Powered By Blogger

Tuesday, 9 February 2016

ERA KEGEMILANGAN KOTA BAGHDAD : ILMU PENGETAHUAN



  
1. Baitul Hikmah

Sebuah perpustakaan yang dinamakan Baitul Hikmah telah didirikan. Pengajian dalam pelbagai jenis bidang ilmu pengetahuan telah diajarkan di pusat-pusat pengajian tersebut. Ilmu-ilmu penting seperti ilmu kedoktoran, Astronomi, ilmu Hisab, Kesusasteraan, Seni Muzik, Seni Bangunan, Falsafah, Ilmu Alam dan sebagainya dipelajari di sini.

Di samping itu, ilmu yang berbentuk keagamaan seperti Ilmu Hadis, Ilmu al-Quran, Sirah, Bahasa Arab, nahu dan sebagainya. Ilmu perundangan Islam dan cawangan-cawangannya dikaji dengan mendalam sekali. 

Antara kebanggaan zaman pemerintahan Abbasiyah pertama ialah terdapatnya keempat-empat imam fiqh yang ulung pada ketika itu. Mereka adalah Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal. Keempat-empat Imam tersebut merupakan ulama-ulama fiqh yang paling agung dan tiada tandingannya di dunia Islam. Mazhab-mazhab fiqh mereka adalah yang paling mahsyur dan paling luas penyebarannya sehingga ke hari ini. 

Zaman itu juga kaya dengan ahli-ahli nahu bahasa Arab yang terbahagi kepada dua aliran terbesar iaitu aliran Basrah dan alirah Kufah. Antara tokoh nahu dari aliran Basrah ialah Isa bin Umar as-Tsaqafi, Abu Umar bin al-‘Alaa, Yunus bin Habib dan ramai lagi. Semerntara tokoh dari aliran Kufah pula ialah Abu Ja’far ar-Ru’asi. 

            Aliran Basrah sangat berbeza dengan aliran Kufah. Aliran yang pertama itu berminat meletakkan kaedah-kaedah asas bagi bahasa Arab mengikut yang biasanya disebutkan oleh orang-orang Arab. Seandainya nyata sesuatu yang bertentangan dengan kebiasaan ini, maka dianggapnya sebagai luar biasa atau disebut sebagai syaz. Jika terbukti sah dan betul, maka ia dihafal dan tidak dikiaskan. Buku nahu susunan Isa bin Umar merupakan hasil ilmiah yang amat bernilai pada zaman tersebut dan mengandungi asas-asas aliran Basrah. Buku ini diberi nama al-Jami’.
   
Aliran Kufah bermula terkemudian daripada aliran Basrah, bahkan merupakan pecahan darinya. Pengasasnya ialah Abu Ja’far ar-Ru’asi. Kaedah yang dipegang oleh golongan ahli Kufah adalah jauh lebih mudah iaitu dengan menyebut segala yang dituturkan oleh orang Arab dan menjadikannya sebagai asas yang harus ditiru serta menyusunkan beberapa kaedah untuknya.

Manakala Tafsir al-Farra’ merupakan tafsir pertama yang tersusun, mengikut susunan ayat-ayat al-Quran, serta sebagai perintis jalan kepada pentafsir-pentafsir yang lahir sesudahnya, sehinggalah muncul al-Tabari yang menghimpunkan di dalam buku tafsirnya semua keistimewaan yang terdapat di dalam karya-karya tafsir yang diusahakan oleh tokoh-tokoh tafsir sebelumnya.


2.    Peranan Khalifah

Khalifah Harun al-Rasyid memang terkenal sebagai seorang yang suka memberi penghargaan kepada para ilmuwan. Wang negara digunakan untuk memberikan hadiah dan sumbangan kepada ahli-ahli ilmu pengetahuan dan memberi gaji kepada mereka yang bertugas dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Beliau memilih mereka yang berpengetahuan untuk memegang jawatan-jawatan yang penting seperti Yahya bin Khalid al-Barmaki yang diangkat menjadi wazir beliau. 

Zaman pemerintahan al-Makmun adalah zaman yang paling gemilang dengan kemajuan ilmu pengetahuan kerana al-Makmun adalah khalifah yang sangat cenderung kepada ilmu pengetahuan dan amat mengambil berat dalam soal mendapatkan ilmu pengetahuan dan penyebarannya kepada orang ramai dalam kalangan umat Islam.

Khalifah al-Makmun sendiri salah seorang daripada tokoh ilmu pengetahuan. Beliau dianggap ahli dalam lapangan falsafah, astronomi, bahasa, sastera, dan ilmu logik. Pemerintah memberikan galakan yang sewajarnya kepada rakyat untuk mengambil peranan dalam kemajuan ilmu pengetahuan.
             
 Al-Ma’mun juga menghantar rombongan ke Greek untuk mendapatkan buku Aristotle mengenai falsafah. Nama seperti Bakhtaisyu’, al-Hajjaj bin Matar dan Hunain bin Ishaq terkenal  ulama dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Mereka itu adalah dari keturunan bukan Arab. Di antara orang Arab sendiri terdapat pula ulama yang terkenal dalam jurusan falsafah pemerintahan dan kehakiman seperti al-Kindi.


3.       Terjemahan Karya Asing

Pada zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, Baghdad menjadi pusat pengajian tinggi ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Golongan cerdik pandai dari dalam dan luar negeri bergiat memajukan ilmu pengetahuan dengan menterjemahkan buku-buku ilmu pengetahuan.

            Dari segi hasil karya, terdapat juga buku asing yang diterjemahkan di samping karangan-karangan yang dihasilkan oleh orang-orang Islam sendiri sebagai karya asli mereka. Buku-buku dari Yunani, Parsi dan India telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Tokoh-tokoh ilmu pengetahuan tempatan dalam negeri dan luar negeri bekerja keras menjalankan tugas-tugas mereka di pusat-pusat pengajian tinggi di kota-kota Islam. Jurusan-jurusan ilmu pengetahuan keduniaan yang dikaji ialah ilmu kimia, fizik, kaji hayat, pertanian, kaji haiwan, kaji tumbuhan, ekonomi, politik, ilmu alam dan sebagainya.

            Buku-buku hasil ciptaan dan terjemahan ahli-ahli pengetahuan itu telah dijadikan bahan  kajian dan rujukan penting di universiti-universiti di Eropah. Sehingga kurun ke-16, buku-buku itu masih menjadi bahan terpenting dalam pengajian-pengajian mereka dan masih lagi menjadi rujukan dan asas kajian bagi kemajuan ilmu pengetahuan di Eropah hingga ke hari ini, terutama bidang-bidang pengetahuan kedoktoran dan sains.
    
Pada zaman Abu Jaafar sebagai pengasasnya, Kota Baghdad mengalami kemajuan yang pesat sekali dalam lapangan ilmu pengetahuan. Banyak kitab dari bahasa Yunani dan Parsi diterjemahkan ke dalam bahasa Arab seperti kitab mengenai perubatan diterjemahkan oleh ulama seperti Hunain bin Ishak, karangan Bukrat (Hippocrate) dan Jalinous (Galien) dan kitab karangan Aklidas (Euclide) mengenai geometri. 

Banyak rombongan ulama dikirim ke Constantinople untuk memindah pengetahuan dari kitab-kitab asing ke dalam bahasa Arab. Rombongan dikirim juga ke negeri-negeri lain seperti Byzantine bagi mengusahakan pemindahan ilmu pengetahuan ke dalam bahasa Arab. Mereka membawa masuk ke Baghdad kitab-kitab mengenai perubatan dan kedoktoran, muzik dan seni bina bangunan dan lain-lain lagi.


4.       Masjid

Pada zaman Abbasiyah, masjid sebenarnya lebih merupakan pusat pengajian tinggi yang mengajar pelbagai ilmu seperti Tafsir al-Quran, Hadis, Mustalah al-Hadis, Fiqh, Usul Fiqh, Falak, Tatabahasa, Sastera, Perkamusan, Tauhid dan Ilmu Perbahasan. 

            Sebenarnya masjid dalam zaman Abbasiyah bukanlah sekadar tempat pembelajaran biasa. Ia sudah boleh dianggap sebagai pusat pengajian tinggi yang lebih banyak menumpukan kepada perbincangan dan kajian mengenai asas perundangan sama ada dari perspektif al-Quran atau Hadis. Oleh itu, terdapat halaqah-halaqah yang dikenali dengan nama Madrasatu al-Quran dan Madrasatu al-Hadis.

            Namun tidak semua masjid berfungsi sebagai pusat pengajian tinggi. Biasanya masjid-masjid besar dan tertentu sahaja diiktiraf sebagai pusat pengajian tinggi sedangkan masjid-masjid lain yang tidak terkenal masih tetap berfungsi sebagai pusat pengajian peringkat menengah yang tidak terlibat dalam pengajian lanjutan dan spekulatif.

Ibnu al-Jawzi melaporkan, di Baghdad terdapat enam sahaja masjid besar yang menawarkan kursus lanjutan di samping beberapa masjid tertentu yang menganjurkan kursus lanjutan biasanya dalam bidang pengajian mazhab tertentu. Guru-guru yang bertugas di masjid-masjid yang menganjurkan pengajian lanjutan dilantik oleh kerajaan dan pengajian kokurikulum pengajiannya diawasi oleh suatu badan yang ditubuhkan oleh kerajaan dikenali sebagai naqib al-Hashimiyin.


5.       Institusi Al-Nizamiyyah

Kemuncak perkembangan ilmu pengetahuan di Baghdad ialah penubuhan institusi pengajian tinggi al-Nizamiyyah. Ia diasaskan oleh Nizam al-Muluk pada tahun 457H/1065M dan dibuka secara rasmi pada hari sabtu 10 Zulkaedah 1067M. 

            Berbeza dengan masjid, al-Nizamiah merupakan institusi pengajian tinggi yang pertama ditubuhkan secara formal oleh pihak kerajaan. Pada peringkat permulaan, institusi ini menyediakan tiga fakulti utama iaitu Syariah berasaskan Mazhab Shafie, Usuluddin berteraskan pendekatan al-Ash’ari dan fakulti Sains Kemanusiaan dengan penekanan kepada bidang Kesusasteraan Klasik. 

            Setiap pensyarah utama mempunyai beberapa orang pembantu yang bertanggungjawab mengendalikan tutorial bagi setiap kuliah yang telah disampaikan. Bagi menjamin keberkesanannya, setiap kumpulan tutorial disyaratkan tidak melebihi 15 orang.

            Mengikut kenyataan Syeikh Muhammad Abduh, peruntukan tahunan yang diluluskan oleh pihak kerajaan kepada institusi ini ialah sebanyak 15.000 dinar. Pihak kerajaan juga telah menubuhkan satu yayasan khas dan menghadiahkan beberapa buah rumah serta kedai di sekitar Kota Baghdad dan juga estet-estet sebagai aset tetap kepada institusi al-Nizamiyyah. Keadaan ini menyebabkan ia berkembang pesat dan mampu mendapatkan para pensyarah yang masyhur dalam pelbagai bidang pengajian. Pelajar diberi biasiswa sepenuhnya di samping tempat tinggal, pakaian, buku, alat tulis malah kuda.
          
            Antara tokoh utama yang bertugas di institusi ini ialah Abu Ishaq al-Shirazi sebagai Professor Undang-undang, Imam Abu Hamid al-Ghazali sebagai Professor dalam bidang Usuluddin, sementara Baha’uddin ibn Shaddad sebagai Professor dalam bidang sejarah dan ramai lagi.


6.       Institusi Mustansiriyyah

Setelah dua abad kewujudan al-Nizamiyyahh, sebuah lagi institusi yang dikenali dengan nama al-Muntsnsiriyyah ditubuhkan di Baghdad. Nama institusi ini diambil sempena nama pengasasnya al-Muntansir ibn Muhammad al-Zahir iaitu khalifah Abbasiyah yang ke-36. 

            Inisiatif menubuhkan institusi ini dibuat berdasarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan mazhab yang wujud di Baghdad pada masa itu sedangkan institusi al-Nizamiyyah hanya khas untuk pengikut mazhab Shafie sahaja. Institusi yang dibina pada tahun 625H/1227M ini dianggap tercantik pada masa itu. Institusi ini mula beroperasi pada bulan Jamadil Akhir 631H dengan kumpulan pertama seramai 62 orang pelajar diambil untuk satu-satu mazhab. 

Institusi ini juga mendapat peruntukan besar dari pihak kerajaan. Pelajar disediakan kelengkapan pendidikan, makanan, pakaian rasmi institut iaitu jubah hitam, duit poket sebanyak 1 dinar sebulan dan juga klinik. Pada pintu gerbang induk institut terdapat sebuah jam besar yang dikhaskan untuk kemudahan pelajar mengetahui waktu solat dan waktu kuliah. 

            Salah satu ciri utama yang terdapat pada institusi ini ialah dilengkapi dengan 4 dewan kuliah yang juga berfungsi sebagai fakulti dikhaskan kepada 4 mazhab Ahl Sunnah Wal Jamaah iaitu Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali. 

Bidang pengajian lain seperti tatabahasa, penulisan dan sastera, ilmu hisab, falsafah, ilmu kalam, logik, perubatan, farmasi, botani. Adapun bidang pengajian al-Quran dan al-Hadis mencakupi kursus pentafsiran, usul al-Tafsir, Mustalah al-Hadis, Fara’id dan Ilmu Qira’at. Pengajian ini juga mempunyai pusat pengajian tersendiri dikenali sebagai Darul Quran dan Darul Hadis. 

   
7.       Perkembangan Ilmu Sains

Interaksi yang berlaku di antara golongan Arab dan Parsi ini telah mencetuskan perubahan minda yang menyeluruh dalam kalangan penduduk Kota Baghdad pada masa itu. Dengan mengenepikan tradisi masing-masing, masyarakat Baghdad telah merealisasikan kehidupan mereka dengan keadaan setempat dan perkembangan semasa. 

            Pihak kerajaan mengambil tindakan memahsyurkan kolej Jundi-Shapur yang terdapat di Parsi kepada masyarakat Baghdad dengan cara menjemput beberapa orang tokoh sains dan perubatan dari kolej tersebut untuk bertugas dengan hospital-hospital di Baghdad. Tindakan ini dilakukan oleh Khalifah Abu Ja’afar al-Mansur. Ini disusuli dengan projek terjemahan buku-buku sains dari bahasa Greek dan Parsi ke dalam bahasa Arab agar dapat difahami oleh umat Islam.

            Informasi-informasi sains yang terdapat dalam al-Quran dan hadis telah membantu para doktor Islam membuat penelitian yang bermakna tentang proses kejadian manusia dan fungsi organ-organ yang terdapat dalam tubuh badan manusia. Dengan itu, terdapat ahli perubatan Islam seperti Abdul Latif al-Baghdadi yang telah berjaya mengemukakan penemuan baru tentang kedudukan tulang bawahan manusia. Demikian juga dengan Ibn al-Nafis yang berhasil merumuskan satu teori baru mengenai pulmonary circulation atau sistem pusingan kecil darah di dalam jantung manusia yang diakui kesahihannya oleh tokoh-tokoh perubatan Barat tiga abad kemudian.


RUJUKAN :



Ahmad Shalaby. t.th. Sejarah Dan Kebudayaan Islam. Singapura : Pustaka Nasional.

Ismail Bakar. 1999. Sejarah Tamadun Islam. Selangor : Pusat Teknologi Pendidikan UKM.



Khairuddin Muhammad. 1979. Sejarah Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Mohd Mokhtar Shafie. 1993. Sejarah Keagungan Kerajaan Islam. Kuala Lumpur : Nurin Enterprise.

No comments:

Post a Comment