifatkan kesalahan. Manakala hudud yang telah pun diputuskan,
ia terdapat di dalam syara’ sebagai hukuman ke atas perbuatan yang bersifat
maksiat berdasarkan bukti.
Ta’zir kadang-kadang gugur sekalipun kita mengatakan wajib ta’zir,
sama seperti jika penjenayah itu terdiri daripada kanak-kanak atau orang-orang
mukalaf kalau melakukan satu jenayah
yang hina, tidak boleh dijatuhkan hukuman lantaran tiada bentuk hukuman ringan
yang dapat menegah dan tiada yang mewajibkan hukuman yang berat. Manakala hadud
tidak boleh gugur selepas wajibnya dengan apa jua alasan.
Ta’zir gugur dengan bertaubat tanpa diketahui adanya khilaf.
Manakala hudud tidak gugur dengan bertaubat kecuali bagi kes menyamun seperti
firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 34 yang bermaksud, “Kecualilah
orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya (mereka terlepas
daripada hukuman itu….
Hudud merupakan hak yang putus bagi Allah S.W.T manakala Ta’zir
pula ada yang menjadi hak Allah S.W.T dan ada yang menjadi hak hamba.
Seandainya ta’zir menjadi hak Allah S.W.T, wajiblah dilaksanakan seperti hudud.
Tetapi Imam harus memaafkan dan memberi belas ihsan sekiranya dilihat ada
maslahat, atau penjenayah telah tertegah tanpanya. Manakala ta’zir yang menjadi
hak individu , maka bagi yang berhak boleh mengampunkannya. Namun, jika dia
sendiri yang mahukan yang mahukan dakwaan tersebut, pemerintah tidak mempunyai
kuasa untuk mengampun dan menggugurkan dakwaan.
Ta’zir mempunyai dua jenis, antaranya yang telah putus sebagai
memelihara hak Allah S.W.T seperti penganiayaan ke atas para sahabat atau
al-Quran dan sebagainya daripada perbuatan mencabul kehormatan agama. Jenis
kedua ialah perkara yang telah putus sebagai hak hamba iaitu hak individu
seperi mencemuh seseorang, memukul dan sebagainya lagi.
Dalam jenayah hudud, hak pendakwaan tidak sekali-kali akan diwarisi
oleh para waris sekiranya mangsa berkenaan meninggal dunia. Ini kerana, hak
seperti itu berada di tangan kerajaan, iaitu di tangan pendakwa raya. Sekiranya pendakwa
raya yang mendakwa kes di mahkamah meninggal dunia, kuasa pendakwaan itu tetap
berada di tangan pemerintah.
Dalam kes yang melibatkan hak individu, kewajipan memberikan
keterangan berlaku apabila apabila diminta manakala dalam kes yang melibatkan
hak awam, kewajipan berlaku walaupun tanpa diminta. Hal ini demikian kerana ia
merupakan hak yang boleh dituntut oleh pendakwa raya. Bagaimanapun, dalam
kes-kes hudud secara khusus, seseorang boleh memilih sama ada mahu memberi
keterangan secara sukarela ( hisbah ) atau sebaliknya dengan tujuan melindungi
maruah pihak yang melakukan kesalahan berkenaan.
Dalam kes yang melibatkan hak individu, ada hak yang akan luput
sekiranya orang yang sepatutnya menjadi saksi enggan memberi keterangan.
Sebaliknya dalam kes hudud, kehilangan hak seperti itu tidak akan berlaku. Perbezaaan lain antara hudud dan ta’zir ialah dalam aspek bilangan
saksi. Dalam kes selain hudud yang diperlukan adalah dua sahaja.
Dalam kes hudud, hakim disunatkan memandu orang yang membuat
pengakuan itu supaya menarik balik pengakuan tersebut kerana tiasa siapa yang
akan menanggung kerugian dengan pengakuan seperti itu. Ini kerana Hudud
menyentuh hak masyarakat dan tidak menyentuh apa-apa hak individu.
Perbezaan lain antara hukum hudud dan
hukum ta’zir dari segi cara mensabitkan kesalahan. Mengikut pandangan jumhur
ulama, hukuman hudud ditentukan dengan keterangan-keterangan saksi-saksi dan
pengakuan orang-orang yang bersalah dengan syarat-syaratnya yang tertentu.
Manakala cara mensabitkan kesalahan hukum ta’zir tidak semestinya disabitkan
dengan bukti-bukti tersebut di atas.
Selain
itu, hukuman hudud tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak kerana penjenayah yang
boleh dikenakan hudud mestilah orang yang telah baligh. Sedangkan hukuman
ta’zir boleh dikenakan kepada kanak-kanak kerana ta’zir adalah sebagai
pengajaran
Jenayah hudud tidak akan berubah mengikut peredaran masa kerana
telah ditentukan sendiri oleh syariat Islam, iaitu melalui al-Quran dan
al-Sunnah. Hukuman ta’zir tidak semestinya disabitkan melalui saksi atau bukti
seperti hudud.
KESIMPULAN
Hukuman yang Allah tetapkan seperti hudud dan hukuman ta’zir adalah untuk mendisiplin umat Islam dalam
kehidupan supaya mengikuti landasan kehidupan sebagaimana acuan dari al-Quran
dan al-sunnah.
Pencegah kemungkaran yang terbesar dan berkesan ialah melaksanakan
hukum hudud kerana pelaksanaannya akan
menghalang akan menghalang dari berlakunya perbuatan keji dan zalim di muka
bumi. Meninggalkan hukum hudud merupakan bukti terbesar kepada kekufuran ayat-ayat
Allah.
Undang-undang jenayah syariah wajib ditegakkan dan didaulatkan oleh
umat Islam. Sekiranya wujud penafian dan pengabaian terhadapnya, kita wajib
bangun berjuang menegakkannya kembali. Nyatalah bahawa hukuman-hukuman ini
adalah perintah-perintah wajib yang mesti dilaksanakan dan ia mempunyai kaitan
yang bergitu erat dengan soal keimanan. Menafikan kewajipan hukum-hukum ini
boleh membawa kepada kerosakan iman dan kekufuran.
RUJUKAN
Abd. Latif Muda & Romawati Ali. 1997. Pengantar Fiqh. Kuala
Lumpur : Pustaka Salam.
Abdul Rahman al-Jazari, Fiqh 4 Mazhab. 2011, Johor
Bharu, Perniagaan Jahabersa.
Haron Din. 1993. Hukum Hudud dalam Perundangan Islam. Kuala Lumpur : Pejabat
Agung PAS.
Idris Ahmad. 1982. Fiqh Menurut Mazhab Syafie.
Kuala Lumpur : Pustaka Antara.
Mahmood Zuhdi. 1992. Undang-Undang Jenayah Islam : Konsep Dan
Asas Perlaksanannya. Kuala Lumpur : Bahagian Hal Ehwal Islam.
Paizah Ismail. 2008. Hudud
: Hukum & Pelaksanaan. Shah Alam :
Karya Bestari Sdn.Bhd.
Sa’id
Ibrahim. 1996. Qanun Jinayah Syar’iyah. Kuala Lumpur : Darul
Ma’rifah.
Wahbah al-Zuhaili. 1997. Fiqh & Perundangan Islam. 6
Jil. Ter. Ahmad Shahbari Salamon. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment