Powered By Blogger

Friday, 10 January 2014

" MAZHAB SHAFIE"


PENGENALAN

Kalimah mazhab dari segi bahasa ialah tempat untuk berjalan ataupun jalan itu sendiri  Manakala, dari segi istilah pula, mazhab membawa maksud hukum-hukum yang terdiri dari himpunan masalah. Terdapat persamaan diantara maksud perkataan ini dari kedua-dua segi iaitu mazhab merupakan jalan yang menyampaikan kehidupan dunia dan hukum-hukum pula boleh menyampaikan kepada akhirat.      

Mazhab Syafie adalah mazhab fiqah yang dicetuskan oleh Muhammad Bin Idris atau juga dikenali sebagai Imam Shafie. Mazhab ini kebanyakannya diikuti oleh para penduduk Muslim di selatan Mesir, bahagian barat Arab Saudi, Syria, Indonesia, Semenanjung Malaysia, Pantai Koromandel, Malabar, Hadramaut (Yaman), dan Bahrain.

 Imam Syafie hidup di zaman pertentangan antara aliran ahli hadis (cenderung berpegang pada teks hadis) dan ahl al-ra'y (cenderung berpegang pada akal fikiran atau ijtihad). Beliau belajar dari Imam Malik sebagai tokoh ahli hadis, dan Imam Muhammad bin Hasan asy-Syaibani sebagai tokoh ahl al-ra'y yang juga murid Imam Abu Hanifah.

Imam Syafie kemudian merumuskan aliran atau mazhabnya sendiri, yang dapat dikatakan berada di antara kedua kelompok tersebut. Imam Syafie menolak Istihsan dari Imam Abu Hanifah mahupun Mashalih Mursalah dari Imam Malik. Walau bagaimanapun, Mazhab Syafie menerima penggunaan qiyas secara lebih luas berbanding Imam Malik. Meskipun berbeza dari kedua mazhab tersebut, keunggulan Imam Syafie sebagai ulama fiqah, Usul al-Fiqh, dan hadis di zamannya membuat mazhabnya memperoleh banyak pengikut dan kealimannya diakui oleh ramai ulama yang hidup sezaman dengannya.




LATAR BELAKANG PENGASAS MAZHAB SYAFIE

Imam Shafie adalah seorang ulama yang tergolong sebagai ulama salaf yang sangat berpengaruh yang digelari dengan “Imam Mazhab”. Ketokohannya tiada bandingnya sama ada pada zaman beliau hidup mahupun sesudahnya.

Nama sebenar Imam Shafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau digelar Abu Abdillah. Salasilah keturunan beliau ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Shafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf.Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad S.A.W pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf. Gelaran “Shafie” diambil dari datuknya yang keempat, iaitu Shafie bin Saib.

Imam Shafie dilahirkan di Gaza  iaitu bahagian selatan Palestin pada bulan Rejab 150H atau 767 Masihi,pertengahan abad yang kedua Hijrah. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah.Imam Shafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting.Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut, ayahnya meninggal dunia sementara Imam Shafie masih dalam kandungan ibunya.

Sejarah menyatakan ada dua kejadian penting sekitar kelahiran Imam Shafie. Pertama, sewaktu Imam Shafie dalam kandungan, ibunya bermimpi bahawa sebuah bintang telah keluar dari perutnya dan terus naik membumbung tinggi, kemudian bintang itu pecah berderai dan berselerak menerangi daerah-daerah sekelilingnya. Ahli mimpi mentadbirkan bahawa ia akan melahirkan seorang putera yang ilmunya akan meliputi seluruh jagat.

Kedua, pada hari Imam Shafie dilahirkan, dua orang ulama’ besar iaitu Imam Abu Hanifah Nu’man bin Thabit (Pembangun Mazhab Hanafi) dan seorang lagi Imam Abu Jurej al-Makky, mufti Hijaz ketika itu. Kata orang dalam ilmu firasat hal ini adalah satu petanda anak yang lahir ini akan menggantikan yang meninggal dalam ilmu dan kepintarannya.

Setelah berumur dua tahun barulah Imam Shafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah, iaitu kampung halaman beliau. Selama Imam Shafie di Makkah, beliau menuntut ilmu pengetahuan,khususnya yang berkaitan dengan agama Islam sesuai dengan kebiasaan anak-anak kaum muslimin ketika itu
   3
Imam Shafie belajar membaca Al-Quran dengan Ismail bin Qustantein. Ketika berusia 9 tahun,beliau telah hafal Al-Quran 30 juzuk. Kerana kecerdasannya juga,pada usia 15 tahun (dalam satu riwayat 18 tahun) , beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadis serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

 Selain itu, Imam Shafie turut mempelajari ilmu fiqh, ilmu tafsir, ilmu hadis. Beliau menghafal isi kitab Al-Muwatha’(yang disepakati)  karangan Imam Malik. Kitab Muwatha’ tersebut berisi hadis-hadis Rasulullah S..A.W. Kitab itu telah diperlihatkan kepada tujuh puluh orang ulama fiqh di Madinah dan kesemuanya menyetujuinya. Terdapat banyak riwayat yang menceritakan tentang kefaqihan Imam Syafi’i dalam bidang feqah disamping beliau meminati dalam bidang sastera dan syair. Dalam satu riwayat: Pada suatu masa, Imam al-Syafi’i sedang mendalami ilmu syair ketika sedang menaiki sebuah busut di suatu tempat di Mina. Tiba-tiba beliau terdengar suara dari belakangnya menyeru: “Pelajarilah ilmu feqah” Lantaran sejak itu, beliau mempelajari ilmu feqah.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membahagikan malam itu kepada tiga bahagian iaitu sepertiga malam digunakan untuk kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.
Ketika berusia 20 tahun,beliau telah pergi ke tempat Imam Malik di Madinah. Imam Syafi’i mempelajari ilmu yang banyak dari Imam Malik. Dua tahun selepas itu, beliau pergi ke Iraq (Kufah dan Baghdad), Beliau tidak lama di Iraq dan terus mengembara ke Parsi. Semasa mengembara, beliau berkesempatan mengetahui adat istiadat bangsa-bangsa lain selain bangsa Arab. Beliau sangat tekun mempelajari kaedah-kaedah dan nahu bahasa arab. beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama kabilah “Huzail” lebih kurang sepuluh tahun kerana hendak mempelajari bahasa dan adat resam mereka.

Antara sebab Imam al-Syafi’i memilih untuk mengembara ke kampung tersebut kerana Kabilah Huzail adalah merupakan satu kabilah yang terkenal sebagai kabilah yang baik tahap bahasa Arabnya dan beliau banyak menghafal syair-syair dan qasidah dalam bahasa Arab dari kabilah tersebut.

Setelah gurunya, Imam Malik kembali ke rahmatullah, Imam Shafie pergi ke Yaman. Imam Shafie belajar dengan Imam Malik selama tujuh tahun, iaitu pada tahun 170H- 172 H dan dari tahun 174H- 179H.
Imam Shafie berkahwin di Yaman dengan Hamidah binti Nafi’I, seorang puteri keturunan Saidina Uthman bin Affan. Dari perkahwinannya itu, beliau mendapat tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan. Anak lelaki beliau bernama Muhammad bin Shafie yang kemudiannya menjadi ulama’ besar dan Kadi di Jazirah.

 Ketika Imam Shafie di Yaman,beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor sekaligus menjadi Mufti di sana. Nama Imam Shafie menjadi sebutan di negeri Yaman dan sekitarnya.Ramai orang memuji beliau kerana kecekapan dan kepintarannya. Oleh kerana beliau termasuk orang pendatang yang tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi,maka ramai orang yang memfitnah beliau.
Imam Shafie difitnah mengembangkan fahaman syiah dan termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah. Maka, beliau ditangkap dan dibawa ke Baghdad untuk diadili oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid, dengan rantai besi pada kaki dan tangannya. Banyak di antara rombongan Syiah itu yang dijatuhi hukuman mati oleh Khalifah.

Imam Shafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah S..W.T. Dalam keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau di rantai, Imam Shafie mengadap Sultan. Namun, berkat kebijaksanaannya beliau tidak dihukum dan dibebaskan. sehinggalah Imam Malik meninggal dunia, iaitu pada tahun 170H.


METODOLOGI ISTINBAT HUKUM


Menurut Rasyad Hasan Khalil, dalam istinbat hukum Imam Syafi’i menggunakan lima sumber,iaitu  nas-nas al-Quran dan sunnah merupakan sumber utama bagi feqah Islam, para sahabat juga ada yang bersepakat atau berbeza pendapat dalam sesuatu hukum, tetapi mereka tidak pernah bertentangan dengan al-Quran atau sunnah. Selain itu, ijmak merupakan salah satu dasar atau sumber yang dijadikan hujjah oleh imam Syafi’i selepas al-Quran dan sunnah. Beliau mendefinisikannya sebagai kesepakatan ulama suatu zaman tertentu terhadap satu masalah hukum syar’i dengan bersandar kepada dalil. Adapun ijmak pertama yang digunakan oleh imam Syafi’i adalah ijmak para sahabat, beliau menetapkan bahawa ijmak mestilah diakhirkan dalam berdalil selepasa al-Quran dan sunnah. Apabila masalah yang sudah disepakati bertentangan dengan al-Quran dan sunnah maka tidak ada hujjah padanya.


Di samping itu, Imam Syafi’I turut mengguna pendapat para sahabat sebagai metod istinbat hukum feqah. Imam Syafi’i membahagi pendapat sahabat kepada tiga bahagian. Pertama, sesuatu yang sudah disepakati, seperti ijmak mereka untuk membenarkan bahan pertanian hasil rampasan perang tetap dikelola oleh pemiliknya. Ijmak seperti ini adalah hujjah dan termasuk dalam kekukuhan hukumnya serta tidak dapat dikritik. Kedua, pendapat seorang sahabat sahaja dan tidak ada yang lain dalam suatu persoalan, baik setuju atau menolak, maka imam Syafi’i tetap mengambilnya sebagai metod istinbat hukum. Ketiga, persoalan yang mereka berselisih pendapat, maka dalam hal ini imam Syafi’i akan memilih salah satunya yang paling dekat dengan al-Quran, sunnah atau ijmak, atau mrnguatkannya dengan qiyas yang lebih kuat dan beliau tidak akan membuat pendapat baru yang bertentangan dengan pendapat yang sudah ada.

Seterusnya, Imam Syafi’i menetapkan qiyas sebagai salah satu sumber hukum bagi syariat Islam untuk mengetahui tafsiran hukum al-Quran dan sunnah yang tidak ada nas yang tepat. Beliau tidak menilai qiyas yang dilakukan untuk menetapkan sebuah hukum dari seorang mujtahid lebih dari sekadar menjelaskan hukum syariat dalam masalah yang sedang digali oleh seorang mujtahid. Di samping itu, Imam Syafi’i turut mengambil istidlal dalam menetapkan hukum, apabila tidak menemukan hukum dari kaedah-kaedah sebelumnya. Dua sumber istidlal yang diakui oleh Imam Syafi’i adalah adat istiadat (‘urf) dan undang-undang agama yang diwahyukan sebelum Islam (istishab). Namun begitu, kedua sumber ini tidak termasuk metod yang digunakan oleh Imam Syafi’i sebagai dasar istinbat hukum.

Akhir sekali, ulama membahagi pendapat Imam Syafi’i kepada dua, iaitu Kaul Qadim dan Kaul Jadid. Kaul Qadim adalah pendapat Imam Syafi’i yang dikemukakan dan ditulis di Iraq. Manakala Kaul Jadid adalah pendapat imam Syafi’i yang dikemukakan dan ditulis di Mesir.
Di Iraq, beliau belajar dengan ulama Iraq dan banyak mengambil pendapat ulama Iraq yang termasuk ahl al-ra’y. Antara ulama Iraq yang banyak mengambil pendapat imam Syafi’i dan berhasil dipengaruhinya adalah Ahmad bin Hanbal, al-Karabisi, al-Za’farani, dan Abu Tsaur. Setelah meninggalkan Iraq, Imam Syafi’i melakukan perjalanan ke Mesir kemudian tinggal di sana. Di Mesir, dia bertemu dan berguru kepada ulama Mesir yang pada umumnya sahabat imam Malik.

 Imam Malik adalah penerus feqah Madinah yang dikenal sebagai ahl al-hadith. Kerana perjalanan intelektualnya itu, Imam Syafi’i mengubah beberapa pendapatnya yang kemudian disebut Kaul Jadid. Dengan demikian, Kaul Qadim adalah pendapat imam Syafi’i yang bercorak ra’yu, sedangkan Kaul Jadid adalah pendapatnya yang bercorak sunnah.

Beberapa contoh pendapat Kaul Qadim dan Kaul Jadid antara lain ialah mengenai
air yang terkena najis.Mengikut Kaul Qadim, air yang sedikit dan kurang dari dua kolah, atau kurang dari ukuran yang telah ditentukan, tidak dikategorikan air mutanajjis selama air itu tidak berubah. Manakala mengikut Kaul Jadid, air yang sedikit dan kurang dari dua kolah, atau kurang dari ukuran yang telah ditentukan, tidak dikategorikan air mutanajjis apakah air itu berubah atau tidak.
Dalam soal Zakat  buah-buahan pula, mengikut Kaul Qadim: wajib mengeluarkan zakat buah-buahan, walaupun yang tidak tahan lama.Manakala menurut Kaul Jadid, tidak wajib mengeluarkan zakat buah-buahan yang tidak tahan lama.


      MURID DAN FUQAHA’ IMAM SYAFI’I

Imam Syafi’i mempunyai ramai anak murid yang meneruskan kajian feqahnya kerana beliau banyak bermusafir menuntut ilmu dan belajar serta mengajar dan menyebarkan ilmunya. Antara murid-murid Imam al-Syafi’i di kota-kota Islam seperti di Kota Makkah ialah Abu Bakar Abdullah bin al-Zubir al-Asadi al-Makki al-Humaidi Rahimahullah yang meninggal dunia pada tahun 219H, Abu al-Walid Musa bin al-Jurad al-Abbasi Rahimahullah, dan Abu al-Ishaq Ibrahim bin Muhammad al-Abbasi Rahimahullah yang meninggal dunia di Kota Makkah pada tahun 237 H.
 
Kedua di Kota Baghdad ialah Ahmad bin Khalid al-Khallal Rahimahullah yang meninggal dunia pada tahun 247H, Ahmad bin Sinan al-Qattan Rahimahullah yan meninggal pada tahun 256H, Ahmad bin SYuraij al-Nahsyali Rahimahullah, Ahmad bin Hanbal Rahimahullah, Ahmad bin Yahya bin Abdul Aziz al-Baghdadi Rahimahullah, Ishak bin Rahawaih Rahimahullah, Al-Harith bin Suraij al-Naqqal Rahimahullah, Al-Hassan bin Muhammad bin al-Sabah al-Za’farani Rahimahullah, Al-Husin bin Ali al-Karabisi Rahimahullah, Al-Husin al-Qallas Rahimahullah, Sulaiman bin Daud Rahimahullah dan al-Qasim bin Salam Abu ‘Ubaid Rahimahullah.

Ketiga ialah di  Kota Mesir iaitu Imam Baihaqi pernah menyebut bahawa sebahagian murid-murid Imam al-Syafi’i ialah mereka yang mengutip mutiara ilmu daripada Imam al-Syafi’i di Kota Mesir antaranya Abu Ya’qub, Yusuf bin Yahya al-Buwaiti Rahimahullah, Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya bin ‘Amir bin Musali al-Muzani al-Misri Rahimahullah, Al-Rabi’ bin Sulaiman bin Abdul Jabbar bin Kamil, Imam al-Muhaddis al-Faqih al-Kabir Abu Muhammad al-Muradi al-Misri al-Muazzin Rahimahullah, Abu Abdillah, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam bin ‘Ayan bin Laith al-Imam Syeikh al-Islam Abu Abdillah al-Misri al-Faqih Rahimahullah dan Al-Rabi’ bin Daud al-Jizi Rahimahullah.

Antara ulama- ulama Mazhab Shafie ialah Muhammad bin Sulaiman Al- Suluki, Abu Talib Al- Tabari, Abu ‘Asil Al- Abbadi, Abi Ishaq Asy- Syirazi, Abu Muhammad Al- Jurjani, Imam Abu Muhammad Abdul Wahab bin Muhammad, Imam Abu Najib Asy- Syahrawardi, Imam Abu Salah, Syeikh Jamaluddin Al- Asnawi, Syeikh Umar bin Bundar, Al- Hafiz Ibnu Kathir, Syeikh Muhammad bin Hasan Al- Wasiti, Sheikh Shamsuddun Muhammad bin Abdurrahman, Qadi Syarifuddin, Abu Abdillah bin Kutub, Syeikh Sirajuddin Umar Bin Ali, Al- Firuzabidi, Imam Tajuddin Ad- Dimsyaqi, Radhiyuddin Muhammad bin Muhammad Al- Khaidhari, Syeikh Kamaluddin Abul Ma’ali, Abu Bakar bin Hijayatullah, Syeikhul Islam Asy- Syarqawi dan lain- lain lagi.


GURU-GURU IMAM SYAFI’I


Guru-guru Imam al-Syafi’i yang pertama ialah Muslim bin Khalid al-Zinji Rahimahullah dan lain-lainnya adalah imam-imam Makkah. Manakala ketika umur beliau tiga belas tahun, beliau mengembara ke Madinah. Di Madinah, beliau belajar dengan Imam Malik sehinggalah Imam Malik meninggal dunia. Ramai lagi guru-gurunya yang lain sama ada dari kampung-kampung atau Bandar-bandar yang besar yang diziarahinya.


Antara guru-gurunya di Makkah ialah Muslim bin Khalid al-Zinji, Sufyan bin Uyainah bin Abi Imran Maimun al-Hilali al-Kufi, Said bin Abi Salim al-Qudah, Daud bin Abdul Rahman al-Athar, Abdul Hamid bin Abdul Aziz bin Abi Daud dan Imam Abu Ali bin al-Qastatin al-Makki. Sementara gurunya di Madinah ialah Malik bin Anas Imam Dar al-Hijrah, Ibrahim bin Sa’d al-Ansari, Abdul Aziz bin Muhammad al-Dawardi, Ibrahim bin Abi Yahya al-Usami, Muhammad Said bin Abi Fudaik, Abdullah bin Nafi’ al-Sa’igh.

Manakala guru Imam Syafi’I di Yaman pula ialah Matraf bin Mazlan, Hisyam bin Abu Yusuf yang merupakan Kadi bagi Bandar San’a, Umar bin Abi Maslamah dan Yahya bin Husin. Selain itu gurunya di Iraq ialah Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Waki’ bin al-Jarrah al-Kufi, Abu Usamah Hamad bin Usamah al-Kufim Ismail bin Atiyyah al-Basri, Abdul Wahab bin Abdul Majid al-Basri, dan Abu Yusuf yang merupakan Kadi al-Qudhah iaitu Ketua Hakim Negara.
   


PEMBUKUAN KITAB-KITAB IMAM AL-SYAFI’I


Menurut Zulkifli Mohamad,2011, Imam al-Syafi’i banyak menyusun dan mengarang kitab-kitab. Mengikut sebahagian ahli sejarah bahawa beliau menyusun 13 buah kitab di dalam beberapa bidang ilmu pengetahuan seperti ilmu feqah, tafsir, usul dan sastera dan lain-lain.

Antara Kitab Imam al-Syafi’i yang lain adalah “al-Risalah” yang membicarakan tentang ilmu usul feqah. Beliau menyusun kitab al-Risalah sebagai menerima permintaan Abdul Rahman bin al-Mahdi Rahimahullah kerana beliau adalah imam bagi ahli hadis pada masa tersebut. Manusia dapat menerima dengan baik kitab ini dan berbagai-bagai pendapat manusia tentang kitab ini.

Kitab karangan Imam al-Syafi’i yang lain ialah kitab al-Umm yang merupakan sebuah kitab yang luas dan tinggi bagi ilmu feqah. Sesetengah ahli sejarah menafikan kitab al-Umm dikarang oleh Imam al-Syafi’i kerana mereka berpendapat, kitab al-Umm dikarang oleh Abi Ya’akub bin al-Buwaiti Rahimahullah. Sebagai buktinya, Abi Talib al-Makki pernah menyebut di dalam kitabnya, Qut al-Qulub.

 Ada yang mengatakan kitab al-Umm adalah daripada al-Buwaiti. Beliau menyusun kitab al-Umm yang dikatakan pada masa sekarang daripada al-Rabi’ bin Sulaiman. Sebenarnya, ia adalah himpunan daripada al-Buwaiti, tetapi beliau tidak menyebut namanya di dalam kitab dan diserahkan kitab itu kepada al-Rabi;. Al-Rabi’ menambah dan menyebarkannya kepada orang ramai untuk mengetahuinya. Semasa di Iraq, Imam al-Syafi’e menyusun kitabnya yang lama, yang diberi nama al-Hujjah. Kitab ini telah disahkan oleh empat orang dari ulama’ yang besar, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Thaur, al-Za’faran dan al’Karabisi.

Selain itu, antara senarai kitab karangan Imam al-Syafi’i dalam buku al-Fiqh Manhaji karangan Zulkifli Mohamad ialah Al-Wasya al-Kabirah, Ikhtilaf Ahli al-Iraq, Wassiyyatu al-Syafi’i, Jami’ al-Ilm, Ibtal al-Istihsan, Jami’ al-Mizan al-Kabir, Jami’ al-Mizan al-Saghir, Al-Amali, Mukhtasar al-Buwaiti, Al-Imla’, Ikhtilaf al-Hadith, al-Musnad, Mukhtasar al-Kabir.

Risalah mengandungi huraian tentsng sumber hukum Islam serta kaedah-kaedah pengistinbatan hukum syarak. Selain itu kitab Khilaf Malik pula mengandungi bantahan-bahntahan al-Syafi’i terhadap beberapa pendapat gurunya iaitu Imam Malik. Kitab al-Radd ‘Ala Muhammad ibn Hasan pula mengandungi pembelaan al-Syafi’I terhadap mazhab ulama Madinah dari serangan imam Muhammad ibn Hasan, murid Abu Hanifah.

Manakala kitab Sai al-Auza’I mengandungi tentang pembelaan Imam Syafi’I ke atas imam al-Auza dari serangan Imam Abu Yusuf. Seterusnya kitab Ikhtilaf al-Hadits berisi keterangan dan penjelasan al-Syafi’I atas hadis-hadis yang tampak bertentangan namun kitab juga ada yang dicetak tersendiri. Kitab yang lain ialah Jima’ al-‘Ilmi mengandungi pembelaan imam al-Syafi’i.

Setelah ilmunya tinggi dan fahamannya tajam dan sampai ke darjat Mujtahid Mutlak, maka timbullah inspirasinya untuk berfatwa sendiri yakni mengeluarkan hokum- hakam syariat dari al-Quran dan Hadis sesuai dengan ijtihadnya sendiri.Hal ini terjadi di Baghdad (Iraq) pada tahun 198 H iaitu sesudah usia beliau 48 tahun dan selepas melalui masa belajar sekurang- kurangnya 40 tahun.

Pada mulanya beliau mengarang kitab Usul Fiqh yang diberi nama Al-Risalah atas permintaan Abdurrahman bin Mahdi di Mekah yang memintanya agar menerangkan satu kitab yang mencakup ilmu tentang erti Al- Quran, hal ehwal yang ada dalam Al- Quran, tentang soal ijma’ soal nasakh dan mansukh serta tentang hadis- hadis Nabi.

Selain itu, Imam Shafie turut menulis kitab Az- Zafaran yang berisi tentang persoalan fiqh termasuk sujud sahwi. Kitab ini kemudiannya dimahsyurkan namanya menjadi “Al- Hujjah”
Antara kitab Usul Fiqh yang dikarang oleh Imam Shafie selain Ar-Risalah ialah Kitab Ahkamil Quran, Kitab Ikhtilafatul Hadis, Kitab Ibtalul Ihtisan, Kitab Jima’ul Ilmi dan Kitab Al- Qiyas.
Manakala kitab bagi Ilmu Fiqh termasuklah Kitab Al-Umm, Kitab Al- Musnad, Kitab Mukhtasar Al- Muzani, Kitab Harmalah, Kitab Jami’ Al- Muzani Al- Kabir dan Asy- Syagir, Kitab Istiqbalul  Qiblatein, Kitab Muqtasar Al- Buwaiti, Kitab Al- Ama’li, Kitab Al- Qassamah, Kitab Al- Jizyah, Kitab Qilatul Ahlil Bagyi dan banyak lagi.



PENYEBARAN



Menurut sejarah, Imam Shafie berpindah ke Mesir pada tahun 198H. Di Mesir, beliau tinggal di rumah seorang sahabat, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam dan mengajar di masjid Umar bin ‘As yang terletak tidak berapa jauh dari tempat tinggal beliau.

Ketika di Mesir ini selama lima tahun beliau berfatwa dan mengembangkan mazhabnya di hadapan umum baik dengan lisan mahupun tulisan dan mendapat sambutan yang sangat baik dari dunia Islam ketika itu.
Kitab- kitab yang dikarang oleh Imam Shafie disalin oleh murid beliau dan dibawa ke negeri lain untuk dikembangkan.
Fatwa Imam Shafie selain dikarang dalam bentuk buku juga ditablighkan kepada umum. Fatwa- fatwa yang dikeluarkan oleh Imam Shafie ketika beliau berada di Baghdad dinamakan dinamakan “Al- Qaulul Qadim” ( Fatwa lama).


KESIMPULAN

Imam Syafie terkenal sebagai perumus pertama metodologi hukum Islam. Usul al-Fiqh (atau metodologi hukum Islam) tidak dikenal pada masa Nabi dan sahabat, melainkan ilmu ini baru lahir setelah Imam Syafie menulis Ar-Risalah. Mazhab Syafie umumnya dianggap sebagai mazhab yang paling konservatif diantara mazhab-mazhab fiqah Sunni lainnya, dimana pelbagai ilmu keislaman telah berkembang berkat dorongan metodologi hukum Islam dari para pendukung mazhab ini.

Oleh sebab metodologinya yang sistematik dan tingginya tingkat ketelitian yang dituntut oleh Mazhab Syafie, terdapat banyak sekali ulama dan penguasa di dunia Islam yang menjadi pendukung setia mazhab ini. Di antara mereka bahkan ada pula yang menjadi pakar terhadap keseluruhan mazhab-mazhab Ahli Sunah Waljamaah dalam bidang mereka masing-masing.





RUJUKAN


Al-Bakri,Zulkifli Mohamad. 2011.  Al-Fiqh Manhaji. Darul Syakir Enterprise: Selangor.

Abu Ahmad Yasin. 2011. 30 Wasiat Imam Shafie.  Perniagaan Jahabersa : Johor

K.H Siradjuddin ‘Abbas. 1979.  Sejarah Dan Keagungan Mazhab Shafie. Pustaka Aman Press Sdn.        Bhd : Kelantan.

Muhammad Abu Zahrah. 1997.  Pengasasan Dan Pengembangan Mazhab Shafie.  Yayasan Islam              Terengganu : Terengganu.

Mustafa Ar- Rafie. 2004. Dakwah Dan Keunggulan Para Daie. Karisma Publication; Selangor.


No comments:

Post a Comment