PENDAHULUAN
Perjuangan Rasululullah S.A.W. sebagai Nabi
utusan Allah yang terakhir serta membawa risalah yang benar, berita
gembira dan tunjuk ajar kepada seluruh manusia di muka bumi khususnya kepada
kaum Arab di Mekah pada ketika itu. Malangnya, ramai dalam kalangan penduduk
Mekah enggan menerima dakwah Rasulullah S.A.W sebagai Nabi akhir Zaman
sedangkan mereka mengetahui akan ketibaan Nabi bersama kitabnya di dalam kitab
taurat dan injil mereka akan tetapi mereka cuba menafikan kerasulan tersebut
kerana keegoan dan kejahilan.
Rasulullah
S.A.W. bersama-sama orang Islam pada masa itu bertungkus-lumus dan berjuang
bersungguh-sungguh dalam masa tiga tahun semasa di Mekah. Dugaan ke atas mereka
terlalu berat. Dalam hadis sahih menceritakan bahawa mereka terpaksa makan
daun-daun dan pucuk kayu. Al-Suhaili menceritakan kalaulah unta-unta perniagaan
tiba di Makkah, datanglah salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. untuk
membelikan bahan makanan untuk keluaganya: “Wahai peniaga naikkan harga barang
kamu ke atas sahabat-sahabat Muhammad supaya mereka tidak mampu membeli sesuatu
pun dari kamu. Lantas peniaga tersebut menaikkan harga berlipat kali ganda. Di
sini dapat kita lihat sebahagian daripada tentangan dan cabaran yang terpaksa
dihadapi oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat baginda yang berjuang dan
menyebarkan ajaran Islam.
Perjuangan
Nabi Muhammad S.A.W. berteraskan al-Quran merupakan wahyu daripada Allah dan
al-Sunnah iaitu ajaran-ajaran baginda kepada umat dan Nabi diutuskan untuk
menyebarkan risalah kepada umatnya supaya Islam tersebar ke seluruh alam. Dalam
perjuangan ini, Nabi menempuhi pelbagai cara dan jalan seperti dakwah secara
sulit, terbuka, melalui surat, dan peperangan. Kesemua jalan yang ditempuhi
adalah hasil daripada ilham Allah dan di samping kesetiaan dan kesabaran para
sahabat dalam menyebarkan dakwah bersama-sama Rasulullah S.A.W. Para sahabat
dan orang Islam sangat komited membantu usaha dakwah Nabi walaupun ditentang,
dicabar dan dipulau oleh kaum kerabat dan penduduk setempat. Begitu juga
golongan bukan Islam juga turut terlibat dalam membantu perjuangan Nabi
Muhammad S.A.W. dalam pelbagai cara di Mekah dan Madinah. Pasti ada hikmah
disebaliknya apabila Allah telah menghantar golongan bukan Islam untuk
membantuk perjuangan dakwah Nabi Muhammad S.A.W.
Kita
juga harus mengetahui bahawa, Allah S.W.T. yang menghantar ilham, mentakdirkan
golongan bukan Islam ini membantu Nabi dalam pelbagai cara yang telah Allah
tunjukkan. Mereka menjadi wasilah membantu beberapa urusan dan memudahkan
urusan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Setiap apa yang berlaku adalah dalam
ketentuan dan perancangan Allah yang baik dan sudah tentu mempunyai hikmah dan
pengajaran untuk umat yang terdahulu dan umat sekarang.
PERANAN
GOLONGAN BUKAN ISLAM DI MEKAH
(1) Abdul
Muthalib
Abdul Muthalib merupakan datuk kepada Nabi
Muhammad S.A.W, beliau menjaga, mengasuh dan memberi kasih sayang kepada Nabi
setelah kematian ibu baginda pada umur tahun tahun. Abdul Muthalib sangat
sayang sekali kepada cucunya yang masih kecil ditinggalkan oleh ibu dan
bapanya. Beliau sangat memanjakan kepada Nabi dan Nabi seringkali didudukkan di
tempat yang biasa Abdul Muthalib duduk di Ka’bah sedangkan tiada seorang pun
yang biasa duduk di tempat tersebut.
Beliau
diasuh oleh Abdul Muthalib hanya dua tahun sahaja. Oleh kerana Abdul Muthalib meninggal sewaktu Nabi berumur lapan tahun. Baginda merasakan pahitnya hidup
sebagai anak yatim sekali lagi bahkan kini ditinggalkan oleh datuknya yang
dikasihi.
(2) Halimah Binti Abu
Dhu’aib
Bangsa
Arab berpendapat bahawa udara Kota Makkah tidak menyihatkan bagi bayi dan sudah
menjadi adat wanita-wanita bangsawan Arab untuk memberikan bayi-bayi mereka
kepada ibu-ibu susuan yang tinggal di kawasan perkampungan yang mempunyai udara
yang segar.
Ibu-ibu susuan dari Bani Sa’d hanya memilih bayi-bayi yang
mempunyai bapa sedangkan bayi yang tidak berbapa pula ditinggalkan kerana
mereka mengutamakan ganjaran yang akan diperolehi dari bapa bayi berkenaan.
Muhammad S.A.W ditinggalkan tanpa seorang ibu susu, tetapi sebaik sahaja suku
tersebut hendak berangkat pergi, Halimah meminta izin suaminya untuk mengambil
Nabi kerana dia tidak suka jika kembali ke tempatnya tanpa seorang pun bayi dan
suaminya mengizinkan
Ketika Nabi brerusia kira-kira lima tahun, Halimah menemui beberapa
lelaki dari Habsyah yang kelihatan begitu tertarik kepada Nabi dan sentiasa
bertanya kepadanya tentang Nabi. Kemudian mereka berkata “ anak ini akan
menjadi seorang yang sangat penting. Kami akan membawanya ke negeri kami
bersama-sama kami. Kami telah mendengar tentangnya sebelum ini”
Halimah sangat bimbang dan tidak yakin dapat menyelamatkan Nabi
Muhammad S.A.W, laku dia pun mengembalikannya kepada ibunya di Makkah kerana
merasakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W lebih selamat di sana.
(3) Abu Thalib
Abu Thalib merupakan golongan bukan Islam
yang banyak membantu dalam perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Sewaktu Abdul
Muthalib hampir wafat beliau mewasiatkan kepada Abu Thalib untuk rela mengasuh
Nabi sesudah wafat kelak. Abu Thalib adalah saudara kandung Abdullah iaitu ayah
Nabi. Wasiat Abdul Muthalib sesuai kerana beliau sangat mengasihi dan
menyayangi Nabi sejak dari kecil baginda sendiri.
Sebelum Abdul Mutalib wafat, dengan tegas beliau berpesan kepada
Abu Talib supaya memelihara dan menjaga Nabi Muhammad dengan baik. Abu Mutalib
memberi wasiat kepada Abu Talib adalah kerana kebijaksanaan, bukan dengan
sewenang-wenangnya. Beliau tahu siapa anak yang dapat memelihara cucu yang
dicintainya apabila beliau meninggal dunia. Kenyataannya, pilihan Abu Mutalib
adalah tepat. Walaupun Abu Talib bukan anak sulungnya dan kaya, tetapi beliau
disegani dan dihormati oleh seluruh keluarga bangsa Quraisy. Ini kerana beliau
seorang yang berbudi luhur dan berakhlak mulia.
Dalam
riwayat ketika Abu Thalib hendak berdagang ke Syam sewaktu Nabi berusia
Sembilan tahun dan beliau membawa bersama Nabi kerana tidak meninggalkan
baginda bersendirian di Makkah. Dalam perjalanan itu Abu Thalib terpaksa
mengajak Nabi bersama kafilah dagangnya ke Syam. Ketika kafilah dagang Quraisy
itu sampai di Kota Busra mereka mendapatkan seorang rahib kristian dalam
gerejanya yang senang menjamu kafilah dagang yang melalui jalan itu.
Sebagaimana biasa setiap kafilah dagang
Quraisy melalui gerejanya, rahib tersebut akan memberi makanan ala kadar. Namun
ketika kafilah dagang Abu Thalib melalui tempat tersebut, rahib kristian itu
menyambut lain dari biasanya. Seolah-olah rahib tersebut menyaksikan suatu
tanda ghaib yang tidak pernah dilihat sebelumnya. Kerana itu rahib tersebut
menjamu seluruh anggota kafilah dagang Quraisy tanpa terkecuali. Dengan ini
beliau dapat berkenalan dengan Nabi yang masih kanak-kanak. Setelah rahib itu
mengenal tanda-tanda kenabian seperti yang disebutkan dalam kitab Injil maka
rahib itu berkata kepada Abu Thalib : “Bawalah pulang Anak ini iaitu Nabi
Muhammad S.A.W, jangan sampai anak kecil ini ditemui oleh orang Yahudi supaya
ia tidak dibunuh kerana anak kecil ini kelak akan menjadi Nabi akhir zaman.
Ketika
Abu Thalib mendengar ucapan rahib yang ikhlas itu maka beliau cepat pulang
untuk menjauhkan anak kecil itu sebarang hal yang tidak diingini. Kisah ini
diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam dalam kitabnya sirat Ibnu Hisyam dan dalam kitab
sejarah yang lain. Para ulama turut bersepakat bahawa kisah di atas itu
benar-benar terjafi dan tidak dapat disangsikan akan kebenarannya.
Dari
kisah ini dapatlah kita simpulkan bahawa, Abu Thalib berperanan menjaga Nabi
sehinggakan apabila dikhabarkan kepada beliau mengenai Nabi di masa depannya
oleh seorang rahib, beliau mempercepatkan langkah pulang ke Makkah bagi
memastikan keselamatan Nabi. Sekiranya beliau tidak berbuat demikian, pelbagai
kemungkinan mungkin berlaku.
Dengan cara bagaimanapun,
dia tentu berusaha melindungi diri Nabi Muhammad. Oleh itu, selepas beberapa
hari kemudian, Abu Talib memanggil keluarganya yanag terdiri daripada bani
Hasyim dan bani Mutalib. Beliau meminta kepada mereka supaya berjaga-jaga bagi
melindungi Nabi Muhammad daripada pengianayaan golongan Quraisy.
Para pembesar
Quraisy datang ke rumah Abu Talib dengan membawa seorang pemuda yang bernama
Umarah bin Walid Mughirah. Tujuan mereka ialah untuk menukarkan Umarah dengan
Nabi Muhammad. Mereka mahu menyerahkan Umarah kepada Abu Talib untuk
memeliharanya sebagai anaknya dan menyerahkan Nabi Muhammad kepada mereka untuk
dibunuh. Abu Talib menentang sekerasnya permintaan mereka itu.
Tipu helah
musyrikin Quraish ke atas Nabi selama beberapa tahun tidak mendatangkan hasil
yang mereka harapkan. Lalu para ketua dan pembesar Quraish mengadakan mesyuarat
tertutup bagi membincangkan langkah yang perlu diambil bagi melenyapkan gerakan
Nabi Muhammad. Sesudah dibahaskan dengan terperinci, para pembesar Quraish
memutuskan dengan sebulat suara, Nabi Muhammad mesti dibunuh.
Apabila Abu
Thalib disuruh oleh pemimpin Quraisy untuk memnghentikan kegiatan menyebarkan
ajaran Islam tersebut. Abu Thalib menerangkan suasana yang wujud. Beliau turut
meminta Nabi Muhammad S.A.W. supaya tidak meletakkan kesusahan ke atas
dirinya dengan memsuhi puak-puak
Quraisyh. Akan tetapi, Nabi Muhammad S.A.W. dengan tekad dan yakin dengan jalan
yang dipilih oleh Baginda dan sebagai utusan Allah untuk menyebarkan agama
Islam ke seluruh ummah.
Apabila
keputusan membunuh Nabi didengar oleh Abu Talib, dia segera memanggil keturunan
bani Hasyim dan Mutalib yang sudah memeluk Islam atau belum untuk bermesyuarat. Abu Talib
menyeru mereka supaya menjaga kesopanan dan memelihara kehormatan keluarga
keturunan bani Hasyim dan Mutalib. Mereka haruslah menjaga keselamatan Nabi
Muhammad di dalam kampungnya, jangan sampai Nabi dibunuh. Apabila bangsa
Quraish membunuh Nabi Muhammad, tentu terjadi permusuhan dan pertumpahan darah
antara keluarga bangsa Quraish.
Sesudah seruan
Abu Talib dipersetujui oleh kaum keluarganya kecuali Abu Lahab, mereka
berkumpul masuk ke dalam kampung Bani Hasyim dan Bani Mutalib. Nabi dijaga
dengan ketat oleh seluruh kaum keluarganya sama ada yang sudah memeluk Islam
mahupun yang masih kafir, terutamanya oleh Abu Talib. Apabila tiba wakti malam,
baginda dijaga dengan ketat oleh Abu Talib bersama keluarnya yang lain.
Sekiranya Abu Talib tidur, baginda dijaga oleh saudaranya yang lain, demikian
berganti-ganti.
Abu Talib tidak
melarang Nabi Muhammad daripada meneruskan dakwahnya. (Walaupun para pembesar
golongan Quraisy bersama Abu Lahab datang menemuinya bagi mendesak supaya
beliau melarang Nabi dari meneruskan seruannya. Namun, semua hasutan itu tidak
dihiraukan oleh Abu Talib. Ia sekadar diterima dan didengar begitu sahaja.
(4) Bakhira
Abu Talib dan Nabi Muhammad dalam
perjalanan dari Makkah ke Syam. Semasa rombongannya sampai ke Kota Basrah,
iaitu kota yang terletak di Bahagian Selatan Syam, mereka bertemu dengan
pendeta Nasrani bernama Bakhira.
Beliau
mendapati bahawa di antara dua tulang Nabi terdapat tanda kelahiran yang
diketahui oleh orang-orang yang tahu tentang perkara itu, sebagai tanda
kenabian.
Pendeta itu
melihat wajah Nabi Muhammad dengan pandangan yang mendalam. Kemudian, beliau
berpesan kepada Abu Talib supaya menjaga dan mengawasi kanak-kanak lelaki yang
dibawanya. Ini kerana, kanak-kanak itu bukan kanak-kanak biasa. Ia menjadi
penutup sekalian Nabi dan Rasul Tuhan serta akan dimusuhi oleh kaum dan
bangsanya kelak. Pendeta itu meyatakan demikian berdasarkan tanda-tanda yang
terdapat pada diri kanak-kanak lelaki itu dan ayat-ayat yang termaktub di dalam
kitab Injil.
Abu Talib
dinasihatkan supaya segera kembali ke negerinya apabila selesai urusan di Syam.
Beliau khuatir kanak-kanak itu akan dibunuh atau sekurang-kurangnya disakiti
apabila diketahui oleh orang Yahudi. Muhammad S.AW pun
kembali dengan selamatnya ke Makkah bersama Abu Talib dan tidak lagi mengikuti
perjalanan dagang ke Syam.
(5) Utbah
bin Rabi’ah
Orang Kafir Quraish mengutus orang
yang paling tua dalam kalangan mereka iaitu Utbah bin Rabi’ah untuk berunding
dengan Nabi S.A.W. Mereka menyangka bahawa baginda akan meninggalkan agama baru
itu jika mereka memberinya apa sahaja yang diingininya. Uthbah pergi berjumpa
dengan Nabi dan menawarkan wang, kedudukan dan menjadi raja kepada Nabi.
Setelah mendengar kata-kata Uthbah, Nabi tidak berkata apa-apa dan membaca
surah al-Sajdah. Uthbah duduk dengan kagum mendengarkan keindahan kalimat
al-Quran. Uthbah sedar bahawa Nabi bukan seorang yang gila dan tidak menginginkan
wang, pengaruh dan kedudukan.
Uthbah tidak
berkata apa-apa lagi kepada Nabi lalu kembali kepada kaum Quraish dan
menasihati mereka agar membiarkan sahaja baginda.
(6) Raja
Najasyi
Raja Najasyi merupakan seorang raja
yang adil. Di daerahnya tidak ada seorang pun yang dizalimi. Beliau juga
merupakan seorang raja yang bijaksana dalam memutuskan sesuatu keputusan,
meneliti sesuatu kebenaran dan menjatuhkan hukuman. Kaum muslimin diarah berhijrah oleh Nabi
Muhammad S.A.W. ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan di sana kerana mereka
mendapat tahu Raja Najasyi merupakan seorang Raja yang adil dan saksama.
Manakala kaum
musyrikin pula mengutus dua orang utusan diplomasinya yang bernama Amru bin Ash
dan Abdullah bin Abi Rabi’ah dan memohon kepadanya supaya orang Islam diusir
dari daerah kekuasaannya. Kedua utusan ini dibekali dengan berbagai macam
hadiah dari jenis barang yang paling
disukai oleh Raja Najasyi. Mereka risau seandainya kaum muslimin
mendapat perlindungan dan mengumpulkan kekuatan di sana. Mereka menghasut Raja
Najasyi supaya tidak menerima permohonan kaum muslimin untuk mendapat
perlindungan di Habsyah. Walaubagaimanapun, Raja Najasyi adalah seorang yang
bijaksana, beliau tidak mudah menerima laporan dari satu pihak tanpa
membuktikan kebenarannya dan beliau mendengar terlebih dahulu apa yang akan
disampaikan oleh kaum muslimin.
Kaum musyrikin
membawa hadiah perhiasan dan pakaian yang mahal hargayan untuk dihadiahkan
kepada Raja Habsyah dan para pembesar negeri itu supaya menerima cadangan
mereka mengusir kaum muslimin dari negeri Habsyah sebelum mendengar kata-kata
dari kaum muslim.
Kaum Muslimin
yang diutuskan oleh Rasulullah S.A.W antaranya ialah Ja’afar bin Abu Thalib dan
beberapa orang sahabat Nabi, beliau menerangkan satu persatu tentang agama dan
wahyu yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W, beliau menerangkan nilai-nilai yang
ada dalam agama, dan Allah mengutuskan seorang Rasul bagi menyebarkan agama dan
wahyu kepada seluruh umat. Raja Najasyi turut bertanya tentang Nabi Isa kepada
Jaafar dan Jaafar menjawab dengan penuh berhemah iaitu, Nabi Muhammad S.A.W.
mengajarkan kepada mereka bahawa Isa adalah hamba Allah dan diutuskan oleh
Allah. Dalam keadaan begitu, kaum musyirkin utusan puak Quraisy sentiasa
mengasak Raja Najasyi dan kaum muslimin, akan tetapi, suatu keajaiban berlaku
apabila Raja Najasyi memerintahkan kepada dua utusan dari Quraisy pulang
Manakala kaum muslimin tetap diberi perlindungan dan penghormatan yang besar.
Walaubagaimanapun,
Raja Habsyah tidak bersetuju dengan cadangan supaya orang Islam yang behijrah
itu diserahkan kepada dua utusan itu. Sebaliknya, beliau mahu mengetahui dan
memahami tentang keadaan mereka dan perkara sebenar.
(7) Sebahagian
kecil golongan Quraish
Para pembesar golongan Quraish
sepakat memulaukan keluarga Bani Hasyim dab Bani Mutalib serta semua pengikut
Nabi Muhammad ( orang Islam ) setelah mereka tidak dapat membunuh Nabi kerana
dijaga dengan begitu ketat.
Sebahagian
kecil daripada orang-orang Quraish yang masih dekat hubungan kekeluargaan
dengan Nabi, orang Islam yang dipulaukan dan mereka yang masih mempunyai rasa
perikemanusiaan tidak sampai hati melihat penderitaan, kesengsaraan dan
kelaparan yang menimpa mereka. Merekalah yang menghantarkan makanan kepada
orang Islam di Syi’ib secara rahsia. Mereka lakukan sedemikian kerana takut
diketahui oleh para pembesar Quraish.
(8) Pembesar
Quraish
Hisham bin Amr, Zuhair bin Umayyah,
Muth’im bin Adi, Abdul Bakhtari dan Zam’ah bin AL-Aswad merupakan lima orang
pembesar Quraish yang bersetuju menghapuskan undang-undang pemualauan Bani
Hasyim dan Bani Mutalib dan masing-masing mereka mempunyai pengikutnya.
Mereka
memutuskan dalam mesyuarat rahsia untuk pergi ke masjid dengan diiringi
pengikut masing-masing dengan bersenjata. Zuhair bertindak sebagai ketua.
Apabila tiba di masjid, mereka tawaf di sisi Kaabah. Sesudah itu, Zuhair
menyampaikan pidato yang ditujukan kepada semua bangsa Quraish.
Muth’im masuk
ke dalam Kaabah dan mengambil lembaran undang-undang itu lalu dikoyaknya di
hadapan orang ramai serta diperlihatkan kepada semua yang hadir. Kemudian,
mereka keluar dari masjid diiringi para pengikut masing-masing lalu pergi ke
Syi’ib Bani Hasyim dan Bani Mutalib. Apabila sampai, mereka berteriak dan
memanggil-manggil dengan suara yang kuat dan menyuruh orang-orang yang sedang
terpenjara keluar dari kampung itu. Nabi dan para pengikutnya serta seluruh
keluarga Bani Hasyim dan Bani Mutalib keluar dari Syi’ib dan kembali ke Makkah.
Maka, bebaslah mereka dari kekajaman itu.
(9) Ibnu
Dughunnah
Semasa dalam perjalanan berhijrah ke
Habsyah, Abu Bakar bertemu dengan kawannya
di desa BarkulGhilad, suatu desa yang terletak berhampiran pantai Yaman
yang jauhnya lima hari perjalanan dari Makkah. Rakannya itu benama Ibnud Dughunnah,
merupakan ketua di desa itu. Abu Bakar
menceritakan tujuannya yang mahu ke Habsyah. Namun, Ibnu Dughunnah menyuruh Abu
Bakar supaya kembali ke Makkah. Beliau sanggup menjamin dan melindungi Abu
Bakar di Makkah.
Akhirnya Abu
Bakar kemabali semula ke Makkah dihantar oleh Ibnud Dughunnah. Apabila sampai di
Makkah, Ibnud Dughunnah pergi ke rumah ketua-ketua dan pembesar Quraish dan
permintaannya bagi melindungi Abu Bakar diterima baik dengan beberapa
perjanjian.
(10) Abdullah
Bin Uraiqit
Dalam
sejarah Hijratul Rasul s.a.w., baginda telah meminta pertolongan atau bantuan
dari seorang yang tidak Islam yang bernama Abdullah bin Uraiqit, sebagai
pemandu dan penunjuk jalan kepadanya. Mengapa Rasulullah s.a.w. memilih orang
kafir untuk membantu? Apakah tidak ada orang Islam atau malaikat atau wahyu
yang memandunya? Walaupun semua itu boleh, tetapi peristiwa ini mengandungi
mesej yang amat jelas, iaitu dibolehkan bekerjasama, terutamanya jika keperluan
itu jelas wujud.
Selepas Nabi
Muhammad pulang dari Taif, baginda tidak dibenarkan pulang dan tinggal di
Makkah. Semasa perjalanannya sampai di Gua Hira’, Nabi Muhammad bertemu dengan
Abdullah bin Uraiqit.
Baginda meminta
bantuan Uraiqit supaya pergi ke Makkah dan bertemu dengan beberapa pembesar seperti
Akhnas bin Syuraiq, Suhail bin Amr dan Muth’im bin Adi supaya sudi memberikan
perlindungan dan menjamin keselamatan diri baginda untuk masuk kembali dan
tinggal di Makkah. Akhnas dan Suhail tidak sanggup dan menolak permintaan itu,
namun Muth’im menerima permintaan Nabi Muhammad.
Sebelum Nabi
dan Abu Bakar berangkat meninggalkan Makkah, Abu Bakar berpesan kepada Abdullah
bin Uraiqit supaya tiga hari selepas itu dia pergi menyusul ke Gua Thur
bersama-sama Amir bin Fuhairah dengan membawa dua ekor unta kepunyaan Abu Bakar
yang maju dijadikan kenderaan pergi ke Madinah.
Abdullah bin
Uraiqit mahu menerima janji dan diupah oleh Abu Bakar untuk menunjukkan jalan
ke Madinah. Padahal, pada masa itu dia juga mendengar kekecohan golongan musyrikin
Quraish di Makkah dalam mencari Nabi Muhammad S.A.W dan Abu Bakar serta
pengunguman mereka yang mahu memberikan hadiah sebanyak 100 ekor unta kepada sesiapa
yang dapat menangkap Nabi S.A.W.
Pada hari
keempat mereka keluar dari Gua Thur. Nabi menunggang unta bersama dengan
Abdullah sedangkan Abu Bakar bersama Amir. Mereka mengambil jalan sepanjang
tepi laut merah iaitu jalan yang tidak biasa digunakan oleh kebanyakan orang
yang mahu pergi ke Madinah.
(11) Muth’im
bin Adi
Muth’im sedia memberi perlindungan
kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk kembali masuk dan tinggal di Makkah selepas
baginda pergi ke Taif. Muth’im memberitahu para pembesar Quraish dia yang
memberi perlindungan ke atas Nabi Muhammad untuk kembali dan tinggal di Makkah.
Mereka diminta supaya tidak mengganggu atau menyakiti Nabi Muhammad dan
membiarkan baginda tinggal di Makkah.
Pada keesokan
harinya, Muth’im mempersiapkan pasukannya dengan senjata bagi menjemput Nabi di
luar Makkah. Baginda pun masuk ke dalam Makkah dengan selamat. Setibanya di
Makkah, Nabi segera melakukan tawaf di sekeliling Ka’bah. Pada waktu itu,
Muth’im dan anak buahnya berjaga-jaga di sekeliling Kaabah supaya tidak ada
seorang pun yang berani mengganggu Nabi Muhammad S.A.W.
Kemudian Nabi
pulang ke rumah dan tinggal di kampungnya yang lama dengan aman dan tenteram
dan tidak ada seorang pun yang berani mengganggu mahupun menyakiti baginda.
(12) Waraqah
bin Naufal
Warqah bin Naufal merupakan sepupu
kepada isteri Nabi iaitu Khadijah bin Khuwailid, seorang beragama kristian yang
memahami kitab Taurat dan Injil. Apabila Nabi Muhammad S.A.W. menerima wahyu
daripada Jibril, Baginda bergegas pulang ke rumah dan minta diselimutkan.
Khadijah berusaha menenangkan Nabi Muhammad S.A.W. dan berfikir untuk mencari
jalan penyelesaian untuk menenangkan Nabi dengan berjumpa dengan sepupunya
Waraqah bin Naufal. Lalu beliau menceritakan apa yang dialami oleh Nabi
Muhammad S.A.W. dan Waraqah meminta untuk bertemu dengan Nabi Muhammad dan
mendengar sendiri kisah tersebut.
Ketika Nabi menceritakan apa yang dialaminya
kepada Waraqah bin Naufal, lalu dia berkata yang bermaksud : “Demi Allah
yang jiwaku ada di tangan-Nya. Sesungguhnya engkau adalah Nabi untuk umat ini.
Engkau telah didatangi Malaikat Jibril yang pernah datang kepada Musa. Dan
kelak engkau didustakan, disakiti, diusir bahkan kamu akan diperangi oleh
kaummu”. Ketika mendengarnya, Nabi terperanjat dan beliau merasakan ketika
itu dicintai oleh kaumnya. Beliau khuatir dan musykil andai adakah mereka akan
mengusirnya. Lalu jawab Waraqah dengan tegas : “Demi Allah. Setiap orang
yang diangkat menjadi Nabi seperti kamu, pasti dia akan dimusuhi dan diperangi
oleh kaumnya. Jika aku pada waktu kamu dimusuhi masih hidup, pasti kamu akan ku
bela sekuatnya”
Di sini dapat kita
melihat peranan Waraqah bin Naufal yang telah memberitahu isyarat dan
pemberitahuan awal kepada baginda Rasulullah S.A.W tentang kenabian baginda.
Secara tidak langsung memberi persediaan awal kepada baginda untuk menerima
taklifat yang besar ini.
KESIMPULAN
Sebagai
agama yang sempurna, Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang
kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan cara
hidup dalam masyarakat majmuk. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini
dengan berbagai macam suku bangsa, agama dan etnik. Oleh sebab itu, Allah S.W.T
mengajarkan konsep toleransi, dengan tujuan wujudnya perdamaian umat manusia di
muka bumi ini.
Perbezaan agama sebenarnya bukan
penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia.
Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi
kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk
menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sekalipun.
Kerjasama dengan orang bukan Islam
untuk mencapai perkara yang menjadi maslahah bersama sesama manusia seperti
kesejahteraan hidup duniawi, keadilan, membenteras kezaliman, penyelewengan,
rasuah, menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik dan sebagainya tanpa
melanggar mana-mana hukum-hakam Syariat, hukumnya adalah harus.
Kerjasama yang diharamkan ialah yang merugikan Islam dan kaum
muslimin, antaranya untuk menegakkan mana-mana sistem pemerintahan yang
bercanggah dengan Syariah Islam seperti sekular, sosialis, komunis dan
sebagainya, membantu orang kafir untuk memerangi kaum muslimin, menolak Syariat
Allah atau mengambil pendekatan yang bercanggah dengan Syariat, menafikan hak
kaum muslimin kerana lebih mengutamakan persepakatan dengan orang bukan Islam
dan sebagainya lagi.
Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini,
gerakan Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang
ada. Tahalufsiyasi perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat
keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT.
Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan
dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru
dengan langkah yang diambil.
RUJUKAN
Abul Hasan
Ali al-Hasany an-Nadwy, 1983. Riwayat Hidup
Rasulullah S.A.W. Surabaya : Pustaka Nasional Pte Ltd.
Abdul Rahman Hussin. 1985. Muhammad
Pembela Ummah., Petaling Jaya : Polygraphic Press Sdn. Bhd.
K.H.
Moenawar. 2011. Ensiklopedia Sejarah Nabi Muhammad. Selangor : PTS
IslamikaSdn.Bhd.
Muhammad
Sa’id Ramadhan al-Buti. 1983. Fiqh al-Sirah. Shah Alam Selangor ; Dewan Pustaka Fajar.
Ismail. 2000. Sejarah Hidup Nabi Muhammad S.A.W. Johor Bhara :
Perniagaan Jahabersa.
No comments:
Post a Comment