Powered By Blogger

Saturday, 20 February 2016

" MOKSHA DALAM AGAMA HINDU"




PENGENALAN

Agama adalah tatatertib yang mengatur hubungan antara makhluk dan pencipta-Nya. Ia mengandungi petunjuk-petunjuk hidup manusia duniawi dan ukhrawi. Penilaian benar atau tidaknya sesebuah agama sangat bergantung pada kehadiran kitab sucinya, kenabian, kelengkapan syariat, serta ketaatan penganutnya.

            Dalam kehidupan seharian, kita menyaksikan pelbagai ragam agama dan kepercayaan hidup manusia. Agama dapat dibahagikan kepada dua iaitu agama yang lahir atas dasar wahyu dan agama yang lahir atas dasar budaya manusia. Agama wahyu ialah agama yang dalam ajarannya diatur menurut wahyu Allah, melalui Nabi dan dengan kitab suci yang diterimanya dari Allah. Sementara agama atau kepercayaan budaya lahir atas hasil perkembangan zaman seiring dengan tingkat berfikir dan keperluan manusia.
           
            Negeri India terkenal mempunyai banyak agama dan kepercayaan. Agama Hindu merupakan yang termahsyur sekali dan yang paling luas penyebarannya malah ia meliputi kebanyakan orang-orang India.              

            Dalam tugasan ini, penulis ingin mengkaji mengenai Moksha yang merupakan salah satu daripada kepercayaan yang terdapat di dalam agama Hindu. Konsep ini mempercayai bahawa kebahagiaan tertinggi merupakan tujuan akhir manusia dan matlamat seseorang penganut Hindu adalah untuk mencapai Moksha. 



AGAMA HINDU

Menurut buku “Hinduisme”, ia merupakan suatu sifat bagi bentuk masyarakat India dengan aturan berkasta-kasta dan kedudukan tiap-tiap kasta itu di dalam masyarakat. Ia merupakan kehidupan India dengan caranya yang tersendiri yang dianggap sebagai satu dari lambang-lambang. Ia adalah suatu adunan yang mengandungi semua perkara-perkara suci dan perkara-perkara hina kerana dalam pemikiran Hindu tidak ada batas yang memisahkan keduanya. Ia merupakan aliran-aliran rohani, moral dan perundangan. Ia juga merupakan prinsip-prinsip, ikatan-ikatan dan adat-adat yang menguasai dan mengendalikan kehidupan Hindu.

            Agama Hindu timbul dari bekas keruntuhan ajaran-ajaran Veda dengan mengambil buah fikirannya dan bentuk-bentuk rupa India purbakala dan pelbagai kisah dongeng yang bersifat rohani yang telah tumbuh di semenanjung itu sebelum kedatangan bangsa Arya. Dengan sebab ini, para pengkaji menganggap agama Hindu adalah sebagai sambungan dari ajaran-ajaran Veda dan merapatkan satu dari evolusinya.

            Agama Hindu lebih kepada suatu cara hidup daripada sekumpulan kepercayaan. Sejarahnya menerangkan mengenai isi kandungannya yang meliputi pelbagai kepercayaan, fardu dan sunat. Ia tidak mempunyai pengertian yang tertentu bentuknya, sebab itulah ia meliputi kepercayaan yang membawanya turun hingga kepada penyembahan batu dan pokok-pokok, dan membawanya naik pula kepada perkara-perkara falsafah yang abstrak dan halus.
           
            Kitab Veda yang mengandungi kepercayaan-kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang juga tidak mempunyai pencipta yang tertentu. Penganutnya mempercayai bahawa kitab ini suatu kitab yang azali yang tidak mempunyai tarikh permulaannya, ia diilhamkan sejak azali. Pengkaji Barat dan sarjana-sarjana agama Hindu berpendapat bahawa kitab ini lahir dalam beberapa abad yang berturut-turut tidak kurang dari dua puluh kurun sebelum menjelang tahun Masihi. Ia dicipta oleh beberapa generasi yang terdiri dari golongan-golongan penyair, ketua-ketua agama dan pendeta-pendeta tasawuf, satu demi satu sesuai dengan perubahan suasana dan pertukaran keadaan.

            Kehidupan Hindu sebagaimana yang digambarkan oleh Athar Veda, penuh dengan dosa-dosa, dan alam penuh dengan syaitan dan gergasi yang menakutkan
manusia, Tuhan-Tuhan tidak lagi berbuat baik dan tidak menolak kejahatan. Athar veda menceritakan bagaimana manusia menuju kepada perkara-perkara yang karut, kuasa-kuasa ghaib dan sihir dengan tujuan untuk melindungkan diri. 
           
            Upanishad iaitu rahsia-rahsia dan penglihatan-penglihatan jiwa untuk golongan tasawuf. Ia disusun sebagai petunjuk kepada golongan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat yang fokus kepada kehidupan batin dan meninggalkan bentuk-bentik kehidupan luar. Ia merupakan mazhab rohani yang menduduki darjat tertinggi dan dianggap sebagai suatu langkah yang berani menuju kepada kebebasan agama dan melepaskannya dari gambar-gambar Brahma.

TUHAN DAN IBADAT MENURUT AGAMA HINDU

Tauhid dalam agama Hindu tidak mempunyai pengertian yang mendalam tentangnya. Akan tetapi mereka menerima satu Tuhan di tengah-tengah tuhan-tuhan yang lain. Hal ini bermakna agama Hindu mempunyai banyak Tuhan. 

            Seorang manusia India yang bersemuka dengan alam tabiie yang berbagai-bagai dan merasa lemah maka dengan sendirinya menjadi seorang yang beragama, rakus pada perkara-perkara kerohanian, sentiasa berusaha untuk mengenal Tuhan dan mengamalkan zuhud sebagai suatu jalan untuk melepaskan diri dari dunia kebendaan dan terus mengatur hidup dalam alam kerohanian. Bagi mereka, tiap-tiap sesuatu kekuatan tabie sama ada memberi faedah atau membahayakan seperti air, api, sungai, gunung dan sebagainya. dialah Tuhan yang mereka harapkan pertolongannya pada waktu kesusahan.

            Menurut fahaman monotheisme, mereka berkata bahawa setiap sesuatu yang bermanfaat atau berbahaya mempunyai satu Tuhan yang disembah, seperti air, udara, sungai, dan gunung. Semua itu ada tuhannya sendiri di mana kita dapat mendekatkan diri kepadanya dengan ibadah dan menyajikan korban.
            Sungai Gangga adalah sungai yang menjadi idaman penganut Hindu untuk mandi mensucikan diri dari dosa dan mencari berkat. Mereka datang dari jauh semata-mata untuk mandi, membakar mayat dan menaburkan abunya di sepanjang sungai itu. Hampir setiap penganut Hindu ingin mati di sana walaupun air sungai itu sudah tercemar oleh kotoran abu dan sebab-sebab lain.

            Menurut fahaman trinitas pula, pada abad ke 9 SM, para dewa dikumpulkan menjadi satu yang mengeluarkan dunia dari dirinya, dialah yang disebut dengan brahma iaitu dewa pencipta, wishnu iaitu dewa pemelihara dan shiwa iaitu dewa perosak. Sesiapa yang menyembah salah satu dari dewa yang tiga ini bererti ia telah menyembah semuanya, atau menyembah satu yang tertinggi. Tidak ada perbezaan di antara  semuanya. Dengan demikian, mereka sebenarnya telah membukakan pintu untuk orang-orang Kristian tentang Trinitas. 

            Antara simbol-simbol agama yang terpenting ialah menyiapkan patung dengan sebaik-baiknya dan didirikan di Kuil. Penyembah-penyembah menganggapnya seolah-olah hidup, mendengar dan sedar, mereka menyapunya dengan minyak dan diasapinya dengan bau-bauan. Satu Tuhan baru yang pertama kali memasuki Kuil diraikan secara besar-besaran. Semua menghadapnya dengan mengalu-alukan dan memberinya sebaik-baik sambutan seolah-olah tetamu agung, kemudian dimandikan dengan air wangi, dipakaikan dengan pakaian paling baik, dihiaskan dengan permata dan mutiara, di Depannya dihidangkan seenak-enak makanan dan selazat-lazat minuman dan dikalungkan dengan bunga-bunga. Sebahagian orang Hindu menganggap patung adalah Tuhan mereka dan sebahagian pula menganggapnya sebagai simbol Tuhan.

            Seorang penyembah patuh kepada amalan-amalan kecil dengan tujuan supaya diterima permohonan dan ibadatnya. Dia bermula dengan membersihkan diri, mengurangkan makan atau berpuasa, mengambil tempat duduk yang tertentu di depan Tuhannya, menunjukkan dengan jari dengan penuh perasaan merendah diri, serta menahan nafasnya seberapa yang boleh. Sembahyang ini diulang tiga kali sehari diiringi dengan apa saja penyembelihan korban, masanya biasanya tidak panjang kecuali bagi mereka yang mempunyai sesuatu permohonan yang diharap dapat dilaksanakan dengan pertolongan Tuhan-Tuhan, atau bagi mereka yang cenderung untuk beribadat dan mahu lebih mendekatkan diri kepada Tuhan.

            Ibadat dalam agama Hindu tidaklah terbatas oleh masa dan waktu, tetapi pada setiap ketika dan keadaan harus beribadat. Ibadat dan pemujaan tidaklah hanya dihadapkan kepada Brahma, Vishnu dan Siva tetapi lebih dahulu langsung kepada tenaga dan dan alam yang dianggap sebagai dewa, yang langsung mempengaruhi kehidupan manusia.
           
            Maulana Mohamed Abdul Salam al-Ramburi berkata : “ Umat India mudah menerima apa saja fikiran dan kepercayaan yang ditemuinya. Kepercayaan dan fikiran mereka berbagai-bagai. Kelas-kelas untuk berfikir dan bermenung telah diadakan di seluruh ceruk rantau negeri itu oleh pendeta dan cendekiawan. Lahirlah beberapa pengajian akhlak yang diikuti oleh segenap golongan masyarakat. Tersebar juga latihan-latihan badan yang berat dan payah untuk mendapatkan suatu kekuatan yang dapat menguatkan kekuatan alam semula jadi. Pertapaan di gua-gua sebagai suatu pengawasan ke atas diri adalah menjadi tumpuan, begitu juga pengasingan diri ke hutan-hutan rimba untuk meletihkan tubuh supaya dapat naik mencapai kekuatan rohani. 
           
 

AQIDAH-AQIDAH HINDU YANG TERPENTING

Kepercayaan-kepercayaan yang terpenting dalam agama Hindu ada 4 :
1.      Karma ( Undang-Undang Balasan )
2.      Tanasukh roh atau pengembalian semula roh. ( Pengulangan Kelahiran )
3.      Pembebasan mutlak ( Moksha )
4.      Pantheisme

            Karma ialah undang-undang pembebasan yang mana peraturan alam ini bersifat ketuhanan yang berdasarkan keadilan semata. Keadilan itu pasti terjadi, baik dalam kehidupan sekarang mahupun kehidupan akan datang. Balasan suatu kehidupan akan terjadi dalam kehidupan lainnya.
           
            Selain itu, kepercayaan penganut Hindu yang kedua ialah kelahiran semula iaitu apabila seseorang meninggal dunia, maka jasadnya fana, sedangkan rohnya terpisah. Kemudian menempati jasad yang lain sesuai dengan amal perbuatannya yang dilakukan semasa hidupnya yang pertama. Dan roh itu memulakan peranannya yang baru dalam jasad tersebut. Ini bermaksud, roh mencari jasad yang baru.

            Seterusnya ialah moksha yang bermaksud pelepasan iaitu baik dan buruknya amal perbuatan akan melahirkan sebuah kehidupan baru yang berulang, agar dalam kehidupan itu, roh diberi pahala atau seksa yang sesuai dengan apa yang telah dilakukannya pada putaran pertama kehidupannya terdahulu. Sesiapa yang tidak suka dan tidak akan suka terhadap sesuatu dan terbebas dari kongkongan hawa nafsu dan jiwanya menjadi tenteram, maka ia tidak akan dikembalikan kepada indranya, tetapi rohnya terlepas untuk bersatu dengan Brahma. 

            Kepercayaan penganut Hindu yang terakhir ialah pantheisme iaitu penyaringan falsafi telah mengantarkan orang-orang Hindu ke peringkat manusia yang mampu menciptakan pemikiran dan organisasi, sebagaimana ia mampu memelihara dan menghancurkannya. Dengan demikian, manusia tersebut telah bersatu dengan paradewa (tuhan), sedangkan jiwa manusia itu ialah kekuatan pencipta itu sendiri. Roh seperti juga tuhan yang azali dan abadi dan bukan makhluk. Hubungan antara manusia dengan tuhan-tuhan tersebut seperti hubungan antara kejahatan api neraka dengan api itu sendiri, dan seperti hubungan antara daun dan pohonnya. Alam ini semuanya hanyalah sebuah kenyataan daripada wujud yang hakiki. Dan roh manusia adalah sebahagian daripada roh yang tertinggi.



DEFINISI MOKSHA

Dalam agama Hindu dan falsafah India, Moksha juga dikenali sebagai vimoksha, vimukti iaitu bermaksud pembebasan atau pelepasan. Ia memberi maksud kebebasan daripada Samsara, iaitu kitaran kematian dan kelahiran semula. Dalam epistemologi dan psikologi, Moksha memberi maksud kebebasan, kesedaran diri dan pengetahuan diri. 
 
            Dari segi etimologi, Moksha berasal dari perkataan akar Sanskrit yang bermaksud kebebasan, melepaskan, membebaskan. Dalam Veda, Moksha bermaksud untuk dibebaskan atau melepaskan seperti kata pepatah begitulah kuda dengan tali keselamatannya. Kebanyakan tradisi Hindu menganggap Moksha matlamat utama kehidupan yang memerlukan pembebasan akal.

               Videha Mukti berasal dari bahasa Sanskrit bermaksud pembebasan tanpa badan iaitu  merujuk kepada Moksha , atau "pembebasan" yang dicapai oleh seseorang selepas kematian. Videha adalah pandangan kematian, diadakan budaya, agama, dan falsafah oleh orang-orang Hindu . Mukti adalah satu lagi perkataan untuk Moksha . Dalam agama Hindu , Samadhi juga boleh merujuk kepada videha atau penyerapan lengkap kesedaran individu dalam diri pada masa kematian - biasanya dirujuk sebagai mahasamādhi .
                             
               Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemikir Hindu mengenai sifat sebenar bebas dan dengan cara yang mana pembebasan boleh didapati oleh manusia. Beberapa pemikir Hindu, seperti ahli-ahli falsafah Advaita Vedanta, mengatakan bahawa Moksha adalah kebahagiaan yang positif, dan lain-lain lahir daripadanya dari segi semula jadi sebagai keadaan ketiadaan kesakitan dan penderitaan. Ada yang mengatakan bahawa Moksha adalah bergabung dengan Brahman.
              
               Moksha ialah penerimaan diri, kesedaran pengetahuan mengenai pembebasan, kesedaran kesatuan semua kewujudan dan memahami bahawa seluruh alam sebagai diri.
Moksha memulakan premis bahawa semuanya adalah diri. Manusia yang benar-benar berpegang kepada agama adalah bebas dari kepentingan dunia, masyarakat dan kekerabatan.



Di sesetengah sekolah agama India, Moksha dianggap sama dengan dan digunakan secara bergantian dengan terma lain seperti vimoksha, vimukti, kaivalya, apavarga, nihsreyasa dan nirvana. Selain itu, pelbagai sekolah agama Hindu juga menerangkan konsep ini sebagai kehadiran keadaan paripurna-brahmanubhava, keadaan pengetahuan, keamanan dan kebahagiaan.



PEMBEBASAN MUTLAK
                  
Erti kesempurnaan keinginan dan hawa nafsu ialah penghapusannya serta penguasaan seorang manusia ke atas dirinya sehingga tiada lagi keinginan dan hawa nafsu pada dirinya, malah dia merasa puas dengan apa yang telah didapatinya dan tidak meminta lebih dari itu. Ini bermakna dia telah berhenti dari melakukan kerja-kerja dan terputus dari hubungan-hubungan dunia serta kelazatannya dan maksiat-maksiat yang memastikan pengulangan kelahiran. Maka, selamatlah ia dari pengulangan kelahiran dan bercantumlah ia dengan Brahma. Keadaan inilah yang dinamakan pembebasan mutlak.

            Pembebasan mutlak ialah pencantuman dengan Brahman seperti percampuran setitik air dengan lautan yang luas. Tujuan hidup yang tertinggi ialah pembebasan mutlak dari pusingan-pusingan wujud yang berturut-turut, dan pencantuman dengan zat yang Maha Tinggi. Pembebasan mutlak ini tidak diperolehi dengan amalan-amalan kerana amalan-amalan baik seseorang itu dibalas dengan jalan kelahiran yang berulang-ulang sama seperti amalan-amalan jahat.

            Di dalam Aranyaka ada tercatat sebagaimana berikut :
“Siapa yang tidak pernah mengingini sesuatu dan tidak akan mengingininya sama sekali, dan bebas merdeka dari perhambaan hawa nafsu, dan merasa puas dengan dirinya sendiri, dia tiada dikembalikan kepada pancainderanya dan bersatulah ia dengan Brahma serta menjadilah dia, dan jadilah yang binasa itu tinggal kekal.”


Tentangan yang diberikan ke atas prinsip ini ialah dia menjadikan tasawuf, zuhud dan sifat negatif itu lebih baik dari amalan-amalan yang baik, dan itu sahajalah jalan untuk bersatu dengan Tuhan. Sementara amalan-amalan yang baik adalah menghasilkan suatu pusingan baru di dalam hidup di mana roh diberi balasan terhadap kebaikan yang dilakukannya semasa hidupnya dahulu.

            Perkara yang paling tinggi sekali yang dikejar oleh seorang Brahman ialah pembebasan mutlak dan pencantuman dengan Brahma. Menurut perlembagaan akal Hindu, untuk tiba kepada tujuan ini selalunya ialah zuhud yang melebih-lebih dengan jalan berpuasa, berjaga malam dan menyeksa diri, mengharamkan diri dari segala kenikmatan, memikulkan diri dengan pelbagai bala bencana, selalu kelihatan amat berduka dan merasa kecewa, dia tidak mengharapkan mati kerana mati akan memindahkannya ke pusingan hidupnya yang baru, tetapi dia mengharapkan kebinasaan dirinya di dalam Brahma. Sebab itulah kehidupan kebanyakan orang-orang Hindu dipenuhi dengan kesengsaraan, memerangi kelazatan, bersifat negatif, hidup meminta-minta dan menyeksa diri.
           
            Falsafah Hindu telah membahagikan kehidupan kepada empat peringkat dan bagi tiap-tiap peringkat itu disediakan peraturan yang sesuai untuknya. Setiap peringkat masanya ialah 25 tahun mengikut hitungan panjang umur seorang manusia 100 tahun. Peringkat pertama ialah peringkat pendidikan jasmani, akal dan rohani. Peringkat kedua ialah kehidupan berkeluarga. Dalam peringkat ini, seseorang itu berkahwin, mempunyai keluarga dan keturunan serta menjalankan tugas-tugas kekeluargaan. Peringkat ketiga, dia dan isterinya meninggalkan kehidupan kekeluargaan dan bersama-samanya bertugas memberi khidmat kepada masyarakat dengan tidak ertujuan untuk mendapatkan keuntungan diri sendiri atau keluarganya. Dalam peringkat yang keempat, seseorang itu membersihkan diri dari apa yang ada kaitannya dengan keduniaan dan menumpukan sepenuhnya kepada pendidikan rohani.



SEJARAH KEMUNCULAN MOKSHA

Sebagaimana haluan setiap agama hendak membawa manusia kepada kebahagiaan, agama Hindu juga mempunyai tujuan yang demikian. Berbeza dengan agama samawi yang isi dan ajaran dan haluannya telah ditentukan oleh Tuhan yang mewahyukannya, maka dalam agama Hindu, dasar haluannya boleh mengalami perubahan dan pengolahan dari penganut-penganutnya yang terkemuka, apatah lagi dalam menentukan jalan menuju kebahagiaan yang hakiki.
           
            Kitab suci yang banyak dalam agama Hindu yang wujud dalam jarak masa yang amat jauh masing-masingnya membawa gambaran yang berlainan dalam menentukan jalan kebahagiaan. Kitab Veda sebagai kitab yang tertua menuntut jalan kebahagiaan dan pemujaan dewa-dewa dan daya alam guna mendapatkan keberuntungan dan kebahagiaan. Apa yang diingini di alam ini ada dewanya, hadapkan kepadanya pemujaan itu agar beroleh keberuntungan.
           
            Dengan tuntutan veda yang demikian tingginya, orang belum mendapatkan suatu pegangan yang memuaskan tentang hidup. Dalam keadaan yang demikian, muncullah kasta Brahmana menonjolkan dirinya, dengan kitab Brahmanaya, memberikan kuasa mutlak kepada kasta ini, menggariskan haluan agama.

            Dari zaman Veda, sudah ada suatu garis pedoman hidup dalam menuju bahagia yang disebut “ Triwarga” iaitu :
1.      Dharma : membayarkan kewajipan agama dan masyarakat               
2.      Artha : usaha untuk mengumpulkan harta
3.      Kama : usaha untuk mendapatkan kesenangan dan kenikmatan hidup

            Setelah melalui beberapa zaman, rakyat mengikuti ajaran Veda dan Brahmana semata-mata, timbullah rasa tidak puas hati kerana ada beberapa persoalan hidup yang belum mendapat jawapan dari pelajaran kedua kitab itu. Memang hidup ini memikat hati dan menggembirakan, tetapi dalam hidup ini manusia selalu dilingkari seksa dan bencana dan akhir dari kehidupan hanya derita dan putus asa, kefanaan yang memusnahkan segala sehingga apa yang telah diusahakan tidak akan ada gunanya lagi. Kerana merenungkan hal demikian, timbullah suatu cita-cita yang lebih luhur yang dinamakan Moksha.

            Cita-cita berdasarkan kepada kepercayaan bahawa hidup itu akan berlangsung berulang kali. Setelah mati manusia akan hidup kembali, dan dalam hidup yang baru itu keadaan manusia bergantung pada sifat dan perbuatannya dalam hidupnya yang lalu. Keadaan ini disebut Karma. Hukum Karma ini menimbulkan Samsara , iaitu lingkaran yang merangkaikan : hidup, mati, lahir kembali, hidup lagi, mati lagi dan seterusnya. Maka cita-cita yang luhur ini berusaha melepaskan diri dari hukum Karma agar menjadi sempurna dan tidak dilahirkan lagi.

            Pandangan hidup tentang Moksha ini timbul dari tengah-tengah kehidupan para wahaprastha ( Petapa di hutan-hutan). Banyak di antara mereka yang telah amat jauh dan mendalam ilmu kebatinannya, lalu datanglah murid-murid yang berkerumun belajar kepada mereka kerana ingin mengetahui selok-belok hidup dan haluan yang sebenarnya.
           
            Oleh sebab karma, maka manusia tersesat dalam lingkaran. Manusia menciptakan Moksha lepas dari samsara dan bebas dari hukum karma. Ia berusaha dengan pelbagai jalan, menjauhkan segala keduniaan, meyakinkan bahawa dunia ini hanya maya dan sementara, bahawa dirinya juga maya, dan bahawa hakikatnya sendiri adalah Brahma kerana berasal dari Brahma.

            Moksha adalah satu konsep utama dan dimasukkan sebagai salah satu daripada empat aspek dan matlamat kehidupan manusia. Tiga matlamat lain ialah dharma, artha dan kama.  Empat matlamat hidup adalah dipanggil Puruṣārtha dalam agama Hindu.        

            Di antara empat nilai ini, maka moksha (tidak lahir semula) itulah yang paling diutamakan. Ertinya bebas dari zaman, dari nampaknya ada pusingan tanasukh dan reincarnation (mati hidup semula berpindah ke jasad lain) yang tidak berakhir yang penuh dengan pelbagai penderitaan dan kerisauan yang digelar samsara.
              



ALIRAN PEMIKIRAN MENGENAI CARA MENCAPAI MOKSHA

1.   Vedanta

Maksudnya ialah kesimpulan akhir dari isi kitab Upanishad. Isi pelajarannya menanamkan keyakinan serba tunggal dan serba Tuhan. Yang ada hanyalah Brahma sahaja, segala yang terlihat, yang terdengar, segala rupa yang ada adalah Brahma sendiri. Wahdatul wujud, kesatuan Tuhan dengan alam.

 2.    Samkhya

Pada hakikatnya adalah dua sahaja iaitu Prakrti dan Purusa. Kedua-duanya kekal abadi dan menjadi pangkal dari segala yang ada. Segala yang hidup itu jasad berasal dari percikan Prakrti dan badan halusnya iaitu nyawa dari Purusa. Oleh sebab Avidya tidak tahu, timbullah persenyawaan dan perpaduan antara Praktri dan Purusa menjadi suatu badan yang berbuat dan bergerak dan terikat oleh karma. Maka manusia berusaha melenyapkan karma agar kedua-dua unsur abadi itu dapat suci kembali dan terpisah sebagai bermula buat selam-lamanya ( Moksha ). Selain itu, ia juga dipandang sebagai atheisme.

            Ilmu falsafah berpusat pada Kapila iaitu mengajarkan ajaran-ajaran yang bersifat dualism maksudnya mengakui bahawa wujud dua bahagian yang kekal dan abadi iaitu purusa yang bermaksud jiwa seseorang dan prakerti iaitu benda dan jasmani yang kekal dan abadi.

            Penyatuan antara purusa dan prakerti ini menyebabkan hidup manusia menderita. Penderitaan ini dapat dihapuskan jika purusa  berpisah dengan prakerti. Perpisahan hanya dapat dicapai seandainya manusia sedar bahawa purusa dan prakerti adalah dua unsur yang berlainan. Samsara bermaksud penyatuan antara purusa dan prakerti dan ini bererti untuk hidup terus menerus. Orang yang meninggal itu dipanggil purusa hanya berpindah dari tempat prakerti kepada brahman. Kesedaran akan kenyataan ini memberi kelonggaran kepada purusa untuk melepaskannya dari samsara. Ini bermaksud, tidak akan menjelma lagi dan berpindah ke tempat yang lain.
           
            Falsafah ini seolah-olah menyamai fahaman atheistis iaitu tidak mengakui bahawa ada Tuhan yang dapat menolong purusa untuk berpisah dengan prakerti. Cita-cita yang diajarkan oleh Samkya ini dapat dicapai dengan Yoga iaitu dengan mengheningkan cipta hingga jiwanya menjadi sudi dan mudah bergerak dari badan jasmani.
           
   3.    Yoga

Yoga bermaksud perhubungan. Yoga suatu aliran yang mengemukakan ajaran-ajaran bagaimana cara dan jalan untuk menghubungkan manusia dengan yang ada atau hakikat guna menyampaikan manusia kepada Moksha. Pelajaran terpenting dalam Yoga ialah latihan-latihan untuk mengekang hawa nafsu dan pelbagai keinginan jasmaniyah, hidup sederhana dan teratur mengurangi makan dan tidur, menjauhkan diri dari semua kebiasaan apa yang dianggap anak dan senang, mengurangi bicara dan sebagainya.
           
            Latihan-latihan itu ada yang berupa seksaan-seksaan berat terhadap diri seperti berdiri terus-menerus di terik panas mentari, dalam hujan lebat, menghadapi unggun api yang besar atau menghadapi tiupan angin malam yang sangat dingin. Ada pula yang berdiri berbulan-bulan dengan sebelah kaki, menggantungkan diri dengan kaki ke atas, tidur atau duduk di atas bangku yang berpaku-paku menonjol dari bawah dan lain-lain. Selain itu, ada pula latihan-latihan berat mengatur nafas yang maksudnya untuk mengurangi dan menekan pengaruh maya (badan kasar) agar jiwa menjadi suci dalam menuju Moksha. 

            Selain latihan-latihan penekanan kepada jasmani, ada latihan penting bagi fikiran dan jiwa yang melalui tiga taraf :
1.      Dharma iaitu memusatkan fikiran dan perasaan kepada sesuatu benda, sesuatu yang dituju.
2.      Dhiana iaitu hubungan jiwa yang tidak putus-putus dengan yang satu itu iaitu dalam fikiran.
3.      Samadhi, setelah hubungan kuat dan tidak putus-putus, lalu jiwa harus lebur menjadi satu dengan tujuan, yang dimaksudakan di sini ialah Brahma ertinya Tuhan.

            Dengan menjalani penyeksaan-penyeksaan diri seperti itu mereka mengira dapat menjauhkan diri dari dunia dan dapat menempuh jalan yang benar menuju ke Moksha.



PANDANGAN AHLI FALSAFAH HINDU
                              
Brahmanin menggalakkan manusia supaya menghaluskan tubuh badan dan melatih dan membersihkan jiwa. Dia berkata : “ Barang siapa yang membersihkan jiwanya dan segera keluar dari alam kotor ini  serta membersihkan badannya dari pencemarannya, dan ternyatalah kepadanya segala sesuatu. Ia akan dapat melihat segala yang ghaib dan mampu melakukan segala yang sukar. Dia berada dalam keriangan dan kegembiraan, merasa kenikmatan dan keasyikan. Dia tidak akan jemu dan bosan. Dia tidak akan ditimpa kesusahan dan keletihan. Beliau juga menyebutkan : Meninggalkan kesedapan alam ini akan menyambungkan kamu dengan alam sana sehingga kamu dapat berhubung dengannya serta melalui laluan-laluannya, serta kekal berada dalam kelazatan dan kenikmatannya.



KESIMPULAN

Kesimpulannya, setiap agama mempunyai konsep dan peraturan yang tersendiri bagi mengajar setiap ahlinya untuk mencapai kepada tahap dan peningkatan yang tertinggi dalam mencintai atau memiliki cinta kepada Tuhan. Terdapat pelbagai ajaran, rahsia, peraturan dan aktiviti yang dilakukan oleh manusia untuk mencapai tahap-tahap yang dikehendaki.

            Penganut agama Hindu akan berusaha mencapai moksha dalam kehidupannya. Antaranya dengan melakukan perkara yang baik, menderma sesuatu yang disukai kepada orang lain, ada juga yang pergi ke hutan untuk melakukan yoga. Kerajaan juga terlibat dalam usaha mendapatkan Moksha iaitu menegakkan kebenaran serta melakukan sesuatu ke arah kebenaran.

Keterikatan dipanggil sebagai Moha, manakala kebebasan adalah Moksha. Selagi mana manusia menderita dengan keterikatan, Moksha tidak mungkin dapat dicapai. Kadang-kadang manusia agak sulit melepaskan diri dari keterikatan, dan ini memerlukan latihan-latihan secara konsisten untuk mendapatkan moksha dan ia memerlukan kesabaran dan ketekunan. 

Begitulah cara yang diusahakan oleh penganut agama Hindu untuk mendapatkan Moksha dalam kehidupan sehingga sanggup berkorban apa sahaja. 



RUJUKAN

AbdulFatah Haron Ibrahim. 2001. Kajian Ajaran Sesat. Selangor : Pusat Pengajian Jarak   Jauh UKM.

Abujamin Roham. T.th. Agama Wahyu Dan Kepercayaan Budaya. Jakarta : Media Da’wah.

Abu Ahmadi. 1974. Perbandingan Agama. Surakarta : ttp.

Abu Ridha. 2001. Gerakan Keagamaan dan Pemikiran. Jakarta :  Al-Ishlahy Press.

Agus Hakim. 1973. Perbandingan Agama. Bandung : Penerbit Diponegoro.

Ahmad Shalaby. 2010. Agama-Agama Yang Terbesar Di India. Singapura : Pustaka Nasional.

Arvind Sharma. 1999. The Journal of Religious Ethics. New Jersey USA : Wiley
                                                    
Christopher Justice. 1997. Dying The Good Death The Pilgrimage To Die In India’s Holy City. Albany : State University of New York Press.

Fazal Sheikh. 2005. Moksha. Steidl : The University of California.

Gary E.Kessler. 2006. Studying Religion. New York : MC Graw-Hill.

Honic Jr. 1966. Ilmu Agama. Terj. Koesaemosoesastro, Soegiarto. Jakarta : Badan Penerbit           Kristen.

John R. Bowen. 2005. Religions In Practice. United States : t.t.p.

Joseph Campbell. 1951.  Philosophies in India. London : Routledge & Kegan Paul LTD.

Peter L. Berger. 2003. Sisi Lain Tuhan. Terj. Ruslani. Jogjakarta : Penerbit Qirtas. 

Robin Rinehart. 2004. Contemporary Hinduism. Santa Barbara California : ABC-  CLIO.

Swami Madhavananda. 1921. Vivekachudamani of Sri Sankaracharya. Dt. Almora            Himalayas : The Advaita Ashrama Mayavati.

http://global.britannica.com/EBchecked/topic/387852/moksha

http://en.wikipedia.org/wiki/Moksha



No comments:

Post a Comment