Powered By Blogger

Thursday, 9 January 2014

" KOSERVATISME"


Konservatisme merupakan satu aliran yang menguasai majoriti rakyat Muslim dan mendominasi negara-negara Islam seluruhnya. Aliran yang secara mudahnya boleh disifatkan mengingini bentuk masyarakat yang agak konservatif. Fahaman yang turut bimbang dan penuh curiga dengan pemodenan, inovasi dan perubahan. 

Konservatisme adalah aliran yang hampir sama dengan tradisionalisme dan bernaung di bawahnya. Pendirian konservatif diwakili oleh majoriti ulama semasa dan kadang-kadang mengidentifikasikan diri mereka dengan ulama sahaja tanpa penamaan aliran. Sebenarnya mereka inilah yang mewakili tenaga atau kuasa tatacara pengatur dan kestabilan serta berperanan sebagai pendokong status quo. Dalam masyarakat, mereka melaksanakan banyak tugas penting seperti qadi, hakim, menasihati perkara-perkara agama dan politik dan mendidik generasi muda. 

Konservatisme adalah ideologi yang cenderung kepada amalan tradisi atau turun- temurun. Seseorang yang berfikiran konservatif suka supaya suatu amalan itu tidak berubah. Pada dasarnya, seseorang yang berfikiran konservatif berpegang kepada konsep, sekiranya sesuatu perkara itu masih elok, ia tidak perlu ditukar. Sesuatu perkara itu hanya ditukar sekiranya perlu. Ini adalah berlawan dengan fikiran reformasi atau pembaharuan.
Ulama konservatif menerima dan berpegang bahawa rangka dasar Islam bagi masyarakat adalah dasar sintesis klasik yang dikembangkan pada kurun-kurun awal Islam dan dipelihara dalam manual dan huraian penjelasan tentang undang-undang Islam. Lantaran itu bagi mereka pintu ijtihad telah lama ditutup walaupun untuk matlamat praktikal sekalipun dan cenderung membataskan ruang lingkup Islam kepada rukun-rukun Islam sahaja iaitu syahadah, solat, puasa, zakat dan haji.

            Bagi aliran konservatif, Islam adalah system kebudayaan tertutup yang sepenuhnya bersambung dari masa lampau, terpelihara rapi dalam teks-teks Zaman Pertengahan dan sah untuk setiap masa. Sekalipun ramai ulama’ agak keberatan menerima undang-undang sekular Barat atau pembaharuan undang-undang Moden, namun sebagai ukuran sementara diterima juga kerana ia meninggalkan ‘ ideal blueprint’ ( Islam ) untuk pelaksanaan kemudian nanti dalam period yang lebih Islamik. Mereka berpendirian bahawa undang-undang Islam adalah wahyu, yang dirancangkan untuk kehidupan umat manusia, yakin bahawa undang-undang bukan Islam akan  berubah atau dimodenkan tetapi masyarakat mesti ‘kembali kepada Islam’. Ini jelas seperti desakan dan tuntutan perlaksanaan syariah di Iran dan Pakistan serta di Sudan, Mesir dan Malaysia. 

            Konservatif bersama-sama dengan neo-tradisionalisme menolak golongan sekular dan Modenis Muslim kerana mereka cuba mengharmonikan antara Islam dan Barat.  Realitinya, konservatisme dianggap menghalang proses perubahan, kemajuan dan pemodenan kerana pendapat-pendapat mereka yang cenderung merujuk atau memandang ke belakang, bukannya menggarap dan melangkah ke depan. Kadang-kadang berlakunya kecenderungan taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab hingga meminggirkan nilai-nilai universal al-Quran dan al-Sunnah, menyempitkan ruang hukum dan ijtihad, enggan mendengar pendapat lain dan bersikap keras, berfikiran singkat dan hilang sikap kritis dan melihat setiap perubahan itu negatif. 




Sejarah

Kemunculan dan perkembangan pemikiran dan aliran ini berlaku pada kurun-kurun kemudian dan pertengahan atau lebih tepatnya selepas era kemunduran dan kejatuhan Islam, iaitu selepas runtuhnya khalifah Islam di Baghdad. 

Pada waktu yang sama merebaknya sikap taklid dan taksub kepada pandangan dan pegangan yang dikemukakan oleh ulama Abad Pertengahan. Di samping merebaknya masalah social, suka bermewah-mewah, berhiburan melampau, penyakit buta huruf, taklid berleluasanya amalan tarekat tasawuf yang menjurus kepada pandangan dan sikap tertutup dalam kalangan umat Islam. Semua ini adalah kesan langsung dari fahaman dan aliran  tradisionalisme. Sikap dan idea ini terus menyerap dan mencengkam masyarakat Islam beberapa kurun lamanya sehinggalah ke zaman moden.

            Oleh kerana aliran ini cuma melihat sejarah atau masa yang lalu sebagai sumber inspirasi atau sesuatu yang harus dipertahankan maka para pendukungnya dikatakan bersikap negatif terhadap pembaharuan dan perubahan. Aliran konservatif ortodoks yang mendukung taklid menegaskan bahawa Islam adalah lengkap sebagai satu sistem yang sempurna. Justeru, ia tidak perlu kepada sebarang bentuk perubahan. 


Kesimpulan


Konservatisme merupakan fahaman dan aliran yang agak harmonis dan damai. Dari perspektif Barat, aliran ini dilihat tidak radikal atau cenderung kepada keganasan serta tidak mengancam kepentingan Barat.

Rujukan

Jaffary Awang, Kamaruddin Salleh. 2007. Pemikiran Islam Dan Isu-Isu Semasa. Bangi : Fakulti Pengajian Islam,UKM.

Ramli Awang. 2012. Pemikiran Islam : Aliran & Gagasan. Johor Bharu : Penerbit UTM Press.

No comments:

Post a Comment