Powered By Blogger

Thursday, 25 February 2016

WASATIYYAH MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN




  DEFINISI WASATIYYAH
 
Menurut Ismail Ibrahim dalam artikelnya yang bertajuk “Wasatiyyah Dari Perspektif Islam’, istilah wasatiyyah berasal dari perkataan Arab iaitu wasat yang bermaksud tengah atau pertengahan. Daripada perkataan al-wasat, terbit pula perkataan al-Awsat iaitu ism tafdil yang bermaksud sangat adil dan tidak melampau. 

            Menurut jurnal, kesederhanaan juga disebut sebagai al-Iqtisad, al-Tawassut, dan al-I’tidal. Selain itu, wasatiyyah juga ditakrifkan dengan pilihan yang terbaik. Menurut Ahmad Omar Hashem dalam bukunya, Moderation In Islam, beliau mendefinisikan wasatiyyah dengan apa-apa yang berada di tengah supaya tidak ada yang berlebihan dan melampau.  Menurut al-Qaradawi, wasatiyyah adalah sesuatu yang memerlukan hak yang sewajarnya, iaitu memberikan hak yang sepatutnya dengan mengambil jalan tengah agar tidak melampaui batas-batas syariat Islam.
             
            Walaupun segi bahasa wasat bermaksud tengah, tetapi terbitannya menjadi yang adil, yang terbaik, yang terpilih, yang terhalus dan yang terhormat. Adil yang dimaksudkan ialah tidak condong ke barat mahupun ke timur. Ia adalah pertengahan, sehinggakan jari tengah disebut al-wusta kerana berada di tengah-tengah dalam lima anak jari, dan paling baik, mulia dan terpuji kerana ajarannya yang tepat. 
 
            Dalam bahasa Inggeris, wasatiyyah bererti middle atau balanced (wasat), the mid of everything ( Awsat). Begitu juga virtue ditakrifkan sebagai “the midbetween two bads characters or two bad extremes. 

            Dari segi syarak, wasatiyyah bermaksud berada di tempat yang sesuai di antara dua situasi yang bertentangan dan selalu mengambil pendekatan seimbang dalam berhadapan dengan apa-apa yang berlaku dalam kehidupan. 
 
            Manakala Ahmad Umar Hashim pula mengatakan wasatiyyah ialah keseimbangan dan kesaksamaan antara dua pihak, iaitu satu pihak tidak mendominasi yang lain, tidak terlalu rigid dan tidak terlalu longgar, tidak melampau dan tidak mengabaikan tetapi mengikut kepada yang paling utama, paling tepat dan paling sempurna. 

            Konsep pertengahan ini haruslah ditafsirkan secara yang positif terutamanya dalam meletakkan kedudukan umat Islam di dalam dunia global, teknologi dan ilmu serta di dalam persaingan ekonomi., juga dalam membina peradaban dan tamadun manusia sejagat sesuai dengan risalah atau misi Islam itu sendiri iaitu dalam pengertian bahawa dalam merealisasikan matlamat kehidupan umat Islam maka jalan pertengahan bukanlah bererti jalan yang lemah, kuno dan mundur tetapi jalannya ialah jalan kemajuan, tamadun dan kecemerlangan dalam segala bidang kehidupan mereka. 

            Dari sudut sejarah pemikiran, perkataan pertengahan ini adalah antara perkataan penting yang utama dari segi tahap kebaikannya. Aristotle iaitu antara tokoh pemikir Greek tersohor, ketika bercakap tentang kebahagiaan mencadangkan seseorang itu supaya mengamalkan formula pertengahan ini. Contohnya keberanian diperlukan sebagai pertengahan antara sifat pengecut dan terburu-buru. Contoh lain ialah sikap murah hati adalah pertengahan antara sikap boros dan kedekut. 

             Wasatiyyah merupakan teras utama agama Islam sebagaimana yang disebarkan oleh Rasulullah S.A.W dan diamalkan oleh generasi awal Islam. Kesan daripada aplikasi mereka terhadap konsep inilah yang menyaksikan perkembangan dakwah Islam ke segenap pelosok alam. Menariknya, sejak daripada awal lagi, wasatiyyah telah menjadi citra utama Islam di Nusantara. Jika dibandingkan dengan proses Islamisasi yang berlaku di tempat lain, senario di Nusantara mempamerkan keunikan yang membentuk ciri-ciri dan identiti Islam di kawasan ini. Dari satu aspek, proses kedatangan Islam ke Nusantara berlaku bukan dengan cara kekerasan atau pertumpahan darah bahkan melalui perdagangan dan aktiviti dakwah oleh para pendakwah, tokoh sufi, ulama dan lain-lain lagi.




   WASATIYYAH MENURUT AL-QURAN

Berikut adalah ayat-ayat al-Quran menjelaskan mengenai konsep wasatiyyah. Justeru itu, sebagai Muslim, kita mesti wajib berpegang teguh, mengikuti dan seterusnya mengamalkan apa yang terkandung dalam al-Quran ini dalam kehidupan seharian kita.

1Wasatiyyah Dengan Makna Keadilan Dan Pilihan Terbaik.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat  143 yang bermaksud :

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat Yang Engkau menghadapnya dahulu itu (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan Sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman). 

            Menurut Kitab Terjemahan Tafsir Ibnu Abbas, “ Dan demikian pula maksudnya : sebagaimana kami memuliakanmu dengan agama Ibrahim iaitu agama Islam dan kiblat. Kami telah menjadikan kamu umat Islam umat pertengahan yakni umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi bagi para Nabi atas perbuatan manusia dan agar Rasul iaitu Nabi Muhammad S.A.W menjadi saksi atas perbuatan kamu dengan menyatakan kesucian dan keadilanmu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu sekarang di mana kamu melaksanakan solat dengan menghadap ke arahnya selama 19 bulan melainkan agar Kami mengetahui yakni menilai dan membezakan siapa yang mengikuti Rasul dalam masalah berkiblat dan siapa yang membelot kembali kepada agama dan kiblat semula. Dan sesungguhnya pemindahan kiblat itu terasa amat berat kecuali orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan telah Allah pelihara mata hatinya. Dan Allah tidak akan mensia-siakan imanmu yakni membatalkan keimananmu seperti dihapusnya syariat kiblat.
          
  Menurut Kitab terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, al-wasat dalam ayat ini bererti pilihan dan yang terbaik seperti yang dikatakan bahawa orang-orang Quraisy merupakan orang Arab yang paling baik keturunan dan kedudukannya. Rasulullah S.A.W seorang yang terbaik dalam kalangan kaumnya yakni paling terhormat keturunannya. Allah S.W.T menjadikan umat ini iaitu umat Nabi Muhammad S.A.W merupakan umat yang terbaik. Allah S.W.T telah mengkhususkannya dengan syariat-syariat yang paling sempurna dan tuntutan-tuntutan yang paling lurus serta jalan-jalan yang paling jelas.

            Dalam terjemahan Tafsir Al-Aisar pula menyebut bahawa, maksud ayat ini ialah sebagaimana Kami arahkan kalian kepada kiblat yang terbaik iaitu Ka’bah, kiblatnya Nabi Ibrahim, Kami jadikan kalian umat yang terbaik dan yang paling lurus, maka Kami persiapkan kalian untuk menjadi saksi-saksi terhadap umat yang lain pada hari kiamat tatkala mereka mengingkari bahawa Rasul-Rasul mereka telah menyampaikan risalah Allah, dan untuk kalian yang akan menjadi saksi adalah Rasul kalian bukan umat yang lain. Ini merupakan penghormatan dan pemberian nikmat yang hanya Allah Taala Maha Mengetahuinya. 
           
            Sayid Qutb menyebutkan dalam Tafsir Fi Zilalil Quran bahawa umat Muslimin adalah umat yang adil yang menjadi saksi terhadap seluruh umat manusia dan menegakkan keadilan di antara mereka, menetapkan neraca-neraca pertimbangan dan nilai-nilai, memberi fikiran dan pandangan yang muktamad kepada mereka, menimbangkan nilai-nilai, pemikiran-pemikiran, kefahaman-kefahaman mereka, adat-adat resam dan lambang-lambang mereka dan memberi keputusan-keputusan kepada mereka dengan mengatakan ini benar itu tidak benar, bukannya fikiran-fikiran, nilai-nilai, neraca-neraca dan ukuran-ukuran yang diterima dari manusia. Mereka menjadi saksi terhadap seluruh umat manusia dan mempunyai kedudukan sebagai hakim yang adil kepada mereka. Sementara umat Muslimin menjadi saksi terhadap umat manusia, maka Rasulullah S.A.W pula menjadi saksi terhadap mereka, bagindalah yang menetapkan neraca-neraca, ukuran-ukuran, dan nilai-nilai mereka, bagindalah yang menilai amalan-amalan dan adat resam mereka dan menimbangkan segala perbuatan yang terbit dari mereka dengan memberi kata-kata pemutus terhadapnya.

            Menurut Terjemahan Tafsir Mubin, pertengahan bermaksud bersederhana dalam segala pembawaannya iaitu tidak melampau atau keterlaluan dalam menganut kepercayaannya serta sederhana dalam akhlak dan amalannya. Segala-galanya dalam pertengahan, baik mengenai perkara keduniaan mahupun akhirat. Kamu sememangnya layak menjadi manusia yang akan memberi keterangan tentang kebenaran Islam kepada seluruh umat manusia di akhirat kelak. Manakala Nabi Muhammad S.A.W pula sebagai Rasulullah yang akan menjadi saksi untuk menerangkan kebenaran perbuatan kamu di akhirat nanti. 

            Menurut pengarang tafsir al-Manar, Rashid Rida dan gurunya, Muhammad Abduh, perkataan al-wasat dalam ayat ini bermaksud keadilan dan kecermelangan. Ini bererti jika ada tambahan atau berlebihan dari sepatutnya terhadap sesuatu perkara, ia dianggap melampau atau ekstrem. Sebaliknya jika ada kekurangan dari sepatutnya, ia dianggap pengabaian atau kecuaian. Penambahan dan pengurangan dari yang sepatutnya dianggap keburukan dan perbuatan yang tercela.

            Berdasarkan ayat ini, al-Mawardy, Ibnu Qayyim dan ramai lagi berpendapat bahawa Islam sangat-sangat menginginkan masyarakatnya bersikap sederhana dalam banyak perkara sama ada dalam perkara ibadah, akhlak, muamalah, hubungan dan sebagainya lagi. Dengan sikap seperti ini, wasatiyyah akan dapat memberi keuntungan kepada umat Islam dalam melayari bahtera kehidupan yang sempurna. Oleh sebab itulah, kita dapati kehidupan Nabi S.A.W dan para sahabatnya menjalani hidup yang cukup sederhana sehinggakan mereka dikenali oleh dunia sebagai manusia yang hebat dalam lipatan sejarah. 

            Dalam konteks ini, tafsiran ummatan wasatan kepada umat Muhammad S.A.W sebagai umat yang adil dan terpilih adalah sebagai perbandingan dengan umat-umat lain. Menurut sejarah, ternyata bahawa mereka yang terdahulu itu merupakan penentang dan penderhaka terhadap rasul-rasul yang diutus oleh Allah untuk mengajak mereka kepada agama Tauhid. 

            Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi cuba mentafsirkan umat yang adil dan terpilih ini dengan membawa beberapa konsep dan ideologi pemikiran manusia moden. Contohnya, sistem ekonomi yang berbentuk kapitalis dan sosialis hanya akan membawa kepada berlakunya krisis dalam masyarakat umat manusia dan tidak mungkin dapat diselesaikan kecuali dengan mencari jalan penyelesaian dari sistem umat Nabi Muhammad S.A.W sendiri sebagai ummatan wasatan. 

            Ummatan wasatan bukan bererti umat yang mundur, yang meninggalkan dunia seluruhnya, yang hanya melihat kepada akhirat tanpa mengusahakan peluang yang diberikan Allah kepada manusia di dunia ini. Kemunduran negara-negara Islam dalam pembangunan ekonominya, berkemungkinan besar kerana umat Islam merasakan bahawa mereka tidak seharusnya mengejar kebendaan dan terlalu ghairah untuk mencari kekayaan dunia ini. Demikian juga mereka ketinggalan dalam bidang teknologi dan ilmu pengetahuan, mungkin juga kerana sikap mereka yang sambil lewa dalam menuntut ilmu. 
  
 
2.    Tidak Boros Dan Tidak Juga Kedekut Dalam Menggunakan Harta.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqaan: 67yang bermaksud:

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

            Menurut Terjemahan Tafsir Ibnu Abbas, “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan yakni mereka tidak membelanjakannya untuk jalan maksiat dan tidak pula kikir iaitu tidak membangkang untuk menunaikan hak dan kewajipannya yakni zakat dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian iaitu berada di garis tengah antara berlebih-lebihan dan kikir. 

            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, ayat ini bermaksud mereka tidak terlalu boros dalam mengeluarkan infak, mereka mengaturnya sesuai dengan keperluan, tidak membiarkan keluarga mereka, menurunkan hak-hak keluarga mereka, mereka berlaku adil dan baik dan sebaik-baik perkara adalah pertengahan yakni tidak boros dan juga tidak kedekut. Al-Hasan al-Basri berkata : “Tidak ada istilah berlebihan dalam berinfak di jalan Allah”. Iyas bin Muawiyah berkata : “Apa yang dibolehkan dalam melaksanakan perintah Allah Taala ialah berlebihan dalam infak”. Selainnya berkata : “Istilah berlebih-lebihan dalam membelanjakan harta hanya untuk maksiat selain Allah S.W.T.

            Dalam terjemahan Tafsir Mubin, Mujahid memberi ulasan dengan menyatakan sekiranya anda membelanjakan wang setinggi bukit Abu Qubais dalam mengerjakan amal kebajikan, anda bukanlah seorang yang membazir, tetapi jikalau anda belanjakan seringgit untuk maksiat, maka anda termasuk seorang yang membazir dengan berpandukan kepada pendapat yang mengatakan bahawa membazir itu ialah membelanjakan wang untuk berbuat maksiat. Pendapat ini menjadi pegangan kepada sesetengah kalangan mufasir, dan ini jugalah pendirian Ibnu Abbas R.A 

            Menurut Sayid Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, inilah ciri hidup Islam yang mahu diterapkan di dalam kehidupan individu-individu dan kelompok-kelompok manusia serta menjadi matlamat pendidikan dan perundangan Islam. Keseimbangan dan kesederhanaan itulah yang menjadi asas segala pembangunan dalam Islam. Sifat boros dan kikir menimbulkan keadaan yang kacau di dalam masyarakat dan di dalam bidang ekonomi. Penahanan harta boleh menimbulkan krisis, begitu juga pemborosan harta tanpa hisab yang boleh merosakkan hati dan akhlak. Dalam mengaturkan peraturan hidup sederhana itu, Islam mulakan dengan hidup individu-individu di mana ia jadikan kesederhanaan itu salah satu ciri dari ciri-ciri keimanan. 

            Dalam kitab terjemahan Tafir Fathul Qadir, An-Nahhas berkata, “Pendapat yang paling baik mengenai makna ayat ini adalah, barang siapa membelanjakan harta untuk selain ketaatan kepada Allah, maka itulah pemborosan sedangkan yang menahan diri untuk membelanjakan harta dalam ketaatan kepada Allah, maka itulah kikir. Adapun yang membelanjakan harta untuk mentaati Allah, maka itulah pertengahan. 

            Sikap wasatiyyah adalah amalan terbaik kerana amalan boros dapat membawa kepada pembaziran. Manakala sikap kedekut memungkinkan berlakunya kerencatan ekonomi. Ekonomi masyarakat tidak berkembang kerana wujudnya sifat bakhil berbelanja.  Ia perlu disedekahkan supaya orang miskin dapat berbelanja dan ekonomi terus berkembang maju.
           

3.    Menyuruh Kepada Makruf Dan Mencegah Kemungkaran.
Firman Allah Taala dalam surah Ali- Imran ayat 110 yang bermaksud :

Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
           
            Menurut terjemahanTafsir Ibnu Abbas, ayat 110 surah Ali Imran ini membawa maksud “ Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Kemudian Allah menjelaskan sisi kebaikan mereka iaitu menyuruh kepada yang ma’ruf, yakni mengesakan Allah dan mengikuti Muhammad S.A.W dan mencegah dari yang mungkar yakni kekufuran, kemusyrikan dan pengingkaran terhadap Rasul dan beriman kepada Allah, beriman kepada semua kitab suci dan seluruh Rasul. Sekiranya  Ahli Kitab beriman yakni orang-orang Yahudi dan Nasrani, tentulah lebih baik bagi mereka dari apa yang dilakukan oleh mereka sekarang. Di antara mereka ada yang beriman iaitu Abdullah bin Salam dan para sahabatnya dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik yang kafir dan membatalkan janji Allah.
           
            Menurut terjemahan Tafsir Al-Misbah, seluruh umat Nabi Muhammad S.A.W dari generasi ke generasi berikutnya, sejak dahulu dalam pengetahuan Allah adalah umat yang terbaik kerana adanya sifat-sifat yang menghiasi diri mereka, umat yang diwujudkan untuk manusia seluruhnya sejak Nabi Adam hingga akhir zaman. Ini kerana mereka adalah umat yang terus-menerus tanpa bosan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar yang mana pencegahan yang sampai pada atas menggunakan kekuatan, dan kerana mereka beriman kepada Allah dengan iman yang benar, sehingga atas dasarnya mereka percaya dan mengamalkan tuntutan-Nya dan tuntutan Rasul-Nya, serta melakukan amar makruf dan nahi mungkar itu sesuai dengan cara dan kandungan yang diajarkan. Inilah yang menjadikan mereka meraih kebajikan, tapi jangan duga Allah pilih kasih sebab sekiranya Ahl al-Kitab yakni orang Yahudi dan Nasrani beriman dan tidak bercerai berai, tentulah itu baik juga bagi mereka sehingga dengan demikian mereka pun meraih kebajikan dan menjadi pula bahagian dari sebaik-baik umat, tetapi jumlah mereka tidak banyak kerana kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik yakni keluar dari ketaatan kepada tuntutan-tuntutan Allah S.W.T. 

            Menurut terjemahan Tafsir Fi Zilalil Quran, sistem hidup umat Muslimin ini menuntut mereka melaksanakan banyak perkara dan mendorong mereka supaya mendahului umat-umat yang lain di dalam segala bidang jika mereka benar-benar mengikut dan mematuhi sistem hidup Ilahi itu dan memahami kehendak-kehendak dan tugas-tugasnya. Keperluan pertama dari keperluan-keperluan kedudukan kepimpinan ialah mereka harus memelihara kehidupan manusia dari kejahatan dan kerosakan. Mereka harus memiliki kekuatan yang membolehkan mereka menyuruh manusia melakukan makruf dan mencegah manusia melakukan kemungkaran. 

            Sayid Qutb menambah bahawa keimanan kepada Allah merupakan suatu kepastian untuk meletakkan neraca yang betul bagi semua nilai dan untuk memberi takrif yang betul kepada kemakrufan dan kemungkaran. Keimanan kepada Allah juga merupakan suatu kepastian supaya orang-orang yang menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran mendapat kekuatan meneruskan perjuangan dan memikulkan tugas-tugas mereka di jalan yang sukar ini.
           
            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, Allah Taala memberitahukan mengenai umat Muhammad S.A.W bahawa mereka adalah sebaik-umat. Umat ini menjadi sang juara dalam menuju kepada kebaikan kerana Nabinya Muhammad S.A.W adalah makhluk yang paling terhormat dan Rasul yang paling mulia di hadapan Allah Taala. Baginda diutuskan oleh Allah dengan syariat yang sempurna dan agung yang belum pernah diberikan kepada seorang Nabi mahupun Rasul sebelumnya. Sesiapa yang ingin menjadi sebahagian dari umat ini, ia harus memenuhi syarat yang telah ditetapkan Allah dalam ayat tersebut. Oleh sebab itu, ketika Allah memberikan pujian kepada umat ini atas sifat-sifat yang dimilikinya, Dia pun mencela Ahli Kitab yang mana sedikit sekali dari mereka yang beriman kepada Allah dan yang diturunkan kepada mereka. Kebanyakan dari mereka berada dalam kesesatan, kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan. 

            Menurut terjemahan Tafsir Mubin, ayat ini menyatakan bahawa kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk memimpin manusia kerana kamulah umat yang paling banyak memberi manfaat kepada umat manusia seluruhnya. 

            Ayat ini menyifatkan umat Islam sebagai sebaik-baik umat yang pernah dilahirkan di kalangan umat manusia. Bagi sesetengah para ulama ayat ini menegaskan pentafsiran ayat terdahulu sebagai bermaksud umat Islam itu adalah umat terpilih yang memikul tanggungjawab bagi kesejahteraan manusia sejagat. Begitu pun, penganugerahan kedudukan sebagai umat terpilih ini bukan diberi begitu sahaja. sebaliknya berkait rapat dengan peranan amal makruf nahi mungkar serta keimanan dengan Allah SWT.    

Kita perlu bersama-sama menegakkan kebenaran dan membanteras kebatilan supaya kita sentiasa mendapat keredaan Allah. Di samping itu, kita pasti berasa puas dengan tindakan kita yang bersesuaian dengan fitrah semula jadi. Kita perlu merealisasikan konsep amar makruf nahi mungkar ini secara serentak dan seimbang. Ini kerana, tidak memadai jika hanya melaksanakan amar makruf dan tidak mencegah nahi mungkar. 

            Contohnya, kita berpuas hati dengan pelaksanaan amar makruf seperti pembangunan sekolah agama dan masjid, tetapi kemungkaran tetap wujud dengan terdirinya kilang-kilang arak, premis perjudian, pub, disko, pergaulan bebas yang membawa kepada gejala zina dan pelbagai elemen negatif lain. Kesemua ini bercanggah dengan amalan Islam itu sendiri. Amar makruf yang dilaksanakan tidak seimbang dengan nahi mungkar.


4.    Seimbang Antara Materialistik Dan Kerohanian.            
Firman Allah Taala dalam surah Surah al-Nur ayat 37 yang bermaksud :

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Abbas, “ Lelaki yang tidak dilalaikan yakni tidak disibukkan oleh perniagaan yang menarik hatinya dan tidak pula oleh jual beli dari tangan penjual ke tangan pembeli dari mengingati dan mentaati Allah. Satu riwayat menafsirkan , dari melaksanakan solat lima waktu dan dari mendirikan sembahyang menyempurnakan solat lima waktu berikut wuduknya, ruku’ dan sujudnya serta kewajipan melaksanakan pada waktunya dan dari membayarkan zakat yakni menunaikan zakat harta mereka. Mereka takut kepada suatu hari maksudnya kepada azab hari kiamat yang mana pada hari itu hati dan penglihatan menjadi goncang yakni berubah-ubah dari satu situasi ke situasi yang lain. Sekali waktu mereka ingat, di waktu yang lain mereka tidak ingat. 

            Dalam terjemahan Tafsir Fathul Qadir, Ibnu Mardawaih meriwayatkan dari Ibnu Abbas, mengenai ayat ini, dia berkata, “ Mereka adalah orang-orang yang mencari karunia Allah, mereka menjual dan membeli yakni berniaga. Apabila mereka mendengar seruan untuk solat, maka mereka meletakkan apa yang ada di tangan mereka, lalu mereka berdiri menuju masjid lalu melaksanakan solat.” 
           
            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, maksud firman Allah Taala ialah mereka tidak disibukkan dengan dunia, gemerlapnya, perhiasannya, kelazatan jual beli dan keuntungan dari mengingat Allah yang telah menciptakan mereka dan memberi rezeki. Mereka tahu bahawa apa yang tersedia di sisi-Nya lebih baik dan bermanfaat daripada apa yang ada di tangan mereka. Hal ini demikian kerana segala sesuatu yang mereka miliki pasti fana dan apa-apa yang ada di sisi-Nya pasti kekal abadi. Oleh itu, mereka lebih mengutamakan ketaatan, keinginan dan kecintaan-Nya daripada keinginan dan kecintaan diri mereka. 

            Menurut terjemahan Tafsir Fi Zilalil Quran, kegiatan perniagaan dan jual beli ialah untuk menghasilkan pendapatan dan kekayaan. Walaupun mereka sibuk dengan kegiatan itu, namun mereka tidak lalai dari menunaikan hak Allah dalam ibadat solat dan hak manusia dalam ibadat zakat. Hati-hati itu terus bergoyang dan berbalik-balik tidak pernah tetap dan tenang kerana malapetaka hari itu terlalu hebat, sengsara dan huru-hara. Oleh sebab mereka amat takut kepada hari Kiamat, maka hati mereka tidak pernah dilalaikan oleh kesibukan perniagaan dan jual beli dari menyebut Allah. 

            Menurut terjemahan Tafsir Mubin, para mufasir menyatakan bahawa ayat ini ada kaitan dengan para sahabat Rasulullah S.A.W yang menjalankan perniagaan di pasar-pasar. Sebaik mendengar azan, mereka terus meluru ke masjid untuk menunaikan kewajipan solat dan beribadat kepada Allah S.W.T. Hati mereka tidak akan dapat dilekakan oleh kesibukan urusan dunia daripada melaksanakan kewajipan solat pada waktunya, dan juga memberi zakat kepada para fakir miskin dan orang yang berhak menerima garis panduan yang telah ditentukan oleh hukum agama.
   
            Syariat Islam yang lengkap tidak mensyariatkan sesuatu tegahan secara mutlak, umpamanya menjalani kehidupan seperti paderi atau memencilkan diri dari masyarakat. Dalam waktu yang sama, Islam tidak mengizinkan manusia tenggelam dalam kehidupan materialistik dan melupakan Tuhannya serta kehidupan akhirat. Bahkan seseorang itu hendaklah seimbang dalam setiap perkara, menunaikan hak-hak Allah SWT, hak dirinya dan hak orang lain tanpa mengabaikan mana-mana satu kewajipan dengan hanya melakukan kewajipan yang lain. 

            Antara keagungan syariat Islam ialah sifatnya yang tidak memisahkan antara tuntutan material dengan kerohanian dan antara dunia dengan akhirat. Malah Islam melihatnya dalam satu kesatuan yang saling melengkapi antara hak manusia terhadap Tuhannya, diri sendiri dan terhadap orang lain. Dengan demikian, seseorang itu dapat menjalani kehidupan seharian bergantung kepada kemampuan serta keinginannya berdasarkan kepada asas Islam yang bersesuaian dan bertepatan dengan fitrah dan realiti kehidupan. Dalam peringatannya tentang perlunya menunaikan hak jiwa untuk berusaha dan mencari rezeki ketika tenggelam dalam keasyikan bermunajat kepada Tuhan dan keharuman tempat beribadah.        
                       
Maksud personaliti hebat mengikut perspektif Islam adalah pengurusan dan pengendalian yang cemerlang dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Apabila unsur dalaman cemerlang, pasti perwatakan luaran terserlah. 

            Memelihara aurat dari terdedah adalah perkara asas dalam pengurusan diri. Al-Quran dan Hadis meletakkan garis panduan untuk diikuti oleh orang Islam mengenai cara menutup aurat yang betul dan batasannya. Kita perlu bersederhana dalam berpakaian.   Menghias diri dengan cantik dan kemas menjadi faktor keunggulan personaliti yang dapat membina keyakinan diri dan memberi gambaran positif kepada khalayak.


2.3.5    Seimbang Antara Ibadat Dan Mualamat.  

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jumu’ah ayat 10 yang bermaksud :

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).
           
 Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, para ulama sepakat mengharamkan jual beli yang dilakukan setelah berkumandang azan kedua. Tindakan meninggalkan jual beli dan membuat keputusan berangkat untuk berzikir kepada Allah dan melaksanakan solat adalah lebih baik bagi kalian di dunia dan di akhirat, jika kalian memang mengetahui. Setelah selesai menunaikan solat, Allah mengizinkan mereka untuk bertebaran di muka bumi untuk mencari karunia Allah Taala. 
        
            Menurut terjemahan Tafsir Fathul Qadir oleh Imam Asy-Syaukani, ayat ini bermaksud apabila kalian telah melaksanakan solat dan telah selesai menunaikannya, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk perniagaan dan kegiatan lainnya yang kalian perlukan dalam urusan kehidupan kalian. Karunia Allah bermaksud rezeki-Nya yang dianugerahkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang berupa peroleh keuntungan dalam muamalah dan bekerja. Pendapat lain menyebutkan, “Maksudnya adalah mencari pahala di sisi Allah dengan melakukan ketaatan dan menjauhi segala yang tidak halal.” Dan ingatlah Allah banyak-banyak yakni zikir dengan sebanyak-banyaknya dengan bersyukur kepada-Nya atas anugerah-Nya berupa nikmat ukhrawi dan duniawi. Selain itu, berzikirlah kepada-Nya seperti tahmid, tasbih, takbir, dan istighfar agar kalian memperoleh keberuntungan duniawi dan ukhrawi. 

            Menurut terjemahan Tafsir Fi Zilalil Quran, inilah imbangan yang menjadi ciri sistem hidup Islam, iaitu memelihara imbangan di antara keperluan kehidupan seperti bekerja, membanting tulang, bergiat dan berusaha dengan keperluan jiwa yang memerlukan uzlah atau pemencilan diri sebentar dari suasana yang sibuk itu untuk menumpukan ingatannya kepada Allah. Zikrullah atau mengingati Allah adalah perlu dalam masa mencari kehidupan, kerana perasaan dan kesedaran kepada Allah dalam masa inilah yang mengubahkan kegiatan mencari kehidupan itu kepada ibadat. 

            Menurut terjemahan Tafsir Al-Qurtubi, ayat “Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi” merupakan perintah yang menunjukkan hukum boleh yakni bukannya wajib. 

            Menurut terjemahan Tafsir al-Imam Asy-Syafie, jika Allah S.W.T mengharamkan sesuatu kemudian membolehkannya, maka perintah itu bererti menghalalkan apa yang haram. Dia melarang jual beli ketika sudah dikumandangkan azan, lalu membolehkannya di luar waktu yang diharamkan itu.

            Konsep wasatiyyah dalam ibadat yang paling terserlah dalam agama Islam ialah konsep kesederhanaan Islam dalam pensyariatan hukum-hakam ibadat serta mudah dan praktikal untuk diamalkan. Bagi menjelaskan konsep ini, kita perlu melihat kepada pendekatan-pendekatan agama lain dalam konsep ibadat mereka. Sebagai contoh, Islam membawa pendekatan wasatiyyah antara pendekatan Yahudi dan Nasrani. Di mana kita melihat pendekatan Yahudi dalam ibadat lebih banyak mementingkan dunia dan kebendaan material semata-mata. Sementara pendekatan Nasrani lebih banyak menjurus kepada pengasingan dunia dalam ibadat dan kehidupan.
             
6.    Mencari Kehidupan Akhirat Dan Tidak Meninggalkan Bahagian Di Dunia

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas: 77yang bermaksud : 

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".

                Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Abbas, “ Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu kebahagiaan negeri akhirat iaitu raihlah syurga dengan harta yang telah Allah anugerahkan kepadamu dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari kenikmatan duniawi iaitu janganlah kamu meninggalkan bahagianmu di akhirat iaitu kenikmatan syurga dengan sebab sibuk mengurus bahagianmu yakni hartamu di dunia. Riwayat lain menafsirkan : tidak akan berkurang bahagian harta duniamu dengan sebab kamu infaqkan dan kamu keluarkan untuk kepentingan akhirat dan berbuat baiklah kepada orang-orang fakir miskin sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dengan menganugerahkan harta dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi yakni janganlah kamu melakukan pelbagai maksiat dan menentang terhadap perintah Rasul Musa A.S. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan dengan pelbagai kemaksiatan.
           
            Dalam terjemahan Kitab Fathul Qadir, ayat ini bermaksud upayakanlah kebahagiaan akhirat pada harta yang telah Allah anugerahkan kepadamu lalu nafkahkanlah pada apa-apa yang diredhai Allah, dan bukannya untuk keangkuhan dan kezaliman. Majoriti mufasir mengatakan bahawa itu ertinya beramal pada keduniaannya untuk akhiratnya, dan bahagian manusia adalah umur dan amal solehnya. Al-Zajjaj berkata, “janganlah engkau lupa beramal untuk akhiratmu kerana hakikat bahagian manusia dari dunia adalah yang digunakannya untuk akhiratnya”.
                                                                                              
            Menurut terjemahan Tafsir Fi Zilalil Quran, di dalam nasihat ini terkandung inti sari nilai-nilai dan ciri-ciri yang terdapat di dalam sistem hidup Ilahi yang lurus, yang membezakannya di antara segala sistem hidup yang lain. Di dalam nasihat ini tergambarlah kesederhanaan sistem hidup Ilahi yang lurus, iaitu sistem yang membuat hati orang yang berharta teringat kepada akhirat dan tidak pula menafikan seseorang dari menikmati sebahagian dari kenikmatan dan kemewahan hidup dunia ini, malah ia menggalakkannya berbuat begitu dan menjadikan usaha ke arah itu sebagai tugasnya supaya dia tidak hidup dalam keadaan zahid yang mengabaikan kehidupan dan melemahkannya.

            Allah S.W.T telah menjadikan segala nikmat hidup yang baik supaya dinikmati oleh manusia dan supaya mereka bekerja dan berusaha di bumi untuk meningkatkan nikmat-nikmat itu dan menghasilkannya agar kehidupan bertambah subur dan sentiasa memperbaharu dan agar terlaksana tugas khalifah manusia di bumi, tetapi semuanya dengan syarat bahawa matlamat yang ditujukan mereka dalam menikmati kesenangan-kesenangan hidup ialah akhirat. Oleh itu, mereka tidak menyeleweng dari jalan akhirat dan tidak hanya leka dengan nikmat-nikmat kesenangan itu hingga lupa kepada kewajipan-kewajipan akhirat. Menikmati kesenangan hidup dengan cara dengan cara yang seperti in merupakan salah satu dari pernyataan melahirkan kesyukuran kepada Allah, menyambut baik limpah kurnia-Nya dan mengambil manfaat darinya. Perbuatan ini merupakan salah satu dari ketaatan-ketaatan yang dibalas oleh Allah dengan balasan yang baik. 

            Menurut terjemahan Tafsir At-Thabari, Allah berfirman memberitahukan nasihat kaum Qarun kepada Qarun, “ Wahai Qarun, janganlah engkau membanggakan diri kepada kaummu dengan banyaknya hartamu. Akan tetapi carilah kebaikan akhirat dari harta-harta yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, dengan menggunakannya dalam ketaatan kepada Allah di dunia ini.” Janganlah engkau tinggalkan bahagian dan keberuntunganmu dari dunia. Hendaklah kamu mengambil bahagianmu untuk akhirat, dengan melakukan sesuatu yang dapat menyelamatkanmu dari hukuman Allah. 

            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, ayat ini bermaksud gunakanlah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu berupa harta yang melimpah dan kenikmatan yang panjang dalam berbuat taat kepada Rabbmu serta bertaqarrub kepada-Nya dengan pelbagai amal yang dapat menghasilkan pahala di dunia dan di akhirat. Kita juga tidak boleh melupakan bahagian kita di dunia iaitu apa-apa yang dibolehkan oleh Allah di dalamnya berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan pernikahan. Sesungguhnya Tuhan memiliki hak, dirimu memiliki hak, keluargamu memiliki hak serta orang yang berziarah kepadamu pun memiliki hak. Maka berikanlah setiap sesuatu dengan haknya.

            Demikianlah cara sistem hidup Ilahi ini mewujudkan imbangan dan keselarasan di dalam hidup manusia dan membolehkan mereka mencapai kemajuan dan peningkatan rohaniah yang berterusan dalam masa hidupnya yang biasa dan imbang, iaitu hidup tanpa penafian nikmat dan tanpa mengabaikan asas-asas kehidupan semula jadi yang biasa. 
           
            Jikalau Allah SWT telah menyatakan bahawa Dia tidak menyukai orang yang suka merosakkan di atas muka bumi, maka balasan Tuhan pasti akan datang, cepat atau pun lambat kepada orang yang demikian. Dan jika hukuman Tuhan datang, seorang pun tidak ada yang mempunyai kekuatan dan daya upaya untuk menangkisnya.
                                                            
            Jelas di sini Allah S.W.T menuntut agar umat Islam menggunakan segala nikmat yang dianugerahkan kepada mereka untuk beribadat kepada-Nya dan mentaati perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya, yang akan membawa mereka kepada kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Namun begitu, tanggungjawab ini dilaksanakan tanpa mengabaikan keperluan kehidupan di dunia yang dibenarkan seperti makanan dan minuman yang baik, pakaian, tempat tinggal dan berkeluarga. Maka, mereka perlu melaksanakan setiap hak yang dipertanggungjawabkan iaitu hak kepada Tuhan, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Inilah yang dimaksudkan dengan manhaj wasahiyy dalam beribadat di dalam Islam yang menggabungkan dan mengharmonikan antara kedua-dua keperluan dunia dan akhirat tanpa mengabaikan salah satu daripadanya.

Menurut Rashid Rida dan gurunya Muhammad Abduh, sebelum kedatangan Islam, umat manusia terdiri dari dua golongan. Pertama, mereka yang mementingkan kebendaan semata-mata. Golongan ini terdiri dari kalangan orang Yahudi dan Musyrikin. Manakala golongan yang kedua pula sangat mementingkan kerohanian dengan meninggalkan keduniaan seperti golongan Nasara dan penganut-penganut agama Hindu di India. (Abdullah Md.Zain, 2013 : 30 )

7.    Menempelak Orang Yang Tidak Mahu Menggunakan Perhiasan Dan  Perkara-Perkara   Yang Baik.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf: 32 yang bermaksud :

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
           
            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Abbas, “ Katakanlah wahai Muhammad kepada penduduk Makkah, siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah, Siapakah yang mengharamkan mengenakan pakaian pada hari-hari musim haji, hari-hari di tanah suci, dan hari tawaf – yang telah dikeluarkan-Nya diciptakan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan siapakah pula yang mengharamkan rezeki yang baik berupa daging dan lemak. Orang-orang Arab pada zaman jahiliyyah dulu mengharamkan atas diri mereka memakan daging dan lemak pada musim haji. Mereka memasuki masjid al-Haram di siang hari untuk kaum lelakinya dan malam hari untuk kaum perempuannya dalam keadaan telanjang. Mereka pun melakukan tawaf dalam keadaan telanjang. Maka Allah pun melarang mereka melakukan hal itu lagi. Katakanlah wahai Muhammad, semuanya itu yakni semua makanan yang halal itu disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Muhammad dan kitab suci al-Quran dalam kehidupan dunia, khusus untuk mereka sahaja di hari kiamat sedangkan sewaktu masih hidup di alam dunia, semua makanan-makanan yang halal itu boleh dinikmati oleh orang-orang yang baik dan orang-orang yang derhaka. ( Pada rangkaian kalam ini terdapat lafaz yang didahulukan dan lafaz yang dibelakangkan). Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu, Kami menerangkan al-Quran dengan segenap hukum halal dan haram bagi orang-orang yang mengetahui dan membenarkan bahawa ia benar-benar dari Allah. 

            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, ayat ini menunjukkan Allah Taala menyanggah pendapat orang yang mengharamkan sesuatu dari makanan atau minuman atau pakaian menurut kehendak hatinya tanpa ada dasar syariat dari Allah. Ia adalah sesuatu yang diciptakan Allah untuk orang-orang yang beriman kepada-Nya dan Rasul dalam kehidupan dunia ini, sekalipun ikut memanfaatkannya bersama mereka secara lahiriah di dunia ini orang-orang kafir. 

            Dalam terjemahanTafsir Al-Aisar, tatkala orang-orang musyrik mengharamkan tawaf di Ka’bah dengan mengenakan pakaian, lalu mereka melakukannya dengan telanjang dan mereka tidak akan melakukan tawaf dengan mengenakan pakaian. Lalu Allah membantah anggapan mereka itu.
                       
            Menurut terjemahan Sayid Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, perkara-perkara sebenar yang diharamkan Allah bukannya pakaian, makanan dan minuman yang sederhana tetapi yang diharamkan Allah ialah perbuatan-perbuatan keji yang menjadi amalan mereka. 

            Menurut terjemahan Tafsir At-Tabari, Allah S.W.T berfirman kepada Nabi-Nya, Muhammad S.A.W, “Katakanlah hai Muhammad kepada orang-orang bodoh dari kalangan Arab yang bertelanjang ketika tawaf di Baitullah dan mengharamkan atas diri mereka apa-apa yang telah Aku halalkan bagi mereka dari rezeki yang baik-baik itu. Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah Dia ciptakan untuk hamba-hamba-Nya supaya mereka berhias dengannya dan berdandan dengan memakainya. Siapa yang mengharamkan rezeki halal dari Allah , yang Dia berikan kepada makhluk-makhluk-Nya sebagai makanan dan minuman mereka?“ Sebahagian ahli takwil berpendapat, rezeki yang baik dalam konteks ini adalah daging kerana mereka tidak memakannya pada saat sedang ihram. Sementara, para ahli takwil lainnya berpendapat bahawa maksud ayat tersebut adalah apa-apa yang pernah diharamkan masyarakat jahiliah seperti al-bahirah dan as-saa’ibah.

            Kesederhanaan syariat Islam ini perlu difahami oleh umat Islam. Hal ini kerana terdapat segelintir umat manusia yang cuba mengharamkan sesuatu yang tidak diharamkan oleh Islam sama sekali. Tidak kurang juga sebahagian daripada golongan yang cuba menghalalkan perkara yang telah diharamkan oleh Islam secara jelas melalui dalil-dalil yang kuat. 

            Ayat tersebut sangat jelas menunjukkan betapa Islam tidak pernah menyusahkan manusia dalam melayari bahtera kehidupan mereka di muka bumi ini. Jika diperhatikan, hanya perkara yang diharamkan tidak boleh didekati oleh umat Islam manakala selain daripadanya dibolehkan. Demikian juga dengan perkara-perkara yang tidak disebut atau yang tidak mempunyai nas yang melarangnya.

            Perkara-perkara tersebut boleh didekati sehinggalah terdapat fatwa ulama yang mengharamkannya. Oleh sebab itulah Islam melarang keras sesiapa sahaja yang cuba mengharamkan sesuatu yang tiada nas. Selagi tiada dalil atau ijtihad daripada para ulama yang melarangnya, maka umat Islam dibolehkan untuk terus melakukan perkara tersebut. 

Kaedah fiqh juga ada menjelaskan :
“Asal bagi setiap sesuatu itu adalah harus sehingga terdapatnya dalil yang mengharamkannya”.
            Islam tidak pernah mengajar umatnya agar kelihatan kotor, selekeh, kedekut, bakhil, papa kedana dan sebagainya. Bahkan kita dapati bahawa Allah S.W.T cukup suka kepada kebersihan, kecantikan dan kekemasan. Maka, sesiapa sahaja yang kelihatan bersih, kemas dan cantik akan mendapat pahala kerana itu termasuk dalam erti kata ibadah yang sebenar. 

    
8.    Sederhana Dalam Bacaan Solat.

  Firman Allah Taala dalam surah Al-Isra’, ayat 110 yang bermaksud :

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.
           
            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Abbas, “ Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad! Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaulhusna yakni sifat-sifat Allah yang luhur seperti Maha Mengetahui, Maha Kuasa, Maha Mendengar, Maha Melihat. Maka panggillah Dia dalam setiap doa dengan sifat-sifat tadi. Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu, supaya orang-orang musyrik tidak menyakiti tubuhmu dan janganlah kamu merendahkannya yakni janganlah menyembunyikan bacaan al-Quran hingga sahabat-sahabatmu tidak mendengarnya dan carilah jalan tengah antara kedua itu iaitu di antara mengeraskan dan menyembunyikan bacaan al-Quran di tengah solat. 

            Ahli takwil berbeza pendapat tentang makna lafaz As-Solat dalam ayat ini. Sebahagian berpendapat bahawa maksudnya adalah, “janganlah kamu mengeraskan suara dalam doamu, dan jangan pula kamu rendahkan, akan tetapi ambillah pertengahannya”. Mereka berkata maksud lafaz As-Solat dalam ayat ini adalah doa. Dalam terjemahan Tafsir al-Imam Asy-Syafie juga menyatakan demikian. 

            Al Hasan bin Arafah menceritakan kepada kami, ia berkata : Ibad bin Awwam menceritakan kepada kami dari Asy’ast bin Sawar, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas, ia berkata : “ Mereka mengeraskan suara dalam berdoa, maka ketika turun ayat ini, diperintahkan kepada mereka agar tidak mengeraskan suara mereka dan tidak merendahkannya pula. 

            Ulama takwil yang lain berpendapat bahawa maksudnya adalah solat. Tetapi mereka berbeza pendapat tentang maksud tidak dibolehkannya mengeraskan suara pada waktu solat. Sebahagian mengatakan bahawa yang dilarang untuk mengeraskan suara pada waktu solat adalah bacaannya. 

            Abu Kuraib menceritakan kepada kami, ia berkata : Uthman bin Said menceritakan kepadaku, Bisyr bin Ammr menceritakan kepadaku dari Abi Rauq, dari Adh-Dhahhak, dari Ibnu Abbas, “Ketika di Makkah, jika Rasulullah S.A.W solat dengan kaum Muslim, baginda mengeraskan bacaan al-Quran dan hal itu memberatkan orang-orang musyrik jika mendengar bacaannya, maka mereka menyakiti Rasulullah S.A.W dengan cacian dan kecaman. Jadi, maksud ayat ini ialah janganlah kamu mengeraskan bacaan al-Quran sehingga orang-orang musyrik itu mendengarnya lalu mereka menganiayaimu. Akan tetapi, jangan merendahkan bacaan al-Quranmu sampai telingamu tidak dapat mendengarnya. Carilah jalan di antara keras dan rendah, tidak terlalu keras dan tidak terlalu rendah. Itulah ukurannya. Akan tetapi ketika berhijrah di Madinah, gugurlah semua perintah itu, baginda membaca dengan cara yang baginda kehendaki. 

            Ahli takwil lainnya berpendapat bahawa maksudnya adalah janganlah kamu keraskan tasyahud dalam solatmu, dan jangan pula kamu rendahkan. Carilah jalan tengah antara keduanya. Abu As- Sa’ib menceritakan kepadaku, ia berkata : Hafsh bin Ghiyats menceritakan kepada kami dari Hisyam bin Urwah, dari bapanya dari Aisyah, ia berkata : “ Ayat ini turun dalam tasyahud .“ 

            Ahli takwil lainnya berpendapat bahawa maksudnya adalah, “ janganlah kamu keraskan suaramu dan melakukannya secara baik kerana berada di tempat umum, dan janganlah kamu rendahkan dan melakukannya secara tidak baik kerana berada di tempat sepi. Ali bin Al Hasan Al Azraqi menceritakan kepadaku, ia berkata : Al-Al Asyja’I menceritakan kepada kami dari Sufyan dari Manshur, dari Al Hasan, ia berkata : “Maksudnya adalah, kamu perbagus ketika dalam keadaaan ternag-terangan, dan kamu tidak melakukannya dengan baik ketika sepi.” 

            Ahli takwil lainnya berpendapat seperti dalam riwayat : Yunus menceritakan kepadaku, ia berkata : Ibnu Wahab mengkhabarkan kepada kami, ia berkata : Ibnu Zaid berkata, “ Maksud dari jalan pertengahan adalah seperti solat yang diajarkan oleh Jibril kepada kaum Muslim. Ahli kitab (ketika membaca kitab mereka) merendahkan suara mereka, kemudian salah satu mereka mengeraskan bacaan dan berteriak, kemudian yang lainnya berteriak mengikuti di belakangnya, maka Allah melarang untuk berteriak seperti ketika mereka berteriak, dan merendahkan suara mereka sebagaimana kaum ahli kitb itu merendahkan suara mereka. Kemudian diperintahkan untuk mencari jalan antara keduanya, seperti yang telah dituntunkan oleh Jibril dalam solat mereka. 

            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, maksud ayat “ Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu” sehingga akan bercerai-berai daripadamu. “Dan jangan pula merendahkannya”, sehingga orang yang bermaksud mendengarnya tidak dapat mendengar, siapa tahu mereka akan mengambil pelajaran dari sebahagian yang didengarnya, sehingga dengannya ia dapat mengambil manfaat.

            Ibnu Jarir memceritakan dari Muhammad bin Sirin, ia bercerita, aku pernah diberitahu, jika Abu Bakar mengerjakan solat lalu membaca al-Quran, maka ia merendahkan suaranya. Dan bahawasanya Umar mengeraskan suaranya. Kemudian dikatakan kepada Abu Bakar ; “ Mengapa engkau lakukan ini?” Abu Bakar menjawab : “Aku bermunajat kepada Rabbku yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia, sedang Dia telah mengetahui hajatku.” Kepada Umar juga dikatakan : “Mengapa engkau lakukan hal itu?” Umar menjawab : “Aku mengusir syaitan dan membangunkan orang-orang yang terkantuk.” Lalu dikatakan kepadanya : “Engkau telah melakukan suatu hal yang baik”. Ketika turun ayat “ Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara keduanya itu”, dikatakan kepada Abu Bakar : “ Angkat suaramu sedikit.” Dan kepada Umar dikatakan : “ Rendahkanlah suaramu sedikit lagi.” 

            Menurut terjemahan Tafsir Fi Zilalil Quran, Rasulullah S.A.W diperintah supaya membaca dalam solatnya dengan suara yang sederhana di antara nyaring dan perlahan kerana kaum Musyrikin selalu mempermain-mainkan solatnya dan menyakiti baginda atau kerana mereka selalu memperlihatkan kebencian dan sikap menjauhkan diri. Itu mungkin kerana bacaan yang sederhana di antara nyaring dan perlahan merupakan bacaan yang lebih sesuai untuk mengadap Allah. 

            Dalam ibadat solat. Allah memerintahkan kita supaya bersederhana dalam melaksanakannya iaitu tidak terlalu cepat ataupun tidak terlalu lambat dalam segala pergerakan. Begitu juga ketika menyempurnakan bacaan. Nada suara yang digunakan tidak perlu terlalu kuat ataupun perlahan, lakukan di antara keduanya iaitu tidak nyaring dan tidak perlahan.
           

2.3.9    Menolak Kemudaratan Dan Mengambil Cara Yang Mudah. 

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, ayat ini membawa maksud bahawa Allah S.W.T tidak akan membebani seseorang di luar kemampuannya. Ini merupakan kelembutan, kasih sayang dan kebaikan-Nya terhadap makhluk-Nya. Manusia mendapat pahala dari kebaikan yang ia lakukan dan mendapat seksa dari keburukan yang ia lakukan. Allah S.W.T memberikan bimbingan kepada hamba-hamba-Nya dalam memohon kepada-Nya. Dan Dia telah menjamin akan memenuhi permohonan tersebut.
           
            Dalam terjemahanTafsir Al-Aisar, ayat ini bermaksud kerana rasa belas kasihan-Nya kepada mereka dan hikmah dalam perlakuan-Nya terhadap makhluk yang diciptakan-Nya, Allah Taala tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya dan daya kemampuannya untuk mengerjakannya, dan bahawa ia mendapatkan pahala dari kebajikan yang diusahakannya, serta ia mendapat seksa dari kejahatan yang ia lakukan kecuali Allah Taala memaafkan dan mengampuninya. 

           Menurut  terjemahan Tafsir Fi Zilal al-Quran, demikianlah fikiran dan kefahaman seorang Muslim terhadap rahmat dan keadilan Allah di dalam taklif-taklif yang difardukan oleh Allah ke atasnya dalam melaksanakan tugas khalifah di bumi dan dalam ujian-ujian Allah terhadap dirinya semasa menjalankan tugas khalifah ini dan seterusnya dalam pembalasan Allah terhadap amalnya di penghabisan perjalanan nanti. Pandangan dan pemahaman seperti ini di samping mencurahkan rasa ketenangan dan ketenteraman di dalam hati, ia juga meransangkan keazaman orang yang beriman untuk mematuhi dan menjunjungi taklif-taklif itu kerana ia berasa taklif-taklif itu berada dalam bidang daya kemampuannya. 

            Menurut terjemahan Tafsir At-Tabari, setiap jiwa akan mendapat pahala kerana melaksanakan kebaikan dan akan diseksa kerana melakukan kejahatan. Allah Taala tidak menyusahkan dan menyempitkan  dalam perkara agamanya sehingga Dia menghukumnya kerana satu keinginan yang diingininya, tidak juga dengan rasa was-was yang muncul atau bisikan jiwa jika melintas dalam hatinya, tetapi Allah Taala hanya menghukum yang dia kerjakan dengan sengaja, baik atau buruk. 

            Menurut terjemahan Tafsir Munir, walaupun Allah S.W.T menilai dan menyoal, tetapi Dia tidak mengazab melainkan jika seseorang itu mampu menghindari perkara yang menyebabkan azab itu dikenakan. Perkara yang tidak mampu dielakkan seperti bisikan hati, maka ia tidak dipertanggungjawabkan. Namun begitu, membenci bisikan jahat di dalam hati adalah sebahagian daripada iman. Semua amalan adalah dalam lingkungan kemampuan manusia. Ia tidak menjadi suatu bebanan berat dan boleh diusahakan, termasuklah amalan baik dan buruk. Ganjaran pahala diberikan jika baik dan seksaan dikenakan jika buruk. 

            Dalam terjemahanTafsir Pedoman Muttaqin menyebutkan bahawa ayat penutup surah ini memfokuskan bicaranya tentang taklif yang ditanggung oleh seseorang dalam perjalanannya bersama Islam yang begitu luas, meliputi seluruh aktiviti kemanusiaan dan liku-liku hidup yang jauh. Adalah satu kebiasaan yang sukar dielakkan, semakin jauh perjalanan seseorang, semakin banyak terdedah dengan kesilapan. Jika semuanya akan diambil kira iaitu dosa dan pahalanya tetap dihitung semuanya, tentulah hidup ini sempit, sulit dan membebankan. Ayat ini memberi harapan apabila diakhiri dengan doa kepada Allah S.W.T agar segala dosa diampun, salah silap dimaaf dan yang lebih utama ialah pertolongan terhadap kaum kafir. 

            Perkataan الوسع menurut al-Zamakhsyari ertinya perkara yang masih dalam upaya, tidak berat dan tidak menyusahkan pelaksananya. Sebagai contoh, solat lima waktu tidak berat dan masih dalam upaya seseorang kerana manusia masih mampu melakukan lebih daripada lima waktu, masih mampu berpuasa selama lebih daripada sebulan dan masih mampu mengerjakan haji lebih daripada sekali dalam seumur hidupnya. 

            Syariat Islam memang penuh dengan rahmat dan timbang rasa. Ia tidak membebankan seseorang melakukan tugasan yang tidak mampu dipikulnya. Islam tidak membebankan kanak-kanak yang belum mumaiyiz melakukan ibadat, tidak membebankan orang gila dan tidak sempurna akal dan tidak membebankan orang sakit melakukan ibadat yang tidak mampu dilakukannya. Islam tidak membebankan orang miskin mengerjakan haji kerana dia tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menyempurnakannya. 

            Doa yang akhir dan penutup surah ini merupakan wawasan umat ini bagi membina masa hadapannya yang gemilang, cemerlang dan terbilang. Umat ini ialah umat yang menyerahkan dirinya kepada Allah S.W.T Umat Islam kini sedang menunggu untuk melihat kemenangan Islam di atas buminya yang membawa erti-erti keadilan dan kesejahteraan serta kebahagiaan untuk semua, untuk melihat pelaksanaan syariatnya yang mengira seluruh manusia satu keluarga daripada satu keturunan.

                       
10Mengiktiraf Hak Orang Lain Sama Rata.
 Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud :

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Abbas, terdapat dua sebab nuzul ayat ini. Pertama, Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ibnu Abi Malikah, dia berkata, “Pada saat terjadi penaklukan Mekah, Bilal naik ke atas Ka’bah, lalu beliau mengumandangkan azan. Sebahagian orang pada masa itu berkata, “Mengapa seorang hamba sahaya yang hitam ini yang ditugaskan azan di atas Ka’bah ? Mengapa tidak yang lain?”. Sebahagian yang lain berkata, “ Sekiranya Allah membenci orang ini, nescaya Dia akan menggantinya. Maka pada saat itu turunlah ayat ini. 

            Sebab nuzul ayat ini yang kedua ialah Ibnu ‘Asakir di dalam kitabnya al-Mubhamat berkata, “ Aku menemukan pada tulisan tangan Ibnu Bisykawal keterangan bahawa Abu Bakar bin Abu Daud telah meriwayatkan di dalam kitab tafsirnya bahawa ayat ini turun berkaitan dengan Abu Hind. Saat itu Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada orang-orang Bani Bayadhah agar mereka bersedia mengahwinkan salah seorang perempuan dari kalangan mereka kepada Abu Hind. Namun mereka berkata. “Wahai Rasulullah! Pantaskah kami mengahwinkan anak-anak perempuan kami dengan bekas hamba sahaya kami?”. Maka pada saat itu Allah menurunkan ayat ini. 

            Menurut terjemahan Tafsir Ibnu Kathir, ayat ini menceritakan tentang Allah Taala menciptakan umat manusia dari satu jiwa, dan darinya Dia menciptakan pasangannya, iaitu Adam dan Hawa dan seterusnya menjadikan mereka berbangsa-bangsa. Dengan demikian, dalam hal kemuliaan, seluruh umat manusia dipandang dari sisi ketanahannya dengan Adam dan Hawa adalah sama. Hanya saja kemudian mereka itu bertingkat-tingkat jika dilihat dari sisi keagamaan iaitu ketaatan kepada Allah Taala dan kepatuhan mereka kepada Rasul-Nya. Yang membezakan darjat manusia di sisi Allah hanyalah ketakwaan, bukan keturunan. 

            Menurut terjemahan Tafsir Fi Zilalil Quran, maksudnya ialah wahai manusia dari berbagai-bagai-bagai bangsa, warna dan suku-suku! Sesungguhnya kamu adalah berasal dari satu keturunan sahaja. Oleh sebab itu janganlah kamu berpecah belah dan bersengketa antara satu sama lain. Perbezaan-perbezaan itu sewajarnya membawa kepada tolong-menolong dan kerjasama yang erat untuk melaksanakan tugas-tugas kemanusiaan dan melengkapkan keperluan-keperluan umat manusia. Hanya neraca takwa sahaja yang menentukan nilai dan kelebihan manusia. 

            Menurut terjemahan Tafsir Al-Qurthubi, makna taqwa adalah memelihara ketentuan-ketentuan Allah, baik berupa perintah mahupun larangan, menyifati diri sendiri dengan sifat-sifat yang harus engkau jadikan sifat dirimu, dan menghindari apa yang Allah larang atas dirimu. Manakala terjemahan Tafsir al-Imam Asy-Syafi’i, menyebutkan bahawa takwa hanya dicapai oleh orang-orang yang sudah baligh dan dalam keadaan waras. 

            Masyarakat Madinah pada zaman Rasulullah S.A.W terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun dan harmoni berasaskan perlembagaan Madinah yang mempertahankan kebebasan agama, keadilan kepada semua. 

            Terdapat pelbagai contoh yang memaparkan pelaksanaan konsep wasatiyyah dalam politik dan pentadbiran baginda S.A.W. Antaranya tidak memerangi musuh ketika menawan Mekah, menyetujui syarat dan isi Perjanjian Hudaibiyah dan bertoleransi tinggi dalam Perjanjian Madinah. Antara kandungan Perjanjian Madinah yang memaparkan sikap toleransi Baginda S.A.W ialah penduduk Madinah menjadi satu umat dan diberi hak serta kebebasan selagi mana mereka tidak menggugat keselamatan orang Islam, orang Islam dilarang membunuh sesama mereka atau orang bukan Islam dan semua pihak yang membentuk masyarakat Madinah hendaklah mempunyai kepentingan semangat tolong-menolong yang tinggi. 

            Sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W, penduduk Madinah hidup secara berkelompok, berpuak-puak, bermusuhan dan  saling membenci antara satu sama lain. Semangat Asabiyah dan kabilah yang kuat dalam diri mereka menyebabkan tiada suatu asas yang dapat menyatukan semua bangsa di Madinah. Mereka sangat bermegah dengan keturunan masing-masing memandang rendah kepada kabilah lain. Melalui Piagam Madinah yang dibina melalui pendekatan wasatiyyah, kesejahteraan dan keamanan dapat dikekalkan meskipun terdapat segelintir pihak Yahudi yang cuba mengingkarinya. 
           
       KESIMPULAN
Daripada perbahasan di atas, jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan Wassatiyyah ialah tidak sesekali menghalalkan pelampauan, kekerasan mahupun ketaksuban membuta tuli. Malah Wassatiyyah tidak bersifat memperlonggarkan mahupun mencuaikan agama hingga tergamak melakukan penyimpangan atas nama agama. Sebaliknya konsep Wassatiyyah yang dimaksudkan Syarak adalah bersifat pertengahan antara dua ekstrim berteraskan keadilan, kebaikan, kebenaran dan kesaksamaan. Mengambil iktibar daripada ayat-ayat suci ini, maka dapatlah ditegaskan di sini bahawa wasatiyyah adalah satu pendekatan yang sangat dituntut oleh Islam. 


RUJUKAN
Abdullah Muhammad. 2004. Tafsir Ibnu Kathir. Terj. Abdul Ghoffar, Abdurrahim Mu’thi.           Jil 1, 2 & 8 Bogor : Pustaka Imam asy-Syafi’i.

Abdullah Muhammad. 2003. Tafsir Ibnu Kathir. Terj. Abdul Ghoffar, Abdurrahim Mu’thi.           Jil 5,6,7  Bogor : Pustaka Imam asy-Syafi’i.

 Abdullah Muhammad. 2005. Tafsir Ibnu Kathir. Terj. Abdul Ghoffar, Abdurrahim Mu’thi.           Jil 8 Bogor : Pustaka Imam asy-Syafi’i.

Abdul Hayei. 2011. Tafsir Pedoman Muttaqin. Jil 3. Putrajaya : JAKIM.

Ad-Dimasyqi, Abul Fida Isma’il Ibnu Kathir. 2004. Tafsir Ibnu Kathir. Terj. Bahrun Abu Bakar, Anwar Abu Bakar. Jil 2. Bandung : Penerbit Sinar Baru Algensindo.

Al Fairuzabadi, Abu Tahir Muhammad Bin Ya’kub. 2011. Tafsir Ibnu Abbas. Terj.            Ubaidillah Saiful Akhyar. Jil 1 & 3 Selangor : Al-Hidayah House Of Quran Sdn. Bhd.

Al-Farran, Ahmad Mustafa. 2007. Tafsir Al-Imam Asy-Syafi’i. Terj. Ghazali Masykur. Jil 3.           Jakarta : Penerbit Almahira. 

Al-Jazairi, Abu Bakar Jabir. 2006. Tafsir Al-Quran Al-Aisar. Terj. Muhammad Azhari Hatim         & Abdurrahim Mukti. Jil 1. Jakarta : Darul Sunah Press. 

Al-Jazairi, Abu Bakar Jabir. 2010. Tafsir Al-Quran Al-Aisar. Terj. Nafi’ Zainuddin &         Suratman. Jil 3. Jakarta : Darul Sunah Press. 

Al-Qurtubi. 2009. Tafsir Al-Qurthubi. Terj. Dudi Rosyaki, Faturrahman, Fachrurazi, Ahmad         Khatib. Jil 17 & 18. Jakarta: Pustaka Azzam.

 Asy-Syaukani, Muhammad bin Ali. 2011. Tafsir Fathu Qadir. Terj. Amir Hamzah            Fachruddin. Jil 7 & 8 Jakarta : Pustaka Azzam.

Asy-Syaukani, Muhammad bin Ali. 2012. Tafsir Fathul Qadir. Terj. Amir Hamzah            Fachruddin. Jil 11. Jakarta : Pustaka Azzam.

At-Tabari, Abu Ja’far Muhammad bin Jarir. 2008. Tafsir Ath-Thabari. Terj. Ahsan Askan,             Yusuf Hamdani, Abdush-Shamad. Jil 4, 11 & 16 Jakarta : Pustaka Azzam.

Az-Zuhaili, Wahbah Mustofa. 2007. Tafsir Al-Munir. Jil 3. Selangor : Intel Multimedia And          Publication.

M. Quraish Shihab. 2002. Tafsir AL-Misbah. Jil 2. Jakarta : Penerbit Lentera Hati.

Mohd Izhar Ariff, Muhammad Asyraf, 2012. Wasatiyyah Dalam Gaya Hidup. Dlm. T.pnyt.         Manhaj Fiqah Wasathiyy. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.

Mohammad Kamil Abdul Majid. 2012. Wasatiyyah Islam : Antara Liberalisme & Konservatisme Di Malaysia. Selangor : Pekan Ilmu Publication Sdn.Bhd. 

Mohd Shahid Talib. 2012. Wasatiah : Indahnya Hidup Bersederhana. Selangor : Pts Islamika        Sdn. Bhd

Muhammad Mustaqim Mohd Zarif. 2012. Wasatiyyah Dan Perkembangan Islam Di          Nusantara. Dlm. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, Paimah Atoma, Hariza Mohd   Yusof. Islam dan Wasatiyyah. Nilai : Penerbit USIM.

Muslim Ibrahim. 2012. Satu Milenium Islam Sebagai Paksi Perpaduan Serumpun. Dlm.     Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, Paimah Atoma, Hariza Mohd Yusof. Islam dan       Wasatiyyah. Nilai : Penerbit USIM.

Roslan, Ahmad Wifaq, Ahmad Husni, 2012. Wasatiyyah Dalam Ibadah. Dlm. T.pnyt.       Manhaj Fiqah Wasathiyy. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.

Salahuddin Abdullah, Omar Khalid, 2009. Tafsir Mubin. Jil 1 & 4 Kuala Lumpur : Dewan      Bahasa dan Pustaka.


Sayyid Qutb. 2000. Tafsir Fi Zilalil Quran. Terj. Yusoff Zaky. Jil 1, 2, 6, 10, 11, 12, 15, & 16 Kelantan : Pustaka     Aman Press.

Zaharuddin Abd Rahman, Mohd Ramadhan Fitri Ellias. 2012. Wasathiy Dalam Ekonomi Dan      Kewangan. Dlm. T.pnyt. Manhaj Fiqah Wasathiyy. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn.   Bhd.

Zulkifli Mohamad. 2011. Wasatiyyah : Konsep & Pelaksanaan. Kuala Lumpur : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.



No comments:

Post a Comment